Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Tuesday 1 October 2013

Akhir dan Bukan Terakhir...


"Encik, boleh tumpang tanya?" seorang lelaki menyapa seorang lelaki yang berada di suatu simpang.


"Ya, encik nak tanya apa?"


"Di mana arah ke masjid ye, encik. Saya dari tadi cuba cari, tapi masih tak nampak. Signboard nya saya banyak jumpa, tapi masjid nya saya tak jumpa-jumpa pulak"


Lelaki yang ditanya terbuntang matanya, menggaru kepala. Di dalam hatinya, "Eh, biar betul laki ni, masjid kat belakang dia je" tergamam.


Subhanallah.


"Apa yang adik faham tentang nasihat kasar dan lembut sebab perkara ni adalah satu perkara subjektif, kan?" Di sebuah tempat yang berlainan, Atirah sedang duduk berbicara dan berbincang.


"Emh, susah juga nak cakap, kak sebab semua ni tentang masalah hati. Kalau hati bersih, sama ada nasihat tu kasar atau lembut, dia tetap boleh terima"


Tersenyum.


Manusia ini sudah dinyatakan awal, tapi masih lagi termanggu-manggu dengan persoalannya sendiri. Dan akhirnya dia yang bingung kesendirian.


Kata-kata Fudhail bin Iyadh, "apabila aku menyuruh orang suruhan aku untuk melakukan sesuatu dan dia tidak mengikut suruhanku, maka aku akan bermuhasabah diri, dosa aku yang mana telah menjadi hijab kepada orang suruhanku untuk melakukan apa yang aku suruh."


Kebelakangan ni, aku menerima banyak permasalahan manusia yang tidak mengerti lalu berburuk sangka kepada penulis atas setiap yang ada di teratak ini. Ribuan kemaafan aku pohon, walaupun telah aku letakkan di atas sekali "manhaj blog", iaitu corak penulisan yang telah kunyatakan tidak ada kene mengene dengan sesiapa, hanya satu watak untuk menghidupkan dan memberi kefahaman kepada manusia untuk memahami tajuk besar bagi setiap entry.


Tapi nampaknya manusia masih lagi tidak mengambil berat akan kehadiran "Manhaj Blog" di atas. Malah bersangka-sangka sama ada watak yang diceritakan itu adalah dirinya dek kerana dia mengenali penulis. Jika di dalam diri manusia itu apabila menerima nasihat dari sesiapa pun dan dia melihat siapa yang menasihatinya bukan apa yang dinasihatinya, maka ianya menjadi satu buruk sangka yang dalangnya adalah syaitan dan ke mana pun dia pergi, dia tidak akan menerima sebarang pelajaran Allah.


Terkadang, tertanya-tanya aku, apakah aku yang silap atau ada dosa yang menghijab kehadiran "Manhaj Blog" untuk memberi peluang manusia terpengaruh dengan hasutan syaitan? Entahlah. Dan sekali lagi, aku merasakan satu bebanan kerana menghadirkan teratak yang menjadi peluang kepada syaitan untuk mempengaruhi anak cucu Nabi Adam.


Lihatlah pada situasi yang ku sediakan di atas, untuk sesama kita memahami akan apa yang berlaku bagi kalian memahami, terkadang, bukan masalahnya pada persekitaran, tapi diri sendiri yang perlu dikoreksi. Manusia ingin menyuruh orang lain mengikut acuannya, tanpa dia sendiri sedari, acuannya sompek, retak, atau ada kesan rekahan.


Lama aku tinggalkan teratak ini untuk memahami, akan apakah sebabnya yang menjadikan mereka telah tersalah sangka akan setiap entry di dalam teratak ini. Cukup menghairankan.


Terkadang, manusia itu selalunya tak nak menerima hakikat kebenaran atas perkara yang dia sedari dari persekitaran dia yang berulang kali memberitahu salahnya dek kerana merasakan dirinya terlalu baik dan dia beranggapan bahawa apa yang ada disekitarnya itulah yang salah.


Apa sahaja yang datang kepada diriku, akan aku fikir lama sebelum menunjukkan tanda protes. Terkadang, aku menerima pelajaran dariNYA melalui manusia-manusia yang kita nampak melakukan kedosaan, kerana orang seperti ini yang melakukan kedosaan zahir, hati mereka masih belum terhijab untuk menerima dan memberi kebaikan. Tanpa disedari, mereka inilah yang lebih mengharapkan rahmat Allah dari manusia yang dalam diam-diam menyangkakan bahawa dirinya sudah baik dan telah melakukan banyak kebaikan.

“Wahai anakku! Bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”

Dalam aku berada dalam tentangan manusia di sekeliling, yang memutuskan silaturrahim denganku, yang meletakkan papan tanda "BLOCK" di dalam ruang terlalu luas ini, dan aku masih lagi bersangka baik kerana aku tak nak perasaan kecil hati itu menguasai aku kerana perasaan itu memberi peluang kepada syaitan untuk membuka pintu kedosaan batin iaitu berprasangka. Tapi, siapalah aku, seorang manusia yang terlalu lemah dan akhirnya, bila manusia-manusia ini terus menyalahkan aku, dan aku terduduk, dek kerana mereka tidak menyukai cara aku memberitahu. Entah di mana silapnya, dan aku menerima atas setiap kata-kata mereka sebagai satu teguran dariNYA.

“Wahai anakku! Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah SWT. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, maka dia akan sentiasa menerima kemulian dari Allah SWT juga.”

Dalam aku tercari-cari, dan aku menemui nasihat Luqmanul Hakim, dan aku terdiam. Bukan semua orang yang penampilannya baik itu boleh kita jadikan kawan seperjalanan, dan bukan semua juga yang berpenampilan buruk itu kita tidak akan dapat belajar apa-apa dariNYA, tapi berjalanlah di Bumi Allah yang terlalu luas ini untuk belajar, siapa kita, siapa mereka, dan siapa yang mengaturkannya.


"Rancangan Muhammadku ini diadakan kerana rata-rata masyarakat sekarang ketandusan mengenai akhlak Nabi......" di suatu pagi, aku melihat komentar tentang rancangan Muhammadku yang bakal keudara. Tersenyum.

Firman Allah, surah ali-imran, ayat 31

Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

"aku" yang dimaksudkan di dalam surah ini adalah Muhammad s.a.w. Masih lagiku teringat pada seorang wanita yang berbicara denganku melalui medium, mengatakan tentang kecintaan Allah, tetapi dari awal perbincangan sehingga hampir ke akhirnya, yang menjadi dalilnya adalah kata-kata ulama.


Dan akhirnya, aku menaip, "Sorry to say ea, awak ni cintakan Allah ke atau cintakan ulama'? Sebab dari tadi takda satu ayat Quran malah hadith pun awak sertakan. Ye, memang saya tahu kata-kata ulama ni kita perlukan untuk kita lebih memahami Islam, tapi, atas dalil yang mana untuk awak keluarkan hujah kata-kata ulama bagi menyokong mana-mana dalil dari al-Quran atau hadith?"


Allah dan Muhammad. Dalam khutbah terakhir Nabi, Nabi menyebutkan agar berpegang teguhlah kepada al-Quran dan Sunnah, nescaya akan selamat hidup.


Malah empat Imam besar juga telah menyatakan di akhir setiap hujjahnya jika ada ayat Quran dan Hadith yang bertentangan dengan pendapatnya, maka ambillah yang dari al-Quran dan Hadith kerana itulah yang lebih selamat.


Aku bukanlah seorang Hafizah tapi, rasa kecintaanku pada ilmu menjadikan impianku untuk memiliki gedung-gedung ilmu Allah meluap-luap sejak aku berada di bangku sekolah lagi. Kerana, memiliki ilmu itu sebenarnya adalah jalan untuk selamat dan bahagia. Dan sesungguhnya ilmulah teman kita yang paling setia, mengetuk tanpa luka, tapi rasanya amat menyentap hati yang sedang terleka dan terlalai dari mengingati Allah.


Baru-baru ini, aku menerima satu ziarah dari seorang adik. Tujuan kedatangannya, katanya, "Saya cuma nak mendengar ilmu dari akak" Entah apa sahaja ilmu yang ada padaku, hanya mulutku lancar berbicara, mana yang ingat, mana yang lupa. Dan tiba-tiba, sedang asyik aku menghuraikan satu kisah, aku terdiam, terkedu dan hati mula rasa hiba, "Ya Allah, ini rupanya yang KAU ingin uji aku" Ilmu itu sedang mengetuk hati yang tercari-cari. Astagfirullah.


Aku mencari-cari pengujian apakah yang ingin diuji sebenarnya, dan lebih 2 tahun aku mencarinya. Terkadang disangkanya perkara ini, tapi kenapa masih tidak selesai, dicuba pulak perkara lain, masih juga bukan, dan akhirnya aku hanya memerhati dan melihat. Memang sakit bila kita hanya memerhati dan melihat kerana itu adalah perbuatan manusia yang menghampiri putus asa dan ianya makin lama menjadi semakin teruk, malah hampir kehilangan nyawa. Maha Pengasihnya Allah, di saat nyawa di hujung tanduk, dan DIA memperlihatkan aku punca dan penyebabnya dalam aku terkapai-kapai berputus asa.


Maha Suci Allah, kerana menjadikan aku lebih mengerti akan kehadiran manusia-manusia di sekitarku adalah sebagai bahan bantu belajar dan sesungguhnya ianya tidak lebih daripada jambatan untuk aku lebih memahami suatu pelajaran Allah.


Ada yang nak kan aku terlalu sempurna, ada yang mengecam aku, ada yang menyakitkan hati aku, ada yang menggembirakan aku, ada yang berubah, ada yang meninggalkan aku dan bermacam-macam permintaan mereka walaupun tanpa lisan, tapi bahasa kiasannya menjadikan aku sangat memahaminya.`Hanya tersenyum.


Maha Suci Allah, akhirnya hampir semua makin menjadi lebih baik. Segala puji hanya untuk Allah, Alhamdulillah.


Terkadang, pengujian Allah, bukanlah semata suatu pengujian akibat dari dosa yang lepas, tapi, ianya bentuk pelajaran dariNYA yang menjadikan kita lebih memahami akan suatu ilmu yang menjadikan kita semakin akrab denganNYA.


Entry "Akhir dan Bukan Terakhir" ini menjadikan titik noktah untuk aku bagi memulakan kehidupan baru setelah aku memahami dan menyedari hakikat ujianNYA kali ini. Maha Suci Allah, ujianNYA kali ini terlalu halus, dan tersangat halus sehinggakan tanpa ku sedari ianya berkaitan dengan apa yang telah aku huraikan tentang satu ilmu pada 2 tahun yang lepas. Maha Suci Allah, maha lemahnya aku, ya Allah.


Dan aku juga akan lebih kurang untuk menulis di sini bukan kerana aku tiada masa, tapi aku lebih menyukai cara ber'talaqqi' dalam kita cuba untuk mengetahui sesuatu perkara. Berbicara atau mencari apa-apa melalui medium sebenarnya perantaranya hampir kebanyakannya adalah syaitan.


Satu masa dahulu, aku terlihat satu buku yang membincangkan tentang adab untuk berFacebook. Aku hanya tersenyum, kerana tiada satu adab pun akan menjadi melainkan jika kita sudah betul membentuk iman kita dan bukanlah adabb yang perlu kita bentuk tapi iman seorang manusia kerana di dalam Perang Badar, bantuan Allah datang dek kerana tahap keimanan umat Islam ketika itu terlalu tebal sehinggakan tiada lagi halangan untuk Allah menghantar malaikat membantu mereka.


Maka, perbetulkanlah iman dan akidah. Membentuknya bukan hanya semata-mata solat sunat, membaca al-quran, zikir dan membuat kebaikan zahir kepada manusia tetapi, di dalam kita berjalan di bumi Allah ini, kita mengetahui, DIA sedang mengajar kita, akrab di sisi, dan DIA tidak pernah jauh dari kita. Allah swt.


Semoga perjalanan kita semua dirahmati Allah dan sentiasa mendapat penjagaan Allah.


Wallahu'alam


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”