Dengan nama ALlah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Sarat. Inbox penuh dengan SMS. Perlahan-lahan, folder inbox dibuka, dan satu persatu pesanan ringkas yang ingin dipadam diteliti terlebih dahulu. Terhenti. Lama merenung telefon bimbit itu. Mata terpaku memerhatikan isinya.
"Ada masa kta perlu ada seseorg teman agar kita tak kesunyian..
Ada masa, kesunyian mmbuatkan kita tidak pernah lupa betapa bernilainya seorg teman"
Hi3, ingat tak msg ni? Msg yang awak anta dulu.
Berkaca, mata itu terasa panas, berair dan menanti untuk tumpah. Tangan sudah menyeka empangan, tidak mahu ianya bercucuran lagi. Ah, masih lagi tersimpan kenangan itu. Menutup folder inbox telefon bimbit dan mula bersiap-siap untuk memenuhi pertemuan dengan adik usrah di masjid.
Sambil fikiran itu terputar dengan sendirinya, mata itu berkaca dan memikirkan rentetan setiap pengalaman hidupnya. Melihat lukisan yang telah tercoret, dan mengamati setiap perjalanan. Hatinya sayu, berfikir dan cuba untuk menguruskan perasaannya. Bukan dia tidak betah untuk menghadapi situasi itu, cuma sahaja, kenangan terkadang menjadikan langkah yang laju, menjadi perlahan dan barangkali terhenti untuk menenangkan jiwa. Hiba, mata yang telah difokuskan di jalanraya, tangannya pula cuba untuk mengawal stereng kereta dengan sebaiknya.
Masjid Putra. Kereta memasuki parking. Lemah. Longlai terasa untuk keluar. Di masjid itulah tempatnya dia menenangkan fikirannya apabila segala tanggungjawab terhimpit bertalu-talu di dalam jadual hariannya. Kakinya berjalan menuju ke suatu sudut, dan mencari tempat, duduk dan merenung serta memandang lepas ke arah tasik. Tenang. Damai. Angin lembut menghembus. Tudung labuhnya terbuai-buai mengikut alunan bayu. Sesekali, purdahnya itu terselak oleh tiupan itu. Damai.
Menanti kehadiran Suhana, Atirah hanya bertasbih memuji alam ciptaan Allah. Hanya sahaja cuba untuk mententeramkan jiwanya sebelum bertentang mata dengan adik usrahnya itu di situ. Kelihatan dia tenang menghayati alam, dan asyik dengan tasbih di tangan.
"Assalamualaikum, kak" Suhana memberi salam, mengejutkan lamunan Atirah. Di balik purdah itu, dia tersenyum dan menjawab salam. Suhana mengambil tempat di sisinya.
"Panjang akak termenung, takut saya nak kacau akak" Tergelak kecil.
Atirah hanya tersenyum, dan kembali merenung ke arah tasik itu. "Alam, dik. Bila hati dan jiwa tengah bercelaru, alam itu sangat membantu dalam menenteramkan fikiran yang sedang berkecamuk"
Diam. "Akak ada masalah ke?" Suhana cuba mencungkil.
Atirah cuma mendiamkan diri, dan fikirannya berfikir menyusun kata-kata. Tunduk. Perlahan bersuara, "Akak rindukan kembar akak"
"Haaa? Akak ada kembar? Saya tak tahu pun? Dia kat mana sekarang? Kenapa akak tak pernah cerita pun kat saya?" Bertalu soalan keluar. Atirah hanya tergelak.
"Dulu, ada seorang ikhwah ni, dia bersahabat dengan akak. Lama kami bertukar-tukar ilmu, kemudian baru tahu, tarikh lahir dia sama dengan tarikh lahir akak. Sejak tu akak panggil dia kembar akak" Tersenyum.
"Macam-macam yang kami kongsi, dik. Pengalaman, ilmu, kisah hidup. Dengan dia, akak anggap dia seperti kembar akak. Perasaan memiliki seorang kembar, mempunyai banyak persamaan pulak tuh. Akak suka kata dia tiru akak, sebab apa yang akak nak buat, mesti dia pun nak buat. Akak suka cari jalan nak buat dia marah. Tapi selalu tak berjaya. Perwatakan dia berbeza dengan akak. Akak ni kekadang garang, dia tenang je. Dia selalu cakap, kenapa nak marah, kan marah tuh sifat syaitan. Kadang-kadang tuh, dia suka mengusik akak. Akak teringat masa dia balik dari Mesir beberapa tahun sudah. Dia menyamar, kata nak cakap dengan Encik Karim." Tiba-tiba Atirah tergelak, terkenangkan saat itu.
"Assalamualaikum, Encik Karim ada?"
"Wa'alaikumussalam. Encik Karim? Maaf, kat sini takda Encik Karim. Encik dah salah nombor"
"Oh, saya salah nombor ye. Kalau camtu, siapa nama cik ni ye?"
"Kenapa nak tahu?" suara agak keras dari sebelumnya.
"Saja, lagi pun tak salahkan kita bersahabat"
Kening dah mencerun. "Maaflah, saya tak kawan dengan orang yang saya tak kenal. Encik Karim takda kat sini. Ok ye, Assalamualaikum"
Telefon bimbit yang baru dimatikan panggilan, tiba-tiba menerima pesanan ringkas.
"Sorry la cik adik. Silap call. Harap tak kisah la dengan hal tadi tu"
"Takpe"
"Kalau camtu, bolehlah kenal lebih lanjut lagi"
"Maaf, saya tak kawan dengan orang yang saya tak kenal"
"Lepas tu, kak? Akak layan tak?" Suhana tiba-tiba bersuara, ingin tahu kesudahan cerita.
Tersenyum. "Adik kenalkan akak macam mana?"
Tergelak. Suhana memang kenal dengan kakak naqibahnya yang sangat tegas ini. Teringat kata-katanya, "Kalau kita tak tegas, nanti kita akan dianggap mudah untuk diperkotak-katikkan. Takpe, kita tegas untuk menjaga demi masa depan kita juga, kan?"
Atirah masih merenung jauh, melihat jambatan di tengah-tengah tasik, yang menghubungkan di antara satu tebing dengan tebing yang satu lagi, mengamati pemandangan, sambil hati itu cuba untuk ditenangkan.
"Dia banyak bagi nasihat kat akak. Paling banyak, dia selalu ingatkan akak tentang kekuasaan Allah. Berbeza dengan lelaki lain, bila seorang wanita bersedih, selalunya akan menaburkan janji-janji kosong yang hanya berbentuk ketenteraman hati dan fikiran apabila berada dengan seorang lelaki. Dia tak pernah bagi janji kosong. Dia hanya akan ingatkan akak dengan janji-janji Allah kerana janji-janji Allah lah yang pasti. Dia kata, jodoh ini rahsia Allah. Kadang-kadang, cinta bagai nak rak pun, kalau bukan jodoh, tetap bukan jodoh. Kalau masing-masing tak pernah bercinta, kalau dah nama jodoh, tetap akan sampai." Menutup mata, dan menelan air liur. Terasa berpasir.
"Bagusnya dia. Sangat berbeza dengan lelaki-lelaki yang saya tengok. Ada tu, bila wanita yang dia sayang bersedih, dia akan janjikan apa-apa sahaja yang membuatkan wanita itu percaya pada dia. Habis tu, akak dan dia sekarang macam mana?"
Terdiam. Dan Atirah mengalihkan matanya. Lama dia mendiamkan diri sehingga Suhana terasa serba salah.
"Kak, maaf kak, kalau akak tak jawab pun takpe"
Tersenyum. "Lama tuh, baru kami tahu, yang lelaki dan perempuan tak boleh berkawan. Walaupun kami boleh menjaga, tapi ini tentang hukum. Dia ustaz, akak pula banyak buat gerak kerja islam. Apakah disebabkan kami berstatus begini, orang awam tak boleh, kami boleh? Hukum itu tidak melihat siapa kita, dik. Hukum itu nak tengok sama ada kita taat pada Allah atau tidak. Bukan bermaksud kami boleh menjaga, orang awam tak leh. Ini tentang ketaqwaan"
Setitis air matanya mengalir, jatuh.
"Tapi, akak dan dia, kan boleh kahwin?"
Bibir Atirah terukir senyuman pahit. "Masa tu, kami berbincang tentang hukum Allah itu. Perbincangan yang tenang. Rupa-rupanya, dia memang dah bercadang untuk berkahwin dengan akak. Tambah lagi, dia tak nak kami leka dan lalai dengan hukum Allah. Tapi...."
Menelan air liur. Terasa air liur yang ditelan itu berpasir, terasa pahit. "Allah belum izinkan lagi, dik. Dan kami mengambil keputusan untuk tidak berhubung lagi hanya kerana kami tak nak dikatakan tidak taat kepada hukum Allah"
Lama Suhana melihat Atirah. Seolah-olah membiarkan kakak di hadapannya itu larut dengan perasaannya. Atirah tertunduk, dan terdengar esak tangisnya. Suhana terdiam.
"Kak, Su yakin, Allah tahu, kalian sedang membina ketaqwaan, kerana itu DIA belum izinkan lagi sehingga akak dan dia dah betul-betul menjadi insan yang bertaqwa. Sabarlah, kak" Suhana cuba menenteramkan perasaan Atirah.
Tangannya menyeka empangan yang pecah itu. "Takpa, akak terima. Cuma sesekali, bila kita teringat kenangan, menjadikan kita menyedari bahawa kita sebenarnya adalah hambaNYA yang maha lemah, kita tak mampu untuk berkata yang kita mengetahui kesudahan sesuatu perkara melainkan hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahuinya. DIA lah yang Maha Berkuasa. Segala yang akak hadapi, membuatkan akak sedar, akak adalah hambaNYA yang lemah. "
Suhana terdiam. "Terkadang, kan dik, kita dah taat segala perintah Allah. Dah jaga itu, jaga ini, ikut apa yang Allah suruh, tapi masih juga kita tak dapat apa yang kita nak. Taat bukan bermakna kita bakal dapat apa yang diidamkan, tapi taat untuk membuktikan kita bertaqwa. Taat untuk memberitahu bahawa kita ini adalah hambaNYA yang lemah dan sangat memerlukan DIA"
Akhirnya mereka memandang lepas ke arah tasik, menghayati pemandangan..
Kenangan itu menjadikan sesekali luka yang telah sembuh, tetap terpamer parut yang mengambil masa bertahun-tahun untuk sembuh. Kenangan itu tidak pernah hilang, tetapi ianya mencorak masa hadapan. Kenangan itulah yang menjadikan kita bermuhasabah diri tentang siapa diri kita di hadapanNYA. Masa. Dan sesungguhnya Atirah hanya perlukan masa.
Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~
Allah sedihnya hati..byknya pengalaman hidup manusia yang menjadikan pengajaran buat kita..
ReplyDelete