Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Friday 9 March 2012

Walau seperit mana pun, tersenyumlah..


 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


"Akak juga pernah menghadapi segala apa yang adik katakan ini, malah lebih teruk lagi. Tapi tidak sedikit pun akak terasa, dan merasa sakitnya dengan semua yang berlaku. Akak bahagia"

Tersenyum. Dan adik di hadapan berkerut dan kemudian memejamkan mata.

"Bahagia kerana itulah tanda DIA sedang menguji iman kita. Bahagia kerana ini tugasan yang memerlukan segala ilmuNYA yang DIA pinjamkan kepada akak untuk akak lebih faham. Bahagia kerana di saat peritnya akak hadapi semua itu, dan akak akan terduduk, mengadu kepadaNYA, 'Aku hanya ada ENGKAU sahaja ya Allah, maka bantulah aku kerana aku adalah hambaMU yang lemah'"

Dan aku mengalihkan pandangan, melihat alam dan kemudian tenang larut dengan semuanya. Fana...

Segala puji dan puja itu hanyalah untuk Allah, maka pujilah Allah dengan penuh kesyukuran kerana dengan adanya DIA, kita menjadi bahagia di dunia dan menanti-nanti tarikh pertemuan denganNYA. Selawat dan salam ke atas penghulu Nabi, Rasulullah Muhammad s.a.w kerana dengan hadirnya baginda, kita telah dimuliakan dengan agama yang dibawa, agama Islam, agama yang telah diturun dan diajarkan kepada Nabi olehNYA, Tuhan sekalian alam.

Subhanallah.

Alhamdulillah.

Allahu akbar.

Fikiran larut, memerhatikan gelagat manusia. Bersendirian dan cangkir itu disuakan ke mulut, menikmati kepuasan pahit manis secangkir kopi. Di sisinya, senaskah buku, Chicken Soup for The Soul.

Terkadang, matanya memerhatikan gelagat sepasang warga emas, yang masih menikmati saat-saat bersama, duduk di kerusi Kopitiam dan bersama-sama juga berkongsi cerita. Bahagia.

Dunia ini adalah hamparan yang sentiasa diberi task yang tidak pernah berhenti. Dunia ini adalah selembar kertas yang telah tertulis pelbagai warna-warni kehidupan. Dan dunia inilah yang mengajar apa erti kehidupan.

Tergelak, tersenyum, marah, kecewa itu semua adalah lumrah kehidupan yang kita tidak pernah dapat lari dari menghadapinya. Terkilan, sakit hati, terhibur dan bahagia adalah satu bahagian dari sebuah kehidupan yang indah di dunia ini. Maka, hadapilah setiapnya sesuai dengan sekadarnya.

"Perasan tak, dalam banyak-banyak manusia yang ada di dunia ini, kenapa Allah tak jadikan semua manusia sebagai sahabat kita? Perasan tak, dalam banyak-banyak yang kita jumpa, kita hanya tertarik untuk bersahabat dengan segelintir sahaja? Dan perasan tak, segelintir yang kita akrab itulah jalan ceritanya hampir sama dengan kita? Perasan tak?"

Khusyuk dan mengangguk, mengiyakan kata-kata.

"Tahu tak kenapa?"

Menggeleng kepala.

"Sebab, Allah nak kita belajar bagaimana orang tu menghadapi perkara yang sama melalui cara yang DIA kehendaki. Maha Suci Allah, nikmat Tuhan yang manakah yang kita dustakan? Maha Adilnya Allah, DIA bagi ujian, dan DIA bagi juga seseorang untuk ajarkan kepada kita. Cuma terpulang pada kita sama ada kita nak membuka hati dan fikiran kita untuk terima atau tidak"

Maha Suci Allah, dalam sedar tak sedar, DIA tetap adil dan tidak dibiarkan hamba-hambaNYA menghadapi ujian Allah tanpa panduan.

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?[55:13]

Indah, dan tenang. Mata memandang ke atas, dan cahaya bintang-bintang itu sedang dihayati dengan seindahnya.

"Dulu, masa pertama kali akak kenal tempat ini, akak duduk kat tengah-tengah, dan pandang ke atas, tengok bintang. Tenang."

Tersenyum.

"Akak suka melihat kehidupan. Dan apabila sampai akak terima ujian sakitnya hati, resahnya jiwa, dan gundahnya fikiran, akak akan 'berhenti' dan memerhatikan alam. Bahagianya hati ini rasa."

Allah menimpakan ujian kepada kita, melatih kita untuk menjadi hambaNYA yang kuat, mujahadah dengan sebaiknya menuju kepada keredhaanNYA. Janganlah ditangisi atas segala kelainan di sekeliling kita yang tidak memenuhi rasa di hati kerana Allah sengaja hadirkan semuanya itu untuk melatih hati, melatih akal dan fikiran serta menjadikan kita hambaNYA yang benar-benar menghambakan diri hanya kepadaNYA sahaja.

Jika rasa sakitnya hati itu hadir, lihatlah di belakang, barangkali ada saatnya kita terturunkan istiqomahnya kita mengimani DIA sebagai Tuhan kita. Kerana sesungguhnya ujian itu adalah untuk kita kembali kepadaNYA.

Diuji, dilatih, ditampar, rebah, dan bangun, semuanya adalah untuk kita tetap gagah, bangun dan dengan tegarnya, berkata, "Aku akan tetap teruskan ya Allah. Aku akan teruskan untuk berjalan di BumiMU mencari mutiara hikmah yang membahagiakan aku di sana. Aku akan teruskan kerana aku tak nak Kau malu mempunyai hamba seperti aku di hadapan musuhMU. Aku tetap akan teruskan"

Maka, teruskanlah dan senyumlah kerana kita masih ada Allah. Walau seluruh dunia membenci kita, maka tetaplah tersenyum kerana kita tetap punya Allah yang masih tetap berada di sisi kita.

"Akak, janganlah sedih, kak"

Mencari-cari tisu dan mengelap air mata.

"Kehilangan kali ini benar-benar mengajar akak betapa akak ini hambaNYA yang tah hapa-hapa. Kehilangan kali ini bukan akak sedih kerana akak kehilangan, tetapi akak terkilan memikirkan diri akak, seorang hamba yang tah hapa-hapa. Sudahlah hamba yang tah hapa-hapa, ada hati pula mengharapkan pertemuan dengan hambaNYA yang telah DIA ambil. Allah. Berita kematian kali ini benar-benar mengajar akak atas kata-kata yang akak selalu katakan pada adik-adik akak semua, 'Bukan perpisahan di dunia yang akak risaukan, tapi pertemuan di sana yang akak fikirkan. Hanya satu sahaja yang membolehkan kita semua dikumpulkan bersama, iaitu ketaqwaan kita. Maka, jagalah akidah adik, jagalah ketaqwaan adik kerana akak takda jaminan untuk segala kemungkinan di sana"


Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa. [43:67]


Terduduk dan terdiam, tunduk dan menangisi diri adalah seorang hamba yang 'tah hapa-hapa'.

Dan aku akan tetap terus berjalan, maka marilah kita teruskan perjalanan kita, dengan gagah dan berani, bahagia, di sisi kita masih tetap ada DIA, Tuhan sekalian alam, Yang Maha Besar, Yang Maha Berkuasa, Allah swt.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

1 comment:

  1. salam kak..blh sy trus bc blog akak..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”