Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Monday 30 January 2012

Cinta Dunia..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Thauban radhi allahu anhu, bahawa Rasullullah salla allahu alayhi wassallam bersabda, dengan mafhumnya:
“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”
Sabda Baginda s.a.w.:
“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”

Jawab Rasulullah s.a.w.:
“Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?”

Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Cintakan dunia dan takut akan kematian.”
 Di dalam sebuah kereta, mendengar segala permasalahan seorang adik dan aku hanya mendengar.

"Jika kita tak boleh menjadi seorang yang memberi pendapat, cukuplah menjadi pendengar yang baik"

Dan akhirnya kata-kata akhirnya, "Kalau adik dah cinta dunia, adik fikir duit, adik pilih kawan yang kaya-kaya je. Tapi adik tak macam tu"

Tiba-tiba aku ingin bersuara, "Bukan itu sahaja yang dimaksudkan dengan cinta dunia. Cinta dunia ini kita terlalu terkesan dengan dunia. Orang buat khianat kat kita, kita terasa, orang puji kita, kita rasa bangga, bila orang musuhi kita, kita yang tak keruan, dan banyak lagi sebenarnya cinta dunia. Cinta dunia ini adalah cinta yang hanya mengharapkan supaya dunia ini indah supaya kita dapat hidup di dunia dengan sangat lama sehingga melupakan kampung halaman kita, iaitu di akhirat. Memang sengaja Allah takdirkan manusia-manusia itu buat begitu pada adik. Memang Allah sengaja sebab Allah nak adik kembali kepadaNYA, mengadu kepadaNYA, dan supaya hati lunak kepadaNYA"

Terkedu.

Ya, ramai yang telah tersalah anggap mengenai cinta dunia. Ramai yang menyangka cinta dunia itu adalah cinta harta kekayaan dan cinta kemanusiaan sehingga menjadikan ingin menjadikan dunia ini sebagai kampung halaman kekal di dunia.

"Hidup saya dan sempurna dengan kehadiran suami saya. Saya dah tak perlukan sesiapa lagi dalam hidup saya"

"Akak, kenapa diaorang buat saya macam ni. Saya dah cuba dah buat sebaiknya untuk mereka, tapi mereka tetap juga berkelakuan macam tu pada saya" Tersedu-sedu.

Berhentilah dari bercerita tentang perbuatan orang terhadap kita. Berhentilah dari bercerita ketidakpuas hatian kita pada manusia di sekeliling. Berhentilah dari berlari-lari ke sana sini untuk menagih simpati manusia yang sememangnya bukan ditakdirkan untuk membantu kita.

Kembalilah kepadaNYA, bercerita kepadaNYA dan yakinlah dengan janjiNYA bahawa setiap doa itu akan diperkenankan olehNYA. Apabila sampai bantuan dariNYA, tanpa kita bercerita, tanpa kita menangis tersedu-sedu, tanpa kita mengerutkan muka, akan dihadirkan perantara dariNYA, tanpa kita duga. Percayalah. Percayalah kerana aku sudah alami dan aku juga pernah menjadi perantaraNYA menyampaikan bantuanNYA walau tanpa aku bertanya, "Apa masalah kau yang ingin aku bantu".

DIA yang menggerakkan aku, DIA yang menyuruh aku tanpa aku perlu berkira-kira.

Wahai anak, 
tidurlah di bawah aliran takdir, berbantalkan kesabaran. 
Setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan.

Cinta dunia sekali lagi adalah cinta yang menghitung-hitung harta untuk persediaan di masa akan datang sedangkan kita tiada jaminan untuk mengatakan bahawa kita akan hidup selama yang kita jangkakan.

"Habis tu kak, buat apa kita cari harta, cari kerja kalau kita tak fikirkan semua perkara tu"

Terseyum.

"Sudah lupa dengan kisah Ummul Mukminin, Zainab? Zainab ini adalah satu-satunya isteri Rasulullah s.a.w yang dinikahkan oleh Allah. Iaitu ada satu ayat Quran yang memeteraikan ijab dan qabul antara Rasulullah s.a.w dan Zainab. Sifat Zainab ni suka bersedekah. Sehingga baginda wafat, pekerjaan Zainab adalah memintal benang. Dia akan menjual benang tu, dan hasil keuntungannya akan disedekahkan. Yang dia ambil adalah duit modal untuk membeli kapas lagi. Perkara itu berulang-ulang dia buat. Cuba kita tengok di zaman kita pula. Gaji hari ni, habis dengan bayar bil tu, bil ni, hutang tuh, hutang ni. Kemudian, bila bosan, mulalah bersungguh-sungguh cari pendapatan lain, hanya semata-mata tak puas hati, kerja bersusah payah, baki duit gaji ciput je. Nak beli barang untuk diri sendiri pun tak cukup, kan? Dan kemudian, mulalah rakus cari tu, cari ni. Betul tak cakap akak ni?"

Terkedu, dan akhirnya mengiyakan ayatku.

Hari ini, aku mendengar kisah seorang makcik. Mendengar kisah dia dan anaknya. Dia menasihatkan aku untuk menjaga kesihatan. Ya, nasihatnya sangat bertepatan dengan diriku, kerana aku bukanlah seperti wanita yang seusia denganku. DIA dah ambil sebahagian besar yang satu ketika dahulu pernah diberikan kepadaku.

"Makcik marah anak makcik. Umur muda lagi tapi dah sakit tu, sakit ni. Duit dia, dia perabis beli baju tu, baju ni. Makcik cakap kat dia, buat apalah beli baju cantik kalau badan tak sihat. Kita nak badan sihat, nak senang beribadah, kan?"

Khusyuk mendengar dan aku mengiyakan kata-katanya. Benar, tepatlah kata-katanya.

"Manusia ni bukan tahu kita sakit ke tak. Yang dia tahu benda tu siap je. Kalau tak dari muda lagi jaga kesihatan, nanti bila dah tua, lagi teruk"

Menelan air liur, terasa pasir di tekakku. Kesihatan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Setiap hambaNYA diberi lima kesempatan sebelum lima kesempatan. Inilah persediaan yang dipertaruhkan oleh kita untuk mengaut seberapa banyak pahala di sana, bukan harta di dunia.

"Kalau semasa kemalangan lepas, ada organ akak yang musnah yang memerlukan pembedahan pemindahan organ, ni wasiat akak, akak tak redha dilakukan pembedahan tu. Apa yang akak minta, lepaskan akak dengan redha. Redhalah pemergian akak dan doakan akak"

Terkedu.

Fikiran dan ingatanku teringat peristiwa lepas. Terlalu banyak hati-hati yang tidak ingin melepaskan aku, terutama sekali seorang adik yang ku kasihi.

"Andai kata kalau masa kemalangan lepas tu, akak dah tak boleh diselamatkan, kau boleh terima?"

Terdiam, terkebil-kebil.

"Insya Allah, adik redha"

"He3, ye ke ni. Betul ke nih?" Saja bergurau.

Lama terdiam, terkebil-kebil. Mulut semacam berat untuk ungkapkan. "Jangan nak mengada-ngada ye cakap yang bukan-bukan"

Gelak ku pecah. Kelakar.

"Ini realiti, ini hakikat. Semua orang akan mati. Jangan kau lupa hakikat perkara ini dan kau kene bersiap sedia untuk itu"

Mengalihkan pandangan, memandang ke luar. Melihat tasik yang dihiasi dengan air pajut. Tenang. Damai.

Apalah yang ada dunia ini sehingga manusia terlalu berpusu-pusu untuk meraihnya. Menampukkan harta hanya semata-mata untuk kepuasan diri. Menghabiskan segala pinjamanNYA hanya semata-mata kita tertipu dengan dunia. Dunia ini adalah persinggahan kita. Maka, jadikanlah diri kita sebagai manusia yang berdagang, sedang berdagang, berdagang harta dariNYA untuk meraihkan gaji dariNYA.

Enjoy your life, satu perkataan yang seringkali aku gunakan, dan aku ungkapkan bagi yang merasa sedih dengan perbuatan manusia. Enjoy Your Life, kerana hidup kita tak lama. Jangan disesakkan dengan manusia yang memang telah ditugaskan untuk mengacau kita. Biarkan dan yakinlah dengan janji Allah. Segala perancangan itu tidak akan terlaksana jika tanpa keizinanNYA. Segala susah dan selicik mana pun rancangan manusia untuk menjatuhkan kita, ianya tetap takkan berlaku jika DIA tidak izinkan.

Dan jika DIA izinkan, maka ujian itu adalah untuk meningkatkan darjat kita, untuk menyucikan dosa kita. Dan jika DIA izinkan, maka, sudah sampailah masa kita untuk dipanggil olehNYA, untuk kita lunak kembali bercerita kepadaNYA.

Kembalilah kepadaNYA.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”