Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Wednesday 15 February 2012

Sebarkanlah salam..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Sekonyong-konyongku melihat, merenung dan kemudian memejamkan mata. "Subhanallah"

Indahnya pemandangan yang Kau sajikan ini, mendamaikan, menyejukkan hatiku yang sedang gundah. Maha Besar-Mu ya Allah, Maha Berkuasanya Mu ya Allah kerana telah menciptakan seindah ini alamMU.

Mata masih lagi merenung, berada di tepi masjid, menghadap ke arah tasik. Tiba-tiba salah seorang kanak-kanak arab yang berlalu di hadapanku merenung, mengamati aku. Aku tersenyum, dan melambai-lambai tangan ke arahnya. Dan dibalas senyuman, dan lambaian bertukar. Bahagia.

Seorang wanita Arab, berjilbab, berlalu di hadapanku, dan kemudian menyapaku, "Assalamualaikum" Terpana sebentar. Ah, indah, indah sungguh suaranya, ya Allah, dan ku balas, "Wa'alaikumussalam warahmatullah"

Benarlah ya Allah, benarlah akan kata-kata kekasihMU, Rasulullah Muhammad s.a.w atas satu hadithnya.


"Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak beriman, hingga kamu saling sayang menyayangi. Mahukah kamu aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu melakukannya, kamu akan saling sayang menyayangi? Sebarkanlah salam sesama kamu." (Muslim)

Maka, sungguhlah benar kata-kata kekasihMU ya Allah.

Manusia dijadikan bersaudara dan dicampakkan perasaan kasih dan sayang ke dalam setiap hati hamba-hambaNYA, dan sesungguhnya kita bertuah kerana diberi peluang untuk merasainya.

Segar di ingatanku akan salah satu cerpen yang ku karang di dalam manuskripku, mengenai seorang wanita yang layu kelelahan, dan tidak mampu untuk memahami hakikat yang di alaminya. Dan didatangkan seorang sahabat, yang permulaannya dimulakan dengan "Assalamualaikum, kak"

Indah, tersangatlah indah, kerana di dalam setiap perjalananku, aku seringkali bertemu dengan manusia-manusia yang memulakan ukhwah denganku melalui ucapan, "Assalamualaikum", menegurku yang sedang khusyuk mengamati ragam manusia, khusyuk dengan mushaf, dan khusyuk juga dengan paparan skrin telefon bimbitku.

Berkasih sayanglah wahai hati-hati yang dikurniakan dengan rahmatNYA, maka berkasih sayanglah untuk bersama-sama mencari keredhaanNYA.

Bukanlah kita dijadikan sebagai hambaNYA yang ingin berdebat, berkata-kata seumpama di dunia ini hanya punya satu jalan sahaja. Bukanlah dijadikan satu lorong sahaja untuk kita sampai ke destinasi kita. Bukan.

"Ya, Islam sudah dijanjikan menang, pasti akan menang kerana itu adalah janji Allah. Tapi, Allah bukan nak tengok kita menang, tapi Allah nak tengok bagaimana usaha kita untuk mendapatkan kemenangan yang dijanjikan. Janganlah kita menyempitkan fikiran kita dengan menyatakan hanya pendapat kita sahaja yang benar. Raikan setiap usaha, dan sentiasalah berpaut pada al-Quran dan Sunnah"

Maka, berpegang-peganglah tangan anda bersama-sama, beriringan, dan pada sesiapa yang kita temui, maka hulurkanlah salam, hulurkan persahabatan, dan hulurkanlah tangan, agar kita beriringan, menuju ke destinasi abadi, iaitu syurga Allah.

Marilah, kita sebarkan salam, kerana di dalamnya ada rahmat dariNYA. Satu bentuk kasih sayang yang DIA turunkan buat hamba-hambaNYA yang beriman. Sebarkanlah salam, dan seringlah kita bersama-sama mengingatiNYA, mencari keredhaanNYA.

Marilah..

Ukhwah adalah syarat menuju kemenangan, sementara pertikaian hanya membawa kelemahan dan kekalahan. Bagi mereka yang benar-benar setia pada Allah dan Rasulullah saw tidak bertikaian sesama sendiri yang tiada penghujung jalannya.

Begitu Rasulullah menegaskan " Janganlah kalian saling dengki, janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling menjauh. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara"

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”