Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Wednesday 29 February 2012

Bila jari-jemari itu sudah menari...

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Kita hidup bukanlah untuk menjadi seorang manusia yang bukanlah itu diri kita. Kita menjadi hambaNYA bukanlah untuk menandingi sesiapa di dalam beramal dan memberi. Kita berada di dunia ini bukanlah untuk menjadi seorang insan yang hanya berdiri di tengah hujan, lalu jatuh, dan pengsan..berada di suatu alam yang lain. Gelap...

Terkadang, mempamerkan ketenangan di luaran, tidak lah serupa untuk memberitahu manusia apa yang tersirat di dalam hati sendiri. Terkadang, termenung jauh melihat keindahan alam, bukan bermakna meratap, tetapi cuba mencari kekuatan untuk memulakan langkah.

Menopang tongkat di sisi, satu langkah...satu langkah...dan satu lagi. Kepenatan.

"Kak, akak masih bergantung pada ubat ke?"

"Tak, dik. Walaupun sakit, akak tak nak makan ubat dan akak akan bertahan selagi mana akak mampu"

Terkedu.

Wahai dunia, lihatlah dia, berusaha atas satu langkah, dan langkah seterusnya. Wahai dunia, kenapa anda berputus asa atas setiap ketetapan Allah lalu kecewa menjadi makanan ruji hati kalian. Wahai manusia, kita adalah hambaNYA, ayuh, kita teruskan perjalanan kita tanpa memandang ke belakang semula.

Memoir Secangkir Kopi itu ku tulis atas kisah lamaku, bukan sebagai paparan umum, dibukukan dan diedar-edar memberitahu tentang kesulitan hidupku satu masa dahulu, tetapi manuskrip itu adalah kisah lama yang bakal ku bakar, hangus lenyap dari fikiran dan mindaku sendiri dan aku sudah bersedia memulakan langkah baru. Kenangan lama yang aku ingin lenyapkannya, menjadi debu, dan hilang terbang ke cakerawala. Semuanya sudah pergi dan kita tetap perlu teruskan hidup kita.

Kakinya lemah, hampir terjatuh. Dan setitis air mata itu jatuh. "Kaki, jangan mengalah. Berdiri!!" hati itu menjerit dan siapakah yang mendengar...hanya dia dan DIA..

Kita tidak akan pernah dihidangkan dengan kebahagiaan yang berterusan. Kita tidak pernah disajikan dengan kesedihan yang berterusan. Tidak kerana kita akan sentiasa mengalami fasa perubahan, sedikit demi sedikit. Sesungguhnya semua benda akan berubah kecuali "perubahan".

Inna Ma’al ‘Usri Yusra (Sesungguhnya setelah kesulitan ada kemudahan).

Dan kita tetap akan memiliki kebahagiaan itu. Dan kita juga akan tetap mengalami kesedihan itu walaupun kita tidak memintanya. Dan kita akan hadapi 1001 warna kehidupan yang akan mewarnakan kehidupan kita sendiri.

Jika mereka menikam anda, jangan disalahkan mereka kerana dia tetap manusia yang memiliki fitrah untuk berubah.

Jika mereka mengecewakan anda, jangan disalahkan mereka kerana dia tetap manusia yang memiliki fitrah untuk berubah.

Jika mereka menghancurkan hati anda dengan perbuatan mereka, jangan disalahkan mereka kerana dia tetap manusia yang memiliki fitrah untuk berubah.

Dan jangan disalahkan perubahan kerana perubahan itu juga ada pada kita..

Hadapilah wahai hamba Allah dengan hati yang penuh keredhaan. Yang penuh rasa kehambaan, menyatakan betapa lemahnya kita atas perancangan yang tidak pernah sama sekali sehaluan denganNYA. Bersujudlah kepada yang Maha Esa, kerana kita adalah hamba yang tidak pernah sempurna dalam menjalankan ketaatan kepadaNYA. Kembalilah kepada yang Maha Besar kerana kita adalah sekecil-kecil makhluk yang mengharapkan DIA di dalam perjalanan kita.

Dunia ini adalah tempat latihan, dan teruskanlah latihanmu kerana latihan ini tidak pernah berhenti sehingga kita tahu titik noktahnya di mana. Teruskanlah kehidupan ini walau mereka akhirnya akan meninggalkan kalian juga kerana mereka tetap makhluk yang memiliki fitrah "berubah" di dalamnya. Janganlah terlalu kesal, dan janganlah terlalu hiba kerana itu sudah menjadi tugas mereka sehingga sampai di situ sahaja.

Teruskanlah..Teruskanlah...Teruskanlah..

"If the time can came back, what do you wish to do at that time?"

"I wish, i will never do the wrong thing that can be effect me at the future. But, it's forbidden in Islam to think like that. I just want to keep moving forward, and enjoy my life, before the times up"

Dan berjalanlah terus, dan kita akan bahagia..Bahagia dalam perjalanan itu kita berlari mengejar kebahagian di sisiNYA..Mengejar DIA yang sebenarnya dekat walau kita rasa jauh. Mengejar cintaNYA walau sebenarnya DIA menyayangi kita lebih dari seorang ibu menyayangi anaknya. Dan kita akan bahagia dengan mengingati DIA, Allah swt.

Insya Allah

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Monday 27 February 2012

Ganjaran sedih..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Mata terarah ke hadapan, pemandangan hijau yang mendamaikan. Tenang. Bahagia.

Nun di hujung sana, ada jambatan yang menjadikan mata ini tidak berkedip melihat cahaya lampu yang terpancar, lalu mulut bertasbih, memuji keagunganNYA. Subhanallah.

Tersenyum.

Maha Suci Allah, dan segala puji-pujian itu hanyalah milikNYA, yang telah menggerakkan hambaNYA, memberi ilham untuk mencipta sebatas pemandangan yang menyejukkan hati, tenang dan damai. Alhamdulillah. Dan selawat serta salam kepada junjungan nabi kita, Rasulullah Muhammad s.a.w yang telah mengajarkan kepada kita untuk sentiasa bertasbih memuji keagunganNYA, Allah swt, yang tanpa kita sedari, itulah pengubat bagi kesedihan di dunia, merindui yang Maha Perkasa, Allah swt.

Hati ini bukanlah wadah yang keras apabila diuji, tidak terduduk dan mengalir air mata. Jiwa ini bukanlah tempat yang ditakdirkan untuk menerima kegembiraan sahaja. Maka sesungguhnya, segala rasa dan kepelbagaian emosi ini adalah untuk kita tahu, DIA aturkan terlalu banyak rencah di dalam hidup kita. Maka, marilah kita bersyukur kepadaNYA yang telah memberikan kita pelbagai perasaan ini.

Tetikus di'scrol' ke bawah, melihat gambar kehidupan. Melihat segala jerih payah manusia menghadapi kehidupan ini. Terpana. Bukan kerana mengasihani, tetapi mengagumi betapa mereka berjuang untuk sebuah kehidupan. Terkedu. Bukan kerana ingin mengatakan "Kasihannya", tetapi mengasihani diriku sendiri kerana tidak semampu itu untuk menghadapi dunia ini.

Salah satu dari buku karangan Dr Aidh Abdullah al-Qarni berada di tangan, menyelaknya, satu persatu, dan sekali lagi, terdiam melihat semangat juang para pejuang di zaman Rasulullah s.a.w.

Dalam sebuah pertempuran yang sangat hebat pada Perang Uhud, ketika Abdullah ibn Jahsy menyaksikan pedang-pedang memutuskan leheri-leher, dan panah-panah berterbangan di ata kepala-kepala, berteriaklah ia :"Ya Allah!Sungguh aku berharap kepadaMU agar Engkau mempertemukanku dengan seorang musuh-MU yang paling garang, paling tidak suka kepada hamba-MU, dan paling derhaka kepada-Mu, lalu ia berhasil membunuhku, merobek-robek perutku, memotong hidungku, menyongkel mataku, dan menerbangkan telingaku, agar aku dapat bertemu dengan-MU dalam keadaan rosak dan bersimbah darah seperti itu. Sehingga bilamana Engkau tanyakan kepadaku mengapakah aku mati dalam keadaan seperti ini, nescaya akan ku jawab: 'Ini adalah lantaran memperjuangkan agama-Mu, wahai Tuhanku"

Allah, jauhnya aku, jauhnya kita dari perumpamaan untuk menjadi seperti mereka. Melihatkan manusia berjuang untuk kehidupannya, bukan kata-kata kagum, malah, kata-kata yang selalu diungkapkan adalah, "Kesiannya". Bukan itu perkataan yang sesuai, wahai hamba Allah, tetapi lihat pada diri kita yang takut jika ditakdirkan kita menjadi seperti mereka. Perkataan kasihan itu bukan kepada mereka yang akan dijanjikan syurga jika mereka menghadapinya dengan sabar dan tabah, tetapi kasihan itu adalah pada kita, kerana kita tidak diberi peluang untuk meraih ganjaran yang besar begitu. Sedangkan beramalnya kita pun, belum tentu diterima olehNYA, berjuang dengan nafsu dan syaitan apatah lagi kalah dalam keadaan kononnya menang. Inilah kita, kita yang dimaksudkan umat akhir zaman. Maka, bagaimanakah nasib kita apabila berada di sana nanti?

Apatah lagi diuji dengan perasaan, hanya yang difikirkan oleh kita adalah keselesaan perasaan kita sendiri.

"Mereka tak boleh buat macam ni kat aku"

"Kenapalah diaorang kejam sangat sampai buat macam ni kat aku"

Dan bermacam lagi madah yang mengungkap rasa kecewa. Ketahuilah, itulah tanda kasih sayangNYA yang tak nak kita bersedih di sana, kerana kesedihan di sana itu abadi.

"Kak, saya terasa sedih"

"Janganlah bersedih wahai adikku. Lihatlah alam, merenung, bertasbih bersama-sama dengan mereka, hati akan menjadi tenang. Jangan bersedih wahai adikku, kita di dunia ini sementara, maka, lenyapkanlah perasaan sedihmu dan kembalilah berjuang untuk kehidupan ini. Jangan bersedih wahai adikku, sesungguhnya, Allah bersama-sama denganmu"

Dan dua wanita itu tersenyum, kembali melihat alam dan mulut serta hatinya, bertasbih, memuji Allah, sambil berazam untuk sentiasa tabah kerana mengharapkan pertemuan abadi, pertemuan denganNYA dan berkata, "Inilah bukti aku redha dengan ujianMU kerana aku tahu, Engkau tidak pernah meninggalkan aku"

Firman Allah, surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. 

Maka, marilah beriring, bahu membahu menujuNYA, menuju syurgaNYA.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Saturday 25 February 2012

Ada yang bertanya tentang.....URuSaN jOdOH..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.




Khusyuk menulis sesuatu, asyik juga dengan lagu dari Sami Yusuf-Healing. Tenang, damai. Aku tersenyum.

"Kak, apa pendapat akak, kalau akak dah merancang nak berkahwin dengan seorang lelaki ni, tiba-tiba kat tengah-tengah jalan ada perempuan cerita kat akak macam-macam tentang laki tuh sampai akak mula hilang kepercayaan kat laki tuh. Apa pendapat akak?"

Membaca sekilas ceritanya dan aku hanya tersenyum, dan aku mencari-cari kata yang sesuai, untuk menterjemahkan jawapan di dalam fikiran.

"Dik, jika adik tanya itu adik kata di pihak akak, ketahuilah wahai adikku, walau 100 orang perempuan yang buat cerita pun, akak tetap akan teruskan"

Tersenyum.

"Akak tak takut?"



Masih lagi tersenyum, dan merenung semula kata-kata yang sesuai. Dan fikiranku tertacap pada salah satu tajuk di dalam manuskripku, "Siapalah Yang Sanggup?".

Ku tuliskan satu senario yang jarang-jarang perkara ini diterima tapi itulah sebenarnya hakikat yang kita susah hendak terima. Hakikat yang terkadang kita faham, tapi sengaja buat-buat tak faham. Hakikat yang sebenarnya itulah jawapan pada persoalan "kenapa" tapi, jarang-jarang pula manusia hendak terima.

Telinga masih disuakan untuk mendengar satu laporan dari radio IKIM.fm.

"Kajian mengatakan bahawa di zaman ini, ramai yang mengalami tekanan perasaan. Dari analisis ini juga, di dapati 30% adalah para remaja......"

Tersenyum. Ya, benar, dunia sekarang terlalu ramai manusia yang mengalami tekanan perasaan.

"Akak tak nak jadi orang yang mengalami tekanan perasaan, dan kerana itulah akak kaji betul-betul tentang suruhan di dalam Islam, dan larangan di dalam Islam. Subhanallah, terlalu banyak hikmah yang akak terima, dan akak terjemahkan ke dalam manuskrip itu. Manuskrip itu bukan semata-mata akak nak cari keuntungan, tapi akak betul-betul nak sesiapa yang membeli, melihat hikmah di dalamnya. Akak cuma nak manusia yang tercari-cari jalan, kembali melihat peta dengan panduan yang betul, dan menyedari bahawa peta yang sedang dia rujuk itu berada dalam keadaan terbalik. Lalu membetulkannya semula."

Tersenyum.

Masih di hadapan paparan soalan yang sama.



"Takut? Ketahuilah wahai adikku, perkahwinan ini adalah jalan pintas untuk mencari keredhaan Allah, satu jalan yang telah dimudahkan oleh Allah untuk sampai kepadaNYA. Seperti kita dalam perjalanan, kita berjalan kaki. Tiba-tiba di hadapan kita, ada seseorang memberi kita basikal ke, kereta ke, apa-apa jelah yang boleh membantu dalam perjalanan kita. Jadi, perkahwinan itu hanya memudahkan kita untuk sampai kepadaNYA. Kalau berjalan kaki mengambil masa berhari-hari, naik kereta, cuma beberapa jam sahaja. Itulah perkahwinan."

Tangan masih lagi menari di papan kekunci komputer riba, menaip kata-kata yang seterusnya.

"Akak hanya ingin mempergunakan lelaki itu untuk akak mendapatkan keredhaan Allah. Jika akak usaha, dan usaha, tetapi masih tetap ada perkara yang akhirnya ikatan perkahwinan yang dirancang itu tidak menjadi, maka itulah tandanya bukan jodoh. Tapi, sekiranya terjadi ijab dan qabul itu, dan perkara yang dibawa oleh wanita-wanita tadi itu benar, maka, itulah ujian di dalam rumahtangga yang mana tujuannya Allah hadirkan adalah untuk mengangkat darjat kita, jika kita bersabar dan menghadapinya dengan tenang, serta sentiaa berpaut pada Allah. Ingatlah wahai adikku, perkahwinan ini hanya memudahkan kita untuk mendapatkan keredhaan Allah, bukan sebagai titik noktah bahawa kita akan mendapatkan kebahagian. Bila kita masih lagi berada di alam yang fana ini, ingatlah baik-baik kata akak ini, MUSTAHIL untuk satu-satu kebahagiaan itu berpanjangan. Kita akan dapat, tapi hanya sebentar. Yang abadi adalah di sana, di syurga abadi, bukan di dunia. Perkahwinan bukan untuk kebahagiaan, tapi satu perjuangan baru untuk dapatkan keredhaan Allah"

Panjang lebarku menulis, dan ku kongsikan di sini kerana bukanlah hanya seorang adik yang menghadapi perkara ini, malah terlalu ramai yang silih berganti bertanya padaku, dan ku harapkan ada pencerahan bagi yang maih kabur dengan tujuan perkahwinan.

"Kalau adik nak tahu lagi, bolehlah adik tengok dalam manuskrip akak yang adik beli hari tu, dalam tajuk "Siapalah Yang Sanggup". Insya Allah, moga ada pencerahan" Tersenyum.



Tiba-tiba telefon bimbit bergegar, menandakan satu pesanan ringkas sampai ke telefon bimbit.

"Salam, kak. Nak tanya pendapat akak. Ada dua orang lelaki ni menyukai seorang wanita yang sama, jadi wanita ni buat istikharah. Dalam istikharahnya tu, dia dapat petunjuk pada salah seorang lelaki itu. Tapi, tempoh perkahwinan yang dijanjikan adalah tiga tahun lagi. Patutkah wanita tu bagitahu keputusan istikharahnya supaya lelaki yang satu lagi tu tidak berharap pada dia, dan dia boleh fokus pada seorang sahaja. Selepas bagitahu, dia nak serahkan hanya kepada Allah sahaja dan minta lelaki yang dia dapat petunjuk tu supaya tak selalu berhubung dengan dia, dan setia dengan dia. Dan dia juga akan setia pada lelaki itu"

Menerima soalan ini, membuatkan aku terkedu. "Dah terpengaruh dengan novel mana lah budak ni" Tersenyum sambil menggeleng kepala. Masih juga segar di dalam ingatanku pada satu entry yang pernahku tulis mengenai Fitnah Istikharah yang ku beri tajuknya Kesinambungan Istikharah

"Dik, akak takut petunjuk yang dia dapat tuh bukan dari Allah, tapi..Emh, inilah yang dimaksudkan dengan Fitnah Istikharah. Sebab, dia meletakkan tempoh tiga tahun. Dan dalam tempoh tuh, akan berlaku bermacam-macam perkara sebab ianya bukan dari Allah. Itulah fitnah istikharah. Kalau kedua-duanya dah pun berniat untuk kahwin, tak perlu tunggu sampai tiga tahun, teruskan sahaja dengan langkah munakahat yang seterusnya"


"Tapi, kak, dia dua orang ni masih belajar"


Tersenyum.


"Kalau masih belajar, kenapa dah berura-ura nak cop orang kalau tahu belum mampu? Ada jaminankah dia sepanjang tiga tahun tu, dia mampu menjaga? Dan dia jamin ke kalau tidak berlaku apa-apa sepanjang tempoh tu? Dik, dalam manuskrip akak hari tuh, akak ada tulis satu tajuk "Berbicara Mengenai Hubungan Antara Lelaki dan Perempuan" Dalam tu akak ada bincangkan mengenai masalah ini. Dik, halal itu jelas, haram itu jelas, tapi apa yang selalu kita terkandas adalah dalam perkara syubhah, kerana Nabi pernah berkata, perkara syubhah ini menghampiri haram."


"Jadinya kak, apa yang perlu dia buat"


"Diamkan sehingga masa yang sesuai iaitu apabila dah benar-benar yakin mereka dah bersedia untuk menuju ke alam perkahwinan. Dan wanita itu fokus dengan pelajarannya, tak perlu nak jadi seperti mana-mana watak di dalam novel cinta islami, kerana yang menuli novel ini bisa sahaja menulis apa sahaja meletakkan apa yang patut dan apa yang tidak sedangkan setiap manusia ini iman dan ketakwaan berbeza-beza. Pegang pada ayat quran, surah adz-Zhariyyat, ayat 56, Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. Cukup jelas ayat Quran itu, jadi, fahamkan betul-betul, hidup kita di dunia bukan semata-mata nak kahwin je. Pada lelaki yang seorang lagi, katakan cari wanita lain kerana dia hanya nak tumpukan pada pelajaran buat masa ini. Jodoh itu terserah pada Allah."

Hiba dan tersayat hati terkadang kerana mereka yang muda ini selalu tersasar pada niat asal diciptakan mereka di dunia ini. Ya, aku juga salah seorang darinya, tapi aku telah memilih saudara seislam yang ada di sisiku untuk sentiasa mengetukku agar kembali semula kepadaNYA. Alhamdulillah.

Jangan kita lupa, syaitan itu masih hidup, dan mereka akan tetap berusaha untuk memecah-belahkan umat Muhammad s.a.w. Janganlah kerana perasaan, kita memikirkan kepuasan hati, lalu kita sanggup pula berpecah-belah hanya semata-mata perasaan.

Ketahuilah, setiap ujian dan masalah yang hadir itu terlalu simple dan akan menjadi rumit serta komplek bila disertakan dengan perasaan. Sesungguhnya, ujian itu tujuannya adalah untuk kita kembali semula kepadaNYA, Allah swt.

Semoga hati-hati yang ditimpa dengan masalah perasaan ini akan memahami bahawa setiap ujian itu adalah untuk kita kembali semula kepadaNYA, memeriksa hubungan kita dengan Allah.

Wallahu'alam.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Wednesday 15 February 2012

Sebarkanlah salam..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Sekonyong-konyongku melihat, merenung dan kemudian memejamkan mata. "Subhanallah"

Indahnya pemandangan yang Kau sajikan ini, mendamaikan, menyejukkan hatiku yang sedang gundah. Maha Besar-Mu ya Allah, Maha Berkuasanya Mu ya Allah kerana telah menciptakan seindah ini alamMU.

Mata masih lagi merenung, berada di tepi masjid, menghadap ke arah tasik. Tiba-tiba salah seorang kanak-kanak arab yang berlalu di hadapanku merenung, mengamati aku. Aku tersenyum, dan melambai-lambai tangan ke arahnya. Dan dibalas senyuman, dan lambaian bertukar. Bahagia.

Seorang wanita Arab, berjilbab, berlalu di hadapanku, dan kemudian menyapaku, "Assalamualaikum" Terpana sebentar. Ah, indah, indah sungguh suaranya, ya Allah, dan ku balas, "Wa'alaikumussalam warahmatullah"

Benarlah ya Allah, benarlah akan kata-kata kekasihMU, Rasulullah Muhammad s.a.w atas satu hadithnya.


"Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak beriman, hingga kamu saling sayang menyayangi. Mahukah kamu aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu melakukannya, kamu akan saling sayang menyayangi? Sebarkanlah salam sesama kamu." (Muslim)

Maka, sungguhlah benar kata-kata kekasihMU ya Allah.

Manusia dijadikan bersaudara dan dicampakkan perasaan kasih dan sayang ke dalam setiap hati hamba-hambaNYA, dan sesungguhnya kita bertuah kerana diberi peluang untuk merasainya.

Segar di ingatanku akan salah satu cerpen yang ku karang di dalam manuskripku, mengenai seorang wanita yang layu kelelahan, dan tidak mampu untuk memahami hakikat yang di alaminya. Dan didatangkan seorang sahabat, yang permulaannya dimulakan dengan "Assalamualaikum, kak"

Indah, tersangatlah indah, kerana di dalam setiap perjalananku, aku seringkali bertemu dengan manusia-manusia yang memulakan ukhwah denganku melalui ucapan, "Assalamualaikum", menegurku yang sedang khusyuk mengamati ragam manusia, khusyuk dengan mushaf, dan khusyuk juga dengan paparan skrin telefon bimbitku.

Berkasih sayanglah wahai hati-hati yang dikurniakan dengan rahmatNYA, maka berkasih sayanglah untuk bersama-sama mencari keredhaanNYA.

Bukanlah kita dijadikan sebagai hambaNYA yang ingin berdebat, berkata-kata seumpama di dunia ini hanya punya satu jalan sahaja. Bukanlah dijadikan satu lorong sahaja untuk kita sampai ke destinasi kita. Bukan.

"Ya, Islam sudah dijanjikan menang, pasti akan menang kerana itu adalah janji Allah. Tapi, Allah bukan nak tengok kita menang, tapi Allah nak tengok bagaimana usaha kita untuk mendapatkan kemenangan yang dijanjikan. Janganlah kita menyempitkan fikiran kita dengan menyatakan hanya pendapat kita sahaja yang benar. Raikan setiap usaha, dan sentiasalah berpaut pada al-Quran dan Sunnah"

Maka, berpegang-peganglah tangan anda bersama-sama, beriringan, dan pada sesiapa yang kita temui, maka hulurkanlah salam, hulurkan persahabatan, dan hulurkanlah tangan, agar kita beriringan, menuju ke destinasi abadi, iaitu syurga Allah.

Marilah, kita sebarkan salam, kerana di dalamnya ada rahmat dariNYA. Satu bentuk kasih sayang yang DIA turunkan buat hamba-hambaNYA yang beriman. Sebarkanlah salam, dan seringlah kita bersama-sama mengingatiNYA, mencari keredhaanNYA.

Marilah..

Ukhwah adalah syarat menuju kemenangan, sementara pertikaian hanya membawa kelemahan dan kekalahan. Bagi mereka yang benar-benar setia pada Allah dan Rasulullah saw tidak bertikaian sesama sendiri yang tiada penghujung jalannya.

Begitu Rasulullah menegaskan " Janganlah kalian saling dengki, janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling menjauh. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara"

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Monday 13 February 2012

Selamat Hari Lahir...

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



"Pertama kali saya tengok akak, akak nampak macam tenang je. Memang betullah, kan kak, yang kat dalam tu susah nak ditebak. Bila saya baca buku akak, rupanya..."

Mata masih terpaku pada pemandangan. Malam tu, berpeluang, dan peluang yang DIA sediakan untuk aku tenang sebentar, tenang dengan alamNYA, bersama-sama membesarkan Sang Pencipta. Subhanallah. Subhanallah. Subhanallah.

"Sebab adik selalu nampak akak menangis. Adik tak nak akak menangis lagi"

Panas, bebola mata itu terasa panas. Bergenang, empangan itu sedang dipenuhi yang menanti untuk pecah.



Di hadapan sekalian manusia, pamerkanlah dengan sebaik-baik hikmah, pamerkanlah dengan sebahagia yang mungkin agar mereka terasa bahagia berada di sisi kita. Di hadapan sekalian saudara seislam, tunjukkanlah, tunjukkanlah sebuah ketenangan yang menyejukkan kerana ianya bagai air yang mendamaikan bagi sekalian manusia apabila merapati kita.

Dunia ini dijadikan satu hamparan latihan, yang mana menjadi satu ingatan kepada kita. Yang mana, latihan itu terkadang memberikan kesan kepada kita, tak kiralah pada fizikal atau hati. Terkadang, latihan itu boleh menjadikan kita terawang-awangan dari tujuan utama kita berada di dunia ini. Latihan itu juga, ada kalanya benar-benar membuatkan kita terhenti di satu stesen, kerana takut untuk melangkah seterusnya.

Inilah dunia yang kebanyakan manusia saling kejar mengejar mencari kepuasan, mencari kesempurnaan.

Di dalam aku melangkah, mencari dan terus mencari, seringkali aku bertemu dengan si musang yang menyamar menjadi kambing biri-biri, yang ku sangkakan mendamaikan. Acap kali juga aku bertemu dengan sekalian manusia yang benar-benar merobek dan meluluhkan hatiku. Bukan tiada kerana itulah tugas manusia yang berada di sisi kita, tugas yang menjadi ujian kepada kita.

Dalam aku melangkah, bukan aku tidak pernah terkesan dek tingkah-laku manusia, tapi, itulah dia, manusia yang telah diciptakan untuk kita berfikir akan kekuasaanNYA, bukan memikirkan kelancaran perancangan kita apabila berada di dunia ini.



Hari lahir, adalah satu tarikh yang diraikan oleh sekalian manusia bagi menyatakan pertambahan umur kita. Ulangtahun, adalah satu hari di dalam setiap tahun yang dinanti-nantikan untuk kita semua merasai bertambahnya kematanagn kita untuk melihat setiap kejadian lepas.

Jarang manusia ingin memikirkan atas jasanya pada Islam. Apa yang difikirkan adalah bagaimana untuk menyempurnakan hidup, memiliki sebuah rumah yang selesa, kereta yang laju meluncur di atas jalan raya, tidak tersengguk-sengguk, serta harta kekayaan yang melimpah. Hanya semata-mata untuk memenuhi kepuasan hatinya.

Dan tidak kurang juga yang acap kali berfikir-fikir akan kesilapan manusia pada dirinya.

"Benar, dia ada buat silap pada akak, tapi akak masih lagi berfikir kebaikannya pada akak, maka segala pahit yang diberikan itu akan diraikan dengan kebaikan yang pernah dia berikan. Jangan mengharapkan manusia itu pada hari ini baik, esoknya dia masih tetap baik, tapi ketahuilah, manusia ini bersifat sentiasa berubah-rubah. Maka, jadikanlah setiapnya untuk kita hargai supaya kita tahu, hidup kita tidak pernah membosankan"

Tersenyum.

Maka, inilah sahaja yang mampu aku lakukan, inilah sahaja yang aku terdaya, dan ketika saat ini, aku hanya katakan, aku ingin seluruh hidupku, ku habiskan untuk menghayati keindahan islam di dalam hidupku, dan bukanlah disebabkan kehadiran manusia, aku menjadi bahagia. Aku bahagia kerana aku dilahirkan menjadi seorang islam dan aku ingin menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang islam disamping mencari mutiara iman itu.

Memoir Secangkir Kopi, adalah satu usahaku, satu caraku, jika benarlah kata-kata manusia sekeliling tulisanku itu menyejukkan dan mendamaikan membawa manusia kepadaNYA, maka aku cuba dan cuba untuk membawa manusia kepadaNYA.

Apabila anda sudi menghulurkan sedikit nilaian harta dunia, maka ketika itulah hati anda telah terbuka untuk mengetahui barang daganganNYA, iaitu ilmu Allah. Aku hanya perantara, malah menggunakan barang pinjaman dariNYA pula untuk berdagang, maka, tidaklah sesuai jika manusia ingin mengetahui latar belakang orang tengah ini. Tapi, kenalilah Allah, yang telah mengizinkan aku berdagang menggunakan harta pinjaman dariNYA. Maka, inilah dia, ilmuNYA, yang ingin ku kongsikan.

Terima kasih buat sahabat-sahabat yang telah memberi respon untuk reserve dan membeli secara langsung serta tak langsung manuskrip ini. Hanya sekalung ucapan terima kasihku kepada kalian, kerana kalian membantu 'orang tengah' ini untuk mendapatkan manfaat dari pinjamanNYA. Terima kasih, wahai sahabat-sahabatku.

Dari manuskrip ini, ambillah ilmuNYA. Aku hanya olah ilmuNYA melalui sedikit kehidupanku agar kalian yang membaca dapat memahami, setitis kecil dari seluas lautan ilmuNYA. Fahamilah ilmuNYA dan aplikasikanlah di dalam kehidupan kalian, kerana kita tidak mempunyai jalan cerita yang sama, tetapi kita belajar ilmuNYA yang sama. Fahamilah dan aplikasikanlah kerana dengan dua perkara ini, kalian akan bahagia dengan setiap ketetapanNYA.

Terima kasih.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Saturday 11 February 2012

Memoir Secangkir Kopi

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Pitam. Kepala berpusing-pusing. Badan dah ku ngongoikan, berjalan dan kemudian rebah ke katil. Kelam dan...terlena. Pengsan.

"Untuk jangka masa panjang, awak nanti akan kerap pengsan" Dan wanita di hadapanku menyatakan nama simptom yang ku alami, membuatkan aku terkedu. Terpempan.

Seteguk, dua dan cangkir itu ku letakkan kembali ke piringnya. Puas dan aku mengimbas kembali kejadian lepas.

"Saya ada bagi kawan-kawan saya baca blog Kak Long, semuanya cakap, bila dia baca, dia terasa tertarik nak habiskan. Diaorang kata, kalau buat buku, membuatkan orang nak baca"

"Insya Allah, kalau Allah izinkan, tak buku, manuskrip pun jadilah, kan?"

Tersenyum.

Mengamati alam ciptaan Allah, menghayati kebesaran Allah, dan berfikir betapa agungnya yang Maha Agung, Allah swt. Setiap kejadian dan kehendakNYA pastilah akan berlaku jika DIA menghendaki sedemikian. Maka, aku sedang hidup dalam aliran takdir dariNYA.

Dua sebab kenapa manuskrip ini hadir. Dua sebab yang menjadikan aku mengusahakannya juga. Dua sebab, manuskrip Memoir Secangkir Kopi ini akhirnya keluar di paparan umum untuk dipersembahkan.

Dua sebab...

"Awak kene makan supplement ni sampailah awak mati. Tak boleh tak makan. Awak tu eksiden teruk. Penyembuhan dah takda, awak cuma boleh menahan sahaja, selagi termampu"

Hasil dari jualan, walaupun tak banyak, adalah satu usaha saya untuk menampung perbelanjaan saya bagi proses "menahan" yang dikata. Benar, aku sudah tidak boleh dikatakan sihat, kerana nikmat itu telah diambil olehNYA.

"Dik, Nabi kata, 5 perkara sebelum 5 perkara, kan. Akak dah alami 4 dari 5 perkara, tinggal satu je lagi dik. Hi3..." Dan pesanan ringkas itu dihantar ke penerimanya.

Tiada balasan.

Benar, tidak ramai yang suka untuk membicarakan hal kematian sedangkan itulah perkara hakikat yang pasti akan berlaku. Cuma manusia suka untuk mempertikaikannya.

Setelah kejadian besar itu, sebahagian besar nikmatNYA telah diambil, hatta, ingatanku juga pada ilmuNYA telah hilang bersama-sama dengan kejadian itu. Menjadikan saya adalah seorang penganggur yang tidak mampu untuk bekerja di dalam bidang saya sendiri.

"mRNA?? Allah" tepuk dahi. Aku sudah lupa. Menyelak-nyelak lembaran catatan tebal cendekiawan Barat itu, menjadikan aku semakin terpinga-pinga. Allah, kat mana bermulanya ilmu ini yang sebenarnya? Menggaru kepala, dan akhirnya aku menutup buku berkulit tebal itu.

Naskah ini juga adalah lembaran yang pernah satu ketika dahulu aku cuba dan cuba untuk usahakan bagi memenuhi permintaan saudara seislamku. Akhirnya, dengan izin Allah, karya itu terhasil. Walaupun tidaklah sesempurna mana, tetapi cubalah, cubalah wahai hati yang ingin mengetahui, ambillah hikmah dari penceritaan itu kerna jalan cerita kita semua tidak sama. Tidak sama. Maka, ambillah hikmahnya.

Inilah dua sebab yang ku katakan, dan dengan rendah hati, aku ingin mempersembahkan manuskrip Memoir Secangkir Kopi agar ianya menjadi tatapan pembaca yang mencari hikmah, bukanah jalan cerita yang sama. Hikmah yang mana sebahagian manusia melihatnya berbeza-beza.

Senaskah, insya Allah, berharga RM15.00. Bersam-sama dengan kos penghantaran, RM5.00 menjadikan manuskrip ini berharga keseluruhan, insya Allah, RM20.00.

Sekiranya saudara-saudari berminat, bolehlah menghantar komen dan urusan jual-beli akan berlangsung secara private. Insya Allah.

Setiap pembelian, ku dahulukan dengan sekalung terima kasih, kerana dalam tidak sedar, itulah rezeki untukku meneruskan proses "menahan" yang telah ku katakan di atas.

TERIMA KASIH.

PERIHAL MANUSKRIP
Harga Senaskah : RM15
Bayaran postage : RM5
Bayaran Keseluruhan : RM20

CARA-CARA PEMBAYARAN.
Melalui bank-in ke dalam akaun sama ada CIMB atau MayBank
CIMB, 05060142026528 (Nor Atiqah Binti Zulkifli)..
MayBank 155015056698 (Nor Atiqah Binti Zulkifli)

Setelah melakukan pembayaran, emeilkan bukti pembayaran serta alamat penghantaran ke
are_tq@yahoo.com


SYUKRAN JAZILAN ATAS PEMBELIAN ANDA, SEMOGA ALLAH MERAHMATI ANDA SEKALIAN..
 
Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Tuesday 7 February 2012

Hiduplah dengan sekehendaknya...

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Manusia itu terlalu senang dengan perkataan, "Saya takut dia terasa"

Manusia itu terlalu senang memikirkan perihal perasaan manusia dari terus memperkatakan kebenaran.

Manusia ini bisa sahaja lemah apabila hidupnya dipengaruhi oleh perasaan.

Inilah manusia, yang tidak pernah lepas dari perasaan.

Bila kita benar-benar fahami hakikat setiap ketetapanNYA, ianya hanyalah akan membawa kita menuju kepadaNYA.

Jika benar kita sudah faham akan kehendakNYA, kita tidak akan pernah terpalit hatta terkesan dengan setiap ketentuanNYA yang barangkali akan merenggut hati, meremukkan perasaan, dan menghancurkan segala perancangan kita.

Jikalah kita ini faham hakikat kita ini adalah hambaNYA yang benar-benar beruntung dipilih untuk menggalas beban tanggungjawab sebagai khalifah, kita takkan terasa dengan setiap yang berlaku di sekeliling kita.

Benar, benarlah wahai manusia, kita ini adalah hambaNYA, yang tidak pernah tidak melakukan kesilapan. Tidak sama sekali..Kita adalah manusia yang memang diciptakan untuk melakukan dosa dan kesilapan kerana kita bukanlah ma'sum, satu keistimewaan yang telah diberikan kepada insan yang terpilih, iaitu Rasulullah s.a.w.

Ada manusia berkata, kita kene berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan dakhwah, memaksa manusia untuk terima setiap kata-kata kita, cuba dan berusaha menyedarkan manusia tentang kesilapannya...

Ada manusia pula berkata, kita jangan tinggalkan manusia-manusia yang alpa dengan segala kebenaran dariNYA, jangan sama sekali putuskan persahabatan dengan manusia yang telah berkali-kali menyakiti hati kita, menikam kita bertubi-tubi sehingga kita yang terduduk dan lelah dengan usaha kita.

Ada orang kata...

Ada orang kata pula..

Semuanya adalah kata-kata manusia yang mereka juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Tapi, kita benar-benar terkesan dengan segala kata-katanya.

Inilah manusia.

Maka, untuk apakah kita ditakdirkan menjadi saudara seislamnya jika dia sendiri tidak mahu menerima segala nasihat kita, malah memandang lesu atas setiap kata-kata kita. Untuk apakah?

Berikanlah kata-kata yang mampu kepada manusia sekeliling, dah jika kita tak mampu, maka, berdiam dirilah dan bertasbihlah memuji Allah kerana disediakan untuk kita atas kata-kata itu untuk menjaga kita dari berkata-kata yang tidak benar. Dan hiduplah dengan sebaiknya. Serta berbahagialah dengan segala yang telah direncanakan untuk kita.

Hidup ini telah ditentukan dan ditetapkan olehNYA. Maka, hampirilah DIA dengan semampunya. Bersabarlah dan sentiasalah awasi setiap langkah kita, kerana dalam langkah itu, akan ada tafsiran-tafsiran yang tidak benar, maka berpautlah dengan taubat, kerana disediakan taubat untuk kita membetulkan segala salah dan silap kita.

Hiduplah dengan sebaiknya, hanya untukNYA demi mencari keredhaan Allah..

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”