Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Sunday 4 January 2015

Kafarah dosa dan Ujian.


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Apabila setiap saat dan waktu kita memutarkan kembali kisah kita, pasti akan ada lompang yang sebenarnya DIA sedang menampalkannya kembali.


Aku mendengar tazkirah di radio IKIM. Terkesima.


Dunia dakhwah itu terlalu berat untukku. Terlalu menyakitkan hati.


"Kalau kau berjaya, kak, ganjaran pahala akhirat banyak untuk ko tu" teriang-iang di telinga dan terimbas-imbas di fikiran. Dan akhirnya air mataku mengalir.


Hati terdetik, "Bukan itu yang diharapkan, aku hanya nakkan ketenangan beribadat, bukan hadiah. Aku hanya ingin teratur mendekatiNYA"


Allah. Terlalu sempit yang aku fikirkan tanpa aku kembali bermuhasabah akan apa yang telah aku lakukan. Bukankah kafarah dosa di dunia itu suatu bentuk kasih sayang dariNYA yang tak nak aku menghadapinya di sana kerana aku tahu, kafarah dosa di sana lebih lagi berat dari kafarah dosa di dunia.


Allah.


Dan akhirnya aku hanya redup melihat jauh ke sana. Pemandangan yang meruntun hatiku. "DIA sedang berbicara dengan engkau, kak" Dan sekali lagi aku terkesima.


Aku hanya berdiri kaku dan berfikir. Dan air mata itu masih tidak mahu berhenti dari mengalir. Ku seka empangan itu dan lagakku seolah-olah orang selsema.


Hidup ini masih panjang dan aku semakin lelah.


"Semakin hampir kita denganNYA, semakin getir ujianNYA, kak. Ko kene ingat tu"


Allah


Setiap kali aku ingin menyalahkan takdir, entah kenapa kesilapan-kesilapan itu tampil hadir dan berkata, "Bukankah kau pernah lakukan ini...itu...ini...itu..." dan akhirnya aku terduduk. Benar ya Allah, tiada ruang dan kesempatan pun yang aku tidak layak menerima kafarah ini kerana aku telah melakukan terlalu banyak kesilapan sehingga aku sendiri terduduk. Terdiam untuk berkata, "Kenapa Engkau berikan semua kepahitan ini"


Allah.


Maka hati ini perlahan mengiyakan dan pasrah untuk cuba redha akan semua kafarah dosa ini. Hanya sahaja aku berdoa agar imanku terjaga. Berdoa supaya iman ku ini terpelihara dari terus-terusan memberontak denganMU.


Allah.



Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
 ~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Tuesday 5 August 2014

Selfie...


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Kaki melangkah ke dalam lif. Saya melihat ada seorang wanita turut sama membuntuti masuk ke dalam lif. Di tangannya ada sebuah bakul yang diisi dengan seekor kucing. Tiba-tiba kucing tersebut seolah-olah takut berada di dalam lif.


"Selfie! Kejap, kejap je lagi kita dah nak sampai"


Saya dan adik dah pun tersenyum-senyum melihat keletah kucing itu.


Fikiran saya seperti sedang mengingati sesuatu. "Selfie? Macam pernah dengar je perkataan tu" Fikiran masih lagi mencari punca. 'Di mana agaknya aku pernah dengar perkataan tu.'


Sampai sahaja di rumah adik, ditayangkan record cerita "Hantu Selfie". Oh, baru saya perasan, Selfie itu adalah bergambar.


Saya menjadi tersenyum, dan fikiran juga mula terimbas pada status seseorang yang dengan kasarnya berkongsi satu gambar kata-kata tentang wanita yang suka bergambar. Wanita berpurdah yang suka bergambar untuk lebih spesifik lagi. Saya masih lagi tersenyum.


"Akak, apa pendapat akak tentang status ni?" menerima satu pesanan whatsapp dari seorang adik. Saya masih lagi tersenyum kerana pendapat yang diinginkan dari saya adalah mengenai status seorang lelaki yang membuat perbandingan di antara dua wanita, berpurdah tetapi suka berselfie dan upload di instagram dan wanita yang cukup menutup auratnya tetapi dijaga gambarnya dari tersebar dari tontonan ramai. Lebih baik lagi pilihan yang kedua.


Saya tersenyum.


Hari ini, juga dikejutkan dengan satu perkongsian note di FB tentang pendapat peribadi seseorang tentang isu yang sama.


Tiba-tiba hati saya terdetik, "Wah, isu yang agak panas juga rupanya"


Entahlah kenapa, saya kurang berminat untuk komen tentang dua pendapat ini. Entahlah kenapa, saya seperti melihat-lihat pertelingkahan pendapat manusia pada perkara cabang yang sebenarnya tidak perlu diperselisihkan. Entahlah kenapa, kerana wanita-wanita yang saya yakin ilmu dan imannya, turut sama berlumba-lumba untuk memberi pendapat, seperti meraih statistik yang tinggi untuk mendapat sokongan atas manifestonya yang tak bertauliah di dewan Facebook.


Saya masih lagi tersenyum. Tersenyum kerana memikirkan jika diberi pendapat, samalah saya seperti mereka, dan jika tidak diberi pendapat, maka terlepaslah peluang saya untuk memberi pencerahan kepada manusia yang sedang dilaga-lagakan oleh syaitan laknatullah yang tidak kelihatan.


Entahlah.


Saya pernah menegur, oh,tidak, barangkali bukan menegur tetapi hanya memberi pendapat kepada beberapa sahabat yang secara tidak langsung mengenai pemikiran saya yang tidak suka bergambar dan kurang pula untuk upload gambar. Entahlah, jika diceritakan tentang pemikiran dan pendapat saya sendiri, barangkali panjang lebar tulisan entry ini sebanyak 1 meter pun masih belum mencukupi untuk saya menjelaskannya.


Saya tersenyum.


Manusia itu jika ingin berhujjah, sehingga lupa dirinya juga pernah melakukan perkara yang sama dahulu. Manusia itu jika menulis status selalu terlupa pada masa akan datang belum ada jaminan yang dirinya terhindar dari melakukan apa yang ditulis.


Seperti kata-kata yang selalu diungkapkan, "Manusia itu mudah lupa". Dan sekali lagi, saya hanya tersenyum.


Bukan saya tidak terlepas dari meletakkan gambar, tapi saya cepat-cepat disedarkan oleh ramai sahabat  fillah yang menjaga aib sahabatnya ini.

"Ukhti, kalau ana tegur sikit, jangan terasa ye. Ana lebih suka gambar ukhti yang sebelum ini, tidak kelihatan matanya, ditangkap dari sisi untuk menyembunyikan pandangan mata ukhti. Walaupun ukhti berpurdah, tapi rasanya tak elok untuk meletakkan gambar yang sekarang ni sebagai tontonan ramai"
" Oh, tak mengapa. Nasihat yang sangat berguna untuk ana. Terima kasih atas keprihatinannya"
Saya tersenyum sambil mengucapkan syukur atas kehadiran sahabat yang menjaga aib sahabatnya

Tapi, bila saya pula menegur beberapa sahabat yang terlalu gembira meletakkan gambar aktiviti mereka di paparan umum, walau saya yakin dengan iman dan kefahamannya pada agama, lain pula yang saya terima. Pelbagai hujjah untuk membenarkan kesukaannya.


"Takpelah, niat ana cuma nak bagi kesedaran pada orang lain. Ini pun satu dakhwah juga"
"Alar, untuk tatapan mereka yang tak dapat datang hadir ke majlis saya, apa salahnya, kak"
"Kita tak boleh lah nak cakap macam tu sebab niat kita nak bergambar ni pun, Allah sahaja yang tahu"


Dan banyak lagi.


Tapi, bila masa yang dahulu berjalan, dan kini berlari meninggalkan masa muda, mereka ini tersedar sendiri. Maha Suci Allah yang menggerakkan hati-hati mereka, dan dengan rahmatNYA membuka pintu hidayahNYA.


Tetapi, lama-lama, lain pula jadinya mereka kini, begitu galak memberi hujjah dan pendapat sehingga lagak gayanya seperti mereka tidak pernah melakukan perkara yang sama dahulu.


Entahlah. Dunia sekarang dah semakin pelik. Dan semua kepelikan ini telah diceritakan oleh para ulama' terdahulu dan para sahabat Nabi, hasil dari tarbiyah baginda dan kefahaman mereka pada nasihat baginda Rasulullah s.a.w.


Sama ada seseorang manusia itu suka berselfie atau tidak, tidaklah menentukan baik atau jahatnya mereka, tetapi kefahaman agama mereka yang semakin cetek atau masih di peringkat permulaan. Sama ada mereka menulis status berlatar belakangkan gambar mereka dengan niat berdakhwah atau mempamerkan riak kebaikan mereka, bukanlah menentukan siapa mereka di pandangan manusia lain, tapi cara mereka meletakkan diri sendiri di dalam permainan dunia. Seperti berada di hujung tanduk, untung-untung diri, sempat diselamatkan, tapi kalau tak, maka jatuh berderai bersepai di tanah.


Tidak perlu kita menilai mereka sama ada yang suka berselfie itu begini begitu, atau yang tidak suka bergambar itu pula begini dan begitu, kerana itu bukanlah tugas kita. Penilaian dan habuan semua adalah milik Allah. Dan sesungguhnya kerja Allah itu terlalu berat untuk seorang hamba yang kerdil ini menanggungnya. Silap tertanggung, bahu menjadi senget, silap terambil tugas, kita pula yang kepenatan atas kerja yang tidak ditugaskan untuk kita.


Dan perlulah kita sedar untuk diri sendiri bahawa setiap manusia itu pasti melakukan kesilapan. Selagi mata belum terpejam, maka kesilapan itu akan sentiasa mengekori kita tanpa kita minta. Ambillah setiap kata-kata yang hadir bukan sebagai pemula kepada sebuah pergaduhan dan pertelingkahan tetapi, jadikanlah ia sebagai satu bahasa Allah, menegur dan untuk kita memperbaiki diri kita menjadi yang lebih baik.


Ambillah setiap kata-kata yang hadir, walau kita tidak menyukainya dengan pandangan pembuka ilmu. Carilah seorang yang kita yakin agamanya, dan bertanyakan pendapatnya. Dan jangan hanya mengambil satu pendapat sahaja, ambillah dan carilah seberapa banyak pendapat dan ingatlah bahawa dalam setiap pendapat mereka, jangan kita ambil jika ianya berlandaskan atas alasan emosi. Tanyakan dalil-dalilnya dan timbang taralah setiapnya untuk kita menyusun kembali langkah kita seterusnya. Jika pandangan iman kita mengatakan lebih banyak mudarat, maka tinggalkanlah.


Jika susah, mulakanlah dengan perlahan-lahan.


Tujuan kita dihidupkan di dunia ini bukanlah untuk kita menjadi rujukan tetapi adalah untuk kita sentiasa berhati-hati dengan setiap langkah kita. Sebab perjalanan kita masih lagi jauh, tujuan kita hanya satu sahaja, keredhaan Allah swt.


Jika dalam langkah kita itu, kata-kata berselfie itu boleh menggugah keimanan kita dan perjalanan kita walau sekuat mana pun kita menjaganya, maka, lebih baik tinggalkan. Tapi, jika dengan bergambar itu boleh memberikan sesuatu makna di dalam erti kehidupan kita, maka, berpada-padalah kerana setiap yang kita kerjakan dan yang kita lakukan akan dipersoalkan di sana, dihisab dengan sangat teliti sehingga kita tidak mampu terlepas dari persoalan yang menggetarkan lutut kita.


Seperti satu kisah ini, diceritakan Siti Aisyah dihadiahkan dengan satu baju yang cantik, sehingga dia mencintai baju itu. Lalu Abu Bakar melihatnya dan dia berkata, "Wahai Aisyah, aku terbau kan bau riak di wajahmu. Jika engkau mengetahui dari mana datangnya, maka tinggalkanlah kerana Allah tidak memandang wajah manusia yang memiliki hati yang riak" Lalu menangislah Siti Aisyah teresak-esak dan dia menanggalkan baju itu dan diberikan kepada fakir miskin.


Wahai hati yang begitu yakin dengan kata-kata dari bibir sendiri mengatakan bahawa tidak akan hadir sekelumit riak di benak anda, tanyakan pada dirimu, apakah jaminan yang anda boleh berikan yang anda tidak akan tersimpang dari niat anda sedangkan hati kita semua dipegang oleh Allah. Jika tanpa rahmatNYA, pastilah islam itu seperti tetamu yang keluar masuk dan bukan sebagai penghuni di hati kita. Sesungguhnya kita memerlukan rahmatNYA untuk kita berjalan terus di muka bumi ini.


Maha Suci Allah.


Maka, jika kalian yakin kalian adalah yang terpelihara, maka buatlah sesuka hati kalian, bergambar atau apa sahaja kerna sesungguhnya hanya di sana sahaja kalian akan terlepas dari suara-suara tegahan dan kata-kata keras dari manusia. Dan sesungguhnya di sana tiadalah lagi masa untuk bergambar tetapi masa untuk berjawab di hadapan Allah..


Maha Suci Allah.


Tanya iman, tanya diri, mana yang baik untuk jawapan di hadapan Allah, maka teruskanlah jika yakin Allah menerima jawapan anda.



Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Sunday 20 April 2014

Firasat orang beriman...


Bismillahirrahmannirrahim


Lama sangat rasanya tak menjengah dan tidak menulis kata-kata di ruangan hati ini, teratak yang mendamaikan.


 Lama juga saya memerhatikan kehidupan ini sehingga saya terdengar satu kata-kata ketika suatu perbincangan di antara dua orang abang saya yang khusyuk bercerita tentang satu isu, tentang kesahihan pada kisah-kisah para ulama.


"Kalau macam tu, nak kata *he*kh ****u**n buat cite tipu?" saya tersentak dengan satu kata-kata sampuk dari seseorang. Hati saya beristigfar.


Inilah manusia di akhir zaman yang terlalu mengikut kata-kata fikiran tanpa hati dan akal penuh dengan ilmu di dada. Mereka bersuara atas rasa hati yang menginginkan kebenaran tanpa mereka sedari tugas mereka yang sebenarnya adalah untuk mencari hakikat kebenaran yang sebenar, iaitu kebenaran hakikat diri sendiri.


Tak ramai manusia di akhir zaman ini yang benar-benar mencari dirinya sendiri siapa. Mereka terlalu mencari kebenaran yang hakikatnya bukanlah tugas mereka untuk membuktikannya.


"Kalau nak akak yang jadi naqibah awak, awak kene ikut syarat akak. Sanggup?"

"Apa dia, kak?"

"Selama beberapa tahun, awak tidak dibenarkan mempersoalkan, tapi awak kene belajar untuk berdiam dan mendengar"

"Gulp"


Sifat manusia apabila dia mendengar, fikirannya mula mempersoalkan 'kenapa' melebihi dari hati yang cuba ingin memahami pada satu pelajaran Allah. 


Dahulu, saya pun seorang yang terlalu berkata lantang atas 'rasa' yang saya rasa. Dan saya yakin apa yang saya rasa itu adalah berlandaskan ilmu yang terlalu cetek yang saya perolehi dari satu dua buah buku dan artikel-artikel internet yang bersepah bertebaran di laman yang luas ini.


"Jangan terlalu banyak bersoal, kak. Tak ingat ke hadith 40 tentang orang yang banyak tanya. Nabi kata, aku melihat banyak ummat yang dimusnahkan kerana terlalu banyak bertanya. Apa yang aku suruh, buat sekadar mampu, dan perkara yang aku larang, tinggalkan. Itu je"


Macam ledakan bom atom jatuh kat kepala. Bukan sebab saya rasa kalah, tapi saya baru tersedar, saya tak pernah dengar hadith tu, dan saya sedar betapa terlalu sikitnya ilmu saya, tapi bercakap lantang macam tahu seisi dunia. Astagfirullah.


Selepas tu, saya mula tambah minor subjek-subjek syariah dan bahasa arab dalam pengajian degree saya, dan saya mengambil keputusan untuk membuat kajian tentang maqasid syariah di dalam pengajian master saya.


Perlahan-lahan, apa yang saya terima, banyak membuatkan saya lebih banyak diam dan terdiam. Saya kurang berkata lantang tentang kebenaran yang saya 'rasa', tapi saya mula memerhatikan kehidupan, di samping saya menambahkan bacaan saya. Dalam diam tak sangka, saya sudah memiliki hampir 300 buah buku ilmiah mengenai agama Islam. Semua buku-buku yang saya pilih adalah seperti cara untuk menjadi wanita solehah, buku tentang saidatina-saidatina yang banyak menyumbang kepada islam, kisah-kisah pahlawan Islam, tentang pengubat hati, tentang syurga dan neraka dan tanpa saya sedari, saya sedang mengarah untuk mengenali baginda Rasulullah s.a.w. Subhanallah.


Tapi manusia sekarang, yang saya lihat semuanya berlumba-lumba untuk berdebat dan berhujjah pada satu perkara cetek yang mereka tahu sehingga terkadang mendatangkan kemarahan pada ahli-ahli yang belajar secara mendalam terhadap bidang agama.


Tak kurang juga yang menulis nasihat dengan lenggok gaya bahasa memerli sedangkan tanpa dia sedar, sejarahnya juga telah melalui perkara itu. 


"Adik tahu tak tanda Allah terima taubat kita?"

"Apa dia, kak?"

"Allah pernah berfirman apabila Dia terima taubat hambaNYA, Dia akan tutup segala aib hambaNYA itu, dan segala salah dan silap hambaNYA itu yang sebelum tu. Tapi kadang-kadang, akak selalu ternampak aib manusia-manusia yang mengaku kat akak dah bertaubat." menarik nafas dan menghembuskannya semula. Tunduk, "Entahlah, dik. Manusia ni terlalu cepat percaya yang selepas mereka bertaubat, mereka seolah-olah suci dan boleh pulak berkata sewenang-wenangnya. Ramai yang kata, 'apa salahnya, tujuannya adalah untuk menyedarkan manusia' tapi dia terlupa atau barangkali tak pernah dengar dalam kaedah islam, matlamat tak menghalalkan cara. Inilah masalah manusia yang bertaubat sekarang, sebab mereka tak sedar, selepas mereka bertaubat, lagi dahsyat godaan syaitan pada dia"

"Allah, kak. Saya langsung tak pernah terfikir"


Tersedar kembali saya pada perbualan kedua abang saya. "Firasat orang yang beriman, dia takkan bercakap sewenang-wenangnya. Kenapa tak percayakan pada firasat orang yang beriman?"


Saya kembali khusyuk mendengar.


"Habis tu, nak cakap *he*kh ****u**n tu orang yang tak beriman?" hati saya beristigfar kembali atas sampukan orang yang sama. Dan hati saya hanya mampu berkata, 'dia belum faham lagi nampaknya'.


Itulah dia firasat orang yang beriman. Dan sesungguhnya adakah kita manusia yang sudah cukup sempurna beriman, tiada siapa yang tahu walaupun diri sendiri juga. Hanyalah Allah yang Maha Mengetahui. Maka itulah yang patut kita persoalkan di dalam diri kita, apakah kita hambaNya yang benar-benar beriman?


Saya masih ingat bila dalam setiap pengajian saya, ada guru saya yang bercerita tentang satu hadith mengenai perbandingan tahap keimanan manusia terdahulu. Apabila diulang-ulang, saya menjadi tertanya-tanya, apekah tahap iman manusia di zaman kini tak sama di zaman itu?


Dan saya masih teringat bahawa nabi pernah bersabda bahawa jika ingin dibandingkan tahap keimanan seluruh umat Islam terdahulu, keimanan Abu Bakar tidak mampu ditandingi. Masya Allah.


Apakah kita manusia yang sudah cukup beriman? Fikirkanlah dan muhasabahlah diri supaya kita tidak menjadi manusia yang rugi di kemudian hari, membincangkan perkara yang remeh tanpa kesudahan sedangkan persoalan pokok dilupakan.


Fikirkanlah..


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
 ~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”