Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Thursday 22 December 2011

Kalau Putus Cinta.... [Cerpen]

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



"Saya tak kuat, kak untuk hadapi semua ni"

Teriang-iang kata-kata Hanisah. Berlegar-legar di fikirannya. Merenung jauh dari bangku itu. Ah, terasa berat dan sesak hatinya, lalu akhirnya dia menutup matanya perlahan-lahan.

"Akak menangis ye?" Tiba-tiba ditegur oleh Aisyah di tepi, mengejutkan lamunanya. Membetulkan duduknya dan mengesat air mata yang tumpah.

Tersenyum.

"Aisyah buat apa kat sini. Terkejut akak" mengalihkan pandangan. Aisyah yang melabuhkan punggungnya di sisi Suhana, memandang riak wajah kakak yang baru dikejutkan lamunanya.

"Aisyah jalan nak ke kafe, kak. Tiba-tiba je saya nampak akak kat bangku ni. Akak memang suka duduk kat sini eak? Saya selalu nampak akak kat sini"

Tersenyum. Dan suasana menjadi sunyi sebentar.

"Akak ada masalah ke, kak?"

Terkedu. Soalan yang menjadikan Suhana terimbau kembali kepada Hanisah.

"Akak, kenapa Zikri buat saya macam ni. Macam-macam dia janji dengan saya, tiba-tiba dia diam je. Dia buang saya macam tu je kak" Berjuraian air mata Hanisah sambil meluahkan rasa hatinya.

Suhana yang berada di sisinya, hanya mampu memandang, terdiam. Tidak tahu apakah yang harus dilakukan.

"Akak, saya tak kuat, kak. Orang kampung semua dah tahu tentang kami. Apa saya nak jawab nanti, kak"

Dan tubuh yang layu itu akhirnya dipeluk Suhana, "Sabarlah wahai adikku, Allah bersama-sama denganmu" dan mengusap-usapnya.

"Kak" Sekali lagi, Aisyah mengejutkan lamunan Suhana. Tersenyum.

"Aisyah, terkadang, kita selalu bercerita tentang kebahagiaan diri dalam kecintaan, mencintai dan dicintai. Kat mana-mana, ada sahaja artikel tentang cinta. Untaian kata-kata yang indah tentang sebuah perkahwinan yang mawaddah wa rahmah. Tapi, bukan semua orang bernasib baik, ada yang di tengah jalan, tiba-tiba lain yang jadi"

Suhana memandang Aisyah. Matanya yang masih merah, kian terisi dengan manik-manik halus yang menunggu untuk tumpah dari empangan.

"Aisyah nak tahu tak, tak semua yang berusaha kuat untuk menebalkan iman mereka ketika mereka sedang terbuai dengan kebahagiaan dunia. Terlalu ramai yang terjatuh yang tak nak bangun-bangun. Perkara tentang perkahwinan adalah sebuah perjuangan. Tapi, tak ramai yang nak berjuang, mereka hanya mengharapkan bahagia sedangkan syaitan sungguh berusaha untuk menghancurkannya" Lemah tutur katanya. Suhana menutup matanya.



"Memamg kita akan terasa sangat bahagia apabila bercinta, tapi, jangan lupa, kita juga akan terasa sangat pedih bila putus cinta. Bersederhanalah dalam memberi dan menerima perasaan." Fikirannya menyorot ke satu masa, ketika Suhana memberi pengisian di salah sebuah sekolah yang menjemputnya.

"Tapi, kak, kenapa boleh jadi macam tuh?" seorang peserta bangun, bertanya.

Tersenyum.

"Mata, wahai adik-adik sekalian. Matalah yang memainkan peranan tersebut. Nabi dah pesan, pandangan itu adalah panahan syaitan. Jika kita tak pandai menjaga pandangan, maka, tertusuklah panahan syaitan itu. Akak ada satu cerita, kisah dari Imam Syafie. Masa tu hafalan dia teruk, lalu dia mengadu kepada gurunya, Imam Malik. Imam Malik tanya apa yang dia buat siang hari tuh. Imam Syafie kata, dia terpandangkan betis seorang wanita semasa kainnya ditiup angin. Tengok tu wahai adik-adik sekalian, TERpandang, bukan sengaja pandang, pun dah memberi kesan yang sangat hebat. Apatah lagi kalau asyik dok renung, tenung gambar pakwe, makwe kita, kan?"

Tergelak. Dan Suhana membuka matanya. Aisyah yang masih berada di sisinya, setia menanti kata-kata darinya

"Ada yang Allah beri masa singkat untuk dia memahami hakikat yang dia alami. Ada tu.."tak mampu untuk Suhana meneruskan kata-katanya.

"Emh, boleh ana minta tolong dari ustaz?" Suhana memulakan bual bicara dengan seorang lelaki yang berada di profile account laman socialnya. Teringat.

"Ye, nak minta tolong apa ea, kalau saya boleh tolong"

"Boleh tak ustaz tukar gambar profile ustaz. Seperti mana seorang wanita disuruh menjaga gambar-gambar mereka dari dipertontonkan oleh ajnabi, begitu juga seorang lelaki, perlulah menjaga gambar mukanya. Saya menggunakan dalil dari surah an-Nur ayat 30 hingga 31. Kita sama-sama diberi peringatan untuk menjaga pandangan, jadi, kita kene sama-sama juga perlu menghormati hak masing-masing. Maaf, saya hanya ingin menjaga pandangan mata saya"

Tiba-tiba, tangan Suhana terasa hangat, digengam. Aisyah menggenggam erat tangannya. "Kak, kalau akak ada masalah, saya ada kak, kalau akak nakkan seseorang untuk meluahkan."

Suhana memandang Aisyah, tak berkedip. Matanya terasa hangat, penuh takungannya, dan akhirnya tumpah manik-manik halus itu. Aisyah kemudiannya memeluk Suhana. Terasa damai dan tenang, dan fikirannya terimbas satu kenangan.

"Saya akan datang untuk ambil awak. Awak tunggu saya" suara dia, suara lelaki itu. Suhana memejamkan matanya. "Akak tak kuat, dik. Dia pergi tanpa bagitahu apa silap akak. Rupenya dia dah ada orang lain" dan semakin deras air matanya mengalir. Akhirnya Suhana larut di dalam pelukan Aisyah.

"Bersabarlah, wahai kakakku. Allah bersama-sama dengan orang yang bersabar"

Dan fikiran Suhana kembali menerjah ke dewan sekolah itu.

"Tapi ingat wahai adik-adik akak sekalian, bila kita mengecewakan orang, itu bermakna tanpa kita sedari, kita menzalimi orang itu. Berhati-hati dengan doa orang yang teraniaya. Tambahan pula, bila kita berkahwin, benda tu boleh turun terjadi kat anak-anak kalian. Oleh itu, jangan bermain-main dengan perasaan orang. Allah itu Maha Adil"

Dan peserta semua khusyuk mendengar patah kata seterusnya. Asyik dengan pesanan dan nasihat sehingga terlupa, masa berlalu dengan begitu pantas.

"Berhati-hatilah"



Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Tuesday 20 December 2011

Kesinambungan Istikharah..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Berjanji dengan seorang adik untuk menulis tentang Istikharah, kini soalan susulan muncul.

"Akak, macam mana nak bezakan antara fitnah istikharah?"

Mencerun sebentar keningku. Dan kemudian tersenyum.

"Nanti akak tulis dalam blog, boleh kongsi dengan yang lain"

Segala puji dan puja hanya dipanjatkan kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan nabi, Muhammad s.a.w.

Sekali lagi, catatan ini hanyalah sekadar nukilan pengalaman, yang mana jika ianya boleh digunakan, maka ambillah. Dan sekiranya ianya bertentangan dengan pendapat kalian, maka tinggalkanlah dan berjalanlah kepada yang mempunyai ilmunya kerana firman Allah, surah anbiyah ayat 7.

......maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui.


Maha Suci Allah, terlalu ramai yang kini kiat berpaut kepada Allah, mencari dan mencari petunjuk dariNYA, dan bukan mengambil samberono sebarang keputusan berdasarkan hati dan perasaan. 


Subhanallah.


Fitnah istikharah, jika kita fahamkan maksud fitnah, fitnah adalah sesuatu yang tidak benar. 


Pernah satu masa, ketika melihat seorang wanita yang kerdil, Siti Aisyah lalu berkata kepada Nabi, "Ya Rasulullah, kerdilnya wanita itu" Lalu, nabi menunjukkan reaksi muka yang tidka senang dengannya.


"Ya Aisyah, jangan kau membuat fitnah"

"Tapi Rasulullah, ianya benar"


"Jika ianya benar, kau sedang mengumpat"


Maka, bolehlah kita ketahui, bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang tidak benar. 


Fitnah istikharah ini, tidak berlebih jika saya katakan, perkara yang disangka kita betul, tetapi sebenarnya salah.


Maha suci Allah, saya teringatkan satu hadith, yang diriwayatkan Anas bin Malik r.a 


Maksudnya: Saya menjadi pembantu Rasulullah saw selama sepuluh tahun. Beliau sama sekali tidak pernah mencela dengan kata, 'Ah' terhadap apa pun yang saya perbuat, beliau tidak pernah bertanya, 'Mengapa kau lakukan hal ini?' dan terhadap apa pun yang saya tinggalkan, beliau juga tidak pernah bertanya, 'Mengapa tidak kau lakukan hal ini?' Sungguh, Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling baik akhlaknya. 


Dan ada sambungan yang lain, Rasulullah menyebut,' sesungguhnya itulah yang telah tercatat di Luh Mahfuz.'


Maha Suci Allah.


Sebelum kita bertanya tentang fitnah istikharah, kita tanyakan pula kepada diri kita terlebih dahulu, bagaimana hubungan kita dengan Allah.


Pernah satu ketika, ada seorang adik, bercerita tentang masalahnya dengan pacarnya. Ya, seorang yang berpewatakan islamik dan dia berkata memilih lelaki itu atas istikharahnya. Dan dia yakin itulah jodohnya. Tapi, di tengah jalan, sesuatu berlaku sehingga menggugahkan hatinya. Lalu, apa yang saya tanyakan pada dia, "Masih buat istikharah?"


Terdiam.


Bukan saya menyuruh dia untuk membuat istikharah semula, tetapi, saya hanya ingin dia lihat semula hubungan dia dengan Allah. Dan bagaimana dia menjaga hubungan dia dengan lelaki itu mengikut landasan islam, itulah yang perlu diperhatikan.


Ada satu analogi, kita diberi pilihan antara dua bola yang sama-sama cantik, sama besar, sama ukurannya, cuma, yang bezanya adalah warna. Satu ini warna kegemaran, satu lagi warna hijau. Warna hijau ini pula orang kata warna syurga. Warna kegemaran ini pula warna kesukaan. 


Ketika inilah berkira-kira, berfikir-fikir. Pastilah susah kerana diselitkan dengan warna hijau itu adalah warna syurga. Jika tiada kata-kata itu, pastilah dipilih terus warna kesukaan.


Begitu juga dengan sebarang pilihan kita. Pasti salah satu adalah kesukaan, dan satu lagi adalah perkara yang sekeliling kata perkara yang menjurus kepada islam.


"Camne nak pilih ni, sorang ni aku suka dah lama dah, tapi dia ni bukan belajar agama. Sorang lagi ni pulak, belajar agama, tapi, aku takda perasaan kat dia. Orang kata, nak pilih, baik pilih yang belajar agama."


Begitulah setiap dari kita, menimbang-nimbang. Lalu dibuat istikharah, dengan harapan, apa yang dia suka itulah pilihan Allah. Tapi, yang dia dapat, hanyalah kekusutan, dan was-was. Ingat, was-was itu adalah dari syaitan. Perbaiki terlebih dahulu hubungan dengan Allah.

Ada satu kes ni pula, dia dah tetap, dan pilih, dah pun bertunang, dan hampir sahaja berkahwin, tiba-tiba, "Ustaz, malam tadi saya mimpi, saya jumpa wanita lain. Bukan wanita yang saya bakal nikahi ni. Sebab tulah saya putuskan hubungan saya dengan tunang saya."

Allah, tepuk dahi. Menggeleng kepala. Ini adalah kisah dari laman web yang sudah mashyur, Fitnah Istikharah

Untuk langkah ini, sebelum kita ada niat untuk berkahwin, kita dah pun istikharah. Dan apabila sudah yakin dan sudah tetap, maka kita membuat pilihan. Meneruskan perjalanan munakahat, dan akhirnya tiba-tiba ragu-ragu. Itu bukanlah dariNYA, tetapi dari syaitan yang menimbulkan prasangka. "Eh, betul ke aku nak kahwin dengan dia ni?"

Teringat satu komen.

afwan..jangan lupa solat hajat..walaupun akak belum lagi mengenali harlina dgn lebih dekat, tapi ketahuilah wahai adikku, akak tersangat merisaukannya juga..kerana ketahuilah bahawa perkahwinan ini adalah suatu perkara keramaian di penduduk langit yang terdiri dari malaikat2 yang akan mendoakanmu..dan sesungguhnya ianya adalah satu kedukacitaan yang sangat hebat bagi golongan syaitan..pautkan sentiasa kepada Allah..moga semuanya berjalan dgn lancar ea..^_^..


Ya, selepas kita dah pun bulat tekad pada awalnya dengan istikharah, dan sudah yakin, meniti jalan perkahwinan, apa yang perlu dilakukan seterusnya adalah menjaga hubungan dengan Allah, menjaga hubungan dengan tunang, dan sentiasa berpaut kepada Allah agar tidak berbolak balik.

"Kak, kalau istikharah mengenai kehidupan, tentang masalah kehidupan, macam mana?"

Tersenyum.

Kita teliti syariat. Kalau mana yang sudah pun halal dan haram yang telah jelas, apa perlu kita istikharah?

Jika sudah menemui jawapan, teliti pula fiqh awlawiyat. Dan seterusnya.

Ramai manusia terlalu malas untuk menghadapi jalan ini kerana takut syariat tidak menyebelahi mereka. Lalu, mereka istikharah dengan harapan, jawapannya hatinya cenderung ke arah yang sudah dia sendiri pilih sejak awal.

"Sebenarnya terlalu susah nak neutral di dalam istikharah"

Ya, benar, terlalu susah, tetapi, cubalah, dan cubalah untuk meletakkan 100% ketetapan hanya kepadaNYA.

"Macam mana ni, tempat kerja ni gaji dia mahal, tapi balik tak tentu masa. Aku tengok, selalu juga kawan-kawan aku balik jauh malam. Yang satu ni pulak, balik on time tapi, alar..gaji ciput sangat. Mana nak cukup hidup kat sini"

Gitulah manusia. Dunia dahulu, kemudian baru difikirkan tentang syariat. Itu pun kalau nak fikir. Kalau tak..?

Sesungguhnya, apa yang mampu saya katakan, sebelum kita fikirkan tentang fitnah istikharah, fikirkan terlebih dahulu hubungan kita dengan Allah. Tempat letak keputusanNYA adalah di hati kita, bagaimana keputusan itu ingin jatuh ke hati kita jika hati kita penuh dengan noda dan titik hitam? Fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah.

Bukan fitnah yang harus difikirkan, tapi hubungan kita dengan Allah. Apabila kita menjaga hubungan kita dengan Allah, pastilah terselit pengorbanan. Menjaga memerlukana perngorbanan

Jika terjaga hubungan itu, segala keputusan yang diambil, hanyalah atas izinNYA. Jika perkara itu bukan di dalam keizinanNYA, pasti akan ada terlalu banyak halangan yang akan diberikan olehNYA untuk akhirnya kita ke jalan yang DIA kehendaki.

"Tapi, kalau nak sampai ke situ, asyik ada halangan je kak, mana saya tahan."

Tersenyum.

Itulah ujian dariNYA. Dan apabila kita bersabar, akan ada ganjaran di sisiNYA.

Firman Allah, surah alam nasyarah ayat 5-6

Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan

Berpautlah sentiasa kepadaNYA, pastilah ada keberuntungan yang DIA sediakan untuk kita. Tak di sini, di sana..

Wallahu'alam

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Hanya pada-MU

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Allahu Allah ampunilah kami
Pimpinlah kami ke jalan yang Engkau redhai
Hamba yang lemah dengan dunia
Kurniakanlah taufiq hidayah menghadapinya

Hanya pada-Mu kami serahkan
Tiap sesuatu Tuhan kuasa menentukan
Dengan ucapan Alhamdulillah
Kami bersyukur kerana beriman
Kehidupan ini penuh ujian
Nikmat dunia yang mengasyikkan melalaikan
Selamatkanlah agama kami
Peliharalah amalan kami iman kami
Dari duniawi
Allahu Allah



Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Kisah Rasulullah s.a.w dan buah limau

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang





"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum.

Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu.

Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya."

Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan datangnya dari orang bukan Islam. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa kerana sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya ditewaskan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

Wallahualam...




Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." ~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Monday 19 December 2011

Pesanan untuk wanita,perempuan dan ilmu kepada gadis.

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang



1. Pertama urusan yang ditanyakan pada hari akhirat nanti ialah mengenai solat dan mengenai urusan suaminya (apakah ia menjalankan kewajibannya atau tidak).

2. Apabila lari wanita dari rumah suaminya tidak diterima solatnya sehingga kembali ia dan menghulurkan tangannya kepada suaminya (meminta ampun).

3. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.

4. Sebaik-baik wanita ialah tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan yang mustahak. Wanita yang keluar rumah akan dipesonakan oleh iblis. Sabna Nabi s.a.w. : Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar mendongak syaitan memandang akan dia.

5. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanitayang halal nikah kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual beli).

6. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isterinya (Ummu Salamah r.ha. dan Maimunah r.ha.), datang seorang sahabat yang buta matanya (Ibnu Maktum) Rasulullah s.a.w. menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam. Bertanya Ummu Salamah, "Bukankah orang itutidak dapat melihat kami, Ya Rasulullah ?" Rasulullah s.a.w. menjawab,"Bukankah kamu dapat melihatnya."

7. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap-gelita pada hari Qiamat tiada Nur baginya.

8. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan tersinggung suaminya, maka wanita itu dimurkai Allah sehingga ia bermanis muka dan tersenyum mesra pada suaminya.

9. Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada dirumah serta tidak seizinnya dan tidak boleh memasukkan seseorang lelaki ke rumahnya dengan tidak seizin suaminya.

10. Hendaklah isteri berpuas hati (redha) dengan suaminya yang telah dijodohkan oleh Allah, samada miskin atau kaya.

11. Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya melainkan jika terpaksa (kerana sesuatu urusan yang mustahak) dan ia juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan ditepi-tepinya.

12. Apabila memanggil lelaki akan isterinya ke tempat tidur tetapi ditolaknya hingga marahlah suaminya, akan tidurlah wanita itu dalam laknat oleh malaikat ke pagi.

13. Wanita-wanita yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat juga laknat manusia sekalian.

14. Tidak harus seseorang manusia sujud kepada manusia dan jika diharuskan, maka akan aku perintahkan semua kaum wanita sujud pada suaminya kerana membesarkan dan memuliakan hak-hak suami mereka.

15. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat kebelakang tengkoknya.

16. "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakkan ahli neraka ialah wanita." Rasulullah s. a. w. ditanyai, "Mengapa demikian Ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah s. a. w. "Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup."

17. "Kebanyakkan ahli neraka adalah terdiri dari kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Jawab Nabi s. a. w. "Tidak, mereka ini ialah mereka yang tidak bersyukur akan nikmat suaminya, sesungguhnya tiap-tiap seorang kamu adalah dalam nikmat suaminya."

18. Keadaan wanita 10 kali ganda seorang lelaki di dalam neraka dan 2 kali ganda seorang lelaki di dalam syurga.

19. "Kebanyakkan wanita itu adalah isi neraka dan kayu api." Hazrat Aishah bertanya, "Mengapa wahai Rasulullah s.a.w.?" Jawab Rasulullah s.a.w:
i) Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayani suami serta melakukan kerja-kerja rumah.

ii) Tiada memuji (bersyukur) di atas kemurahan Allah yang didatangkan melalui suaminya. (Jarang terdapat orang perempuan yang mahu mengucapkan terima kasih di atas pemberian suaminya.)

iii) Sering mengkufurkan (engkar) terhadap nikmat Allah. (Contohnya :Apabila berlaku sesuatu pertengkaran ada isteri yang berkata sudah 10 tahun kahwin dengan awak tidak ada apa-apapun.)

iv) Gemar bercakap perkara yang sia-sia yang berdosa. (Contohnya :bercakap mengenai perabot-perabot rumah yang tidak perlu dan mengumpat.)

v) Kurang akal dan kurang ilmu pengetahuannya dalam agama iaitu mereka sering tertipu atau terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki, rakan- rakan, alam sekeliling dan suasana serta kemewahan lahiriah.

20. Dari Ali bin Abi Talib r. a. : Aku dengar Rasulullah s. a. w. bersabda, " Tiga golongan dari umatku akan mengisi nereka jahanam selama 7 kali umur dunia. Mereka itu adalah :-
a. Orang yang gemuk tapi kurus
b. Orang yang berpakaian tetapi telanjang
c. Orang yang alim tapi jahil

* Adapun yang gemuk tapi kurus itu ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat.

* Orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama.

* Orang yang alim tapi jahil ialah ulamak yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan peribadi.

21. Asma' binti Kharizah Fazari r.ha. diriwayatkan telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya itu, "Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu. Jadilah engkau tanah bagi suami mu (taat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebani dia dengan berbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik. Peliharalah benar-benar suami mu itu akan hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja pada dirimu.

22. Pesanan Luqman kepada anaknya, "Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu :-
a. Apabila engkau sedang solat kepada Allah s. w. t. maka jagalah baik- baik fikiranmu.
b. Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagailah pandanganmu.
c. Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidah mu.
d. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai mu.
e. Ingat kepada Allah s. w. t.
f. Lupakan budi baik mu pada orang lain.
g. Lupakan semua kesalahan orang lain terhadapmu.
h. Ingat kepada mati

23. Perkara-perkara yang menjadikan wanita itu derhaka kepada suaminya seperti tersebut di dalam kitab Muhimmah :-
a. Menghalang suami dari bersuka-suka dengan dirinya samada untuk jimak atau menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya.
b. Keluar rumah tanpa izin suami samada ketika suami ada di rumah atau pun tidak.
c. Keluar rumah kerana belajar ilmu yang bukan ilmu Fardhu Ain. Dibolehkan keluar untuk belajar ilmu Fardhu Ain jika suaminya tidak mampu mengajar.
d. Enggan berpindah (berhijrah) bersama suaminya.
e. Mengunci pintu, tidak membenarkan suami masuk ke rumah ketika suami ingin masuk.
f. Bermasam muka ketika berhadapan dengan suami.
g. Minta talak.
h. Berpaling atau membelakangi suami ketika bercakap.
i. Menyakiti hati suami samada dengan perkataan atau perbuatan.
j. Meninggalkan tempat tidur tanpa izin.
k. Membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah sedangkan ia tidak disukai oleh suaminya.

24. Wajib bagi wanita :-
a. Mengekalkan malu pada suaminya.
b. Merendahkan (menundukkan) mata ketika berpandangan.
c. Mengikut kata-kata dan suruhannya.
d. Dengar dan diam ketika suami berkata-kata.
e. Berdiri menyambut kedatangannya.
f. Berdiri menghantar pemergiannya.
g. Hadir bersamanya ketika masuk tidur.
h. Memakai bau-bauan yang harum untuk suaminya.
i. Membersihkan dan menghilangkan bau mulut untuk suaminya.
j. Berhias ketika hadirnya dan tinggalkan hiasan ketika tiadanya.
k. Tiada khianat ketika tiada suaminya.
l. Memuliakan keluarga suaminya.
m. Memandang pemberian suaminya yang kecil sebagai besar dan berharga.
n. Ketahuilah, syurga dan neraka bagi seorang wanita itu bergantung pada redha atau tidaknya suami padanya.

Ada 6 pesanan untuk kaum wanita dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian untuk hidupkan suasana Iman dan Amal di dalam rumahtangga. Apabila ada suasana agama dalam kehidupan maka hidayat dan nusrah (pertolongan) dari Allah akan datang. Rumahtangga dirahmati Allah, keberkatan dalam kehidupan kita dan ketenangan dalam jiwa kita. 6 pesanan itu adalah amalan nurani. Amalan itu ialah :-

1. Solat di awal waktu dan galakkan kaum lelaki yang mahram bersolat ditempat di mana azan dilaungkan iaitu di masjid atau di surau.

2. Istiqamah membaca Al-Quran dan berzikir. - Hak Al-Quran hendaklahkhatam2X setahun. Jadi lapangkan tiap-tiap hari untuk membacanya. Disamping ituhendaklah kita mengingati Allah dalam apa keadaan kita sekalipun dan dimana kita berada. Dengan melihat setiap ciptaan Allah kita dapatmengingati Allah s. w. t. Maka dianjurkan supaya dapat kita melapangkan waktu pagi (lepas subuh) dan petang hari (lepas Asar) untuk mewiridkan kalimah-kalimah tasbih, tahmid, tahlil dan takbir ie "Subhanallah Walhamdulillah Wala ilaha illallah Wallahu Akbar" jika mampu boleh di sambung "Wa la hawlawalaquwataillabillahi'aliyil'azim"

100X. Selawat ke atas Nabi 100X dan beristighfar 100X. Selain daripada itu amalkanlah doa-doa masnun - doa yang diucapkan ketika melakukan sesuatu perbuatan ie masa hendak makan, tidur, masuk dan keluar tandas dsb.

3. Istiqamah menghidupkan Takleem dan Taklum (belajar dan mengajar ilmu agama). - Lapangkanlah masa yang sesuai walau seketika supaya semua ahli keluarga dapat menghidupkan majlis ilmu ini. Duduklah seperti duduknya kita di dalam solat ie menutup aurat, berkeadaan suci dan berbau wangi. Majlis mempelajari agama ini terbahagi kepada dua iaitu : Pertama - Majlis berkenaan hadis-hadis mengenai kelebihan beramal. Ini adalah untuk menimbulkan keghairahan dalam ahli keluarga untuk beramal. Kedua - Majlis berkenaan masalah-masalah agama (hukum- ahkam dalam ibadat). Wajib suami untuk mengajar anak dan isteri mengenainya. Jika tidak tahu wajib atasnyauntuk belajar.

4. Mendidik anak secara agama dan sunnah.

5. Hidup sederhana.

6. Menggalakkan suami / mahram yang lelaki untuk usaha atas agama dakwah illallah (mengembangkan agama). - Secara Baironi : di luar kampung halaman kita dan Maqami : Di dalam qariah kampung halaman kita.

Akhir sekali semoga kita sama-sama dapat mengamalkan 6 pesanan ini dalam rumahtangga kita secara istiqamah dan ikhlas setiap hari. Juga untuk jadi isteri yang beriman dan solehah hendaklah kita taat pada suami. Jika suami redha ke atas kita maka Allah s.w.t. akan redha ke atas kita. Berzikir ,berdoa, beristighfar, membaca Al-Quran dan berselawat adalah amalan-amalan utama yang harus dikekalkan oleh setiap umat islam untuk kesempurnaan Iman dan Islamnya. Semuanya itu menjadi penawar bagi hati dan jiwa yang rusuhdan resah gelisah.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Friday 16 December 2011

Istikharah..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Tulisan ini bukanlah sebagai rujukan buat manusia yang mencari-cari jawapan, tetapi sekadar gambaran pengalaman dari hambaNYA yang ingin dikongsikan. Ambillah jika ada yang bermanfaat, dan jika bertentangan dari pendapat kalian, saya hanya doakan agar ditemukan jawapannya olehNYA.

"Kak, pernah istikharah?"

Mencerun keningku melihat pesanan ringkas ini, sambil terkial-kial memusingkan stereng kereta. Emh..

"Pernah je dik..Banyak kali.."

Kereta dipandu menuju ke hospital.

"Selalu sangat ke kak?"

Tersenyum.

"Sangat selalu malah diamalkan..Istikharah ini sepatutnya menjadi amalan kita semua dik sebab dalam hidup kita, kita akan sentiasa berjumpa dengan pilihan..Napa adik tanya ea"

Menunggu balasan sambil masuk parking.

"Saja nak cari isi..Kebetulan kawan tanya, adik pun nak tahu..Akak terangkanlah tentang istikharah"

Berfikir dengan soalan adik ini. "Susah nak terangkan dalam handset, nanti akak tulis dalam blog, boleh? Nanti, boleh share dengan orang lain"

Dan bermulalah isi yang ingin ku ceritakan.



"Akak, apa pendapat akak dengan message ni. Akak setuju tak?

Istikharah sesuatu yang perlu kita buat dengan istiqomah..Tak semestinya nak dekat kahwin baru nak buat..Mula dari sekarang..Kerana Allah takkan tunjukkan jawapan dengan cepat dan mudah..Buat dengan seikhlas hati betul-betul. Gantungkan pengharapan hanya pada Allah..Kadang-kadang bila kita suka pada seseorang dan baru buat istikharah, confirm kita akan nampak muka orang tu sebab tulah sebelum nak buat istikharah kosongkan minda dan fikiran..Gantungkan segala jawapan pada Allah dan sentiasa laziminya"

Tersenyum.

"Benda ni perkara khilaf. Boleh nak ikut dan boleh juga untuk tak nak ikut. Tak sesuai untuk kita kata kita setuju atau tak sebab perkara ini adalah perkara yang dalam urusan Allah"

Hari ini, ditanya lagi tentang istikharah. Bukan untuk urusan jodoh, tapi urusan kehidupan. Mendengar masalah yang diceritakan, dan akhirnya ku katakan, "Nanti, balik, istikharah ye"

Ditanya lagi istikharah, "Tempoh berapa lama baru boleh nampak kesan istikharah?"

Dan soalan inilah yang membuatkan aku teringat akan satu janji, tepuk dahi, tangan tak berganjak lalu perlahan bertutur "Allah, dah janji nak tulis tentang istikharah kat seorang adik nih"

Dahulu, masyarakat masih lagi ada tabiat menilik nasib walaupun sudah kedatangan Nabi. Terkadang, mereka menggunakan benda hidup untuk menilik nasib dan perkara ini bertentangan dengan wahyu Allah. Lalu diajarkan istikharah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan. (Ayat 90, surah al-Maidah.)

Istikharah bukanlah hanya untuk dilakukan atas urusan jodoh sahaja tetapi atas segala-galanya. Malah, ada yang menjadikan istikharah ini sebagai solat yang rutin seperti mana mereka melakukan solat sunat Dhuha dan Tahajjud.

Di dalam kehidupan kita, setiap waktu, setiap saat, kita akan menemukan dengan beberapa pilihan. Hatta, bagi seorang pelajar juga, menghadapi kertas peperiksaan objektif, di kertasnya itu juga ada pilihan. Pilihan A, B, C dan D.

"Aku lat ta li lat je. Kalau tak pun, aku main teka-teka silap mata. Bantai jelah"

Tanpa kita sedar, kita sedang main nombor ekor dalam kertas peperiksaan.

Tapi, bagi yang hatinya telah dididik, tenang dalam setiap pilihan, apabila tidak menemuia jawapan, lalu yang diujar olehnya adalah, "Aku pilih jawapan ni, sebab hati aku berat ke arah ini. Aku pun tak tahu kenapa. Kita tunggu jelah bila cikgu dah tanda kertas"

Istikharah yang diketahui selalu dikaitkan dengan perkara urusan jodoh kerana urusan inilah yang memperjudikan kehidupan masa hadapan kita.

Ada banyak pendapat mengenai tempoh untuk dilakukannya.

"Ada sesetengah pendapat, buat 3 hari, ada tu pulak kata 7 hari. Ada lagi suh bagi tempoh. Ada kawan akak pulak, berhari-hari, malah ada yang berbulan-bulan sampai ke bertahun-tahun pun ada. Kekadang, ada orang, dia buat sampai dia yakin, tak kisahlah berapa lama. Banyak pendapat, cumenya, kita ambil mana yang kita yakin"

"Habis tu, kalau akak, akak buat berapa hari?"

Tersenyum. Soalan tidak berjawab dan ku biarkan berlalu.

Setiap hambaNYA ada cara untuk meyakini petunjuk dariNYA. Setiap dari kita, berhak untuk mempercayai apa-apa sahaja pendapat, tapi, jangan ianya sampai memudaratkan diri kita, iaitu buruk sangka denganNYA.

"Aku dah buat bertahun-tahun dah istikharah ni. Tapi, masih tak jumpa juga petunjuk tu. Yang mana satu sebenarnya pilihan Allah nih" seorang sahabat membentak.

"Kau nak tahu tak, ada seorang ulama' ni kan, dia cite, dia doa sampai 40 tahun, barulah Allah bukakan pintuNYA. Jangan berputus asa atas rahmatNYA dan jangan buruk sangka denganNYA. Allah kan dah janji dengan kita, berdoa dan DIA akan perkenankan doa itu. Cuma lambat ke cepat ke, atau, DIA akan tukarkan dengan lebih baik lagi"

Tersenyum.

Menghadapai urusan istikharah dalam perkara jodoh, bisa membuatkan kita semua pening di mana yang sebenarnya yang dikatakan petunjuk dan di mana yang dikatakan hanyalah usik-usikan ujian.

"Petunjuk ni, jika apa yang akak tahu, ada tiga cara. Melalui mimpi, persekitaran dan yang akhir adalah gerak hati. Tapi, ada pendapat mengatakan bahawa gerak hati itulah yang lebih akrab denganNYA sebab mimpi boleh jadi mainan syaitan dan persekitaran barangkali hanyalah kebetulan"

Tapi, jarang-jarang manusia yang meyakini di antara dua pilihan itu barangkali kedua-duanya bukan untuk kita. Mereka lebih yakin bahawa yang datang itulah yang harus dia pilih untuk diterima. Kehidupan kita penuh dengan pemilihan.

"Ana nak tanya kat ukhti..." Dan berjela dia bercerita, dengan kerunsingan memilih dan kelihatan penampilannya yang agak serabut.

"Dah istikharah?"

"Dah, tapi masih tak nampak-nampak lagi petunjuknya"

"Perkara ni sama ada dua, sama ada kedua-duanya bukan jodoh ukhti, atau, sebenarnya belum tiba masa yang sesuai untuk ukhti menerima sesiapa"

Terkedu.

Istikharah adalah pertanyaan langsung kepada yang MENCIPTAKAN PERSOALAN. Tetapi, seringkali ada manusia yang telah diberi keyakinan atas jawapan itu, tiba-tiba berubah-rubah jawapan.

"Jadi, apa jawapan encik?"

"Saya pilih A"

"Anda pasti?"

Lama berfikir. "Eh, kejap, kejap..C kot"

Tergelak. Menonton rancangan realiti yang menguji keyakinan peserta.

Istikharah bukanlah hanya semata-mata untuk memilih sahaja, tetapi ianya untuk ketenangan hati kita.

"Kau dah tanya ke belum?"

"Dah"

"Jadi?"

Tersenyum ketenangan. Hanya dia dan orang yang ditanya sahaja yang mengetahui, dan jangan lupa, Allah yang MAHA MENGETAHUI. Apa perasaan kita ye bila segala persoalan di dalam fikiran kita, akhirnya kita luahkan persoalan itu pada orangnya?

Terkadang juga, apabila ditanya, ditanya, tidak berjawab. Lalu, apakah lagi yang harus dilakukan.

"Pergilah minta maaf. Agaknya dia terasa hati dengan kau kot. Tu sebab dia diam je"

"Minta maaf?"

"Yelah, kita tak sedar, kekadang, apa yang kita buat, mungkin dah buatkan dia terasa hati sedangkan kita tak berniat pun camtu"

Lakukanlah solat taubat. Kerana dengan DIA sentiasa membuka pintu taubat buat hamba-hambaNYA.

Terlalu panjang dan terlalu banyak pengalaman dan pendapat mengenai istikharah. Tetapi, cuma satu sahaja yang kita jarang-jarang fikirkan.

"Akak, kenapa kalau dengan akak, kan, akak tak pernah pun tanya saya bila saya nak kahwin. Tapi, kalau orang lain, balik-balik soalan sama je. Kenapalah diaorang tak macam akak ye?"

Tersenyum.

"Sebab akak menjaga hubungan akak dengan adik. Akak tahu, soalan itu adalah soalan yang sensitif bagi sesiapa sahaja, tapi, jika seseorang itu tahu menjaga hubungan dengan sahabat hatta sesiapa sahaja, apabila bertemu, soalan misteri itu lenyap dari fikiran dan hanya yang muncul adalah cara bagaimana untuk dia membuatkan sahabatnya merasa gembira berada di sisinya. Bagi soalan tu, akak perlu bersabar kerana saatnya akan sampai juga dan harinya pastilah ketika itu adik sendiri akan memberitahu tanpa perlu akak bertanya, "Bila adik nak kahwin?'"

Begitulah juga dengan istikharah. Kita terus-terusan bertanya, bertanya dan bertanya, tetapi kita jarang meneliti bagaimana hubungan kita denganNYA. Bagaimana petunjuk itu dapat kita perolehi kerana hati yang terikat kepadaNYA, akan sentiasa lunak menerima segala-galanya walau dari mana pun, siapa pun dan cara bagaimana pun petunjuk itu sampai, kita akan kata, "Inilah dariNYA"

Semoga kita semua memperolehi segala petunjuk dariNYA dan sentiasa mendapat bantuan dariNYA dalam urusan harian kita.

Amin ya Allah..

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Thursday 15 December 2011

Nasihat Kak Long

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Mata meneliti status sahabat. Alhamdulillah, pemilihan sahabat yang dimohon untuk bersahabat adalah yang berlatarbelakangkan dengan status nasihat. Alhamdulillah.

Tiba-tiba terpana pada satu status.

Nasihat dari Kak Long : ~ambil berat tentang ikhtilat~


Ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram) adalah HARAM kecuali di atas urusan kerja dan sebab-sebab tertentu sahaja.


Urusan adalah sesuatu perkara yang apabila dibentangkan di hadapan Allah, kita YAKIN kita mampu menjawab dan berhujah ia adalah urusan. Jika masih ragu-ragu ia urusan ataupun tidak, maka HATI-HATI lah ye~


Insya Allah sekadar renungan bersama~

Tersenyum.



Segala puji dan puja hanyalah kepada yang Maha Esa, yang Maha Pemurah lagi Maha Mengaturkan, Allah swt. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi, Muhammad s.a.w.

Ada sebahagian adik-adik yang selesa dengan panggilan Kak Long, dan ada yang hanya memanggil akak. Walau apa pun panggilan, biarlah dengan ada adabnya dan aku akan raikan kerana sesungguhnya panggilan itu melambangkan hormat dan kasih sayang kita.

Berkenalan dengan seorang adik lalu perkenalan menjadi akrab. Bertanya dengan pelbagai soalan yang berkisarkan hubungan antara lelaki dan perempuan.

Akhirnya, yang terpacul di mulutku adalah, "Tiada istilah kawan di antara lelaki dan perempuan"

Terbuntang mata adik di hadapanku dan aku hanya tersenyum.



Atas izinNYA, sekali lagi bertemu dengan satu status.

Dr Yusuf al-Qardhawi menulis tentang ciri-ciri wanita dalam Islam dalam bukunya, Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan. Antaranya, wanita tidak bercampur dengan lelaki asing (bukan mahram) kecuali kerana keperluan yang mendesak, kemaslahatan yang dibenarkan, dengan kadar yang mencukupi seperti solat di masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu atas dasar kebaikan serta ketakwaan agar wanita tidak dihalang dari menyertai untuk berkhidmat kepada masyarakatnya di sampaing tidak mengabaikan batas-batas syarak dalam pertemuan dengan lelaki

"Ya, memang kita boleh bersahabat, tapi, ada jaminan ke yang kita tak tersasar dari landasan Islam?"

Wahai manusia, bukanlah aku ingin menyempitkan ruang dan peluang. Menulis pemikiran aku ini, menjadikan aku teringat akan satu soalan yang diajukan pada aku oleh seorang adik.

"Kak, apa hukum bercouple sebenarnya?"

Tersenyum.

Bertanya lagi pada seorang adik "Apa pendapat adik tentang kawan-kawan yang bercouple?"

Saja ingin melihat pandangan dari seorang adik remaja yang masih lagi berada di alam persekolahan kerana kebanyakkan pelajar sekolah kurang memahami situasi yang dihadapi oleh gejolak perasaannya. Membaca pandangannya, dan akhirnya yang ku balas, "Uish, emosinya dik" Tergelak.

"Erk, ye ke kak. Mungkin sebab tak berapa berkenan"

Tersenyum.

Tidak kurang juga yang kurang suka. Inilah manusia, ada yang suka dan ada yang tidak suka, dan pada aku, hanyalah sebaris senyuman, meraikan setiap perasaan.

"Perasaan ini fitrah, cuma, kebanyakkan manusia tidak mengerti bagaimana harus diraikan perasaan itu, bagaimana yang telah Allah gariskan untuk meraikannya" Ulasku.

Ya, berkawan dan bersahabat di antara lelaki dan perempuan, hukumnya mubah atau harus pada awalnya atas sebab urusan dan perkara yang membolehkan tetapi ianya boleh menjadi HARAM atau HALAL.

HARAM adalah apabila diselangi dengan perasaan lalu tidak disalurkan kepada yang betul dan menjadi perkara maksiat.

HALAL adalah apabila menyakini mampu untuk ke saluran yang betul dan diusahakan ke arah itu.

Ramai yang selalu mempergunakan "HARUS" di dalam urusan sehingga mereka tidak sedar ianya boleh mengganggu-gugat apa yang terjaga di dalam.

"Kan Nabi dah bersabda, pandangan mata itu adalah panahan syaitan. Apabila ada pertemuan, pastilah ada pandangan mata. Perkara itulah yang kita tak nampak yang sebenarnya harus dijaga oleh setiap mukmin. Sebab tu bila ada masalah dengan perasaan, tengok balik setiap maksiat yang telah kita lakukan dan perbaiki serta mohon pertolongan Allah untuk mujahadah"

Wahai hati-hati yang mencari keredhaan Allah, bukan ku katakan nasihat ini dengan samberono, tetapi, ku teliti sabda Nabi, tunjuk ajar dari golongan yang lebih arif, lalu ku aplikasikannya. Maha Suci Allah, kerana menunjukkan hikmahnya lalu ingin ku ajak sekalian saudara dan saudari, dengarkanlah setiap nasihat junjungan mulia, Nabi Muhammad s.a.w. Pastilah akan ada keberkatan di sebaliknya.

Tiada istilah kawan di antara lelaki dan perempuan ajnabi melainkan hanyalah sebatas urusan dan kemudian berlalu tanpa perlu di awan-awangan.

"Jaga ikhtilat sebab itu menentukan dengan siapa kita akan dipertemukan nanti sebagai jodoh kita. Akak teringat satu status seorang sahabiah ni. Dia kata, sebagaimana wanita itu berkelakuan, sebegitulah lelaki yang akan dijodohkan. Kalau kita jumpa lelaki itu melalui internet, maka, internetlah persekitarannya. Kalau kat masjid, insya Allah, lelaki itu adalah lelaki yang menggantungkan hatinya kepada masjid. Jadi, pilihan ada di tangan masing-masing dan bersabar itu penting. DIA Maha Mengetahui dan selalulah berbual denganNYA"

Bukan ku sempitkan dan menghadkan, tetapi, aku memikirkan natijah di kemudian hari, bukan semuanya dapat ikhlas menerima kafarah dosa. Takut di tengah jalan, iman tergadai, lalu, menjadilah hambaNYA yang berburuk sangka.

Setiap manusia akan melakukan kesilapan, tetapi kita ada manusia sekeliling untuk tolong mengingatkan atau memberitahu kerana ilmuNYA yang terlalu luas, tidak mampu kita tampung dalam satu-satu masa. Kita hanya diberi peluang untuk belajar dan sesungguhnya kita takkan pernah berhenti untuk belajar sehingga ke liang lahad.

Maha Suci Allah, jangan kita mencabar kekuasaan Allah dengan mempermudah-mudahkan apa yang telah Allah mudahkan. Sesungguhnya, DIA inginkan yang terbaik untuk kita. Jika kita lakukan kerana Allah, kerana nasihat kekasihNYA, maka, DIA lah yang lebih berhak untuk memberi yang terbaik untuk kita, dengan pengaturanNYA yang tersangat cantik.

Insya Allah.

Jagalah ikhtilat kerana kita tak tahu, saat bila akan dikafarah dosa kita. Takut nanti jika DIA membiarkan kita terus-terusan melakukan ikhtilat lalu terus sekali semua dikafarh di sana..Naudzubillah..Wahai saudara-saudariku, kafarah di sana, sangatlah pedih dan azab. Janganlah sampai kita dibiarkan terus-terusan melakukan sewenang-wenangnya tanpa ditegur olehNYA.

Aku hanya menyayangi saudaraku seislam kerana Allah, lalu ku coretkan tulisan ini sebagai peringatan buat diriku dan diri kalian bagi yang ingin dinasihati. Sesungguhnya agama Islam ini adalah nasihat. Jadilah manusia yang berakal yang menerima nasihat dan minta dinasihati.

Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn al-Darie r.a bahawa Nabi SAW telah bersabda: "Agama itu adalah nasihat" Kami berkata: "Untuk siapa?" Baginda bersabda: "Untuk Allah, untuk kitabNYA, untuk RasulNYA, untuk para Imam kaum muslimin dan untuk umat Islam seluruhnya"


(Hadith Riwayat al-Imam Muslim)


Semoga Allah memelihara kita.

Amin ya Allah..

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Monday 12 December 2011

Adab-adab Memberi Nasihat

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Daripada Abu Ruqaiyyah   Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu   adalah nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk   Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan   untuk umat lslam seluruhnya.”
 
  Hadis riwayat al-lmam Muslim.
 
   

  .................................................................................
 
 
 
    Di dalam hadith ke-7 dalam Kitab Hadith 40   yang telah disusun oleh Imam Nawawi ini, jelas telah   digambarkan oleh Rasulullah SAW tentang perihal   pentingnya nasihat menasihati di dalam perkara kebaikan. Nasihat juga   digambarkan besarnya seperti sebuah Agama Islam, menunjukkan bahawa   Islam ini melingkari seluruh aspek kehidupan seharian kita.
 
  Pengertian nasihat
   
  Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut   Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam   Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah   daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti   bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan   ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.
 
  Adab-adab memberi nasihat
 
    1. Meluruskan niat sebelum menasihati   seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati   saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin   memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang   terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin   diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan   kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat   ke jalan yang benar.
   
    2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati.   Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang   lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati   seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang   sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak   orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang   dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai   akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini   menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang   dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.
   
    3. Bersih hati semasa menasihati.   Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara   yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat   teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan   kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan   salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut   sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku   seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan   sebaiknya.
 
  4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati   saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal   kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah   sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya   mereka begitu.
 
  5. Memberi waktu dan kesempatan kepada   saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang   dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka   untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang   pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada   Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan   jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin   ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.
 
  Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang   telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan kepada   orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain, adakah kita   sudah melaksanakan amanah ini? Jangan   jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia   untuk dinasihati.

http://halaqah.net/v10/index.php?topic=12955.0

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Hak yang sering kita lupa..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Secangkir kopi menemani dan tangan sudah bergerak lancar di atas papan kekunci komputer riba. Telinga dah pun disajikan dengan lagu Somewhere Only We Know. Tangan masih lagi ligat menari di atas papan kekunci.

Keseorangan. Tanpa ditemani. Dan aku larut dengan pelbagai kenangan yang barangkali susah untuk aku menyingkirkannya.

"Aku tengah menulis untuk buku aku. Jadi, aku buka balik entry blog lama aku. Tak tahulah, bila aku baca, aku macam terfikir-fikir, betul ke semua benda ni berlaku? Allah, aku betul-betul dah lost memory"

Kehilangan memory. Biar semua kenangan itu hilang dari fikiranku, menyesakkan.

"Eh, kau ingat tak, esok, kau kata nak datang?"

Terpinga-pinga.

"Ada apa?"

"Weh, forum 2012"

Menepuk dahi. This is getting worse.

"Allah, aku tak ingat."

Menggeleng kepala. "Kat DECTAR tau"

Terbeliak. "Ya Allah, kat DECTAR ke. Nasib baik kau ingatkan. Aku dah ingatkan kat DAM dah"

This is getting worse. Dan aku mula serabut.

Inilah kehidupan. Apabila kita keseorangan, sukar dan susah untuk menguruskan jadual sendiri. Terkejar-kejar dan terpinga-pinga.

"Itulah gunanya sahabat"

"Tapi, sampai bila?"

Terdiam.

Soalan yang sebenarnya DIA telah lama sediakan tapi tercari-cari oleh manusia. Kita takkan pernah sempurna apabila kita berseorangan dan apabila bersama, kita memperbaiki dari satu saat ke satu saat.

"Akak, bukan ke dalam buku ni kata, jodoh ni kita kene cari?" Teringat satu soalan dari seorang adik.

Tersenyum.

"Ya, memang kita perlu mencari, tapi setiap kaum berbeza. Yang laki lain, yang perempuan lain. Lelaki ni ya, memang dia kene mencari, seperti dalam cerita Ketika Cinta Bertasbih. Tapi, yang perempuan, mempamerkan akhlak yang baik dan jangan expose sehingga menjatuhkan maruah"

"Oooo, macam tu ye kak"

"Kita tengok kisah Khadijah. Walaupun dia berniat untuk menjadi isteri Rasulullah, tapi, dia tak lah pergi menonong ke arah Rasulullah. Dia hantar wakil. Jangan tersilap tentang peristiwa ini mengatakan perempuan datang meminang lelaki. Tak, Rasulullah yang datang meminang, tapi hasrat dinyatakan dan dimulakan oleh Khadijah. Dan itu pun ada caranya."



Bersendirian. Dan memerhati kenangan. Mata memandang jauh ke arah tasik.

"Jom, kita bawak awak ke satu tempat. Kita bagi ikan makan, nak?"

Terbeliak. Oh, sahabat yang sangat memahami.

"Dik, bila kita tertekan, cubalah untuk memberi. Seperti yang kita buat sekarang ni, kita memberi ikan makan. Cuba tengok, ikan-ikan ni datang ke arah kita. Takpalah manusia menjauhi diri kita tapi kita tetap ada makhluk lain yang datang kepada kita, meraikan kebaikan kita."

Membawa seorang adik ke tasik itu juga, satu terapi yang ku ajarkan dan diturunkan dari sahabatku.



"Ya Allah, aku terlalu sesak sekarang ni dengan rutin. Aku dah takda masa untuk diri aku sendiri. Allah.."

"Best lah, kalau sibuk-sibuk ni tak sempat nak berangan, weh"

Mencerun kening. Dan terus tergelak.

Ya, nabi kata, 5 perkara sebelum 5 perkara.

Kaya sebelum miskin,
Sehat sebelum sakit,
Muda sebelum tua,
Lapang sebelum sempit ,
Hidup sebelum mati.


Dan aku perlu menyusun semula jadual aku.

Dr Aidh kata, manusia ini sangat pelik. Mereka selalu terkenang-kenangkan perkara yang lepas dan terlalu risaukan perkara yang akan datang. Sepatutnya dia memikirkan dari mula dia membuka mata di awal pagi itu dan sehinggalah dia tidur semula, cara untuk meraihkan redha Allah.

"Akak tengok buku-buku yang awak beli je akak dah tahu awak ni macam mana."

Terkejut.

"Saya ni macam mana, kak?"

"Bermotivasi"

"Ooo, mesti akak tengok saya banyak koleksi buku Dr Aidh, kan? Saya sangat suka baca buku Dr Aidh. Sangat membuaikan hati yang lara untuk dituntun ke arah yang betul semula"

Tersenyum.

Carilah masa untuk diri kita sendiri, kerana diri kita juga mempunyai hak untuk kita penuhi. Janganlah melupakan diri apabila cuba dan terus mencuba untuk memenuhi undangan masa manusia sekeliling. Kerana sesungguhnya, seluruh makhluk yang berada di sekeliling kita mempunyai hak untuk kita penuhi termasuk diri kita.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Sunday 11 December 2011

Ketika Menghadapi Kesempitan Rezeki


Dari Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa menghadapi kesempitan dalam rezekinya kemudian dia mula meminta-minta kepada orang lain, maka kesempitan itu tidak akan hilang. Dan barangsiapa menghadapi kesempitan dalam rezeki kemudian dia meminta kepada Allah, maka Allah akan menyediakan kepadanya rezeki dengan segera, sama ada cepat atau dilambatkan sedikit.

(Hadith riwayat Tirmizi)

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Saturday 10 December 2011

Cinta itu membahagiakan, walaupun...

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
"Adik perasan tak, dengan perasaan yang sebegitu, antara pasti dan tidak pasti mengenai urusan jodoh kita, sebenarnya lagi menjadikan kita akrab denganNYA, kerana kita tahu, kita terlalu lemah untuk menghadapi perkara itu"

Dan fikiran terawang ke kenangan lama. Berfikir, cinta itu dijadikan untuk kita lebih akrab denganNYA.



Segala puji dan puja saya panjatkan hanya kepada yang Maha Esa, yang Maha Mengaturkan, Allah swt. Selawat dan salam kepada junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w.

Apabila ditanya apa itu cinta, terlalu banyak yang diungkapkan dan terlalu banyak pula definisi. Semuanya yang membahagiakan dan mengasyikkan. Tanpa kita sedar, terkadang, yang pahit itu juga terselit kemanisan yang terlalu berharga.

Dunia, terlalu banyak tafsiran yang berasaskan kepada kebahagiaan duniawi. Terkadang, tanpa kita sedari, perubahan di dalam hati menjadikan kita seringkali terkapai-kapai dengan tafsiran kita sendiri.

"Kak, saya tak kuat, kak untuk hadapi perkara ini" tersedu-sedu dia mengungkapkannya, bagai tercurah segalanya kepada wanita yang berada di hadapannya.

Tangan telah memeluk adik di sebelahnya, dan perlahan, dia bersuara, "Percayalah, inilah yang terbaik untuk adik dariNYA"

Terkapai-kapai dalam mengungkap dan menafsirkan erti makna sebuah cinta. Terkadang, ianya sangat sakit, dan terkadang, ianya sangat membuaikan. Tapi, ketahuilah, itulah rencah di dalam hidup yang mendamaikan dan menenangkan hati.

Apabila kita terlalu bergembira, didatangkan cinta untuk membuatkan kita menangis.

Apabila kita terlalu bersedih, didatangkan juga cinta untuk menjadikan kita terasa indah di dunia.

Cinta benar-benar membuatkan manusia tersasar dan terus melurus ke arah yang satu, cinta kepadaNYA.

"Janganlah jadikan cinta kita kepada manusia sehingga kita tersasar dari cinta asal kita. Hairankan, manusia, apabila tertarik pada seseorang, dia akan cerita segala kebaikan orang itu kepada semua, sedangkan, Allah dah terlalu banyak memberikan kebaikan kepada kita, tidak sedikit pun kita mengungkapkan rasa tertarik kita kepadaNYA dengan menyatakan segala kenikmatan. Ketahuilah dik, dia yang sedang adik bercerita kepada akak ini adalah kebaikan yang sedang DIA berikan. Jangan terlepas dari mengucapkan kesyukuran kepadaNYA, menggantungkan hati kepadaNYA, dan lebih dalam lagi mencintaiNYA atas nikmatNYA yang satu ini"

Tersenyum.



Segar di ingatan, persoalan pada seorang adik, "Kenapa kita tetap bercinta walaupun sebenarnya bercinta sebelum berkahwin itu tidak boleh?"

Berfikir. Diam.

"Tak tahulah, kak. Sebab apa ea?"

Tersenyum.

"Kita semua fitrah dan apa yang lahir adalah fitrah. Manusia meraikan fitrah selalunya membawa kepada permasalahan yang lebih besar, tapi, Allah meraikan fitrah dengan memberi masalah terlebih dahulu, kemudian baru diraikan fitrah kita. Itulah yang indah kerana kita bersusah-susah untuk meraikan dan mendapatkan kebahagiaan itu. Sebab tulah, mukmin yang sejati, dia melihat dunia ini adalah tempat dia bersusah-susah, dan nikmatnya adalah di sana. Tapi, manusia yang tak nak, dia lebih suka mendapat rasa bahagia dulu, walaupun sebenarnya kesusahan sedang menantinya. Kita tak kenal diri kita, tapi DIA kenal kita dan lebih maha mengetahui apa yang kita perlukan. Manusia, dia tak tahu, dia hanya tahu, bagitahu apa yang dia inginkan bukan apa yang dia perlukan."

Terdiam sebentar.

"Faham tak?"

Menggeleng kepala.

"Cinta itu fitrah, tapi, kebanyakkan manusia selalu meraikan fitrah mengikut kesukaannya. Allah pula, meraikan cinta dengan mengetahui apa sebenarnya yang kita perlu untuk mendapatkan cinta itu. Sebab tu, manusia suka ambil yang sedap je dulu, tak nak bersusah."

Tersenyum.

"Siapalah kita ni, dik. Kita adalah hambaNYA yang tidak kenal langsung diri kita, apatah lagi untuk kenal DIA. Akak masih teringat kata-kata seseorang pada akak, manusia ini, walaupun diri dia sendiri pun tidak memahami diri dia 100%, tapi Allah faham kita. Kalau kita tak faham diri kita, kenapa kita tak nak ikut kata-kata yang Maha Memahami kita, iaitu Allah swt. Memang, terasa susah dan payah, tapi, cubalah, cubalah untuk yakin kepadaNYA, pasti ada kebahagiaan yang telah DIA sediakan. Kalau pun tak di sini, di sana sudahlah tentu kita memperolehinya, insya Allah"

Memandang wajahnya dan mengalihkan pandangan. Merenung pemandangan di hadapannya, dan matanya perlahan-lahan tutup. Dirasakan angin yang menghembus, menyentuh kulit wajahnya dan sebaris senyuman terukir.

"Cinta itu membahagiakan walaupun terasa pahit pada awalnya, kerana DIA lebih tahu diri ini"

Tersenyum indah.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Wednesday 7 December 2011

Entahlah...

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Entahlah..

Entahlah..

Semacam fikiran serabut dengan segala macam peristiwa. Semacam tercari-cari semula niat asal. Allah, terasa sebak dan sesak di dada..Tercari-cari apa sebenarnya yang aku cari..

Hidup ini bukanlah hanya semata-mata mencari kepuasan diri. Setelah tercapai, dan kemudian kita akan jemu, lalu, ke mana?

Tangan ini sudah terbiasa menaip sejak dari dahulu. Menulis dan meluahkan di atas medium, bukan melalui percakapan. Jarang untuk aku bercakap dengan mudah, selancar aku menaip dan menulis.

Hati ini tiba-tiba tercari-cari erti makna apa yang ada di sekeliling. Kemudahan yang ada, sebenarnya mengajar kita menjadi hambaNYA yang begitu malas dan terleka.

Ah, kita dah pun tersilap perhitungan.

Aku letih. Aku tersangat letih..

"Akak letih sangat dik, letih untuk tanggungjawab ini, tapi tak boleh kan kita kata kita letih"

Untuk sebuah tanggungjawab, kita jangan sesekali letih. Walaupun terasa betapa payahnya dalam menjalani kehidupan, tersangat letih menghadapi dunia, tapi, ketahuilah, kenikmatan di sana yang di cari.

Aku jadikan teratak di medium ini untuk aku meluah dan memuntahkan idea. Sudah sebatinya tangan ini pada papan kekunci menjadikan berteman tulisan-tulisan ini, aku terasa terhibur.

Kita tak mungkin menjadi seorang manusia yang sempurna dalam memberi, tapi, cubalah, cubalah untuk tetap setia dengan tugas dan tanggungjawab..

Aku suka menulis. Tersangat suka.

Tapi sekarang, aku tak tahu aku nak tulis apa..Allah..

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Monday 5 December 2011

Kesilapan yang membahagiakan.

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Hati damai dan tenang merenung jauh ke arah tasik. "Apa silap akak, dik"

Dan adik ini merenung dan melihat kakaknya yang jauh termenung, melihat dengan penuh kesedihan kerana ada setitis air mata kakaknya jatuh.

"Akak, cuba tengok bangunan tuh"  adik itu menunjukkan ke arah bangunan itu.

Mata mengecil melihatnya. "Akak nak pergi sana, boleh?"

"Jom"

Tersenyum.



Segala puji dan puja hanya kepada yang Maha Esa, yang Maha Melihat, yang Maha Mengaturkan, Allah swt. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Setiap dari kita, pastilah mempunyai kenangan yang menjadikan setiap juga dari kita semakin hari, semakin lama berubah. Tiada yang kekal tetap pada suatu sifat, semuanya berubah.

Dari kecil, kepada remaja, kemudian dewasa dan akhirnya tua.

Setiap dari kita tetap berjalan menyelusuri perjalanan yang tidak pernah kita duga, di hadapan kita barangkali terselit perangkap yang boleh menjerat kita jatuh dan terduduk di dalam lubang.

Kata bijak pandai, semuanya berubah, hanya perubahan sahaja yang tidak berubah.

Tersenyum.

Perkataan yang menyejukkan itu hadir apabila kita meminta dariNYA. Hadir di saat kita sudah pun berusaha untuk mencarinya. Hadir juga apabila kita terkial-kial memikirkan makna di sebalik segala yang berlaku kepada kita.

Saya hanyalah manusia biasa, yang tidak pernah sempurna dari melakukan kesilapan tetapi, dijadikan manusia sekeliling untuk saya mengalami anjakan paraadigma kepada perubahan, meneliti dan berubah.

Beruntunglah saya, beruntunglah anda kerana manusia di sekeliling yang hadir untuk memberitahu kesilapan dan kesalahan kita.

"Kau salah, bukan macam ni.."

Dan berjelalah hujjahnya menyatakan kenapa kita silap. Sujud syukurlah kita kepadaNYA kerana masih lagi manusia itu ada untuk menunjukkan jalan.



Memang, hati yang terbuai leka dengan kesilapan, jarang-jarang untuk mengaku kesilapannya, tapi, cubalah, cubalah untuk kita menerimanya. Kita tidak dijadikan sempurna, wahai manusia dan sememangnya kita lahir untuk acap kali melakukan kesilapan.

Bersedihlah wahai manusia, jika manusia di sekeliling kita hanya tahu mengiyakan sahaja segala tindakan kita walaupun di hatinya menidakkan. Janganlah hipokrit wahai manusia. Jika mereka salah, katakanlah dan tunjukkanlah dengan berhikmah.

"Seorang suami yang mempunyai isteri yang hanya mengiyakan sahaja tindakannya, isteri itu sebenarnya tidak percayakan suami dia. Betul tak cakap ana?"

Terkedu dan sebenarnya jauh di sudut hati, mengiyakannya.

"Begitu juga dengan persahabatan, kalau sahabat yang hanya tahu mengiyakan sahaja tindakan kita, sahabat itu sebenarnya tidak percayakan kita"

Tersenyum. "Benar wahai ukhti"

Tanpa kita sedar, kesilapan kita dalam bersahabat adalah membiarkan sahabat kita berada di tebing-tebing neraka. Allah..

"Pendapat saya tentang akak, akak ni sangat tegas"

Tersenyum, "Biarlah ketegasan akak ni pada adik untuk membawa adik kepada syurga dari kelembutan akak yang hanya membawa adik ke jurang neraka"

Tanpa kita sedar, ketegasan seringkali dijadikan alasan untuk menyatakan bahawa mereka membenci dan tidak menyukainya.

"Kita menegur bukan bermakna kita membenci tapi nak membetulkan" Masih di hadapan sahabat yang banyak bertahan dengan saya. Tersenyum.

Saya tidak ramai sahabat yang boleh dikatakan sahabat yang menjaga aib saya, yang memberi nasihat apabila diminta tapi, sahabat yang sedia ada ini, sangat saya hargai kerana kehadiran merekalah banyak mengajar saya tentang erti kehidupan. Alangkah bahagianya hidup saya walaupun tidak ramai sahabat, tetapi sahabat yang ada faham erti sebuah persahabatan.

"Apa pendapat kau, kalau seorang kawan ni, bila dia tegur kawan dia, kawan dia tu terasa hati dengan dia?"

"Bagi aku, kawan yang macam tuh bukan kawan yang baik"

Terkedu lalu tersenyum dengan ulasannya.

Ah, rupanya aku mempunyai sahabat yang benar-benar dikatakan sahabat. Walaupun sedikit, tapi merekalah yang mempercayai saya.

Dulu, saya tak sedar akan kehadiran mereka, tapi mereka tetap setia di sisi saya. Dulu, saya terlalu leka dengan sahabat yang entah dari mana datangnya dan tidak tahu pula menjaga lenggok bahasa sahabat. Hanya terasa hati yang menjadi makanan saya di antara sahabat ini. Tidak mahu ditegur dan tidak pula menegur kesilapan saya. Tanpa saya sedar, sahabat yang sedia ada masih tetap memberi ruang kepada saya untuk ke sisi mereka.

Ya Allah, betapa besarnya nikmat yang ENGKAU beri.

Kita memang boleh berkawan dengan sesiapa sahaja kerana kita dilahirkan bersaudara atas nama akidah yang satu, agama yang satu, Islam. Tetapi, dalam keramaian kawan yang kita miliki, sahabat yang benar-benar datang simpuh memeluk dan mengusap kita sambil berkata, "Bersabarlah wahai sahabatku, Allah bersama-sama denganmu", jarang-jarang dapat kita miliki. Dan apabila kita sudah pun temui, hargailah dia kerana dialah tiket kita untuk bertemuNYA, mengatakan bahawa, "Sahabatku inilah yang tidak putus-putus membawaku kepadaMU, ya Allah."

Wahai saudara-saudariku, bila kita kehilangan semuanya, dan kita akan tahu, itulah yang setia di sisi kita.

Seperti Nabi Ayub, yang pada mulanya kaya, dilimpahkan segala kenikmata, apabila diberi ujian, hanya isterinya itulah, satu-satunya yang setia di sisinya menjaganya ketika sakit, ketika berseorangan dan ketika berada dalam kesempitan.

Carilah manusia yang boleh menyatakan silap kita dari mengiyakan yang membawa kita kepada kelekaan dan kelalaian.

Saya dah memilikinya, dan saya doakan kalian juga memilikinya.

Alhamdulillah, syukrillah..

Terima kasih ya Allah.



Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”