Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Wednesday 18 April 2012

Malu yang tak terlihat, riak yang tertunjuk [Isu Purdah]


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


"Kak, kenapa saya tak pernah pun nampak akak letak gambar akak kat dalam FB?"


Terdiam, dan kemudian akal fikiran menyusun kata. Termangu-mangu untuk mengungkapkannya. "Sebab akak malu, dik"


"Erk, malu? Akak, kan pakai purdah, nak malu apanya, kak. Bukan orang tau pun muka akak"


Diam sebentar. "Dik, akak pakai purdah bukan sebab akak nak bagitahu kat semua orang yang akak pakai purdah. Tambahan pula niat akak berFB bukan untuk mencari kenalan hatta berkenal-kenalan dengan orang baru. Niat akak hanya satu je, untuk meniaga dan share ape-apa yang bermanfaat. Biar manusia melihat segala bekalan untuk mereka di dunia ini di wall akak, bukan mereka memerhatikan siapa akak"


"Tapi, kak, saya tengok ramai budak yang pakai purdah suka letak gambar-gambar mereka kat FB? Ada tu, satu gambar ni, saya tengok, dia tulis kat gambar tuh, 'sahaja aku berniqob kerana Allah'. Apa pendapat akak?"


Aku terdiam. Memerhatikan sekeliling, cuba untuk mencari ayat yang sesuai. Bukan aku tak boleh terus lancar mengeluarkan pendapat, cuma sahaja berurusan dengan perkara yang boleh mendatangkan fitnah ini, akal fikiran serta ilmu itu perlu seiring. Bukan membuta-tuli berkata, kemudian manusia terpinga-pinga tak tahu di mana letak duduk yang benar.


"Dik, ape pendapat adik tentang riak?"


Termangu-mangu sebentar, menggaru kepala. Lama kemudian, barulah bersuara, mengeluarkan kata "Riak ea, kak? Emh, riak ni penyakit hati. Riak ini adalah penyakit rohani yang boleh mengancam aqidah umat Islam, kak. Riak boleh membinasakan segala kebaikan dan pahala amal soleh seseorang itu. Imam al-Ghazali berkata, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal kebajikan. Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat, riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat."


Tersenyum. "Benar, wahai adikku. Ulasan yang cukup mantap. Dan riaklah satu-satunya penyakit hati yang dirisaukan oleh Rasulullah s.a.w yang telah dilaporkan di dalam salah satu hadith baginda yang bermaksud :

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil).
Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu?
Baginda menjawab: Riak."

(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi)

Malah, Allah juga telah mengecam hamba-hambaNYA yang solat tetapi lalai dan riak di dalam firmanNYA di dalam surah al-Ma'un ayat 4-6

"Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak"


Sambil memandang lepas ke arah tasik, aku menghela nafas panjang. "Dik, di antara dosa zahir dengan dosa batin, dosa batin lah yang paling berat kerana kesalahan di dalam hati tidak dilihat oleh manusia lain dan jarang-jarang teguran dapat menyedarkannya. Dosa zahir, terang-terang kita nampak salah dan terus kita tegur. Tapi, kat dalam, siapa yang tahu, dik melainkan kita dan Allah sahaja.


Analoginya senang sahaja, di tengah-tengah keramaian, tiba-tiba ada seorang solat, dan dilihat khusyuk. Orang ini ada dalam dua urusan. Sama ada dia benar-benar mendirikan solat kerana Allah, atau dia solat agar manusia semua melihatnya dan menganggap dia wara'. Dan kita yang melihat, tidak boleh sama sekali berburuk sangka, kena berbaik sangka. Jadi, wahai adikku, jika dia solat kerana nak mendapat pujian manusia, siapa yang boleh tahu, dik dan siapa yang boleh tegur melainkan hanya Allah sahaja? Kalau Allah nak tegur, alhamdulilah, tapi kalau Allah tak tegur, Allah biarkan dia dalam keadaan terawang-awangan dengan pujian manusia, macam mana? Itulah yang paling akak takut, dik. Sebab tu, biarlah tiada siapa pun tahu akak pakai purdah, sebab purdah itu adalah tujuannya untuk menutup, tetapi kalau kita sendiri yang tak nak tutup dari sudut batin, apa guna tutup pada zahir, tapi batin tak tertutup"


Panjang lebar aku menerangkannya. Adik di hadapanku terkedu dan terdiam.


"Selalu akak tanyakan pada sesiapa yang nak pakai purdah, atas sebab apa? Kalau semata-mata nak mempermainkan niat "kerana Allah" itu, akak akan tanyakan semula, apa yang dimaksudkan dengan 'kerana Allah'. Jangan mempermain-mainkan nama Allah takut nanti ditegur olehNYA, sakit dan kene ingat, teguran dari Allah sangat berat, sebab tu sebelum Allah tegur, Allah akan biarkan dahulu kita ditegur oleh manusia. Terpulang pada kita untuk terima atau tak"


Menghirup secangkir kopi yang dipesan, dan kemudian menyambung semula. " Akak masih teringat satu kisah, yang mana seorang wanita ini yang berpurdah datang kepada Rasulullah s.a.w untuk bertanya tentang keadaan ahli keluarganya yang berjihad. Kemudian, sahabat-sahabat yang nampak melihat dan bertanya, kenapa engkau menutup muka sedangkan engkau ingin bertanya. Wanita itu menjawab, kematian ahli keluargaku tidak sama sekali mengurangkan malu ku. Jadi, wahai adikku, bila kita rasa malu, kita tutup. Dan bila kita tutup pada zahir, cubalah pula untuk menutup batin kita. Memang, di akhir zaman ini, terlalu ramai yang memakai purdah, tetapi, di antara keramaian itu, nak jumpa mutiara yang benar-benar menutup kerana mencari keredhaan Allah itu sangat susah. Terlalu susah, seolah-olah ingin mencari mutiara di antara manik-manik yang rupanya persis mutiara. Terlihat seolah-olah tiada istimewanya lagi purdah itu. Tetapi, wanita yang memakai purdah untuk mencari keredhaan Allah, tertimbus di dalam keramaian itu, yang hanya menjadi harapan perhatiannya bukan manusia, tetapi Allah"


Menghela nafas panjang. "Dik, akak sendiri masih lagi tak tahu di mana diri akak ni, antara mutiara atau manik. Jika manik, tidak malukah akak mempamerkan diri bagai mutiara sedangkan akak sebenarnya manik? Dan apabila sewenangnya mempamerkan diri di khalayak ramai, tidak malukah akak apabila mata-mata lelaki itu jatuh mengamati setiap inci penampilan diri akak. Tidak malukah lagi akak, jika digembar-gemburkan manusia tentang kewarakkan akak sedangkan akak sendiri tak mengaku yang akak seperti itu. Dan tidak malukah akak lagi apabila di hadapanNYA nanti, ditanya kenapa akak berpurdah, dijawab oleh akak keranaNYA, tetapi ditolak mentah-mentah oleh Allah. Tidak cukup malukah akak, dik?"


Mata itu terasa panas, berair apabila memikirkan nasib diri yang masih tidak tahu. Di sangkakan manusia penduduk syurga, tetapi apabila tabir disingkap, maka segala aib itu terlihat. Saban hari, saban waktu, dunia semakin mendekati hari penghabisan. Dunia semakin tua, dan semakin dicarik-carik menjadi ketulan, menandakan hari akhirat itu sedang menanti, memanggil-manggil dan tiada siapa yang bersiap-sedia. Manusia itu terlalu sibuk dengan anggapan kajian saintifiknya, sehinggakan mereka berkata hari akhirat itu boleh dijangka. Sehinggakan hari akhirat itu adalah dari ramalan itu, ramalan ini, kajian itu, kajian ini. Tiada siapa yang tahu harinya bila, tetapi ianya semakin hampir.


"Dik, hari penghisaban itu sudah semakin dekat. Marilah, dik kita memperbaiki diri, bersiap sedia untuk berangkat. Semoga kita semua tidak berangkat dalam keadaan terkejut" Dan mata kami sekali lagi memandang lepas ke arah tasik, ditemani secangkir kopi buat membasahi tekak, di suatu petang, berbicara mengenai sekeping hati.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

1 comment:

  1. Allah..satu teguran Allah melalui ukhti pada pagi jumaat ini..saya juga wanita berniqab tetapi pernah juga melalukan kesilapan..hakikatnya kita tak sempurna..dan syukran atas perkongsian bait-bait perkataan yang sangat terkesan di hati..semoga Allah menerima amal kita semua disisiNya..amin

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”