Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Friday 13 January 2012

Mari Belajar Bercinta

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Sekali lagi, satu coretanku, yang ku kongsikan, jika ada manfaatnya, ambillah, dan jika tidak, tinggalkanlah kerana sesungguhnya, catatan lamaku itu ku simpan untuk tatapan dan perkara yang menjadikan aku bermuhasabah semula..

Selamat membaca..

**********************************


Sudah berhari setiap tulisan yang ku tulis, ku simpan semula. Sudah berhari juga, setiap idea yang mencurah itu, ku pendamkan terlebih dahulu. Sudah berhari juga, apa yang ingin ku sampaikan, ku berkira-kira untuk publish.

Dan akhirnya, aku merayau, bersiar-siar melihat teratak-teratak yang lain. Menyinggah-nyinggah sambil membaca sekali imbas. Aku hanya terpaku sekejapan pada satu-satu teratak dan aku lihat profile-profile blogger tersebut. Ada yang 21, ada yang 17, ada yang 22, ada yang 23. Sekali imbas, dan satu sahaja konklusi yang boleh ku katakan, mereka terlalu mengejar cinta dan mencari cinta.

Pergi semula ke teratak-teratak lain, dan kebanyakkannya menceritakan tentang perihal cinta. Bercerita tentang cinta. Memberitahu cara bercinta. Terpana sebentar dengan kenyataan ini. Bercintalah pada cinta yang mengajar kita untuk lebih mencintaiNYA Pelik. Macam mana?

Singgah ke teratak-teratak manusia lain, membuatkan aku berfikir, Hidup ni semata-mata nak kejar kahwen je ke? Hairan, manusia sekarang lebih banyak memikirkan cara bercinta, cara untuk memperoleh kesempurnaan iman yang separuh ini. Hairan.

"I'm damn tired. Terasa rindu zaman bujang!!!" Aku tergelak melihat status sahabatku yang sedang dalam mabuk mengandung.

"Weh, dah nama pun kahwen, kahkahkah." Aku hanya tergelak. Dan dia menceritakan ujian dan dugaan yang terpaksa dia hadapi, semuanya perlu ada timbang-rasa. Aku hanya tersenyum. "Sabarlah, dan percayalah, jika kau banyak consider mengenai keadaan suami kau, sesungguhnya ada ganjaran dan Allah sentiasa memudahkan kerja kau berkat doa suami kau. Dah nama pun kahwen weh" aku tergelak. Dah nama pun kahwen, kan?

Manusia ni terlalu mengejar sesuatu yang belum pasti dan menjadi rahsiaNYA. Kejarlah yang pasti, dan tinggalkan yang menjadi rahsiaNYA. Kerana rahsiaNYA itu hanya boleh terlerai dengan meminta izinNYA, iaitu berdoa. Terdetik di hati. Aku hanya tersenyum dengan ungkapan kata hatiku, kerana hati ini terlalu banyak yang dia ajarkan ku, tentang makna sebuah kehidupan.

Belajar bercinta? Aku hairan manusia yang begitu asyik menulis cara-cara bercinta dengan manusia, harus bagaimana caranya. Menggaru kepala aku melihat manusia-manusia yang terlalu suka berhujah tentang hubungan antara seorang lelaki dan perempuan. Hairan. Kenapa memperlihatkan satu perkara fitrah. Adakah jika kita memberikan sebeban hadis, manusia akan ikut? Tak, hanya segelintir sahaja. Bawalah mereka berfikir sebenarnya kerana itulah permulaan dalam mana-mana petunjuk dan hidayah itu tembus ke hati yang leka.

"Walau macam mana sekali pun, aku lebih pentingkan persahabatan kita. Aku sanggup mengalah" Kata-kata dari seorang sahabat lelaki ketika di alam persekolahanku. sayup-sayup aku dengar kata-katanya. Kita semua adek-beradik. Aku tersenyum. Memang, kami di alam persekolahan, persahabatan itu lebih utama dan aktiviti sekolah untuk membuka mata cikgu-cikgu yang memandang enteng pada kami itu yang kami utamakan. Tidak sedetik pun nak mensia-siakan masa kami di sekolah.


Setiap kali balik sekolah, siapa yang ada ura-ura nak dating, kene tinggal. Tergelak. Kami balik berkumpulan. Sekalipun selepas kami melangkah keluar dari pagar sekolah, dan ada yang mengikut cabang yang berlainan, semua mesti berkumpul dahulu di tepi bangunan Kemahiran Hidup sebelum sama-sama balik. Saat itulah rakan-rakan dari kelas lain akan mengetahui perancangan kami kalau mereka tertinggal.

"Aisyah, petang ni main basketball. Kau jangan lupa lak, pukul 3.00"

"Siti, petang ni ada perjumpaan Pengakap. Amy nak jumpa kita semua sebelum camp. Nak cek barang kat bilik Pengakap"

"Weh, petang ni jalan-jalan. Pukul 5 kat umah aku"

Hairan remaja sekarang yang terlalu suka bercouple. Bagi mereka, tak bercouple tu tak best. Hairan. Kenapa singkat benar mereka berfikir. Berapa tahun kalian kene tunggu sedangkan orang dewasa pun payah nak berkahwin? Pasti ke itu jodoh kalian? Hairan melihat adik-adik yang lupa untuk memikirkan pandangan masyarakat, sehingga kata-kata itu boleh sampai ke telinga ibu bapa. Tak fikirkah apa perasaan seorang ibu, seorang ayah?



Hairan juga remaja ini sudah pandai bercanda mengenai cinta di perkarangan sekolah. Terimbas di zaman aku. Kami memang nakal dan setiap dari kami juga akan menjaga kepentingan sahabat kami. Seorang kene, semua mesti kene. Sorang lepas, semua mesti lepas. Sorang ada idea, yang lain mesti tolong. Bila ku kenang-kenang kembali, emh...rasanya macam takda masa pulak nak fikir pasal bercinta. Kenapa zaman sekarang terlalu banyak pula ruang sehingga terlupa ape yang menjadi kepentingan mereka terlebih dahulu. Hairan.

Merenung satu teratak yang dimiliki oleh seorang adek yang baru belasan tahun sudah pandai berbicara mengenai cinta. "Hidup ni bukan hanya tujuan nak kahwin je. Kalau ayah kata 26, kenapa tak gunakan masa tu untuk merealisasikan perancangan kita. " Setuju. Aku hanya tergelak. Dan perkara sama juga aku katakan pada manusia-manusia yang terlalu asyik berfikir kahwin itu menjadi tujuan hidup.

Jangan kita lupakan firman Allah dalam surah Adz-Zariyat ayat 56, Allah menjadikan kita semua untuk beribadat kepadaNYA dan DIA juga telah menunjukkan cara yang terlalu banyak cara beribadat kepadaNYA melalui kekasihNYA, Nabi Muhammad s.a.w. Terlalu banyak sebenarnya. Kenapa tidak kejarkan ibadat yang lain sedangkan ibadat berkahwin itu adalah satu anugerah dariNYA.
Entah kenapa perkara ini hanya sehembus nafas berfikir, sekali imbas muncul di fikiran dan kemudian lenyap bila bebanan kerja lain menghimpit. "Ayah hairan manusia sekarang. Jodoh itu urusan Allah. Kenapa nak kejar. Kalau ada, dia akan datang. Itu semua kerja Allah" Aku tergelak mengiyakan kenyataan ini. Benar. Itu kerja Allah. Bukan kerja kita.

Bila melihat manusia yang terlalu singkat berfikir ini, aku terimbas ke belakang. Perancangan. Ya, perancangan kitalah yang menjanjikan siapa kita di masa hadapan nanti. Kejarlah yang pasti, dan tinggalkan perkara yang menjadi tanda tanya. Kejarlah untuk belajar bersungguh-sungguh tetapi tinggalkan keputusan akhir dalam penentuanNYA. Kejarlah dengan sebaiknya urusan kita, dan tinggalkan urusan jodoh jika kita belum bersedia. Teleklah diri.

Perancangan kitalah yang menentukan letak duduk siapa kita di kemudian hari. Hidup ini bukan hanya sesingkat menarik nafas dan kemudian menghembuskannya. Sekadar melihat oksigen menerpa ke hidung kemudian karbon dioksida dihembus keluar dari badan. Tetapi hidup ini bermula selepas kita menerima glukosa dari mulut kita dan menggunakan oksigen di kala badan mensintesis (Membina) kan bahan makromolekul untuk kegunaan badan kita. Inilah yang aku belajar dari kitar glikolisis dan ku amatinya dalam kehidupan seharian.

Kita tak gunakan gunakan nafsu melepaskan bebenan, tetapi menggunakan akal yang telah menerima ilmu untuk mentarjih segala input dan kemudian hati memberi arahan dalam mencadangkan satu cadangan. Maka berhujahlah akal dan hati di dalam fikiran. Tetapi keputusan akhir itulah kita sandarkan sebagai satu ujian kita atas keputusan yang telah kita keluarkan.

Merancanglah untuk kehidupan dan keputusan akhir itu pada Allah. Kita perlu hidup dalam keadaan merancang. Manusia yang tanpa perancangan seumpama manusia yang ditolak ke kanan, dia pergi ke kanan, di tolak ke kiri, dia ke kiri. Seolah-olah tiada pendirian dan takda matlamat hidup. Perancanganlah yang menyelamatkan seseorang dari mengikut nafsunya semata-mata. Perancanganlah yang menjadikan dirinya seorang yang bermatlamat.

Untuk apa kita belajar?

Untuk apa kita bekerja?

Untuk apa kita berkahwin?

Untuk apa kita bersahabat?

Dan, untuk apa kita dihidupkan? Dan inilah soalan pada diri kita sendiri harus kita fikirkan.

Bila ditanya mengenai belajar bercinta, belajar untuk menjadi seorang manusia, belajar untuk apa-apa sahaja, hanya satu sahaja yang ku katakan. Belajarlah untuk mencintai Allah terlebih dahulu. Kita takkan dapat belajar untuk menyintai yang lain jika kita tak tahu bagaimana nak bercinta dengan Allah. Kita takkan dapat menjadi seorang manusia yang hebat kalau kita tak tahu cara bagaimana untuk kita menyintai Allah.

Takkan berubah seorang kafir itu menjadi seorang Islam jika mereka tidak belajar untuk mengenali Allah terlebih dahulu. Tidak akan dimulakan dakwah oleh Rasulullah s.a.w kalau pegangan tauhid umatnya ketika itu goyah dan tak ditekankan sejak dari awal. Takkan berubah pendirian seorang manusia itu jika tidak kenal kelemahannya di hadapan Allah. Dan tidak akan menjadi seorang hamba yang baik jika tidak dimulai dengan merasakan kehadiran Allah sentiasa di hati.


Manusia suka melakukan kejahatan hanya kerana mereka tak sedar mereka diperhatikan oleh Allah. Terimbas akan aku pada satu kisah. Seorang tuan guru yang begitu menyayangi seorang anak muridnya lalu anak muridnya yang lain berasa cemburu. Mereka beramai-ramai datang kepada tuan gurunya dan bertanyakan hal kelebihan anak muridnya yang seorang itu.

"Aku menyayangi kerana dia adalah seorang anak murid yang baik dan cerdik." Tuan gurunya menyebutkannya.

"Apakah kami semua tidak baik?"

"Semuanya baik, tetapi ada kelebihan pada dia yang menyebabkan aku menyanginya" Maka hampalah semua anak muridnya kerana tuan gurunya tidak menyatakan kebaikan anak muridnya yang satu itu. Walaupun mereka beredar tetapi dalam keadaan yang kecewa.

Tuan gurunya pun berfikir untuk menunjukkan kelebihan anak muridnya itu.

Satu hari, semua anak muridnya dipanggil. Tuan gurunya menyuruh mereka semua membeli 20 ekor burung. Setelah mereka membelinya, tuan gurunya menyuruh setiap seorang mengambilnya seekor dan dia memberi arahan. "Aku hendak semuanya menyembelih burung yang ada pada kamu di tempat yang tiada siapa pun lihat"

Maka, kesemuanya bertempiaran mencari-cari kawasan yang tidak diketahui oleh orang lain. Setelah selesai, semuanya berkumpul. Tetapi, dalam suasana itu, masih terdengar cicip seekor burung yang dipegang oleh seorang anak muridnya yang sedang menggaru kepala kerana tugasan itu tidak dapat disiapkan.

Semua anak murid tuan guru itu mengertawakan anak murid itu. Tetapi tuan gurunya itu memanggilnya. "Kenapa engkau tidak menyelesaikan tugas yang telah aku berikan"

"Bukankah tuan guru menyuruh supaya menyembelih burung ini di tempat yang tiada siapa pun dapat melihat saya"

"Ya"

"Macam mana saya nak cari tempat sebegitu sedangkan semua tempat pun, Allah dapat melihat saya"
Tuan gurunya tersenyum. Dan semua anak muridnya juga melihat sendiri kelebihan itu. Akhirnya mereka berpuas hati dan tuan gurunya juga berasa lega tanpa perlu dia berkata apa-apa.

Lihatlah, jika kita mencintai Allah, kenal Allah, maka manusia juga akan menyayangi kita. Dan tidak mustahil Allah akan memberikan yang terbaik pada kita sesuai atas apa yang telah kita lakukan. Tidak akan kita kagum pada Saidina Abu Bakar kalau kita tidak tahu betapa cintanya dia pada Allah dan Rasul-NYA. Tidak akan sedihnya kita berita perpisahan Saidina Umar al-Khatab di saat dia ditikam kalau kita tidak kenal peribadinya yang begitu tulus mengangungkan Allah dan Rasul-NYA.

Tidak akan disayangi oleh manusia lain jika kita melupakan diri untuk mencintai terlebih dahulu Allah. Tidak akan ke mana cinta manusia jika ia hanya berdasarkan rasa ketika itu sahaja tanpa kita menjawab soalan untuk apa dia dicintai. Jika kita melihat seorang berdasarkan nafsu, maka ia akan selalu dibuai oleh rasa yang kita sendiri tidak faham.

Terkadang, aku hairan manusia yang terlalu mengagungkan perasaan cintanya sehingga membelakangkan bermacam-macam perkara yang perlu difikirkan terlebih dahulu. Aku menggaru kepala memikirkan manusia yang lupa akan awlawiyat nya sendiri dalam urusan kehidupannya. Pelik.

Bezakan terlebih dahulu perasaan yang hadir ketika itu, adakah hanya sekadar cinta, suka, atau selesa. Dan jika cinta, bezakan juga, adakah ianya berdasarkan cinta kerana Allah atau cinta kerana nafsu. Jangan terlupa menilai dan membelek-belek perasaan itu, kerana terkadang kita juga tersalah tafsiran.

"Kalau betul-betul Zizi sayangkan dia, Zizi sedih kalau berpisah dengan dia. Ni mama tengok Zizi tak nangis pun. Cuma perasaan tak puas hati je kan?" Tertarik dengan kata-kata pelakon di layar kaca televisyen. Kita tak tahu, kita sayangkan dan cintakan siapa kerana itu kita kerap tersalah pilih orang. Kita tak perasan, perasaan yang ada ketika itu hanya perasaan berlandaskan hawa nafsu sahaja. Kita lupa semua itu kerana asyik dibuai perasaan sedangkan ianya hanya perasaan sebagai seorang yang selesa, atau perasaan yang hanya menyukai bukan cinta.

Aku selalu melihat manusia menjadikan kisah cinta manusia lain yang sezaman dengannya sebagai contoh. Jauhkanlah wahai sahabat mengenai perkara ini. Bukan mereka yang menjadi rujukan kita.

"Kalau kau cintakan dia, pedulikan semuanya. Kalau bapak kau tak suka, kau kahwen je kat sempadan"

"Cinta ni kan indah. Tak salah aku rasa kalau kau teruskan juga. Alar, kawan kau tu jeleous sebenarnya"


" Eh, mana adil macam tu? Kau kene pertahankan hak kau"

Dan banyak lagi. Aku hanya melepaskan keluhan berat mendengar manusia-manusia yang terlalu berfikir singkat ini. Tidak takutkah kita jika Allah menurunkan sesuatu saat kita merasakan bahawa kita terlalu megah mempertahankan cinta kita itu. Cintailah Allah terlebih dahulu sebelum kita mencintai yang lain. Kenal Allah terlebih dahulu sebelum kita kenal yang lain.

Melihat pada contoh-contoh terdahulu, membuatkan aku berfikir dan melihatnya sebagai satu perkara yang sedang terjadi pada kita balik. Sejarah tidak pernah tidak terjadi semula. Sejarah hanya memberi peringatan kepada kita dan ia tetap akan berulang. Sejarah bukan arkib tinggalan zaman dahulu yang hanya dirujuk semata-mata peperiksaan sahaja. Tetapi sejarah adalah kita sendiri. Sejarah tetap akan muncul semula kalau kita tidak cuba untuk belajar sesuatu darinya.

Renungkanlah bagaimana Siti Khadijah memilih Rasulullah s.a.w sebagai suaminya. Tidak akan diturunkan petunjuk itu jika Siti Khadijah bukan dari kalangan hambaNYA yang beribadat ikhlas kepadaNYA. Tidak akan digerakkan hati seorang manusia jika hatinya penuh dengan tipu daya dan cara hidup masyaraat jahiliyyah. Selidikilah salasilah Siti Khadijah dan peribadinya. Allah memilih dia sebagai teman Rasulullah yang paling banyak berjasa kepada baginda kerana hatinya yang memilih untuk mencari redhaNYA.

Lihatlah pulak kisah cinta Siti Zulaikha dan Nabi Yusuf. Sekalipun pada awalnya dia terlalu menginginkan Nabi Yusuf, akhirnya, dia bertaubat dan berusaha mencari redhaNYA. Ketaqwaannya juga telah menjadikan impiannya itu dimakbulkan Allah. Malah, Allah sendiri yang meminang Siti Zulaikha melalui malaikatNYA untuk Nabi Yusuf. Taqwanyalah yang menjadikan dia golongan hamba yang begitu berharap pada-NYA. Kerana dia percayakan Allah lah, akhirnya dia menjadi pasangan kepada kekasihNYA.
Jika kita merasakan pedihnya perpisahan itu, pedih lagi Nabi Adam yang berpisah dengan Hawa ketika mereka diturunkan ke dunia berseorangan jauh di suatu tempat. Jika kita rasakan peritnya menanggung rindu kepada kekasih yang berjauhan menunggu saat ketika disatukan sehingga sanggup melupakan batas-batas hubungan antara lelaki dan wanita, bandingkan pula peritnya Nabi Adam dan Hawa yang terkial-kial mencari arah, di manalah kekasih ku, meraba-raba mencari-cari. Bandingkan.

Jika kita merisaukan diri ditinggal suami kerana keperluan kita hanya bergantung kepadanya sehingga berebutkan nafkah di mahkamah, bandingkan Siti Hajar dan Nabi Ismail. Saat ketika Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di satu tempat, saat bercucuran air mata, Nabi Ibrahim kembali mengingatkan semula mereka bahawa Allah tidak akan mensia-siakan mereka. Allah akan bersama-sama mereka. Allah yang akan menjaga mereka. Allah lah juga yang akan mencukupkan keperluan mereka.

Sudah tidak cukupkah lagi contoh-contoh manusia hebat kekasih Allah untuk kita jadikan contoh sehingga kita menganggap cinta kita itu melebihi segala-galanya? Tidak cukupkah sehingga kita merasakan bahawa keperitan kita menanggung cinta itu lebih hebat dari mereka?Tidak samakah apa yang terpaksa kita hadapi sehingga kita membelakangkan segala-galanya demi kerana cinta yang tanpa landasan itu.

"Nanti-nantilah dik. Akak takda calon lagi. Banyak lagi akak nak kene fikir"

"Kak, bukan ke menolak perkahwinan itu tidak mengikut sunnah nabi"


Tergelak. "Kahkahkah..sapa yang tolak dik. Akak cuma tak nak mencari sebab ini rahsia Allah. Kalau ada jodoh, adalah. Kalau takda, cukup banyak Allah dah sediakan cara untuk kita beribadat. Bukan hanya sekadar berkahwin je" Aku hanya tersenyum.

Contoh? Di mana pulak letaknya kedudukan Rabiatul Adawiyah kini, wanita sufi yang hebat memperdagangkan diri untuk membetulkan pemahaman manusia kepada pengertian Allah di hati kita. Bukankah dia juga tidak berkahwin? Bukanlah ku katakan aku ini seperti beliau, tetapi, bukankah ada contoh-contoh perlakuan wanita mukminin yang boleh dijadikan contoh, pemujuk jiwa, menggembirakan hati. Bukankah mereka semua telah dijanjikan syurga, dan kenapa kita tidak mencontohi mereka.

Kenapa seorang wanita terlalu merisaukan urusan jodoh sehingga lupa wanita itu sendiri maruah keluarga. Kenapa tidak dihiraukan rasa hati manusia yang telah mendidik dan membesarkan kita. Wanita itu terlalu mahal untuk murah diperdagangkan. Kenapa tidak mengabdikan untukNYA. Carilah cinta kepadaNYA terlebih dahulu sebelum mudah menerima cinta seorang lelaki.

Bersangka baiklah pada sebarang tindakan sesuatu manusia. Setiap dari kita ada bahagian kita. Setiap dari jiwa kita menerima tarbiyahNYA. Setiap dari kita juga sedang menerima ujianNYA. Janganlah kita terlalu menilai-nilai tindakan seorang manusia itu dengan hanya pandangan yang dangkal. Bersangka baiklah. Dan ilmulah yang mengajar kita untuk berhati-hati dalam melangkah.

Bukan bermakna seorang yang meninggalkan perjuangan dalam erti kata mata kasar kita itu telah meninggalkan peribadi muslimah di dalam dirinya. Di dalam dirinya sendiri ada perjuangan. Di dalam kehidupannya juga ada perjuangan. Di dalam dia melangkah juga ada perjuangan. Apa yang penting, semuanya kerana Allah yang akan dipandang sebagai perjuangan ke dalam hati kita, yang akan dilihat sebagai ibadah kepadaNYA.

Seperti kisah di atas. Kisah anak murid dan burung itu. Takkan kita sedar perkara yang dianggap kecil ini adalah besar peranannya sebenarnya. Dan takkan kita lupa, yang besar itu sebenarnya kecil sahaja. Kita suka melihat yang besar dahulu sebelum menyedari hakikat yang besar itu juga asalnya adalah kecil. Jarang kita sedar, yang besar takkan menjadi besar yang bulat terbentuk kalau di awal lagi, belon yang kecil itu dah terbocor.

Bila dicarikan contoh, ditanyakan pula tentang rujukan, aku hairan manusia tidak melihat contoh-contoh yang terdahulu. Siapalah kita untuk menjadi contoh. Sedangkan apa yang kita lakukan ini juga belum tentu diterima, kenapa mesti kita melihat manusia lain. Lihatlah para srikandi islam yang telah dijanjikan syurga.

"Awak kene kahwen, jadi contoh kepada mereka"

"Ape kejad saya nak jadi contoh. Diaorang kene belajar sebenarnya. Contoh dah memang ada, contoh srikandi-srikandi Islam yang memang sah-sah dah dijanjikan syurga. Bukan saya pulak yang nak kene dijadikan contoh. Saya yang belum tentu lagi tahu macam mana timbangan saya di sana. Mereka kene lihat sejarah, bukan nak suh saya yang jodoh tak sampai-sampai lagi ni. Kui3"
Tergelak. Masalah. 


Apa pulak aku yang kene jadi contoh ni.

Aku hairan manusia selalu berkata perjuangan tetapi mengecilkan skop dakwah itu. Aku hairan juga melihat manusia yang telah selesa dengan keadaannya di medan perjuangan tetapi terlupa menelek diri dan hatinya. TimbanganNYA itu di luar jangkaan kita. TafsiranNYA juga bukan hak kita. Manusia sekarang pun mudah melakukan salah. Aku juga banyak melakukan salah. Perlu apa aku yang menjadi contoh. Jadikanlah Siti Khadijah, Siti Aisyah, Rabiatul Adawiyah dan para mujahidah di zaman dahulu sebagai contoh kerana mereka telah pun dijanjikan syurga. Bukan kita yang masih lagi tertanya-tanya.

Aku hanya berjalan dan merenung tingkah-laku manusia. Melihat dan merenungnya lalu akhirnya aku bersyukur. Hairan aku pada kehidupan dunia sekarang. Terlalu memikirkan perkara yang terlalu kecil sehingga lupakan yang lain. Terlalu menyesakkan fikiran dengan jodoh sehingga lupa untuk memperkukuhkan iman di hati. Manusia mudah lupa. Tersenyum "Biarlah. Insya Allah mereka akan belajar nanti"..



Insya Allah..

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

2 comments:

  1. As salam. InsyaAllah. Satu perkongsian yang bagus. Memberi kesedaran kepada saya; yang mna menghabiskan masa remaja mengejar cinta manusia sehingga terlalu liat untuk cintaNya melekat dihati ini.
    Saya selalu tertanya2. Mengapa saya terlalu jauh dari jalanNya, rupanya hati saya dipenuhi keinginan duniawi semata. Saya sendiri yang menjauhi untuk mengingatiNya. Harus ku atur langkah, dengan mengingati dan belajar mencintai Allah dan Rasul.
    Terima kasih sekali lagi atas perkongsian ini. Oh ya Ingin menjadi sahabatmu. Sudikah? Namaku Idayu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. wa'alaikumussalam..boleh ya ukhti..boleh lah ukhti hubungi saya di emeil ..saya, are_tq@yahoo.com...salam perkenalan dari saya..^_^..

      Delete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”