Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Thursday 3 November 2011

Kisah Sebuah Persahabatan..

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Muhammad ibnu Jaafar berkata, Ali ibnu Daud ar-Riqqi mensenandungkan bait-bait syair di hadapan kami.
Setiap orang yang berkawan denganmu bukan kerana Allah, 
Maka jangan kau teruskan jalinan persahabatanmu dengannya, 
Sebaik-baik kawan, ialah yang berteman denganmu kerana Allah, 
Ia akan tulus mewajahkan persahabtan dan jernih menyikapimu.

Al-Auzaiy berkata, Bilal ibnu Saad berkata,

Kawan sejati bagimu ialah orang yang setiap kali bersua denganmu, selalu menasihati dirimu kerana Allah s.w.t, serta mengingatkan nasib dirimu di hadapan Allah s..a.wt. Kawan seperti itu, jauh lebih baik bagimu daripada kawan yang setiap kali bertemu denganmu, dia meletakkan dinar di telapak tanganmu.

[Bilal ibnu Saad ad Damasqiy, adalah salah seorang bijak bestari yang sangat sejuk nasihat-nasihatnya. Ceramahnya meneduhkan hati siapa saja yang mendengarnya. DIa sangat mahir menyuguhkan kisah-kisah hikmah. DIa meninggal pada era Khalifah Hisyam. Kisahnya banyak ditulis para alim, antara lain Imam Nasai dalam at-Taqrib (1/110)]

"Tiada ukhwah di dalam internet. Semua itu hanyalah perbualan kosong sahaja!"

"Tidak, adik akan buktikan yang kata-kata itu tidak benar" Dan dia berusaha untuk datang bertemu, dan sesungguhnya, itulah yang saya inginkan dia faham maksud ukhwah yang saya katakan, iaitu pertemuan dan perpisahan kerana Allah.

"Akak, adik dah pun tunaikan janji adik"

Pertemuan dan perpisahan kerana Allah dijanjikan olehNYA dengan ganjaran syurga. Maha Suci Allah. Ketika zaman sedang diulit dengan kelekaan dunia internet, masih ada lagi yang berusaha, berusaha dan mengusahakan sebuah pertemuan. Maha Suci Allah, DIA yang Maha Melihat, sentiasa memberikan ganjaran kepada hamba-hambaNYA yang berusaha untuk sebuah pertemuan.

Maimun ibnu Siyah berkata, Anas ibnu Malik berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,
Tiada seorang muslim yang mendatangi saudaranya, semata-mata berkunjung kerana Allah s.w.t, melainkan ada suara yang berseru dari langit: "Kau telah berbuat kebaikan. Dan kau akan memperoleh syurga terbaik." Allah s.aw.t berkata kepada orang tersebut: "Kau telah berbuat baik. Semua jejak langkahmu menzahirkan kebaikan. Aku siapkan tempat untukmu di syurga"
[Hadis ini dikeluarkan Abu Naim dalam Khilah alAuliya' (3/107). Lihat dalam al Jarah wa Ta'dil (8/239)]

Saya nukilkan sedikit dari sebahagian besar kisah sekalian sahabat saya yang berusaha dan terus berusaha untuk sebuah pertemuan. Dan semoga pertemuan ini juga adalah semata-mata kerana Allah.

"Walau apa pun yang terjadi, tak boleh putuskan persahabatan dengan akak"

Kata-kata Saidina Ali mengenai persahabatan
"Manusia yang paling lemah adalah yang tidak mampu mencari teman. Dan, yang lebih lemah lagi adalah yang menyias-nyiakan temannya"
Saidina Ali berpesan
"Jangan sampai teman anda lebih senang memutuskan hubungan dengan anda daripada menyambungnya. Jangan pula kejahatan lebih mendominasi daripada kebaikan anda"
Maha Suci Allah, siapakah sahabat yang terbaik? Siapakah yang mampu memiliki sahabat yang baik. Subhanallah.

Perhatikanlah diri kita, yang acap kali mengandaikan ukhwah itu hanyalah sebatas menaip di papan kekunci komputer riba atau telefon mudah alih. Renungkan usaha apakah yang telah kita lakukan untuk sebuah ukhwah yang diredhai oleh Allah, persaudaraan yang mendapat naungan Allah.

Janganlah kita berukhwah atas maksud yang lain melainkan hanya kerana Allah. Bila kita maksudkan kerana Allah, maka, jagalah sahabat-sahabat kita dari mereka terjatuh menjadi bahan api neraka, satu persatu. Nauzubillah min dzhalik.



"Apa maksud ukhwah kerana Allah, kak?"

Ukhwah kerana Allah, adalah seperti analogi perasaan kita yang mempunyai adik beradik, dan kita selalu mendengar rungutan ayah dan ibu mengenai kesilapan abang yang itu, kakak yang sana, adik yang ini. Hati kita runtun mendengarnya kerana segala sungutan itu tidak disampaikan secara langsung kepada adik beradik semua. Lalu, kita hampiri abang yang itu, kakak yang sana, dan adik yang ini, dan berkata dengan lembut, "Janganlah kalian memperlakukan sedemikian, kerana ianya mengguris hati ibu dan ayah kita"

Begitulah wahai saudara-saudariku sekalian, berukhwah kerana Allah, ianya adalah analogi yang mudah kita lihat di sekeliling kita untuk kita benar-benar fahami. Al-Quran dan sunnah, adalah dianalogikan seperti sungutan ayah dan ibu kita. Sekalian saudara kita, adalah seperti adik beradik kita. Dan bencana yang menimpa diturunkan olehNYA adalah seperti rasa tergurisnya hati ayah dan ibu kita.

Berukhwahlah, dan bersaudaralah keranaNYA. Kerana DIA telah menciptakan saudara-saudara kita sekalian untuk menunjukkan jalan lurus menuju kepada cahaya Ilahi. Maha Suci Allah, Segala Puji dan Puja hanya untukNYA, maka, peliharalah persaudaraan kerana Islam.

Janganlah kita berkasih sayang, berukhwah atas maksud tertentu. Bersaudaralah kerana persaudaraan islam dan keranaNYA kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa persaudaraan yang diredhai Allah adalah persaudaraan islam.

"Iman nak tahu, masa sebelum ni, kita hanya berbual-bual biasa di dalam internet, akak belum dapat rasa lagi kasihnya terhadap saudara seislam keranaNYA pada Iman, tapi, apabila kita dah bertemu, Masya Allah, akak jatuh kasih dan sayang Iman kerana Allah. Sesungguhnya akak menyayangi Iman kerana Allah"

"Wah, kak, samalah dengan iman. Iman pun sayang dengan akak"

Tersenyum. "Bukan begitu jawabnya, dik. Jawablah dengan doa yang Nabi telah ajarkan, semoga Allah menyayangi anda seperti mana anda menyayangi saya"

Suatu hari, diceritakan, seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w, dan berkata, "Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menyayangi lelaki itu" seraya ketika itu ditunjukkan ke arah seorang lelaki yang berjalan.

Rasulullah tersenyum, dan berkata, "Ucapkanlah kepadanya dan engkau akan mendapati jawapan darinya"

Lalu lelaki itu berkata kepada lelaki yang ditunjukkan, "Sesungguhnya aku menyayangimu kerana Allah"

Tersenyum lelaki itu lalu diucapkan, "Semoga Allah menyayangi anda seperti mana anda menyayangi saya"

Masya Allah, wahai saudara-saudari sekalian, apakah nikmat yang paling kita harapkan, yang lebih besar lagi dari rahmat dan kasih sayang Allah. Masya Allah, inilah satu doa yang diajarkan agar membuah rasa kasih dan sayang kita kepada saudara sekalian keranaNYA. Janganlah kita menyia-nyiakan apa yang telah Allah sediakan untuk kita kerana belum tentu lagi di sana, kita dapat berada di dalam naungan Allah jika tidak adanya pertemuan dan perpisahan keranaNYA.

Daripada Abu Hurairah Radiaallahu’anhu, dari Nabi Sollallahu’alaihiwasallam;

“Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya”

(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Birr, Bab pada menyatakan kelebihan cinta kerana Allah)

Semoga sedikit nukilan, dan sekecil-kecil perkongsian ini dapat mengatur kembali langkah kita dalam mencari sahabat demi menujuNYA, bersama-sama untuk berjuang mencari jalan kebenaran dan mencari keredhaanNYA.

Wallau'alam

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

3 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”