Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Friday 16 December 2011

Istikharah..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Tulisan ini bukanlah sebagai rujukan buat manusia yang mencari-cari jawapan, tetapi sekadar gambaran pengalaman dari hambaNYA yang ingin dikongsikan. Ambillah jika ada yang bermanfaat, dan jika bertentangan dari pendapat kalian, saya hanya doakan agar ditemukan jawapannya olehNYA.

"Kak, pernah istikharah?"

Mencerun keningku melihat pesanan ringkas ini, sambil terkial-kial memusingkan stereng kereta. Emh..

"Pernah je dik..Banyak kali.."

Kereta dipandu menuju ke hospital.

"Selalu sangat ke kak?"

Tersenyum.

"Sangat selalu malah diamalkan..Istikharah ini sepatutnya menjadi amalan kita semua dik sebab dalam hidup kita, kita akan sentiasa berjumpa dengan pilihan..Napa adik tanya ea"

Menunggu balasan sambil masuk parking.

"Saja nak cari isi..Kebetulan kawan tanya, adik pun nak tahu..Akak terangkanlah tentang istikharah"

Berfikir dengan soalan adik ini. "Susah nak terangkan dalam handset, nanti akak tulis dalam blog, boleh? Nanti, boleh share dengan orang lain"

Dan bermulalah isi yang ingin ku ceritakan.



"Akak, apa pendapat akak dengan message ni. Akak setuju tak?

Istikharah sesuatu yang perlu kita buat dengan istiqomah..Tak semestinya nak dekat kahwin baru nak buat..Mula dari sekarang..Kerana Allah takkan tunjukkan jawapan dengan cepat dan mudah..Buat dengan seikhlas hati betul-betul. Gantungkan pengharapan hanya pada Allah..Kadang-kadang bila kita suka pada seseorang dan baru buat istikharah, confirm kita akan nampak muka orang tu sebab tulah sebelum nak buat istikharah kosongkan minda dan fikiran..Gantungkan segala jawapan pada Allah dan sentiasa laziminya"

Tersenyum.

"Benda ni perkara khilaf. Boleh nak ikut dan boleh juga untuk tak nak ikut. Tak sesuai untuk kita kata kita setuju atau tak sebab perkara ini adalah perkara yang dalam urusan Allah"

Hari ini, ditanya lagi tentang istikharah. Bukan untuk urusan jodoh, tapi urusan kehidupan. Mendengar masalah yang diceritakan, dan akhirnya ku katakan, "Nanti, balik, istikharah ye"

Ditanya lagi istikharah, "Tempoh berapa lama baru boleh nampak kesan istikharah?"

Dan soalan inilah yang membuatkan aku teringat akan satu janji, tepuk dahi, tangan tak berganjak lalu perlahan bertutur "Allah, dah janji nak tulis tentang istikharah kat seorang adik nih"

Dahulu, masyarakat masih lagi ada tabiat menilik nasib walaupun sudah kedatangan Nabi. Terkadang, mereka menggunakan benda hidup untuk menilik nasib dan perkara ini bertentangan dengan wahyu Allah. Lalu diajarkan istikharah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan. (Ayat 90, surah al-Maidah.)

Istikharah bukanlah hanya untuk dilakukan atas urusan jodoh sahaja tetapi atas segala-galanya. Malah, ada yang menjadikan istikharah ini sebagai solat yang rutin seperti mana mereka melakukan solat sunat Dhuha dan Tahajjud.

Di dalam kehidupan kita, setiap waktu, setiap saat, kita akan menemukan dengan beberapa pilihan. Hatta, bagi seorang pelajar juga, menghadapi kertas peperiksaan objektif, di kertasnya itu juga ada pilihan. Pilihan A, B, C dan D.

"Aku lat ta li lat je. Kalau tak pun, aku main teka-teka silap mata. Bantai jelah"

Tanpa kita sedar, kita sedang main nombor ekor dalam kertas peperiksaan.

Tapi, bagi yang hatinya telah dididik, tenang dalam setiap pilihan, apabila tidak menemuia jawapan, lalu yang diujar olehnya adalah, "Aku pilih jawapan ni, sebab hati aku berat ke arah ini. Aku pun tak tahu kenapa. Kita tunggu jelah bila cikgu dah tanda kertas"

Istikharah yang diketahui selalu dikaitkan dengan perkara urusan jodoh kerana urusan inilah yang memperjudikan kehidupan masa hadapan kita.

Ada banyak pendapat mengenai tempoh untuk dilakukannya.

"Ada sesetengah pendapat, buat 3 hari, ada tu pulak kata 7 hari. Ada lagi suh bagi tempoh. Ada kawan akak pulak, berhari-hari, malah ada yang berbulan-bulan sampai ke bertahun-tahun pun ada. Kekadang, ada orang, dia buat sampai dia yakin, tak kisahlah berapa lama. Banyak pendapat, cumenya, kita ambil mana yang kita yakin"

"Habis tu, kalau akak, akak buat berapa hari?"

Tersenyum. Soalan tidak berjawab dan ku biarkan berlalu.

Setiap hambaNYA ada cara untuk meyakini petunjuk dariNYA. Setiap dari kita, berhak untuk mempercayai apa-apa sahaja pendapat, tapi, jangan ianya sampai memudaratkan diri kita, iaitu buruk sangka denganNYA.

"Aku dah buat bertahun-tahun dah istikharah ni. Tapi, masih tak jumpa juga petunjuk tu. Yang mana satu sebenarnya pilihan Allah nih" seorang sahabat membentak.

"Kau nak tahu tak, ada seorang ulama' ni kan, dia cite, dia doa sampai 40 tahun, barulah Allah bukakan pintuNYA. Jangan berputus asa atas rahmatNYA dan jangan buruk sangka denganNYA. Allah kan dah janji dengan kita, berdoa dan DIA akan perkenankan doa itu. Cuma lambat ke cepat ke, atau, DIA akan tukarkan dengan lebih baik lagi"

Tersenyum.

Menghadapai urusan istikharah dalam perkara jodoh, bisa membuatkan kita semua pening di mana yang sebenarnya yang dikatakan petunjuk dan di mana yang dikatakan hanyalah usik-usikan ujian.

"Petunjuk ni, jika apa yang akak tahu, ada tiga cara. Melalui mimpi, persekitaran dan yang akhir adalah gerak hati. Tapi, ada pendapat mengatakan bahawa gerak hati itulah yang lebih akrab denganNYA sebab mimpi boleh jadi mainan syaitan dan persekitaran barangkali hanyalah kebetulan"

Tapi, jarang-jarang manusia yang meyakini di antara dua pilihan itu barangkali kedua-duanya bukan untuk kita. Mereka lebih yakin bahawa yang datang itulah yang harus dia pilih untuk diterima. Kehidupan kita penuh dengan pemilihan.

"Ana nak tanya kat ukhti..." Dan berjela dia bercerita, dengan kerunsingan memilih dan kelihatan penampilannya yang agak serabut.

"Dah istikharah?"

"Dah, tapi masih tak nampak-nampak lagi petunjuknya"

"Perkara ni sama ada dua, sama ada kedua-duanya bukan jodoh ukhti, atau, sebenarnya belum tiba masa yang sesuai untuk ukhti menerima sesiapa"

Terkedu.

Istikharah adalah pertanyaan langsung kepada yang MENCIPTAKAN PERSOALAN. Tetapi, seringkali ada manusia yang telah diberi keyakinan atas jawapan itu, tiba-tiba berubah-rubah jawapan.

"Jadi, apa jawapan encik?"

"Saya pilih A"

"Anda pasti?"

Lama berfikir. "Eh, kejap, kejap..C kot"

Tergelak. Menonton rancangan realiti yang menguji keyakinan peserta.

Istikharah bukanlah hanya semata-mata untuk memilih sahaja, tetapi ianya untuk ketenangan hati kita.

"Kau dah tanya ke belum?"

"Dah"

"Jadi?"

Tersenyum ketenangan. Hanya dia dan orang yang ditanya sahaja yang mengetahui, dan jangan lupa, Allah yang MAHA MENGETAHUI. Apa perasaan kita ye bila segala persoalan di dalam fikiran kita, akhirnya kita luahkan persoalan itu pada orangnya?

Terkadang juga, apabila ditanya, ditanya, tidak berjawab. Lalu, apakah lagi yang harus dilakukan.

"Pergilah minta maaf. Agaknya dia terasa hati dengan kau kot. Tu sebab dia diam je"

"Minta maaf?"

"Yelah, kita tak sedar, kekadang, apa yang kita buat, mungkin dah buatkan dia terasa hati sedangkan kita tak berniat pun camtu"

Lakukanlah solat taubat. Kerana dengan DIA sentiasa membuka pintu taubat buat hamba-hambaNYA.

Terlalu panjang dan terlalu banyak pengalaman dan pendapat mengenai istikharah. Tetapi, cuma satu sahaja yang kita jarang-jarang fikirkan.

"Akak, kenapa kalau dengan akak, kan, akak tak pernah pun tanya saya bila saya nak kahwin. Tapi, kalau orang lain, balik-balik soalan sama je. Kenapalah diaorang tak macam akak ye?"

Tersenyum.

"Sebab akak menjaga hubungan akak dengan adik. Akak tahu, soalan itu adalah soalan yang sensitif bagi sesiapa sahaja, tapi, jika seseorang itu tahu menjaga hubungan dengan sahabat hatta sesiapa sahaja, apabila bertemu, soalan misteri itu lenyap dari fikiran dan hanya yang muncul adalah cara bagaimana untuk dia membuatkan sahabatnya merasa gembira berada di sisinya. Bagi soalan tu, akak perlu bersabar kerana saatnya akan sampai juga dan harinya pastilah ketika itu adik sendiri akan memberitahu tanpa perlu akak bertanya, "Bila adik nak kahwin?'"

Begitulah juga dengan istikharah. Kita terus-terusan bertanya, bertanya dan bertanya, tetapi kita jarang meneliti bagaimana hubungan kita denganNYA. Bagaimana petunjuk itu dapat kita perolehi kerana hati yang terikat kepadaNYA, akan sentiasa lunak menerima segala-galanya walau dari mana pun, siapa pun dan cara bagaimana pun petunjuk itu sampai, kita akan kata, "Inilah dariNYA"

Semoga kita semua memperolehi segala petunjuk dariNYA dan sentiasa mendapat bantuan dariNYA dalam urusan harian kita.

Amin ya Allah..

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”