Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Tuesday 13 September 2011

Mengapa hati terhijab?

http://www.jahabersa.com.my/files/imagecache/product/PJ-0023L.jpg

Hati, mempunyai kebolehan memandang dan mengenal sesuatu, merasa senang susah, lahir atau ghaib khususnya Allah SWT. Inilah kelebihan manusia daripada haiwan-haiwan iaitu mempunyai hati yang dapat mengenal Allah dengan sebenarnya hingga ia menjadi hamba Allah yang benar-benar takutkan Allah. Ini difirmankan Allah:
Terjemahannya: Apabila disebut nama Allah, gementarlah hati-hati mereka.
(Al AnfaaI: 2)
Hati yang terang-benderang begini dimiliki oleh para ‘ariffin, muqarrobin dan solehin. Hati mereka nampak dan kenal betul sifat-sifat keagungan Allah. Sebab itu mereka dapat benar-benar menghambakan diri kepada Allah SWT. Sebaliknya ada juga manusia yang hatinya gelap (buta) tidak nampak dan tidak kenal Allah. Ini juga ada difirmankan oleh Allah SWT:
Terjemahannya: Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu benar sama seperrti orang yang buta (mengetahui) ? Hanyalah orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran.
(Ar Ra’d: 19)
Firman Allah lagi:
Terjemahannya: Mereka itulah orang-orang yang hatinya, pendengarannya dan penglihatannya telah dikunci oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang lalui.
(An Nahl: 108)
Dari Umar bin Al Khattab, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Cap penutup hati tergantung di kaki arasy maka bila larangan Allah dilanggar dan yang diharamkan-Nya dianggap halal, Allah mengirim cap penutup hati ini lalu hati para pelanggar dikenakan cap ini. Bila hati sudah buta, sudah dikunci mati oleh Allah SWT, tidak dapat lagilah ia mengenal Allah.
Begitulah hati orang-orang kafir dan munaflk yang menyebabkan mereka menolak kebenaran. Walaupun kita umat Islam, hati kita juga masih buta. Buktinya ialah kita masih tergamak membuat dosa (kecil atau besar). Orang yang masih buat dosa ialah orang yang tidak takutkan Allah. Orang yang tidak takutkan Allah ialah orang yang tidak kenal siapa Allah. Tidak kenal Allah ialah lantaran kerana hati telah buta.

Sabda Rasulullah SAW
Terjemahannya: Sesungguhnya seorang mukmin apabila melakukan dosa terjadilah satu bintik hitam di hatinya, maka jika dia bertaubat dun berusaha membuangnya selamatlah hatinya, dan kalau bertambah dosanya bertambahlah terkunci hatinya.
Sabda baginda lagi yang maksudnya:
Orang yang membuat satu dosa hilanglah sebahagian akalnya untuk tidak kembali lagi selama-lamanya.
Kalau mata kita buta, kita tidak dapat melihat, tidak mengenal malah tidak dapat berjalan lagi. Begitulah kalau hati buta, kita tidak dapat mengenal Allah dan tidak dapat menempuh jalan syariat lagi. Kita tidak takut, tidak redha, tidak tawakal, tidak yakin, tidak berharap kepada Allah, tidak cinta, tidak yakin dengan janji-Nya iaitu Syurga, Neraka, Hari Hisab, seksa kubur, dan lain-lain lagi. Dan bila amalan itu tidak ada di hati kita maka datanglah penyakit hati.

Firman Allah:
Terjemahannya: Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta.
(Al Baqarah: 10)
Mereka akan terseksa di dunia dan di Akhirat. Di dunia mereka kecewa, putus asa, keluh kesah, tidak tenang. Di akhirat lagi pedih. Antara penyakit hati yang Allah maksudkan itu ialah hasad dengki, dendam, buruk sangka, tamak, gila dunia, bakhil, pemarah, penakut, riak, ujub dan sombong.

Langkah pertama yang wajib diambil untuk mengubat penyakit hati kita ialah mengubat hati yang buta itu. Bila hati tidak buta lagi penyakit-penyakit hati lainnya akan hilang dengan sendirinya. Kalau mata buta, kita pergi ke pakar mata. Mungkin dicuci, dibedah dan sebagainya. Kalau hati yang buta, kita kenalah membuat rawatan yang sesuai pula untuknya.

Untuk itu mari kita lihat dulu apakah sebab-sebab hati terhijab? Antaranya adalah memakan makanan haram dan makanan syubahat, sama ada sedar atau tidak.

Bersabda Rasulullah SAW bermaksud:
Hati itu ditempa dengan apa yang dimakan.
Hati kita ialah seketul darah yang mengandungi sel-sel darah merah dan zat-zat besi. Sel dan zat-zat itu datangnya daripada makanan yang kita makan. Kalau makanan kita bersih (halal mengikut syariat Islam) maka sel dan zat itu juga bersih maka hati kita juga turut bersih. Sebaliknya kalau makanan yang kita makan itu kotor (haram dan syubahat) sama ada benda itu haram atau duit yang digunakan untuk membelinya haram maka sel dan zat-zat besi, zat-zat yang membina hati itu kotor, busuk dan gelap.

Hati seperti wadah yang terdedah. Hati yang kotor tidak akan menerima taufik Allah sebab Allah tidak akan beri taufik dan hidayah kerana taufik itu sangat tinggi harganya. Umpamanya, kita tidak akan memasukkan makanan ke dalam pinggan yang kotor. Bila hati tidak boleh nampak kebenaran, tidak terasa kebesaran, kehebatan, kasih sayang, didikan dari Allah, tidak terasa anugerah Allah, penjagaan Allah, pengawasan Allah, pembelaan Allah (intisari Islam ialah rasa zauk. Kalau hati tidak merasa, maka kita tidak dapat hidayah dan taufik lagi) maka jadilah kita orang yang sesat dan sentiasa terlibat melakukan maksiat dan mungkar.

Bersabda Rasulullah SAW:
Terjemahannya: Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Bila baik daging itu baiklah seluruh anggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.
(Riwayat: Al Bukhuri & Muslim)
Firman Allah:
Terjemahannya: Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman dengan-Nya.
(Al Maidah: 88)
Periritah memakan makanan yang halal adalah wajib. Kalau kita makan makanan yang haram dalam keadaan kita sedar ianya haram maka kita akan berdosa di samping hati kita turut gelap. Tetapi kalau makanan yang haram dan syubahat itu kita makan, tanpa diketahui ianya haram dan syubahat maka tidak berdosa tetapi hati kita yang terbina dari makanan itu tetap akan gelap.

Atas dasar inilah Sayidina Abu Bakar Al Siddiq mengorek balik hingga muntah-muntah makanan yang telah ditelannya setelah dia tahu yang makanan itu sumbernya adalah syubahat. Amirul Mukminin itu cukup takut kalau-kalau makanan itu akan membutakan hatinya. Setelah mengorek makanan itu kerana bimbang kalau-kalau ada saki-baki makanan yang tinggal dalam perutnya, maka beliau pun berdoa:

“Ya Allah, jangan Engkau bertindak atasku akan apa yang telah jadi darah dagingku. “

Begitu Sayidina Abu Bakar menjaga hatinya. Sebab itu hatinya jadi terang-benderang. Jadi, tidak hairanlah beliau cukup kuat keyakinan dengan Allah. Rasulullah SAW sendiri memuji beliau dengan sabda baginda:
Terjemahannya: Kalau ditimbangkan iman Abu Bakar dengan iman seluruh manusia kecuali Nabi dan Rasul nescaya dia masih lebih
Imam Nawawi semasa hidupnya tidak makan buah-buahan di Damsyik kerana merasakan syubahat. Dia menjaga hatinya. Hati yang terang-benderang akan mempunyai basirah (pandangan batin) yang tajam yang dapat menembus alam ghaib dan alam kerohanian. Bila alam ghaib yang hebat itu ternampak oleh kita maka alam benda ini sudah tidak bererti apa-apa. Bandingannya begini:

Katakanlah suatu hari kita dijemput menjadi tetamu raja maka masuklah kita ke istana. Di sana kita akan dilayan dengan layanan istimewa, dengan pakaian dan makanan, peralatan dan perhiasan yang tidak pernah kita jumpa. Alangkah gembiranya dan rasa-rasa tidak mahu balik lagi ke kampung kita. Sebab kampung kita sudah tidak berharga apa-apa lagi dibandingkan dengan kehidupan indah di istana.

Begitulah keadaan mereka yang nampak kehebatan alam ghaib, alam yang ada ini sudah tidak berharga lagi. Kerana itulah Sayidina Abu Bakar r.a boleh mengorbankan semua harta bendanya kepada jihad fisabilillah hingga tiada apa-apa lagi untuk anak isterinya.

Beliau mahu menebus kehidupan di alam ghaib yang maha hebat itu dengan menggadaikan seluruh harta benda dunia yang murah ini. Begitu juga sahabat-sahabat yang lain dan mujahid-mujahid Islam semuanya, telah mereka korbankan dunia yang sedikit ini untuk membeli kehidupan akhirat yang agung di alam baqa nanti.

Firman Allah:
Terjemahannya: Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang mukmin, diri dan harta mereka dengan (harga) Syurga untuk mereka.
(At Taubah’: 111)
Mari kita ubati hati kita dengan mengelak dari memakan yang haram.

Antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelak dari makanan yang haram ialah:

- Jangan makan benda yang zatnya jelas haram seperti arak atau makanan yang dicampur arak atau daging yang tidak disembelih.

- Jangan makan makanan yang bernajis sama ada sifatnya najis (kerana dibuat dari bahan yang tidak halal) atau kerana cara menyucinya tidak betul yakni tidak menurut syariat, menjadikan ia tetap najis (tetap tidak halal).

- Jangan makan daging sembelihan yang tidak halal dan pembersihannya tidak menurut syariat.

- Jangan makan makanan yang dibeli dengan duit yang haram (sekalipun makanan itu halal). Duit yang haram adalah seperti rasuah, duit riba, duit curi dan tipu.

- Jangan kita makan dari usaha yang haram seperti riba, pelacuran, judi, nombor ekor dan lain-lain.

Adapun makanan syubahat ialah makanan yang kita ragui halal atau haram dan duit syubahat ialah duit yang sumbernya kita ragui halal atau haram. Kedua-dua makanan dan duit yang syubahat itu wajib dielakkan supaya kita berpeluang memperolehi kejernihan batin untuk mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenarnya.

Hari ini banyak makanan di kedai-kedai makanan yang menulis perkataan “HALAL” dan “ISLAM” untuk tanda perniagaan mereka. Kita harus hati-hati juga sebab musuh Islam telah melacurkan kata “HALAL” dan “ISLAM” itu untuk keuntungan perut dan poket mereka sahaja. Mereka tidak langsung takut pada Allah dan tidak ingin untuk mencari keredhaan-Nya. Makan makanan yang halal tetapi berlebihan juga satu lagi faktor penentu kepada corak hati kita.

Sabda Rasulullah SAW:
Terjemahannya: Wadah yang paling dibenci oleh Allah ialah perut yang penuh dengan makanan yang halal.
Allah benci kepada perut yang penuh dengan makanan sebab perut yang ketat itu akan melemahkan kegiatan hati yakni tidak kuat untuk memandang pada alam ghaib. Bila hati lemah maka manusia jadi lalai dan malas (mahu tidur sahaja). Malas beribadah dan mudah terjebak dalam maksiat. Atas dasar inilah para solafus-soleh hanya sedikit makannya.

Rasulullah SAW selalu berlapar perut. Baginda pernah meletakkan batu di perut dan kemudian mengikat perutnya dengan kain agar dengan itu tidak terasa kekosongan perut yang memang kosong. Baginda jarang kenyang. Tiga hari berlapar, satu hari kenyang. Dan selalunya satu hari baginda berpuasa, satu hari berbuka.

Nabi Sulaiman a.s yang kaya-raya itu juga begitu hidupnya. Selalu berpuasa dan kalau makan hanya roti kering dan air sejuk. Nabi Yusuf a.s ketika menjadi menteri Mesir pun sehari puasa sehari berbuka. Bila ditanya mengapa baginda berbuat begitu, jawabnya, “Di hari aku lapar, aku dapat merasa aku adalah hamba yang memerlukan pertolongan Allah. Di hari aku kenyang aku dapat bersyukur pada Allah SWT yang memberikan rezeki.”

Begitulah cara hidup Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul, orang-orang muqarrobin dan orang-orang soleh. Mereka berjuang dengan nafsu untuk membersihkan hati supaya merasa diri sebagai hamba Allah yang lemah dan hina dina. Dan cara hidup mereka itulah yang wajib kita contohi. Kita mesti sentiasa berperang dengan nafsu yang sentiasa mengajak kita lalai dari Allah.

Mari kita ubati hati kita dengan cara mengurangkan makan.

Antara langkah-langkah praktik yang mesti diambil untuk mengurangkan makan ialah:

1. Hidangan makanan kita janganlah lebih dari dua jenis lauk. Ini adalah amalan Sayidina Umar. Beliau tidak makan lebih dari dua jenis lauk. Sebab bila lauk sudah bermacam-macam jenis, nafsu kita tambah besar untuk merasa semua jenis lauk.

2. Makanan itu biarlah sederhana, jangan terlalu sedap. Sebab kalau terlalu sedap kita tidak mampu mengawal nafsu dari makan lebih.

3. Jangan simpan berbagai lebihan makanan dalam rumah, sebab bila ada makanan kita sentiasa berfikir untuk makan. Sebaliknya kalau tidak ada simpanan makanan, nafsu kita tidak akan mengajak kita fikir makan sahaja.

4. Cuba banyakkan puasa sunat seperti di hari Isnin dan Khamis atau paling kurang tiga hari dalam sebulan.

Harus difahami bahawa langkah-langkah di atas ialah untuk membersihkan hati dan membuatkan hati kita terasa kita hamba Allah yang lemah dalam serba-serbi hal kita. Pandangan dan Pendengaran yang Haram Telah sepakat orang-orang kita mengatakan: “Duri mata turun ke hati.” Ertinya hasil dari pandangan (termasuk pendengaran) bukan setakat di mata dan telinga tetapi akan bersambung dan berkesan ke hati. Kalau apa yang kita pandang dan dengar itu baik, maka hati kita akan menerima kebaikannya. Sebaliknya kalau yang kita pandang dan dengar itu maksiat dan mungkar (haram), maka hati kita akan bersalut kejahatan dan kemungkaran itu.

Hati yang sentiasa menerima pandangan dan pendengaran yang mungkar ialah hati yang gelap pekat, buta dari melihat keagungan Allah. Hati itu tidak lagi takut pada Allah, malah hilang cinta dan rindu pada Allah SWT.

Saya rasa kita semua tentunya ada pengalaman sendiri terhadap perkara ini. Kalau setiap hari hati
kita terisi dengan zikrullah, bacaan al Quran, puasa, sembahyang sunat, membaca kitab dan mendengar pengajian agama, hati kita akan lembut, terasa indah dalam beribadah kepada Allah, rindu kepada kebaikan, benci dan takut kepada dosa.

Tetapi kalau setiap hari kita isi dengan program TV, berbual kosong, mengumpat dan mencaci, membaca majalah hiburan yang penuh maksiat dan mendengar lagu-lagu pop, nanti kita akan jadi malas beribadah, memandang kecil tentang cara hidup sunnah, tidak lag-i rasa takut dengan Allah, tidak membesarkan Allah apalagi untuk rindu pada-Nya dan tidak suka lagi pada ahli-ahli agama dan lupa Akhirat.

Hati kita jadi cinta kepada dunia dan segala hiburannya, mahu lepas bebas tanpa sekatan hukum Islam, malas berjuang dan berangan-angan ingin hidup lebih lama lagi. Itulah bukti-bukti menunjukkan tindakan lahir, pendengaran dan penglihatan kepada yang haram, akan membuatkan hati kita buta kepada kebenaran. Allah berfirman:
Terjemahannya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercantum (benih) yang akan Kami mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu Kami menjadikan dia mendengar dan melihat.
(Al Insaan: 2)
Tujuan Allah memberi kita mata dan telinga ialah untuk mencari dan mengenal pencipta kita iaitu Allah SWT. Kemudian supaya kita sedar diri untuk berbakti dan menurut perintah-Nya.
Firman-Nya:
Terjemahannya: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku.
(Adz Dzaariyat : 56)
Kita mesti merasai diri kita sebagai hamba dalam melaksanakan perintah suruh dan larang daripada Allah. Yang penting ialah rasa kehambaan itu. Ibadah sebenarnya ialah berpunca dari rasa kehambaan. Kalau masa ibadah itu kita tidak rasa hina dan tidak rasa hamba, tetapi rasa besar diri, sombong, marah, dengki, maka amalan lahir itu bukan lagi ibadah.

Misalnya, seorang kuli mengadap tuannya dengan rasa besar diri, dengan becekak pinggang, bukankah lebih baik tidak menghadap, sebab ia tentunya akan menimbulkan kemarahan tuannya. Hidup bukan untuk dunia tetapi hidup untuk Allah dan untuk mencari bekal kembali ke Akhirat.Untuk tujuan ini kita dikurniakan Allah pendengaran dan penglihatan. Gunakanlah kedua-duanya sebaik mungkin sebagai alat untuk sampai ke matlamat yang diredhai-Nya.

Mari kita ubati hati kita dengan membataskan pandangan dan pendengaran hanya kepada apa yang boleh mengingatkan kita kepada Allah, takut pada-Nya dan untuk berbakti pada-Nya.

Antara langkah-langkah yang patut diambil ialah:

1. Banyakkan membaca Al Quran dan terjemahannya, hadis dan kitab-kitab serta buku-buku agama termasuk majalah dan risalah yang berunsur dakwah. Dalam masa yang sama, elakkan daripada membaca buku-buku khayal, majalah hiburan dan akhbar-akhbar yang kosong dari kebenaran.

2. Selalu mengunjungi masjid, tempat pengajian agama, majlis dakwah, tahlil dan zikrullah dan elakkan dari tempat-tempat maksiat, majlis-majlis sosial liar (percampuran bebas) dan keluar rumah tanpa tujuan. Sebab di luar banyak pandangan dan pendengaran yang membawa kepada maksiat serta elakkan dari bergaul dengan kawan yang mengajak kita kepada maksiat.

3. Menziarahi orang-orang soleh, sebab dengan melihat mereka, dapat memberi kekuatan.

4. Ingat mati, kerana selalu mengingati mati akan melembutkan hati.

5. Elakkan dari menonton program TV yang tidak berfaedah. Sekali kita relakan mata dan telinga memandang dan mendengar perkara yang dikutuk Allah, maka selama itu kita relakan nafsu kita merajai hati kita untuk lalai dan tidak takut pada penglihatan dan pengawasan Allah.

Lebih baik kita tidur dari menonton TV. Nanti kita boleh bangun dengan segar untuk menyembah Allah dan mendekatkan hati pada-Nya. Kalau kita rasa melihat maksiat dengan tidak melihatnya sama sahaja pada hati kita, itu tandanya hati kita sudah rosak dan jauh daripada Allah. Itulah antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjernihkan batin kita. Perlu diingat langkah-langkah ini mesti diperjuangkan sungguh-sungguh dan berterusan.

Kita jangan mudah jemu atau mudah terpengaruh dengan bujukan nafsu liar kita. Dan janganlah kita harap untuk memperolehi hasilnya dalam jangka masa yang singkat. Sebab dalam pengalaman orang-orang yang telah menempuh jalan ini, masa paling singkat untuk memperolehi hati yang bersih (taraf kerohanian yang tinggi) melalui mujahadatunnafsi ialah 20-30 tahun lebih. Masa selama itu, sesuailah dengan lama masa kita terbiar dalam maksiat.

Sejak dalam perut ibu lagi kita sudah menerima makanan yang tidak jelas halalnya. Bila lahir pula terdedah di tengah-tengah maksiat dan mungkaryang berbagai-bagai. Hati kita sudah gelap pekat dengan karat-karat dosa yang kita lakukan secara sedar atau tidak. Jadi memang patutlah kalau kita korbankan 2O- 30 tahun umur kita akan datang untuk pembersihan hati nurani kita. Mudah-mudahan penghujung umur kita dapat kita rasa kebersihan hati dan keselamatannya dari mazmumah. Mudah-mudahan kita dapat mengadap Allah membawa hati yang selamat.

Firman Allah:
Terjemahannya: Di hari itu (hari kita meninggal dunia) tidak berguna lagi harta dan anak kecuali mereka yang mengadap Allah membawa hati yang selamat.
(Asy Syuara ‘: 88-89)
Apabila roh sudah bersih, sudah kembali pada asalnya (waktu di alam roh) kita akan merasai berbagai-bagai pengalaman batin yang luar biasa. Ini bergantung pula pada taraf kebersihan roh yang dapat kita capai. Ada dua peringkat roh yang bersih iaitu:

1. Roh yang terlalu bersih (orang yang Mukasyafah)

Ini biasanya dicapai oleh muqarrobin. Roh ini dapat menembus hijab antara alam dunia dengan malakut. Mereka nampak segala rahsia-rahsia batin manusia. Apa yang orang biasa nampak dalam mimpi maka mereka nampak di waktu sedar. Contohnya: Kalau sifat batin seseorang itu seperti anjing maka mereka nampaklah sebagai anjing. Kalau orang biasa mendapat ilmu dengan belajar maka mereka perolehi melalui ilham.

2. Roh yang bersih

Ini dapat dicapai oleh orang-orang soleh. Roh mereka boleh mengesan rahsia-rahsia batin hanya melalui mimpi-mimpi yang benar dan rasa hati yang benar dan tepat dengan kehendak Allah. Tetapi tidaklah nampak nyata, sebab hijab mereka tidak terangkat betul. Allah menceritakan perihal ini dalam hadis Qudsi, firman-Nya yang bermaksud:
Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia pada-Ku) muka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada amal seomng hamba-Ku yang bertaqwa (yang beramal) pada-Ku dengan sesuatu yang lebih Kucintai daripada dia menunaikan semua yang Kufardhukan ke atasnya. Dan hamba-Ku yang sentiasa bertaqarub kepada-Ku dengan nawafil (ibadah sukarela) sehingga Aku mencintainya, muka jadilah Aku seolah-olah sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia ber-
jalan dengannya. Dan andaikata ia memohon pasti akan Kuberi padanya. Dan andaikata ia berlindung kepada-Ku pasti akan Aku lindungi-nya.
Rasulullah SAW bersabda:
Terjemahannya: Takutilah olehmu firasat (pandangan tembus) orang-orang Mukmin kerana ia memandang dengan cahaya Allah.
(Riwayat Al Tirmizi)
Rujukan :
http://kawansejati.ee.itb.ac.id/mengenal-diri-melalui-rasa-hati/ms-04-Sebab-Sebab-Hati-Terhijab.html

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”