Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Monday 13 February 2012

Selamat Hari Lahir...

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



"Pertama kali saya tengok akak, akak nampak macam tenang je. Memang betullah, kan kak, yang kat dalam tu susah nak ditebak. Bila saya baca buku akak, rupanya..."

Mata masih terpaku pada pemandangan. Malam tu, berpeluang, dan peluang yang DIA sediakan untuk aku tenang sebentar, tenang dengan alamNYA, bersama-sama membesarkan Sang Pencipta. Subhanallah. Subhanallah. Subhanallah.

"Sebab adik selalu nampak akak menangis. Adik tak nak akak menangis lagi"

Panas, bebola mata itu terasa panas. Bergenang, empangan itu sedang dipenuhi yang menanti untuk pecah.



Di hadapan sekalian manusia, pamerkanlah dengan sebaik-baik hikmah, pamerkanlah dengan sebahagia yang mungkin agar mereka terasa bahagia berada di sisi kita. Di hadapan sekalian saudara seislam, tunjukkanlah, tunjukkanlah sebuah ketenangan yang menyejukkan kerana ianya bagai air yang mendamaikan bagi sekalian manusia apabila merapati kita.

Dunia ini dijadikan satu hamparan latihan, yang mana menjadi satu ingatan kepada kita. Yang mana, latihan itu terkadang memberikan kesan kepada kita, tak kiralah pada fizikal atau hati. Terkadang, latihan itu boleh menjadikan kita terawang-awangan dari tujuan utama kita berada di dunia ini. Latihan itu juga, ada kalanya benar-benar membuatkan kita terhenti di satu stesen, kerana takut untuk melangkah seterusnya.

Inilah dunia yang kebanyakan manusia saling kejar mengejar mencari kepuasan, mencari kesempurnaan.

Di dalam aku melangkah, mencari dan terus mencari, seringkali aku bertemu dengan si musang yang menyamar menjadi kambing biri-biri, yang ku sangkakan mendamaikan. Acap kali juga aku bertemu dengan sekalian manusia yang benar-benar merobek dan meluluhkan hatiku. Bukan tiada kerana itulah tugas manusia yang berada di sisi kita, tugas yang menjadi ujian kepada kita.

Dalam aku melangkah, bukan aku tidak pernah terkesan dek tingkah-laku manusia, tapi, itulah dia, manusia yang telah diciptakan untuk kita berfikir akan kekuasaanNYA, bukan memikirkan kelancaran perancangan kita apabila berada di dunia ini.



Hari lahir, adalah satu tarikh yang diraikan oleh sekalian manusia bagi menyatakan pertambahan umur kita. Ulangtahun, adalah satu hari di dalam setiap tahun yang dinanti-nantikan untuk kita semua merasai bertambahnya kematanagn kita untuk melihat setiap kejadian lepas.

Jarang manusia ingin memikirkan atas jasanya pada Islam. Apa yang difikirkan adalah bagaimana untuk menyempurnakan hidup, memiliki sebuah rumah yang selesa, kereta yang laju meluncur di atas jalan raya, tidak tersengguk-sengguk, serta harta kekayaan yang melimpah. Hanya semata-mata untuk memenuhi kepuasan hatinya.

Dan tidak kurang juga yang acap kali berfikir-fikir akan kesilapan manusia pada dirinya.

"Benar, dia ada buat silap pada akak, tapi akak masih lagi berfikir kebaikannya pada akak, maka segala pahit yang diberikan itu akan diraikan dengan kebaikan yang pernah dia berikan. Jangan mengharapkan manusia itu pada hari ini baik, esoknya dia masih tetap baik, tapi ketahuilah, manusia ini bersifat sentiasa berubah-rubah. Maka, jadikanlah setiapnya untuk kita hargai supaya kita tahu, hidup kita tidak pernah membosankan"

Tersenyum.

Maka, inilah sahaja yang mampu aku lakukan, inilah sahaja yang aku terdaya, dan ketika saat ini, aku hanya katakan, aku ingin seluruh hidupku, ku habiskan untuk menghayati keindahan islam di dalam hidupku, dan bukanlah disebabkan kehadiran manusia, aku menjadi bahagia. Aku bahagia kerana aku dilahirkan menjadi seorang islam dan aku ingin menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang islam disamping mencari mutiara iman itu.

Memoir Secangkir Kopi, adalah satu usahaku, satu caraku, jika benarlah kata-kata manusia sekeliling tulisanku itu menyejukkan dan mendamaikan membawa manusia kepadaNYA, maka aku cuba dan cuba untuk membawa manusia kepadaNYA.

Apabila anda sudi menghulurkan sedikit nilaian harta dunia, maka ketika itulah hati anda telah terbuka untuk mengetahui barang daganganNYA, iaitu ilmu Allah. Aku hanya perantara, malah menggunakan barang pinjaman dariNYA pula untuk berdagang, maka, tidaklah sesuai jika manusia ingin mengetahui latar belakang orang tengah ini. Tapi, kenalilah Allah, yang telah mengizinkan aku berdagang menggunakan harta pinjaman dariNYA. Maka, inilah dia, ilmuNYA, yang ingin ku kongsikan.

Terima kasih buat sahabat-sahabat yang telah memberi respon untuk reserve dan membeli secara langsung serta tak langsung manuskrip ini. Hanya sekalung ucapan terima kasihku kepada kalian, kerana kalian membantu 'orang tengah' ini untuk mendapatkan manfaat dari pinjamanNYA. Terima kasih, wahai sahabat-sahabatku.

Dari manuskrip ini, ambillah ilmuNYA. Aku hanya olah ilmuNYA melalui sedikit kehidupanku agar kalian yang membaca dapat memahami, setitis kecil dari seluas lautan ilmuNYA. Fahamilah ilmuNYA dan aplikasikanlah di dalam kehidupan kalian, kerana kita tidak mempunyai jalan cerita yang sama, tetapi kita belajar ilmuNYA yang sama. Fahamilah dan aplikasikanlah kerana dengan dua perkara ini, kalian akan bahagia dengan setiap ketetapanNYA.

Terima kasih.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”