Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Monday 27 February 2012

Ganjaran sedih..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Mata terarah ke hadapan, pemandangan hijau yang mendamaikan. Tenang. Bahagia.

Nun di hujung sana, ada jambatan yang menjadikan mata ini tidak berkedip melihat cahaya lampu yang terpancar, lalu mulut bertasbih, memuji keagunganNYA. Subhanallah.

Tersenyum.

Maha Suci Allah, dan segala puji-pujian itu hanyalah milikNYA, yang telah menggerakkan hambaNYA, memberi ilham untuk mencipta sebatas pemandangan yang menyejukkan hati, tenang dan damai. Alhamdulillah. Dan selawat serta salam kepada junjungan nabi kita, Rasulullah Muhammad s.a.w yang telah mengajarkan kepada kita untuk sentiasa bertasbih memuji keagunganNYA, Allah swt, yang tanpa kita sedari, itulah pengubat bagi kesedihan di dunia, merindui yang Maha Perkasa, Allah swt.

Hati ini bukanlah wadah yang keras apabila diuji, tidak terduduk dan mengalir air mata. Jiwa ini bukanlah tempat yang ditakdirkan untuk menerima kegembiraan sahaja. Maka sesungguhnya, segala rasa dan kepelbagaian emosi ini adalah untuk kita tahu, DIA aturkan terlalu banyak rencah di dalam hidup kita. Maka, marilah kita bersyukur kepadaNYA yang telah memberikan kita pelbagai perasaan ini.

Tetikus di'scrol' ke bawah, melihat gambar kehidupan. Melihat segala jerih payah manusia menghadapi kehidupan ini. Terpana. Bukan kerana mengasihani, tetapi mengagumi betapa mereka berjuang untuk sebuah kehidupan. Terkedu. Bukan kerana ingin mengatakan "Kasihannya", tetapi mengasihani diriku sendiri kerana tidak semampu itu untuk menghadapi dunia ini.

Salah satu dari buku karangan Dr Aidh Abdullah al-Qarni berada di tangan, menyelaknya, satu persatu, dan sekali lagi, terdiam melihat semangat juang para pejuang di zaman Rasulullah s.a.w.

Dalam sebuah pertempuran yang sangat hebat pada Perang Uhud, ketika Abdullah ibn Jahsy menyaksikan pedang-pedang memutuskan leheri-leher, dan panah-panah berterbangan di ata kepala-kepala, berteriaklah ia :"Ya Allah!Sungguh aku berharap kepadaMU agar Engkau mempertemukanku dengan seorang musuh-MU yang paling garang, paling tidak suka kepada hamba-MU, dan paling derhaka kepada-Mu, lalu ia berhasil membunuhku, merobek-robek perutku, memotong hidungku, menyongkel mataku, dan menerbangkan telingaku, agar aku dapat bertemu dengan-MU dalam keadaan rosak dan bersimbah darah seperti itu. Sehingga bilamana Engkau tanyakan kepadaku mengapakah aku mati dalam keadaan seperti ini, nescaya akan ku jawab: 'Ini adalah lantaran memperjuangkan agama-Mu, wahai Tuhanku"

Allah, jauhnya aku, jauhnya kita dari perumpamaan untuk menjadi seperti mereka. Melihatkan manusia berjuang untuk kehidupannya, bukan kata-kata kagum, malah, kata-kata yang selalu diungkapkan adalah, "Kesiannya". Bukan itu perkataan yang sesuai, wahai hamba Allah, tetapi lihat pada diri kita yang takut jika ditakdirkan kita menjadi seperti mereka. Perkataan kasihan itu bukan kepada mereka yang akan dijanjikan syurga jika mereka menghadapinya dengan sabar dan tabah, tetapi kasihan itu adalah pada kita, kerana kita tidak diberi peluang untuk meraih ganjaran yang besar begitu. Sedangkan beramalnya kita pun, belum tentu diterima olehNYA, berjuang dengan nafsu dan syaitan apatah lagi kalah dalam keadaan kononnya menang. Inilah kita, kita yang dimaksudkan umat akhir zaman. Maka, bagaimanakah nasib kita apabila berada di sana nanti?

Apatah lagi diuji dengan perasaan, hanya yang difikirkan oleh kita adalah keselesaan perasaan kita sendiri.

"Mereka tak boleh buat macam ni kat aku"

"Kenapalah diaorang kejam sangat sampai buat macam ni kat aku"

Dan bermacam lagi madah yang mengungkap rasa kecewa. Ketahuilah, itulah tanda kasih sayangNYA yang tak nak kita bersedih di sana, kerana kesedihan di sana itu abadi.

"Kak, saya terasa sedih"

"Janganlah bersedih wahai adikku. Lihatlah alam, merenung, bertasbih bersama-sama dengan mereka, hati akan menjadi tenang. Jangan bersedih wahai adikku, kita di dunia ini sementara, maka, lenyapkanlah perasaan sedihmu dan kembalilah berjuang untuk kehidupan ini. Jangan bersedih wahai adikku, sesungguhnya, Allah bersama-sama denganmu"

Dan dua wanita itu tersenyum, kembali melihat alam dan mulut serta hatinya, bertasbih, memuji Allah, sambil berazam untuk sentiasa tabah kerana mengharapkan pertemuan abadi, pertemuan denganNYA dan berkata, "Inilah bukti aku redha dengan ujianMU kerana aku tahu, Engkau tidak pernah meninggalkan aku"

Firman Allah, surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. 

Maka, marilah beriring, bahu membahu menujuNYA, menuju syurgaNYA.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”