Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Saturday 21 April 2012

Senjata Wanita, Kelemahan Wanita..


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.





Sedang menguruskan anak kucing bersama dengan adik perempuanku, telinga terdengar satu lagu. Avril Lavinge - Wish You Were Here. Tersenyum. Mengamati liriknya, dan perlahan di dalam hati, mengiyakannya.

I can be tough
I can be strong
But with you
It's not like that at all

Benar, walau segarang mana pun seorang wanita di hadapan ajnabi, sikapnya akan luluh di hadapan lelaki yang disayangi. Benar, walau setegas mana seorang wanita di hadapan bukan mahramnya, akan segera menjadi lunak apabila berada di hadapan lelaki yang dikasihi.


Meneliti satu paparan, satu entry di salah satu blog kegemaran, perlahan juga, bibir tersenyum, dan mengiyakan kata-kata tersebut.


1- Air Mata dan tangisan wanita.
2- Senyuman wanita.
3- Tutur kata wanita.
4- Perhiasan pada tubuh wanita.
5- Kecerdikan wanita.

Ramai wanita tidak mengetahui kelebihannya itu juga adalah kelemahannya. Ramai wanita tidak menyedari bahawa keistimewaannya itu juga jika digunakan di tempat yang salah, boleh menjadi musibah pada dirinya. Jika semua ini tidak benar, masakan Nabi pernah bersabda bahawa wanita yang baik itu sifatnya tersembunyi dan menyembunyi, yang mana egala kelemahan dan keistimewaannya hanya diketahui oleh suaminya yang sah. Maka, simpanlah kelebihan dan keistimewaan itu wahai wanita buat suamimu yang sah.
  

Ayah selalu berpesan pada anak-anak lelaki, "Perempuan ni depan lelaki semua nampak baik, tapi lepas kahwin, the true colour akan keluar" Tersenyum mendengar nasihat itu. Dan aku juga mengiyakannya.


"Kak, kawan-kawan dalam program cakap akak ni garang" Seorang adik lelaki, dalam suatu program yang sama, tiba-tiba memberi komentar.


"Ha3..bagus..bagus.."


Kening mata adik di hadapanku dah tersenget. "Eleh, garanglah sangat"


"Aip, saya kakak yang garang. Sila takut ea" sambil tergelak.


"Ha, yelah garang..ye..akak memang garang..sangatlah garang.."..sambil buat muka. Dan aku hanya tergelak. Tahu sudah adikku ini sangat mengenali aku.


Sungguh, istimewanya itu dirahsiakan, tertimbus-timbus dengan ketegasan, maka yang benar-benar mencari mutiara itu, walau sedalam mana dasar laut, tetap tiram yang dicari ditemui. Bukankah indah jika yang benar dimiliki, yang palsu dijauhi dek kerana niat di hati sebagai peta, mencari yang benar, dan menjauhi yang palsu.


Sudahlah fitrah wanita itu hanya mempamerkan yang baik di luar, tetapi di dalam rumah, segala yang tersimpan itu terkeluar. Mempamerkan untuk menarik perhatian. Walau tertutup tetapi sikap dan gelagatnya masih tidak ditutup. Itulah wanita.


"Kak, abang saya cakap lelaki yang nak kan saya hari tuh, dia macam tak berkenan je. Rasa macam tak sesuai dengan saya. Rasa down pulak dapat komen abang macam tuh" ada riak-riak hampa dari kata-katanya.


Tersenyum. "Kalau akak, akak gembira dengan komen abang yang macam tu"


Hairan, kening dah senget sebelah "Kenapa?"


"Dik, antara banyak-banyak lelaki dalam dunia ini, yang mana paling lama kenal kita, paling lama berkongsi suka duka, dan yang paling mengenali kita?"


Terkedu. Terdiam.


Dan aku tersenyum. "Jadi, berbahagialah dengan komen abang adik tu. Abang adik nak kan yang terbaik untuk adik yang sebenarnya. Terkadang, wanita sekarang, lebih percayakan lelaki yang baru setahun dua dia kenal dari keluarga yang sudah berpuluh tahun hidup bersama dengannya. Terkadang, wanita yang terlalu mengejar suatu perkahwinan, jarang-jarang nak memikirkan langkah yang betul sehingga sanggup membelakangkan suatu perkara yang lebih penting. Inilah wanita."


Wahai wanita, kita tak tahu segala keistimewaan itu patutnya dihadiahkan untuk siapa, maka simpanlah ianya sebaik-baiknya. Simpanlah kerana itulah diri kita. Dan simpanlah kerana kita adalah wanita yang seringkali digunakan oleh syaitan sebagai umpan kepada lelaki ajnabi. Maka berhati-hatilah.


"Sebenarnya, segala hukum yang Allah suruh ni, bukan nak kita beri jaminan yang kita akan berhati-hati, tapi Allah nak tengok sama ada kita taat pada DIA atau tidak" di dalam kereta, bersuara akhirnya pada seorang adik. Benar, hukum bukan sebagai langkah untuk kita kata bahawa selagi mana kita boleh jaga, tidak menjadi apa-apa masalah, tapi hukum itu menentukan bahawa sama ada kita taat padaNYA atau tidak. Maka, taatilah suruhan Allah kerana itulan nilaian diri kita di hadapanNYA. Taatilah suruhanNYA dan hindari segala laranganNYA, kerana dihadirkan untuk kita lunak kepadaNYA, menjadi hambaNYA yang baik.


Wahai saudariku, peliharalah dirimu, dan telitilah segala suruhan agama. Moga hidupmu bahagia, tidak di dunia, di sanalah yang abadi.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Wednesday 18 April 2012

Malu yang tak terlihat, riak yang tertunjuk [Isu Purdah]


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


"Kak, kenapa saya tak pernah pun nampak akak letak gambar akak kat dalam FB?"


Terdiam, dan kemudian akal fikiran menyusun kata. Termangu-mangu untuk mengungkapkannya. "Sebab akak malu, dik"


"Erk, malu? Akak, kan pakai purdah, nak malu apanya, kak. Bukan orang tau pun muka akak"


Diam sebentar. "Dik, akak pakai purdah bukan sebab akak nak bagitahu kat semua orang yang akak pakai purdah. Tambahan pula niat akak berFB bukan untuk mencari kenalan hatta berkenal-kenalan dengan orang baru. Niat akak hanya satu je, untuk meniaga dan share ape-apa yang bermanfaat. Biar manusia melihat segala bekalan untuk mereka di dunia ini di wall akak, bukan mereka memerhatikan siapa akak"


"Tapi, kak, saya tengok ramai budak yang pakai purdah suka letak gambar-gambar mereka kat FB? Ada tu, satu gambar ni, saya tengok, dia tulis kat gambar tuh, 'sahaja aku berniqob kerana Allah'. Apa pendapat akak?"


Aku terdiam. Memerhatikan sekeliling, cuba untuk mencari ayat yang sesuai. Bukan aku tak boleh terus lancar mengeluarkan pendapat, cuma sahaja berurusan dengan perkara yang boleh mendatangkan fitnah ini, akal fikiran serta ilmu itu perlu seiring. Bukan membuta-tuli berkata, kemudian manusia terpinga-pinga tak tahu di mana letak duduk yang benar.


"Dik, ape pendapat adik tentang riak?"


Termangu-mangu sebentar, menggaru kepala. Lama kemudian, barulah bersuara, mengeluarkan kata "Riak ea, kak? Emh, riak ni penyakit hati. Riak ini adalah penyakit rohani yang boleh mengancam aqidah umat Islam, kak. Riak boleh membinasakan segala kebaikan dan pahala amal soleh seseorang itu. Imam al-Ghazali berkata, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal kebajikan. Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat, riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat."


Tersenyum. "Benar, wahai adikku. Ulasan yang cukup mantap. Dan riaklah satu-satunya penyakit hati yang dirisaukan oleh Rasulullah s.a.w yang telah dilaporkan di dalam salah satu hadith baginda yang bermaksud :

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil).
Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu?
Baginda menjawab: Riak."

(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi)

Malah, Allah juga telah mengecam hamba-hambaNYA yang solat tetapi lalai dan riak di dalam firmanNYA di dalam surah al-Ma'un ayat 4-6

"Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak"


Sambil memandang lepas ke arah tasik, aku menghela nafas panjang. "Dik, di antara dosa zahir dengan dosa batin, dosa batin lah yang paling berat kerana kesalahan di dalam hati tidak dilihat oleh manusia lain dan jarang-jarang teguran dapat menyedarkannya. Dosa zahir, terang-terang kita nampak salah dan terus kita tegur. Tapi, kat dalam, siapa yang tahu, dik melainkan kita dan Allah sahaja.


Analoginya senang sahaja, di tengah-tengah keramaian, tiba-tiba ada seorang solat, dan dilihat khusyuk. Orang ini ada dalam dua urusan. Sama ada dia benar-benar mendirikan solat kerana Allah, atau dia solat agar manusia semua melihatnya dan menganggap dia wara'. Dan kita yang melihat, tidak boleh sama sekali berburuk sangka, kena berbaik sangka. Jadi, wahai adikku, jika dia solat kerana nak mendapat pujian manusia, siapa yang boleh tahu, dik dan siapa yang boleh tegur melainkan hanya Allah sahaja? Kalau Allah nak tegur, alhamdulilah, tapi kalau Allah tak tegur, Allah biarkan dia dalam keadaan terawang-awangan dengan pujian manusia, macam mana? Itulah yang paling akak takut, dik. Sebab tu, biarlah tiada siapa pun tahu akak pakai purdah, sebab purdah itu adalah tujuannya untuk menutup, tetapi kalau kita sendiri yang tak nak tutup dari sudut batin, apa guna tutup pada zahir, tapi batin tak tertutup"


Panjang lebar aku menerangkannya. Adik di hadapanku terkedu dan terdiam.


"Selalu akak tanyakan pada sesiapa yang nak pakai purdah, atas sebab apa? Kalau semata-mata nak mempermainkan niat "kerana Allah" itu, akak akan tanyakan semula, apa yang dimaksudkan dengan 'kerana Allah'. Jangan mempermain-mainkan nama Allah takut nanti ditegur olehNYA, sakit dan kene ingat, teguran dari Allah sangat berat, sebab tu sebelum Allah tegur, Allah akan biarkan dahulu kita ditegur oleh manusia. Terpulang pada kita untuk terima atau tak"


Menghirup secangkir kopi yang dipesan, dan kemudian menyambung semula. " Akak masih teringat satu kisah, yang mana seorang wanita ini yang berpurdah datang kepada Rasulullah s.a.w untuk bertanya tentang keadaan ahli keluarganya yang berjihad. Kemudian, sahabat-sahabat yang nampak melihat dan bertanya, kenapa engkau menutup muka sedangkan engkau ingin bertanya. Wanita itu menjawab, kematian ahli keluargaku tidak sama sekali mengurangkan malu ku. Jadi, wahai adikku, bila kita rasa malu, kita tutup. Dan bila kita tutup pada zahir, cubalah pula untuk menutup batin kita. Memang, di akhir zaman ini, terlalu ramai yang memakai purdah, tetapi, di antara keramaian itu, nak jumpa mutiara yang benar-benar menutup kerana mencari keredhaan Allah itu sangat susah. Terlalu susah, seolah-olah ingin mencari mutiara di antara manik-manik yang rupanya persis mutiara. Terlihat seolah-olah tiada istimewanya lagi purdah itu. Tetapi, wanita yang memakai purdah untuk mencari keredhaan Allah, tertimbus di dalam keramaian itu, yang hanya menjadi harapan perhatiannya bukan manusia, tetapi Allah"


Menghela nafas panjang. "Dik, akak sendiri masih lagi tak tahu di mana diri akak ni, antara mutiara atau manik. Jika manik, tidak malukah akak mempamerkan diri bagai mutiara sedangkan akak sebenarnya manik? Dan apabila sewenangnya mempamerkan diri di khalayak ramai, tidak malukah akak apabila mata-mata lelaki itu jatuh mengamati setiap inci penampilan diri akak. Tidak malukah lagi akak, jika digembar-gemburkan manusia tentang kewarakkan akak sedangkan akak sendiri tak mengaku yang akak seperti itu. Dan tidak malukah akak lagi apabila di hadapanNYA nanti, ditanya kenapa akak berpurdah, dijawab oleh akak keranaNYA, tetapi ditolak mentah-mentah oleh Allah. Tidak cukup malukah akak, dik?"


Mata itu terasa panas, berair apabila memikirkan nasib diri yang masih tidak tahu. Di sangkakan manusia penduduk syurga, tetapi apabila tabir disingkap, maka segala aib itu terlihat. Saban hari, saban waktu, dunia semakin mendekati hari penghabisan. Dunia semakin tua, dan semakin dicarik-carik menjadi ketulan, menandakan hari akhirat itu sedang menanti, memanggil-manggil dan tiada siapa yang bersiap-sedia. Manusia itu terlalu sibuk dengan anggapan kajian saintifiknya, sehinggakan mereka berkata hari akhirat itu boleh dijangka. Sehinggakan hari akhirat itu adalah dari ramalan itu, ramalan ini, kajian itu, kajian ini. Tiada siapa yang tahu harinya bila, tetapi ianya semakin hampir.


"Dik, hari penghisaban itu sudah semakin dekat. Marilah, dik kita memperbaiki diri, bersiap sedia untuk berangkat. Semoga kita semua tidak berangkat dalam keadaan terkejut" Dan mata kami sekali lagi memandang lepas ke arah tasik, ditemani secangkir kopi buat membasahi tekak, di suatu petang, berbicara mengenai sekeping hati.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Monday 16 April 2012

Penampilan dan penilaian manusia..


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Telinga disuakan dengan earphone, dan tangan sudah pun menekan icon lagu, Adele-Set Fire To The Rain. Fikiran mengingati pengalaman lepas, dan tersenyum.


"Oh, dengar juga lagu omputeh?" Tiba-tiba aku terkedu melihat adik di hadapanku yang ku sangkakan hanya menyukai lagu berentak nasyid sahaja.


"Dengarlah kak. Ada je kat radio"


"Dengar tapi bukan semua senang nak hafal. Akak tengok adik macam hafal je" Kali ini dia pulak yang terkedu.


"Nak tahu tak, kenapa akak terkejut. Yelah, akak ingatkan adik dengar lagu-lagu nasyid je, tadi kat kereta akak tengah dengar Hitz FM. Lupa pulak nak tukar"


Tercengang dan kemudian kami sama-sama tergelak.


"Alar, rilek lah, Imam Maliki pun dengar lagu juga, apa. Sampai berniat nak jadi penyanyi bila dah besar. Tapi niat tuh dah diubah dengan kehadiran seorang ibu yang benar-benar ingin mendidik anaknya menjadi seorang khalifah di muka bumi ini. Cumanya manusia ini tak faham, benda yang hiburan mana boleh disamakan dengan benda ibadat." Aku bersuara.





Kita lupa untuk me'moderate'kan penggunaan hiburan di dalam hidup kita, dan kerana itulah manusia menganggap hiburan itu lalai dan mendatangkan satu kedosaan yang besar. Kita juga lupa, manusia ini diciptakan tidak sempurna, maka memerlukan manusia sekeliling untuk menegur atas setiap kesilapan kita di dalam kehidupan. Hidup ini untuk tegur menegur, nasihat menasihati.


"Saya nak jadi macam akak."


"He3, tak payahlah jadi macam akak. Takut nanti tak mampu. Jadi hambaNYA yang baik, dah, cukup dah. Tak yahlah bercita-cita nak jadi macam akak"


"Baik, kak. Saya akan cuba untuk jadi hambaNYA yang baik"


Setiap manusia perlu menjadikan Rasulullah s.a.w sahaja sebagai idola, sebagai ikutan, bukan manusia di sekelilingnya. Segala penampilan dan segala perkara yang baik itu hanya untuk dicontohi dan sesungguhnya apa yang baik itu telah lama diajar oleh baginda Rasulullah s.a.w. Maka manusia di sekeliling hanya sebagai contoh.


Anggapan manusia atas penampilan seseorang seringkali menjadikan sangka baik itu sebagai ujian kepada seorang hamba. Takut dia menjadi baik kerana ingin menjaga sangka baik itu dan mereka lupa untuk menjadi seorang hamba yang baik kerana Allah. Menjadi hamba yang baik bukanlah hanya dengan semata-mata menjaga ibadat sahaja tetapi memahami segala kerjaNYA ke atas dirinya.


Malah, ibadat yang sekarang juga sudah menjadi dagangan manusia, dipertontonkan dan diputar alamkan oleh manusia yang belum benar memahami tetapi tak nak bertanya.


"Kenapa adik nak pakai purdah?"


"Macam ni kak, saya nak pakai purdah sebab saya ni alah dengan debu-debu, kadang-kadang ada orang merokok, saya tutup hidung saya, takut orang tu terasa."


Aku tergelak, tepuk tangan. "Bagus. Inilah satu-satunya niat nak pakai purdah yang paling bagus yang akak pernah dengar. Bagus. Bagus. Tak serupa macam sesetengah budak yang nak pakai purdah, mempermain-mainkan perkataan 'kerana Allah' dengan ada yang membuat gambar iklan berlatar belakangkan gambar dirinya yang berpurdah dan menulis di atas gambar itu 'sahaja aku berniqob kerana Allah'. Bagus. Niat inilah yang paling bagus akak dengar"


Dan adik di hadapanku tersipu-sipu malu.


Benar, manusia tersalah anggapan menganggap manusia terbaik adalah yang memakai purdah, berserban, berjubah tanpa mereka sedari, kita semua tidak pernah sempurna. Penampilan mereka adalah untuk menjaga diri mereka, bukan sebagai paparan umum, memberitahu bahawa, "aku ini bagus. Kalau nak bukti, tengoklah penampilanku".


Bukan itu tanda aras yang patut kita lihat terlebih dahulu. Kerana dewasa ini manusia seringkali menggunakan perkataan, "Tengok, orang yang pakai purdah pun buat benda camtu. Camni ke islam ajar" Islam juga yang kene. Silap sikit je, Islam yang kene.


Dewasa ini, tiada istimewanya siapa yang pakai purdah, siapa yang pakai jubah, siapa yang pakai serban, di zaman ini. Tiada istimewanya jika apa yang manusia jahiliah buat, mereka pun buat. Jika ingin disenaraikan apa yang manusia jahiliyyah buat untuk disamakan, cukuplah banyak. Cuma satu sahaja yang menjadikan aku tertarik pada satu coretan pelukis dakhwah.


Lihatlah apa yang manusia jahiliyyah buat dan kita pun buat. Ubahlah dan jadikan kita ini berbeza dari mereka.


Aku teringat akan seseorang yang juga berpurdah, berpenampilan bagus tetapi merata dengan status di wall FB nya yang jika dilihat banyak mempertikaikan hadith Nabi. Kata-kata luahan hati yang sebenarnya dia tak sedar dalangnya adalah syaitan yang memutar belitkan akal dan fikiranya. Memang dia tak sedar, sebab dia takda ilmu, tetapi itu tidak cukup membenarkan tindakan dia dan dia tetap tidak terlepas dari dosa tak nak belajar.


Dan lebih menyedihkan, bila kawan-kawan di dalam list friendnya yang juga tiada ilmu meng'LIKE' kata-kata itu menjadikan saham itu ditanggung oleh pemula sekali ayat itu muncul, iaitu wanita berpurdah itu. Alasannya mereka mengikut dan meng'LIKE' ayat itu adalah kerana wanita itu berpurdah dan dinilai sebagai seorang yang punya banyak ilmu agama.


Maka, berhati-hatilah dan carilah ilmu terlebih dahulu. Orang yang berilmu selalunya tidak samberono menulis kerana takut setiap tulisannya akan menjadi saham yang tidak tahu sama ada saham itu ke neraka atau syurga.


"Akak selalu larang mana yang muda-muda supaya tidak menjawab soalan orang bila ditanya tentang hukum. Selalunya akak suruh orang yang bertanya tu bertanya pada yang arif. Akak sendiri pun di awal usia muda akak, akak hanya banyak berada di dalam 'perbincangan', 'pembacaan' tetapi bukan di dalam 'menyebarkan'. Banyak-banyak mencari ilmu. Ilmu Allah ini terlalu luas."


Manusia selalu menyangkakan dia sudah tahu dengan hanya membaca satu dua artikel di internet. Manusia sememangnya tidak sedar mereka kerap mengikut telunjuk syaitan yang telah mempergunakan nafsu di dalam dirinya. Inilah manusia. Tidak mengetahui yang mana hasutan syaitan, dan yang mana suruhan nafsu.


Kita semua manusia biasa, yang mana tidak terlepas daripada turun dan naiknya iman. Tetapi, kita akan menjadi manusia yang sentiasa memperbaiki diri jika kita bermujahadah melawan 'jiwa kacau' yang ada di dalam diri kita dan menerima setiap pelajaran di sekeliling, tidak kiralah ianya sakit atau tidak untuk kita ambil. Tiada siapa pun yang terbaik di dalam dunia ini, hanya sahaja penilaian manusia menganggap sesuatu penampilan itu adalah satu tingkatan kesolehan seseorang.


Penampilan yang soleh itu adalah untuk menjaga dirinya, bukan sebagai tanda aras penilaian. Lihatkan sejarah, orang-orang yang soleh, orang-orang yang baik itu dikenali disebabkan ilmu mereka, mujahadah mereka, bukan disebabkan penampilan mereka. Maka, marilah kita menilai diri bukan menilai manusia. Marilah kita mencari ilmu untuk memperbaiki diri kerana Allah sudah menjanjikan darjat seorang yang berilmu itu di sisinya akan meningkat dengan mempelajari ilmu.


Selalunya, orang yang baik, orang yang soleh, orang yang benar-benar dekat dengan Allah, dia tak cerita hatinya telah lunak kepada Allah, kerana dia tahu, itu rahsia dia dengan Allah. Bukankah Fudhail bin Iyadh telah berkata, jika ada orang yang bertanya tentang cinta kamu kepada Allah, diamlah. Kerana jika kamu kata tidak, maka jatuhlah kafir, dan jika kamu kata ya, maka itu bukan adab seorang pencinta.


Semoga kita dapat mujahadah memperbaiki diri setiap hari dan setiap waktu, semata-mata untuk mencari keredhaanNYA.



Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
 ~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Friday 13 April 2012

Ubat bagi al-Wahn...


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


"Apakah setiap kali engkau inginkan sesuatu, engkau akan berhutang?" Amirul Mukminin, Khalifah Umar al-Khattab kehairanan melihat seorang lelaki yang setiap kali inginkan sesuatu, dia akan berhutang untuk membelinya.


"Ya"


Mendengar sahaja jawapan lelaki itu, terus sahaja Amirul Mukminin memukulnya..


Allahu Akbar.


Segala puji dan puja hanyalah untuk Tuhan sekalin alam, Allah swt. Selawat dan salam buat junjungan nabi, Muhammad s.a.w.


Pada lembaran lepas, saya telah ditanya tentang ubat bagi penyakit al-Wahn.

Astagfirullahalazim..ya Allah selama ini memang sy akui sy ada pnykit itu..slalu sy mhon agar dhlgkan pykit itu..klau saudari ada caranya, mhon brkgsi dgn sy..terima kasih..

Berkerut dahi, menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dan berkira-kira untuk menulis. Bukan saya tak nak berkongsi, tapi takut penawarnya saya sudah tahu, saja dan sengaja saya buat-buat tak nampak. Astagfirullahaladzhim.


Lalu, kata-kata as-syahid Hassan al-Banna luncur muncul di pelupuk fikiran saya.

Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yg terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan."

Tersenyum. Dan bukanlah saya menulis ini bermaksud saya sempurna dalam melakukan apa yang menjadi pesanan saya di lembaran ini. Dan sesungguhnya saya berlindung dengan Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat.


Sengaja saya nukilkan kisah amirul mukminin, Umar al-Khattab mengenai seorang lelaki yang acap kali berhutang apabila menginginkan sesuatu. Bukan untuk memberitahu jangan berhutang kerana di akhir zaman ini, perkara itu sangatlah mustahil untuk dilakukan, tetapi, apa yang ingin saya sampaikan adalah mengekang nafsu dengan mujahadah.


"Kak, adik selalu rasa ada penyakit mazmumah dalam hati saya. Sampai menangis adik nak hadapi. Sampai berkali-kali adik doa supaya Allah tukarkan hati"


Tersedak, kemudian ketawa saya meledak.


"Ha3..amendelah pulak pergi doa minta tukar hati ni adik oiiii. Ni mesti terpengaruh dengan ayat Ustaz Pahrol ni. Bukan itu yang dimaksudkan dalam syair ustaz tuh. Inilah orang zaman sekarang. Sebijik dengan orang yang selalu salah faham dengan syair Imam Syafie sehingga mendatangkan fitnah kepada Imam besar tu. Bukan zaman ni je, zaman imam tu lagi dah ramai orang yang takda ilmu, tersalah maksud, lepas tuh membuta tuli buat fitnah pada Imam Syafie. Bila sedar takda ilmu, jangan nak buat kenyataan yang tak berasas."


Menggeleng kepala sambil tergelak tengok adik di hadapan saya.


Adik di hadapan saya tersengih-sengih melihat saya menggelakkan dia. Malu. "Habis tu, kak, apa maksudnya kak?" sambil menggaru kepala.


Tersenyum "Mujahadah"


Mata bersinar-sinar. "Mujahadah ye kak." dan bibirnya pula mengukir senyuman.


Dalam hidup kita, kita hanya memerlukan kekuatan untuk bermujahadah. Tiada tip-tip lain yang boleh membuatkan kita dapat terlepas dari penyakit al-Wahn. Mujahadahlah kita untuk mengejar akhirat, mujahadahlah kita untuk menentang segala kecintaan dunia. Jangan jadikan dunia ini sebagai tempat selesa kerana kita tak mungkin dapat keselesaan itu di sini.


Bila telah diubahsuai begini begitu, tak sampai beberapa lama, kita dah mengubahnya semula. Atau pun membeli sesuatu lagi. Alasannya, masih tak cukup perhiasannya. Masih kurang perabotnya. Masih kosong susun aturnya. Dan sebagainya. Inilah buktinya di dunia tiada yang sempurna.


Janganlah kita menjadikan hidup kita di dunia ini seindah seperti syurga andaian kita. Menyangkakan syurga dunia seperti syurga firdausi yang telah disediakan olehNYA buat hamba-hambaNYA yang beriman. Tidak. Tidak sama sekali sama dengan susun atur kita di dunia ini walau seindah mana pun, jauh berjuta kali indahnya di syurga. Maka, apa perlu kita bermewah-mewah di dunia jika di sini hanyalah tempat persinggahan kita?


Manusia tidak mengimani di syurga sana nanti, nikmatnya jauh lebih hebat dari di dunia. Apa yang perlu kita lakukan untuk memperoleh syurgaNYA adalah dengan mentaati suruhanNYA dan meninggalkan segala laranganNYA. Apa yang perlu kita lakukan adalah menjadi hambaNYA yang baik dan sentiasa mencari keredhaanNYA. Serta mengimani bahawa di syurga itu nanti jauh lebih besar nikmat yang akan diperolehi.


"Kak, Allah cuma bagi satu nikmat je kat dunia ini, tapi itu pun manusia dah iri hati, dah mendengki. 99 lagi Allah letakkan di syurga sana, kalau Allah letak 2, 3, 4 nikmat kat dunia ini, tak tahulah macam mana manusia ni" Ayah saya berkongsi ilmu dengan saya di suatu pagi.


Fikirkanlah keperluan yang perlu untuk kita di dunia, bukan keinginan yang diutamakan.


"Contoh, kak"


"Sebagai contoh, kita ada duit dan kita mampu di saat itu untuk beli kereta BMW. Jadi, kita patut beli atau tidak? Di sinilah terletaknya penilaian kita antara keperluan dengan keinginan. Keperluan kita untuk berkereta adalah untuk memudahkan kita ke sana, ke sini. Jadi, jangan lari dari niat tersebut. Pilihlah yang memenuhi keperluan, bukan keinginan untuk kelihatan hebat di jalan raya. Duit lebihnya, boleh disedekah sebagai harta kita di sana. Harta sendiri adalah harta yang disedekahkan. Itu pesan Nabi."


Tapi, manusia kini melebihkan keinginan dari keperluan. Lalu di masa datang, fikiran menjadi kusut untuk membayar itu, ini. Inilah dunia akhir zaman. Sesungguhnya, segala kelebihan itu adalah bonus dariNYA dan segala kekurangan itu adalah ujian, yang mana kedua-dua perkara ini adalah satu rahmat dariNYA untuk mengangkat darjat kita di sisiNYA.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sungguh menakjubkan keadaan seorang Mukmin kerana sesungguhnya semua urusannya memberi natijah baik baginya dan demikian ini tidak didapati kecuali pada diri seorang Mukmin iaitu apabila mendapat nikmat dia bersyukur, maka memberi natijah yang baik baginya dan apabila tertimpa musibah dia bersabar dan natijahnya juga baik baginya.”
(Hadis riwayat Imam Muslim)

Mujahadah itulah satu-satunya perkara yang perlu kita ada untuk mengubati penyakit al-Wahn. Mujahadah untuk menjadi hambaNYA yang baik. Mujahadah supaya dapat melazimkan diri dengan bacaan al-Quran. Muahadah agar bibir otu basah dengan zikrullah. Mujahadah agar dapat menjaga pandangan dan hati serta fikiran. Mujahadah agar diri sentiasa dipujuk mengatakan bahawa kebahagiaan adalah di sana, bukan di dunia. Lalu, redhalah hati menerima segala pahit dan resah di dunia ini.


Lihatlah segala tindak tanduk kita. Menjadi seorang hambaNYA yang baik bukanlah hanya dengan melakukan solat 5 waktu sahaja. Bukan juga hanya berpuasa di bulan Ramadhan sahaja. Bukan juga hanya menunaikan zakat fitrah sahaja, dan bukan juga mengerjakan haji sahaja, tetapi lebih dari itu. etiap masa adalah hari untuk kita memperbaiki diri. Setiap saat, adalah waktu untuk kita bermuhasabah ibadat yang lepas. Setiap waktu dan ketika itulah yang patut ada di dalam fikiran kita untuk merenungkan segala amalan kita sebagai perbekalan di sana.


Carilah ilmu, dan dalam kita memperlajari ilmu itu, bandingkan segala amalan-amalan kita adakah telah mengikuti piawai yang diebutkan. Jadikan para sahabat Nabi Sebagai ikutan agar kita dapat berusaha untuk bermujahadah. Untuk menjadi sebaik mereka, barangkali susah untuk kita, tetapi berusahalah untuk mengikuti setiap langkan dan cara mereka bermujahadah. Belajar dan memperbaiki. Belajar dengan mencari ilmu, dan memperbaiki dengan etiap masa bertaubat. Itulah kita, hambaNYA yang lemah.


Untuk saya menulis segala tip bagi menangani penyakit tersebut, barangkali boleh menjadi satu catatan panjang yang barangkali tajuknya boleh sahaja menjadi I, II, III, IV dan seterusnya. Tapi cukuplah konklusinya, MUJAHADAH. Jika melakukan kesilapan, maka bersegeralah untuk bertaubat dan beristigfar.


Mata melihat ke arah adik di hadapan saya, dan saya menambah dan membuat satu konklusia atas doanya di atas.


 
"Lain kali, jangan nak doa minta tukar hati. Kalau Allah makbulkan, berlaku satu kemalangan ke, sakit ke yang rawatannya adalah dengan menukar hati yang baru, haaaa...baru adik tahu dan ingat doa adik tu semula. Dan kajian sains, ada satu jurnal menulis bahawa setiap pemindahan organ itu akan memperngaruhi sikap atau apa sahaja, mengikut penderma asal. Kalau dapat organ orang alim, takpe lagi, dik. Kalau dapat yang kaki pukul, kaki buat maksiat semua tuh, camne? Haaaa..baru adik tahu maksud doa adik tuh. Jangan pandai-pandai nak terjemahkan satu-satu syair tuh dengan penilaian sendiri. Tanya orang yang lebih arif. Nanti jadi macam kes syair Imam Syafie pulak. He3.."
 

Dan kami sama-sama tergelak


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Monday 9 April 2012

Asing...


 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Baginda saw bersabda :
بداء الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بداء فطوبى للغرباء

Maksudnya: Islam mula tersebar dalam keadaan dagang ( asing) , dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. ( H.R. Muslim)


"Berbahagialah seseorang yang menjadi asing" Atirah mengakhiri pengisian usrah di pagi itu dengan kata-kata mengenai hadith Nabi tentang asing.


"Tapi, Kak Long, macam mana yang dikatakan asing? Ain tak nampak pun di akhir zaman ini asing, tapi ramai yang kata Islam akan kembali menjadi asing apabila di akhir zaman. Apa maksud asing dari makna hadith itu, Kak Long?" Tiba-tiba salah seorang ahli usrah yang betah bertanya itu menyuarakan persoalannya.


Atirah tersenyum.


"Asing di akhir zaman ini bukanlah yang dimakudkan dengan seseorang yang kelihatan berbeza di satu kelompok dari sudut penampilan sahaja, tetapi semuanya berbeza. Malah, wanita yang memakai purdah di akhir zaman ini pun belum tentu lagi dikatakan 'asing' seperti mana yang disebutkan di dalam hadith tersebut. Malah, manusia yang menghafal al-Quran di akhir zaman ini pun belum tentu disebutkan asing di akhir zaman ini."


"Habis tuh, Kak Long, apa yang dimaksudkan dengan asing?"


Atirah hanya tersenyum sekali lagi, dan diam, lama berfikir dan menyusun ayat untuk menerangkannya.


Segala puji dan puja hanyalah kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Dan sesungguhnya dan selayaknya Allah swt lah puji dan pujian itu diberikan. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi, Muhammad Rasulullah s.a.w.


Satu ketika, saya mendengar cerita dari seorang abang saya. "Hari tu, ada seorang penderma kepada sekolah tahfiz tuh betul-betul buatkan kami terkedu. Dia ada rumah dengan tanah, dia gadaikan rumah dan tanahnya kemudian dia serahkan semuanya kepada pemilik sekolah Tahfiz tuh"


Dan perlahan-lahan, di hati saya berkata, "Itulah asing yang disebutkan oleh Nabi"


Ramai manusia boleh menderma. Ramai manusia yang kaya raya boleh mengeluarkan beribu-ribu malah barangkali ada juga yang berjuta-juta untuk bersedekah tetapi yang boleh membuat perkara 'asing' itu tidak ramai. Maka berbahagialah manusia yang boleh melakukan perkara 'asing' sekali pun di dalam amal ibadat mereka.


Saya masih teringat satu kisah tentang Saidina Abu Bakar ketika mana panggilan jihad berkumandang dan seruan untuk infak di jalan Allah telah diperdengarkan. Umar menginfakkan separuh hartanya. Uthman juga menginfakkan hartanya. Abdul Rahman bin Auf juga dan sekalian sahabat nabi.


Satu ketika, Saidina Abu Bakar datang menuju ke Rasulullah s.a.w. "Ya Rasulullah, aku menginfakkan seluruh hartaku untuk perjuangan Islam"


"Wahai Abu Bakar, apa yang kau tinggalkan untuk ahli keluargamu?"


"Aku tinggalkan Allah dan Rasul untuk mereka"


Dan Rasulullah s.a.w tersenyum. Maha Suci Allah, inilah asing di awal kedatangan Islam, dan akan kembali asing di akhir zaman apabila seorang hambaNYA melakukan sesuatu kerana melihat akhirat.


Tidak ramai manusia di akhir zaman ini memandang sesuatu perkara dan urusan itu dengan erti kata dia beriman hari akhirat. Tidak ramai juga manusia di akhir zaman ini melakukan setiap amal ibadatnya dengan melihat hari penghisaban. Tidak ramai.


"Dulu, akak ada baca satu hadith Nabi. Nabi kata umat di akhir zaman ini ramai sebenarnya yang beragama Islam. Tapi apa yang menghairankan akak atas kata-kata Nabi, adalah walaupun ramai, mereka seperti buih di lautan. Dan tak ramai yang benar-benar memperjuangkan agama."


"Maksudnya, kak?"


Tersenyum.


"Jika kita lihat, di akhir zaman ini, banyak juga yang kita tengok benar-benar mengamalkan ilmu islam di dalam kehidupan sehariannya, tapi kenapa Nabi kata kita semua ini hanyalah seperti buih-buih di lautan? Yang pakai purdah, akak tengok bersepah kat Facebook dok tayang gambar yang memberitahu dia wanita berpurdah, malah mereka ini berbicara tentang ilmu agama di dalam Facebook mereka, tapi kenapa masih lagi dianggap umat akhir zaman seperti buih di lautan? Adik pernah terfikir tak kenapa?"


Menggeleng kepala.


"Dik, akhir zaman ini kita sebenarnya tak nampak musuh yang kita sedang hadapi. Adik pernah terfikir tak, kenapa Rasulullah s.a.w mengambil masa lebih lama untuk berdakhwah di Mekah, sedangkan seperti mana yang kita ketahui, di Mekah, Nabi hanya berdakhwah tentang akidah sahaja?"


Menggeleng kepala.


"Tapi, adik perasan tak, di akhir zaman ini, perbahasan tentang ibadat lebih panjang dari pemantapan akidah? Sana sini akak tengok banyak yang dibicarakan adalah tentang ibadat, suruh Qiam, lah, suruh zikir gitu gini banyak ni banyak tu, buat ibadat sunat yang tu, yang ni, pakai purdah cara gini gitu, malah, ada yang bermadah pulak pada benda yang sebenarnya mereka sendiri tak tahu. Perasan tak?"


Mengangguk.


"Inilah akhir zaman, dik. Ibadat diutamakan sehinggakan perkara yang asas itu kita tak sedar sudah semakin goyah. Dalam sebuah bangunan, kalau asas tak teguh, adakah bangunan itu akan boleh berdiri dengan kukuh? Kebanyakan manusia lebih kenal dan faham tentang manusia dari Pencipta manusia itu sendiri. Kalaulah sekalian manusia tahu betapa indahnya Allah, betapa bahagianya manusia yang kenal dan faham percaturan Allah, pasti di hati dan di fikiran mereka adalah mengenai akhirat. Tapi, manusia kini lebih menitik beratkan perkara ibadat untuk dunia"


"Hah, perkara ibadat untuk dunia? Bukan ke semua ibadat itu untuk akhirat, kak?"


Tersenyum.


"Ibadat untuk dunia ini contohnya begini dik, bila menderma, kita selalu memberitahu manusia. Contoh lagi, bila nak menutup aurat, perlu pakai gini gitu. Contoh lagi, yang paling dekat dan sangat selalu kita nampak, bila nak berdakwah di internet, terutama sekali Facebook, kene pamirkan gambar cara yang muslimah dengan pakaian jubah tudung labuh, berpurdah, yang lelaki tunjuk gambar2 gerak kerja islam, kopiah mereka semua bagai, perlu bagitahu mereka belajar institusi pengajian islam di mana. Alasannya supaya akan ramai add mereka maka senanglah mereka nak mendakhwahkan mereka. Dik, sebenarnya sangat susah untuk menjaga niat, tapi ramai yang tak sedar akan perkara ini. Beribadat untuk mencari keredhaan Allah, sangat susah untuk menjaga niat dan akhirnya terus menjadi ibadat untuk dunia"

Sebuah hadis diriwayatkan daripada Thauban r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:

"Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama."

Maka para sahabat r.a. pun bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?"

Sabda Baginda SAW: "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut."

Sahabat bertanya lagi, "Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?"

Jawab Rasulullah SAW, "Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn."

Sahabat bertanya lagi, "Apakah itu al-Wahn?"

Rasulullah SAW bersabda: "Cintakan dunia dan takut akan kematian."

Bila disuakan tentang penyakit ini, ramai yang tak mengaku di dalam diri mereka terdapat penyakit ini. Cintakan dunia dan takut akan kematian.


"Macam mana nak tahu, kak. Benda ni kan dalam hati, siapa yang boleh perasan"


Tersenyum. "Boleh adikku. Sebagai contoh, bila ada orang yang betul-betul dalam kesusahan, bagaimana cara kita membantu. Ada yang sebelum mmbantu tu, dalam kepala, dah berfikir bil itu, bil ini, barang tu, barang nih..dari RM50, mungkin akan turun dan barangkali boleh sahaja turun kepada RM1. Yang ini kita boleh kategorikan cinta dunia"


"Eh, kenapa macam tu pulak, kak. Kan kita ada awlawiyat, takpelah kita fikir awlawiyatt kita dahulu kemudian baru kita fikir berapa yang mampu kita bantu orang tuh"


Tersenyum. "Adik rasa masa Abu Bakar menginfakkan seluruh hartanya dan apabila Nabi tanya apa yang ditinggalkan untuk keluarganya, lalu Saidina Abu Bakar jawab aku tinggalkan Allah dan Rasul untuk keluargaku itu, maksudnya dia tak fikirkan awlawiyat ke dik?"


Terkedu.


"Memang kita perlu fikirkan awlawiyat, tapi, berada bahagia di akhirat itu juga awlawiyat juga, kan? Malah yang tertinggi sebenarnya awlawiyat yang itu. Cuma kita tak nampak, kita cuma nampak dunia sahaja. Untuk mengelakkan dari kita berfikir tentang dunia, kurangkan keperluan kita di dunia. Sebagai contoh, membeli bermacam-macam, dengan air condlah, dengan suplement itu ini, telefon bimbit, laptop, internet semua tuh bagai, semua tuh keperluan yang sebenarnya manusia meletakkan penting tapi sebenarnya tak penting kalau kita yakin hidup kita ini adalah untuk beribadat. Ada satu hadith ini, Rasulullah s.a.w berkata, harta kita adalah harta yang disedekahkan, maka itulah harta kita. Tapi, harta orang lain adalah harta yang disimpan yang tidak disedekahkan. Jadi, katakan pada akak, berapa ramai wanita yang mengumpul arbaya-arbaya mahal sedangkan arbaya itu ada yang tidak dipakai. Berapa ramai manusia yang sibuk untuk mencantikkan harta pemilikan mereka sedangkan harta pemilikan itu bukannya dibawak ke kubur. Berapa ramai, dik?"


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Daripada kalangan umatku ini, siapa yang sayangkan harta saudaranya lebih daripada hartanya sendiri?" ahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, siapa yang lebih menyayangi harta orang lain melebihi hartanya sendiri?" Baginda bersabda lagi, "Harta sendiri adalah harta yang didermakan, disedekahkan kepada orang lain. Harta orang lain adalah harta yang disimpan yang tidak disedekahkan kepada sesiapa"


Maha Suci Allah, dunia ini adalah tempat persinggahan, tetapi manuia menjadikan dunia adalah tempat abadi mereka. Menerima berita mengenai penyakit mereka seolah-olah satu batu yang menghimpap diri mereka. Bukankah menerima berita ajal kematian yang semakin dekat itu adalah tanda kita sebentar lagi akan bertemu dengan Pencipta, tempat kita merintih dan berdoa, bersuara segala susah dan senang. Bukankah menerima berita seumpama itu adalah satu berita yang menggembirakan. Cuma sahaja, bagi orang mukmin, mereka tidak lagi diberi peluang untuk menambah amal ibadat mereka lagi.


Bergembiralah menerima segala ujian Allah, tanda DIA tak mahu kita tertarik pada dunia. Mengalihkan segala perhatian hanya sahaja tertumpu kepadaNYA. Subhanallah, betapa Maha Pengasihnya DIA kepada hamba-hambaNYA. Cuma sahaja kita tak nampak. Maka kita sukar untuk mengimani, lalu kita hanya tertumpu dan mengalihkan perhatian kepada apa yang berada di hadapan mata.


Siapa yang kata penyakit al-wahn itu tiada di dalam diri kita dan tidak dapat dikesan. Dan siapa yang sangka dirinya termasuk di dalam golongan asing di akhir zaman. Cuma sahaja kita selalu meletakkan diri kita baik tanpa kita belajar untuk menerima hakikat keburukan diri kita. Tanya iman, dan muhasabah diri, kita ada penyakit itu dan hakikat diri kita sendiri. Belajarlah untuk mengikis sedikit demi sedikit penyakit itu, untuk kebahagiaan kita di sana. Kerana hidup kita tujuannya adalah di sana.


Wallahu'alam.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Thursday 5 April 2012

Erti kesyukuran untuk hidup di sana


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


"Assalamualaikum, kak"


Tersentak dan tersedar. Memandang ke arah yang memberi salam, lalu tersenyum. "Wa'laikumussalam wbt, dik. Dari mana ni?"


"Dari Fakulti, kak. Akak buat apa ni, sorang-sorang kat sini"


Tersenyum. "Mengenang sambil melihat kejadian Allah. Adik apa khabar?"


"Alhamdulillah, kak. Akak?"


Tersengih. "Payah nak jawab soalan tuh, dik. Tapi, setakat ni, alhamdulillah, segala nikmat yang diperlukan untuk menjalani kehidupan ini, Allah masih izinkan untuk meminjamkannya kepada akak" Tersenyum.


"Akak tak sihat lagi ke?"


Tersenyum. "Bukan tak sihat, cuma akak tak boleh nak jawab seperti orang lain. Cuma boleh jawab, setakat ini, alhamdulillah."


"Apa maksud akak?"


"Dik, manusia ini kan, selalunya hanya menjawab berdasarkan teori. Bila dapat nikmat ni, kene sebut hamdalah tanda bersyukur. Tapi, perlakuannya, penghayatannya itu tak sampai. Tidak mempamerkan yang dia sedang bersyukur. Bila berjaya, ucap hamdalah. Bila dapat apa yang diingini, ucap juga hamdalah. Dapat rezeki, ucap hamdalah. Itu tanda perlakuan kita bersyukur. Tapi, nun jauh di dalam hati, cuba adik fikir, ucapan syukur hamdalah itu sampaikah ke dalam hati?"


Masih khusyuk mendengar, dan kemudian pandangannya beralih. Adik yang di sebelahnya, terbayang pelbagai perkara. Kemudian tunduk dan diam.


"Adik nak tahu tak, baru-baru ini, ada seorang sahabat akak, bentuk fizikalnya diejek oleh manusia. Akak tengok dia geram, tapi dia tak dapat nak buat apa-apa. Akhirnya, dia sebut hamdalah. Nak tahu tak kenapa?"


Terkedu. "Eh, kenapa kak? Hamdalah ni kan tanda bersyukur. Kalau orang dah buat kita, kenapa pulak nak sebuat hamdalah?"


Tersenyum. "Itu jugalah yang bermain di fikiran akak. Jadi akak tanya pada abang akak. Abang akak cakap, baik atau buruknya apa yang kita dapat, itu semua adalah dari Allah. Pemberian Allah. Jadi kitalah yang kene latih diri kita untuk terima, bukan paksa orang untuk tidak mengejek kita. Tahu tak, apabila kita redha dengan keadaan kita, ganjaran pahala menanti kita. Apa perlu kita kesahkan mulut manusia yang terang-terang sedang memberi pahala kepada kita."


Mengalihkan pandangan, dan dia menyambung kata-katanya, "Imam Hassan al-Bashri pernah menyebutkan, antara tanda tawadhuk seeorang hamba pada Allah ialah dia mensyukuri setiap pemberian Allah sama ada pemberian baik atau tidak"


Tersenyum. "Adik ada manuskrip akak, kan? Cuba adik baca balik tajuk Redha dan Tujuan, kisah Bahlul dalam tu. Subhanallah, nak sampai kepada penggila cinta seperti itu sungguh susah, tapi kita berlatih. Bersyukur itu juga tanda redha. Bersyukur itu juga tanda kita gembira dengan pemberianNYA walaupun baik atau tidak. Bersyukur juga adalah tanda kita semakin dekat mengenaliNYA. Bersyukur ini tanda hati itu penuh dengan kebahagiaan bercinta denganNYA"


Perlahan-lahan, bibirnya terukir senyuman. Dan adik di sebelahnya turut tersenyum.


Segala puji dan puja itu adalah milikNYA, Sang Pencipta, Allah swt. Segala puji dan puja itu, adalah selayaknya buat Tuhan semester alam, maka basahilah bibir dengan bertasbih, memujiNYA, Allah swt. Selawat dan salam, buat junjungan Nabi kita, Muhammad Rasulullah s.a.w kerana menunjukkan satu cara dan jalan untuk kita semakin mendekatiNYA. Maha Suci Allah, Maha Pengasihnya Allah, kerana tidak membiarkan kita sendirian, tetapi menghadirkan penunjuk jalan, Nabi Muhammad s.a.w.


Dewasa ini, seringkali saya melihat manusia terlalu merasa tertekan dan lelah dengan segala yang dialaminya. Dewasa ini juga, manusia terlalu menunjukkan yang dirinya telah menghadapi satu ujian yang terhebat yang tidak mampu manusia lain menanggapinya.

 
Terkadang, apabila pada hari ini kita merasakan kita memiliki, belum benar pasti sebentar lagi ianya menjadi milik kita.


Terkadang, apabila kita melihat manusia memiliki yang terbaik dalam hidupnya, belum benar pasti esoknya masih lagi terbaik


Terkadang, apabila melihat manusia menangis meratapi musibah, belum tentu lagi sekejapan lagi, tiada berita gembira.


Terkadang semua manusia ingin bercerita tentang kehebatan masing-masing tanpa mereka sedar, Allah hanya meminjamkannya...sebentar sahaja.


Kita tiada jaminan untuk kita berkata kita tabah, kita hebat dan kita memiliki segala yang dikecapi bagi seorang mukmin jika kita belum benar-benar kenal DIA. Hatta, segala nikmat yang kita miliki sekarang juga jika tidak digunakan dengan betul, ianya boleh bertukar istidraj.


Bertaqwalah kepada Allah. Takutilah segala sesuatu yang kita sangkakan bentuk kesayangan Allah tetapi sebenarnya istidraj. Istidraj itulah satu bentuk yang terkadang kita tak tahu ianya ujian atau nikmat. Hatta, iman yang berada di dalam hati kita itu sendiri adalah satu ujian kepada diri kita sendiri.


"Eh, kak, camne tuh kak?"


Tersenyum.


"Begini, dik. Kita ditimpa ujian, bermacam-macam. Kita sangkakan yang iman kita semakin mantap. Kita sangkakan bahawa hati kita dah cukup mapan dengan memahami serta mengenaliNYA melalui ujian itu. Tapi sebenarnya, itu bukan satu petanda, tapi itulah ujian. Dik, Abu Bakar yang imannya hebat, masya Allah, pun masih menangis di tengah malam kerana ketakutan yang dahsyat kepada azabNYA sehingga boleh berkata alangkah bagusnya menjadi daun pokok, tumbuh dan mati tidak dihisab. Dan kerana itulah, hidup ini nikmat yang kita sangkakan nikmat itu adalah yang digunakan untuk mendapatkan ganjaran di akhirat. Itulah yang sebenar-benarnya nikmat. Jika kita sangkakan nikmat tapi kita gunakan untuk dunia, maka itulah istidraj. Susah dik. Sangat susah untuk mengenali istidraj. Tapi, berpautlah sentiasa kepada Allah, agar DIA membuka hati kita untuk mengenali yang mana istidraj dan yang mana nikmat"


Maha Suci Allah. Segala yang kita perolehi adalah satu perantara untuk di sana. Segala yang kita hadapi adalah bentuk latihan. Dan segala yang kita jalani adalah tanda untuk kita lebih mendalam memahami adakah kita bersyukur dengan nikmat dan bersabar dengan musibah. Maha Suci Allah.


Sesungguhnya, jadilah kita manusia yang bersyukur, bersyukur bukanlah bermaksud dengan hanya mengucap hamdalah sahaja, tetapi melalui percakapan, perbuatan dan segala tindak tanduk kita sendiri.


Bersyukur bukan bermaksud dengan hanya menjalani ketaatan pada hukum sahaja, tetapi dalam menjalani kehidupan itu, terpatri lekap dan lekat, Allah di hatimu. Memuji dan bertasbih, mengangungkanNYA, dan tersenyum gembira, kerana mampu meneruskan hidup dengan berbekalkan ketaatan bukan sahaja pada tingkah laku tetapi di dalam hati.


Hatilah tempat letaknya segala-galanya, dan kerana hatilah, jangan dikisahkan pandangan manusia, kerana hati itu hanya mampu difahami oleh Penciptanya sahaja, Allah swt




Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Tuesday 3 April 2012

Penantian dalam rahsia [Cerpen]

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Dua wanita berbaring di atas hamparan tanah, memandang ke arah bintang sambil tangan mengira-ngira dan memerhatikan bintang yang mana paling bergemerlapan. Terkadang di selangi dengan tawa ketawa mereka, hidup mereka bahagia.


"Kak, kalau akak kahwin, akak nak orang yang macam mana?"


Tiba-tiba, tangan yang asyik mengira, terhenti, dan diturunkan. Berfikir. Kakak bingkas bangun dan membetulkan duduknya. Terkedu dengan soalan itu. Memandang ke Adek.


"Kenapa tanya macam tuh?"


Kali ini Adek pula bangun, dan membetulkan duduk, menghadap Kakak. Tersenyum.


"Takdalah. Saja tanya sebab Adek tengok Kakak ni macam takda perasaan je. Pandang lelaki pun macam pandang batu, keras. Takut lelaki nak dekat dengan Kakak, tau" akhirnya Adek menyuarakan rasa di hatinya. Pandangannya beralih, dan melihat lepas ke arah sekeliling, padang di stadium itu yang terang dan di track, ramai yang masih lagi berjogging di malam hari.


"Kak, lagi sebulan Adek dah nak kahwin. Takkan Kakak nak macam ni?"


Terkedu. Terdiam. Dan kemudian satu keluhan lepas. Tunduk, dan tiada jawapan yang keluar. Melihatkan Kakaknya begitu, akhirnya Adek bersuara. "Jom kak, kira bintang lagi" sambil mengenyit mata. Akhirnya perlahan-lahan di bibir Kakak terukir senyuman.


"Kau tak memahami, wahai adikku" hatinya berbisik. Dan mereka kembali ceria mengira bintang sambil bercerita tentang pelbagai kisah. Bahagia.


"Dik, nak tahu tak, Kak Min dah nak kahwin. Lepas ni dah takda kawan Kakak nak sama-sama bercerita."


"Kakak, bila lagi? Takkan takda calon?"


Diam. "Adek doakanlah Kakak"


"Adek sentiasa doakan Kakak dapat yang terbaik"


Tersenyum.


"Kakak takut Kakak akan terbiasa berseorangan. Kakak takut nanti Kakak dah buat tak pot dengan bab kahwin"


Adek terdiam, dan suasana ketika itu sunyi.


"Kakak, orang tua katakan, kalau baby sedu, dia nak membesar tau. Tapi, kalau orang tua sedu, Adek tak tahulah pulak maksudnya apa"


Terdengar ledakan ketawa Kakak. "Kurang hasam punya adikku. Takda maknanya lah Kakak nak sedu. Kakak relek jelah lagi"


Adek tersenyum. "Nangis dalam hati?"


Terkedu. Ketawa seperti tak ikhlas. "Dik, jom kita nyanyi. Lalalala..Hujan yang turun bagaikan mutiara"


Dan kali ini Adek pula yang ketawa. "Kakak, jom balik. Nanti ada yang hujan lebat pulak kat sini" Sambil bangun dan berdiri, menyapu rumput yang melekat di baju dan tudung.


Dalam hati Kakak, "Kurang hasam, asyik aku je yang kene" Dan akhirnya, dia tersenyum. Terhibur untuk sementara waktu. Ya, sementara waktu sebelum dia keseorangan mengira bintang bersendirian.


Di lapangan terbang itu, sekumpulan manusia, berkumpul untuk menghantara sepasang pengantin yang baru sahaja diijabqabulkan sebulan yang sudah. Dan akhirnya, tangan Kakak dan Adek bertaut, bersalam. "Kakak jaga diri tau. Adek akan sentiasa doakan jodoh Kakak yang terbaik"


Terdiam, dan akhirnya Kakak memeluk Adek, dan tidak mengucapkan sepatah kata. Hanya sahaja air matanya berlinangan tanpa diketahui sesiapa. Menangis di sebalik kain kecil yang menutup wajahnya. Dan Adek hanya mendengar suara esak tangis itu.


Dan fikirannya terimbas, satu berita yang meregut segalanya.


"Kejadian pengeboman di Syria." Terkejut dan matanya terus laju menuruni patah kata di paparan surat khabar itu. Dan akhirnya hatinya berdebar-debar.


"Dua warga Malaysia disyaki yang terperangkap di dalam bangunan, kini selamat dikeluarkan. Salah satunya meninggal di tempat kejadian, bernama Mohd Fakharuddin...bla..bla.." Dan matanya gelap, pitam dan hilang keseimbangan. Jatuh, pengsan.


Matanya pejam, masih di dalam pelukan Adek. "Kak, kuat ye kak. Adek akan doakan Kakak mendapat jodoh yang terbaik dariNYA"


Dan semua ahli keluarga yang berkumpul di situ, turut menangisi, entah kerana apa, menangis bakal berpisah dengan salah seorang ahli keluarga mereka, atau kerana nasib salah seorang ahli keluarga mereka, yang kehilangan tunang tahun yang sudah. Dan mereka semua hanya mampu berdoa, untuk keejahteraaan kedua adik beradik itu.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
 ~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Sunday 1 April 2012

Dua perkara yang menyelamatkan kita


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.




Mata masih terpaku memerhatikan jalan. Kaki sudah letih asyik menekan pedal minyak. Telinga mendengar kata-kata masalah dari adik di sebelahku. Ekor mataku memerhatikan gerak gerinya. Menangis.


Ah, kami sudah tersesat.


Fikiran masih lagi berfikir kata yang sesuai, menyususn bait percakapan yang bisa difahami.


"Seorang mukmin, dalam setiap percakapannya, dia hanya tahu bercerita untuk bagaimana menjadikan percakapannya sebagai zikir mengingati Allah. Seorang mukmin, apabila menghadapi masalah, dia menganggap masalah itu sebagai ujian dan kemudian dia melepaskan kepada Allah, bukan dipendam diperap di dalam hati, tidak tahu bagaimana untuk mengawalnya. Akak rasa adik ni bukan dapat menerima keadaan ujian adik tuh, cuma adik pendam dalam hati. Seorang yang redha, bukan begini percakapannya" Dan akhirnya aku bersuara.


"Memang, memang saya tak dapat terima"


Terkedu. Kepalaku semakin berdenyut. Dari semalam lagi. Mendengus dan melepaskan suara keluhan yang tidak didengari, dan aku bersuara. "Dik, jadilah seorang mukmin. Yes, orang yang mengucap dua kalimah syahadah itu adalah orang Islam. Tapi, belum tentu semuanya itu adalah orang mukmin. Orang mukmin dalam percakapannya hanya berkisar cerita kehebatan perjuangan para sahabat. Orang mukmin dalam setiap gerak langkahnya adalah untuk perjuangan Islam. Orang mukmin dalam setiap fikirannya adalah mengolah setiap ujian sebagai pelajaran dari Allah dan dia akan sentiasa bahagia. Dik, semua orang ada masalah. Akak pun ada masalah, tapi akak buat rileks jelah, sebab bercerita tentang masalah sendiri ini takda point, silap hari bulan, ada terselit dosa di dalamnya"


Terdengar esak tangisnya. Dan ku biar. Ku seluk poket beg sandangku dan ku hulurkan tisu. Ku biarkannya larut dan kembali tenang. Dan aku kembali dalam pencarian rumah yang ingin dituju.





Segala puji dan puja hanyalah untuk Allah, yang Maha Perkasa, yang Maha Besar. Selayaknya dari segala percakapan dan ilmu yang menggerakkan hati seorang hamba untuk kembali kepadaNYA adalah ilham dariNYA maka marilah kita mengucapkan kesyukuran, tanda memuji Sang Pencipta dan Pemilik Segala Ilmu, Allah swt.


Selawat dan salam juga kepada baginda s.a.w, Rasulullah Muhammad s.a.w yang telah mengajarkan kita atas segala peta jalan untuk kembali ke destinasi yang benar iaitu menuju kepada yang Maha Esa, Allah s,awt. Baginda jugalah contoh terbaik bagi sekalian hamba yang diuji, dan sesungguhnya, bagindalah insan yang diuji dengan sebenar-benar berat pengujian. Marilah untuk kita lazimkan bibirkan berselawat kepada baginda s.a.w.


"Kak, susahkan untuk kita nak bersabar?" Ku lihat 3 kali seorang adik menghantar pesanan ringkas. Lama berfikir, dan kepala masih berdenyut, menahan sakit sejak dari siang tadi. Menyusun kata-kata dalam keadaan begini membuatkan impuls lambat untuk menghantar maklumat. Dan akhirnya aku menulis pesanan ringkas.


"Susahkan nak Allah bersama dengan kita? Maka hanya golongan yang ingin diri mereka dipilih sahaja yang mendapat kelebihan itu, dan cubalah untuk menjadi golongan yang terpilih"


Firman Allah Taala bermaksud,"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar". (Al Baqarah:153)

Maka sabar itu adalah kunci kegembiraan, insya Allah.


Lama berbual dengannya melalui pesanan ringkas, dan akhirnya dia menulis isi yang sebenarnya. "Akak, betul ke kalau kita ada masalah, elok kita simpan sendiri dan biarkan sebab adik rasa biarlah Allah sahaja yang tahu apa yang kita alami"


Terdiam sebentar membaca soalannya. Kini terbaring sambil kepala memicit kepala. Terasa kuat berdenyut. "Betul tuh memang betul dik, tapi, adik perlu mencari manusia yang lebih arif, lebih alim dengan ilmu agama supaya apa yang terbuku di dalam hati adik itu dapat dilegakan. Terkadang, ada manusia, pendam, kemudian dia tekanan perasaan. Cuba adik lihat hikmah di sebalik pada sebarang perkara yang baginda Rasulullah s.a.w menemui jalan buntu, Allah menyuruh Jibrail untuk bertanya keperluan baginda. Dan sudah tentulah Allah maha mengetahui, tapi Allah menyuruh Jibrail bertanya juga pada Nabi. Hikmahnya supaya apabila Jibrail mendengar kesususahan Nabi, Jibrail boleh mencadangkan permintaan apa untuk diminta pada Allah. Dan sudah tentulah Allah yang Maha Mengetahui juga tahu jawapan Nabi, cuma sahaja perkara ini diceritakan untuk Allah memberitahu pada manusia mencari manusia yang arif dan lebih alim untuk menunjukkan jalan.


Dik, kita bukan Nabi dik, yang punya Jibrail untuk bagi cadangan pada masalah kita. Tapi kita ada manusia sekeliling yang boleh menunjukkan cara dan jalan tetapi terpulanglah pada kita untuk menilai. Dan kerana itulah kita diberi akal dan fikiran, tidak seperti haiwan yang mengikut segala perlakuan manusia sekeliling tanpa menimbang tara semua perkara"


Jari telah menekan butang send dan akhirnya aku hampir terlelap.


Bunyi pesanan ringkas dan sedaya upaya ku cuba membukanya, membaca masalah yang akhirnya dia ingin bercerita dan ingin mengetahui jalan. Jari masih ku picit-picit lagi kepala yang semakin berdenyut. "Adik ingat hadith ni tak..."


"Allah kak, tak ingatlah kak"


"Hadith tentang ni pulak...."


"Akak, maaf kak, Allah, banyaknya hadith yang saya tak tahu. Allah. Terima kasih, kak"


"Dik, satu masalah kepada manusia di akhir zaman ini, mereka semakin banyak melupakan dua perkara, iaitu al-Quran dan Hadith Nabi yang sahih. Sedangkan baginda pernah berpesan sebelum baginda wafat, jika ingin selamat, maka berpegang teguhlah pada dua perkara, iaitu al-quran dan sunnahku. Dik, Nabi diuji lebih hebat, dan dalam setiap pengujian ke atas Nabi, ada ditunjukkan jalan, maka kenapa mesti kita terlalu tegar berpegang pada kata-kata falsafah barat yang kadang-kadang menjadikan kita buntu akhirnya jalan yang ingin dicari. Rajin-rajin hafal hadith dan tadabbur al-Quran. Jika adik berterusan sebegini, adik hanya pendam dan membusuk di dalam hati, sedangkan jika hambaNYA yang mukmin, menerima ujian, dia pendam dan kemudian melepaskannya dengan hati yang bahagia"





Teringat akan satu kata-kata pada seorang adik, juga bercerita panjang tentang masalahnya. "Dik, akak rasa adik ni mesti kurang membaca kisah-kisah sahabat, sirah Nabi untuk dijadikan sebagai contoh, sebab tuh adik jadi macamni, kata 'biar' pada masalah dan ujian, tapi sebenarnya adik tak dapat terima"


"Ha'ah, kak. Saya sedang usaha, kak"


Mendengus, dan akhirnya aku menyambung. "Dik, Imam Hassan al-Banna pernah berwasitat, tanggungjawab melebihi masa, jadi, kita memang akan sentiasa sibuk, tapi, cubalah, cubalah untuk mencari waktu walau sekejap untuk membaca sirah dan menelitinya. Manusia menjadi terlalu merasakan berat dengan apa yang ditanggung kerana mereka tak pernah membaca kisah manusia yang lebih hebat menghadapi ujian. Firman Allah, surah al-Ankabut, ayat 2-3,

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta

Allah sedang menguji adik, sama ada adik di pihak yang benar-benar mengatakan yang adik beriman dan berhak untuk diuji atau tidak. Dan sesungguhnya DIA lebih mengetahui mana yang benar dan mana yang berdusta. Bukanlah maksud kita telah beriman itu melalui penampilan yang gah dengan jubah, bertudung labuh, tetapi DIA melihat bagaimana kita menghadapi ujianNYA. Dan sesungguhnya, manusia terdahulu telah diuji, maka lihatlah sentiasa kisah-kisah mereka. Sentiasalah berpaut kepada Allah"


Manusia sering kali terlupa akan dua perkara yang menjamin kita akan selamat di dunia dan akhirat. Manusia seringkali terlupa bahawa segala yang kita hadapi itu belum cukup berat untuk dikatakan sebagai terlalu payah dan lelah.


"Kat dunia, tiada istilah bahagia. Kalau nak bahagia, di sana, abadi di sana. Jadi, kita kene bertahan di dunia ini"


Kita terlupa untuk mengoreksi diri yang terlupa akan peta yang telah DIA berikan kepada kita. Maka, berbahagialah manusia yang sentiasa kembali mentadabbur atas segala pelajaran dariNYA melalui buku rujukan dariNYA iaitu al-Quran dan Sunnah.


Maha Suci Allah, DIA lah yang memberi dan DIA juga yang mengetahui jalan penyelesaiannya. Kembalilah untuk kita sentiasa berpaut padaNYA dan mengisi ruang di dada dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Jangan diisi untuk hanya menghabiskan masa, takut satu masa nanti, kita akan menangis atas masa yang berlalu. Hargailah masa yang telah diberi dan sentiasalah belajar dari segala yang DIA berikan.


Wallahu'alam


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”