Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Thursday 26 July 2012

Kehidupan yang sentiasa kembali kepadaNYA


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Sungguh, akal dan fikiran ni tercari-cari masa dan waktu. Sungguh, hati ini sering berbisik dan bertanya-tanya, ke manakah teratak yang usang itu yang patut ku isi..


"Haahlah, Kak Long dah lama tak update blog, kan?"


Terkedu. Garu kepala. Tergelak. Menggelakkan diri yang sudah memulakan, tetapi tidak istiqomah. Sungguh, aku terkesima dengan keadaan diriku sendiri. Terlupa dan melupakan idea dan kata-kata yang boleh dihambur menjadi ilmu di sini. Sungguh, aku terkesima.


"Kak, akak sihat? Camne puasa?"


"Tak berapa sihatlah dik. Encik gastrik datang melawat pulak. Tak larat sangat. Agaknya kalau akak meninggal, akak dikira syahid kan dik?"


Terdiam. Dan diam. Sungguh, aku juga terkesima dengan kata-kataku.


Telinga itu ingin mendengar suatu alunan yang indah, mendamaikan, tenang. Dan ketika ini, fikiran terimbas dan mengimbas. Satu suasana. Di masjid itu. Di hadapan tasik itu. Angin yang meniup dan perlahan, berhembus ke wajahku. Aku tersenyum. Alhamdulillah. NikmatMU ya Allah.


"Akak, nak tanya satu masalah boleh tak kak?"


"Apa dia dik?"


"Ada kawan saya ni, dia ada abang angkat. Lama-lama tuh, masing-masing ada pakwe-makwe, tiba-tiba putus. Pastu, abang angkat dia nak meminang dia. Dia dalam dilema, tak tahu nak terima atau tak"


"Dah istikharah?"


"Dah"


"Ape perasaan dia?"


"Tahlah kak, sebelum ni dia suka, ada perasaan sayang tu, tapi dia dalam dilema"


Tergelak. "Syaitan je tuh yang nak mengacau."


"Nape akak cakap macam tu?"


Tersengih. "Perkara syubhat buat, ok je, bila nak buat benda halal, boleh dilema pula. Syaitan lah tu yang mengacau"


"Eark.."


"Cuba bagitahu akak alasan yang munasabah untuk dia tolak. Laki tu bunuh orang ke? Tak solat ke? Minum arak ke? Merokok ke?"


"Eark, beratnya sebab nak tolak"


"Memang, sebab kalau setakat dalam dilema tuh, tuh maksudnya bolak-balik hati. Syaitan memang akan ganggu bila kita nak buat benda baik. Tapi benda syubhat macam abang adik angkat tu, sedaplah dia api-apikan suh buat lagi, buat lagi. Sedangkan kita tak sedar dok kumpul dosa. Perkahwinan ni bukanlah suatu benda yang mana perasaan itu perlu diutamakan sangat tapi ianya adalah sebahagian kecil sahaja. Yang penting, bagaimana kita mengolah perkahwinan itu sebagai ibadat. Ada orang jadikan perkahwinan sebagai jawapan bagi suatu percintaan dan pembuktian pada perasaan, sedangkan biladiuji sedikit, mula nak melenting, mula nak tu, mula nak ni. Perkahwinan itu ibadah yang barangkali ramai manusia hanya senang berbicara di mulut sahaja, tapi susah untuk benar-benar memahaminya"


Terkedu. Dan terdiam. Barangkali terkesima. Sungguh, jawapan pada perkahwinan itu adalah ibadah yang mana ianya menguji rasa di hati. Bagaimana nak hadapi kemarahan. Bagaimana pula untuk mengawak rasa cemburu. Dan bagaimana untuk mengemudi setiap langkah agak mendapat keredhaan Allah.


Sungguh, manusia menganggap "asal dapat kahwin, dah" sebagai satu falsafah untuk untuk membersihkan 'badi' yang menjadikannya sesak dan rimas akan keadaan sekeliling. Sungguh, akal yang dangkal, terlupa ALLAH itu MAHA BERKUASA.


Alunan musik itu mendamaikan. Dan hati itu tersenyum, selesa dan bahagia. Bukanlah suatu ujian itu dihadirkan untuk kita merasa sedih. Dan bukanlah kebahagiaan itu tidak akan berubah kepada kesedihan. Maka itulah pelajaran dariNYA, yang mengajar kita bahawa setiap manusia yang datang dan pergi adalah sebagai perantara untuk mengajarkan kita erti sebuah ilmu dariNYA.


"Dulu, kan dik, akak tercari-cari makna bahagia. Akak cari sejak sekolah menengah. Akak tengok perempuan tergedik-gedik cari pakwe, tapi bila putus, tertonggeng. Terfikir akak, bahagia ke tuh? Kenapa sekejap je?" Tersenyum


Dan aku menyambung. " Sebenarnya bahagia itu ada pada DIA. Bahagia itu kita perlu mengampu DIA. Bahagia itu, kita perlu dekat dengan DIA. Bahagia itu adalah merasa bahagia dengan setiap percaturan dariNYA. Maka bukanlah kebahagiaan itu datangnya dari manusia sekeliling. Mereka hadir untuk mengajar sedikit makna sebuah perasaan, dan kemudian, berlalulah kepada silibus seterusnya kerana keimanan kita perlu terus dan terus memuncak naik. Maka kita akan sentiasa bahagia. Kita tiada jaminan untuk mengatakan bahawa dengan memiliki segala nikmatNYA adalah bahagia. Kerana itu bukan milik kita. Maka perlulah kita tahu, kehadiran segala nikmat Allah ini adalah sebagai bentuk latihan dan ujian untuk menjadikan hati dari hiba, sedikit demi sedikit tersenyum, walau pada zahirnya manusia mengatakan kasihan. Maka itulah kebahagiaan"


Tersenyum. Dan sama-sama tersenyum.


Tetikus di sisi sudah digerakkan. Lincah dan laju mengendalikan gadget di hadapan mata. Order. Sibuk meneliti order dari pelanggan. Alhamdulillah, perniagaan semakin berkembang.


Tetikus menekan "left click". Terhenti. Terdiam.


Assalamualaikum...

Alhamdulillah, syukur sangat2...Allah pertemukan saya balik dengan akak..uppsss...akak tak kenal saya dan saya pun tak kenal akak. He. Maksud saya temukan saya dengan blog baru akak nie... dulu sempat saya jadi pembaca blog akak sekejap sebelum akak tutup. Saya pun tak ingat dah, bila mula kenal blog akak dan bila akak tutup.  Apa2 pun terima kaseh coz sudi menulis balik... semoga bermanfaat buat ummah, terutamanya buat insan-insan yang sangat memerlukan nasehat, teguran, motivasi dsb seperti saya nih.

Terkesima. Oh, lamanya ku tinggalkan teratak yang mengisi satu ilmu, yang mengolah dan menggubah rentak melodi di atas papan kekunci ini. Terkesima. Sungguh, sungguh agak lama aku tidak mengisinya dengan sebenar-benar pengisian, sibuk bercanda, menulis akan perkataan yang sama, dan mengungkapkan jawapan yang sama apabila pelanggan petah bertanya itu dan ini..yang sungguh..hakikatnya soalannya adalah sama. Sungguh, aku terkesima.


Gear telah natural, brek tangan telah diangkat. Stereng telah dipusingkan, meluruskan tayar. Tangan dan badan dibiarkan terdiam lama. Akal berfikir. "Bila lagi aku nak mula menulis" Terdiam, terkesima dan terkedu. "Allah sedang mengajar tentang bagaimana untuk menguruskan masa, maka belajarlah dengan sebaiknya" Terkesima. Dan sungguh, aku sedang mempelajarinya.


Membaca emeil tersebut, membuatkan aku benar-benar terlupa siapa diri aku yang dahulu. Membaca emeil itu benar-benar menjadikan aku menyedari diriku yang benar-benar berlalu dengan keadaan sekeliling. Membaca emeil itu juga menjadi aku melupai siapa yang ku kenali satu masa dahulu.


"Assalamualaikum, ingat saya lagi tak?" Suara pemanggil di sana kedengaran.


"Wa'alaikumussalam. Maaflah, siapa ni ya?"


Dan satu teka-teki yang ku biarkan. Malas untuk mengingati kisah lama, dan termangu-mangu untuk masa hadapan, maka, apa pula kisahnya masa kini? Dan itulah yang menjadi milikku, diberi peluang, masa kini, untuk mengisi dan sentiasa mengolah kebarangkalian atas segala yang menerjah di dalam akal fikiran, agar diolah di sini, di helaian manuskripku, dan moga ianya menjadi manfaat.


Sungguh, aku hanya ingin berjalan di dunia ini, melihat dan mengamati segala makna kehidupan dan inginku terjemahkannya kepada suatu makna, "Kembali kepada Allah, Untuk Allah, dan Kerana Allah"


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
 ~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Tuesday 3 July 2012

Tugas dakhwah..


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


"Akak cakap senang, lah, sebab akak tak alami"


Mata dah tercegil, buntang. Kening mencerun mendengar ayat kenyataan tersebut. "Siapa kata akak tak pernah alaminya. Siapa kata?!!" suara yang perlahan semakin meninggi. Dan dia menahan dari meneruskan perkataan. Diam.


Bukan semua manusia yang rilek dan tenang menuturkan sesuatu nasihat itu tidak memahami apa yang sedang dialami oleh manusia sekelilingnya.


"Kalau kita nak rasa tension, nak rasa menyerah, nak rasa malas dengan semua pengujian Allah, tengok macam mana Nabi, macam mana Nabi walau lelah macam mana pun, tetap teruskan tugas dakhwah" dia menyambung semula.


"Itu Nabi, kak. Memang patutlah dia kene buat tugas dakhwah tu"


Tangannya dan mula menggenggam, ingin diangkat untuk menampar mulut adik yang begitu lancang di hadapannya. Menganggap tugas dakhwah hanya pada Nabi, bukan pada umatnya, memperlekehkan dan meremeh-remehkan tugas dakhwah. Hati mula menyirap dan ditahan tangannya, istighfar.


"Jangan mempermain-mainkan tugas Nabi, dik. Kalau tanpa Nabi, kita takkan kenal Islam. Kita takkan diizinkan ke syurga. Jangan memperlekehkan tugas Nabi" hati menyirap dengan kata-kata yang baru didengari.


"Pergi ambil wudhuk. Syaitan banyak dok hasut ni" hati mula beristighfar. Menyedari hakikat suatu perkara yang tidak disedari, syaitan sedang bersorak gembira. Dan dia beredar.


Terkadang, jiwa dan fikiran menjadi sangat kurang rasional dek kerana masalah yang menimpa, dek kerana ditujih dengan pelbagai tusukan tajam, mencucuk ke dalam hati. Pedih.


Fikiran mengimbas kembali kejadian di Thaif. Badan Rasulullah s.a.w berdarah, dibaling dengan batu, dicemuh, dimaki dan baginda menyorok di balik-balik bukit di sekitar itu, untuk meredakan keadaan.  Dan Jibrail datang.


"Ya Muhammad, adakah engkau ingin aku utuskan gunung-gunung agar membaham puak yang begitu sombong itu, adakah engkau ingin aku membalikkan gunung agar ditimbus penduduk-penduduk negeri itu?"


Sambil mengelap darah yang mengalir. "Jangan, sesungguhnya mereka tidak tahu. Sesungguhnya mereka tidak tahu. Doakanlah agar kaumku itu akan menerima hidayah Allah satu hari nanti"


Hati terasa sebak memikirkan pengorbanan Rasulullah s.a.w. Hati mula terusik dengan manusia yang semakin sibuk memuliakan diri tanpa menghiraukan manusia lain.


"Dik, jangan sedih-sedih. Tugas dakhwah memang memerlukan pengorbanan. Nak buat baik, ada ujian-ujiannya, dik" dipujuk oleh seorang kakak.


"Kak, saya tak kisah kalau benda lain, kak, tapi jangan Allah dan Rasul. Itu saya tak boleh terima, kak" mata mula merah. Suasana menjadi suram. Matanya dialih ke arah tasik.


"Terkadang, saya pun merasa lelah, kak. Dalam sakit, saya tetap teruskan. Dalam keseorangan tanpa dipapah, saya tetap berjalan, kak. Sebab saya tahu, ini tugas semua yang telah mengucap dua kalimah syahadah. Nabi pernah berpesan, apa-apa yang diucapkan itu bakal menentukan kita di mana apabila di sana. Maha Pengasihnya Allah, atas segala yang berada di dalam hati, yang jahat-jahat, DIA buat tak nampak je, kak selagi mana tidak dizahirkan. Malah, kalau kita terfikir nak buat baik pula, belum buat lagi, DIA dah suruh malaikat catatkan di buku pahala. Kak, betapa ramai di luar sana yang kafir dalam keadaan dia tak sedar. Melalui penulisannya, melalui tutur bicaranya. Betapa ramai, kak" suara mula perlahan, tunduk. Terasa lelah.


Lengan terasa dipaut, digosok. "Ati, tugas dakhwah memang macam ni, Ati. Janganlah terasa lelah yang merunsingkan. Ati masih ada saudara-saudara lain, untuk sentiasa membantu. Tugas dakhwah memang akan selalu diganggu oleh syaitan. Sebab mereka terlalu berdendam dengan Nabi Adam kerana kita berpeluang untuk berada di syurga, tapi mereka ditutup habis peluang tu. Bukan adik-adik tu yang menjadi kerunsingan Ati sebenarnya, tapi musuh sebenar adalah syaitan yang kita tak nampak. Teruskanlah berjalan sehingga ke akhirnya dan tugas ini akan tetap diteruskan oleh yang lain. Jangan pernah mengalah dan menyerah."


Tangan ditekup, dan Atirah memeluk kakak di sebelahnya itu. Mengalir air mata, bibir bersuara, "Terima kasih, kak atas tausiyah nya. Saya amat memerlukannya. Terima kasih, kak"


"Takpe, Ati. Tenanglah." dan tangan mengusap lembut Atirah, membiarkannya tenang.


Terlalu ramai manusia di dunia ini yang semakin menyepi dari tugas dakhwah. Melepaskan diri sendiri tetapi terlupa saudara seislamnya yang lain yang masih lagi diregut ganas oleh hasutan syaitan dan keinginan nafsu. Terlalu ramai merasakan dirinya mulia dan memilih untuk tugas-tugas yang menyebelahinya sahaja. Sudah terlalu ramai yang bersifat nafsi-nafsi, memikirkan maslahatnya sedangkan di dalam islam memikirkan maslahat umum.


Tetaplah tenang dan redha serta teruskanlah langkah untuk tetap menarik saudara seislam yang ketandusan peringatan. Tetaplah agar setiap dari kita terus dan berusaha mengajar kepada Allah kerana tugas dakhwah ini tidak akan pernah berakhir.


Kata-kata Imam Hassan al-Banna, perjuangan ini telah lama dimulakan, dan kita semua haruslah tetap meneruskan jika kita benar-benar mengatakan bahawa kita telah mengucap dua kalimah syahadah, mengimani Allah dan Rasul.
 
Terlalu ramai manusia yang begitu terkesan dengan setiap perbuatan manusia di sekelilingnya, yang tanpa dia sedari itu adalah pekerjaan Allah..

"Memang Allah sengaja buat semua tuh. Memang sengaja untuk DIA melihat keimanan seorang hambaNYA. Kalau berputus asa, kecewa, letih, semuanya itu adalah dari syaitan yang nakkan kita rebah. Jangan mengalah. Jangan mengalah"

Terlalu ramai manusia yang semakin letih dengan ujian Allah, dengan pekerjaan Allah. Sudah semakin ramai.....

Sudah semakin ramai..

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”