Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Hari ini, berada sekali lagi di sebuah tempat, yang penuh dengan kehijauan, dan dihiasi di sekitar tasik buatan manusia. Hari ini, aku melihat tenang ke arah awan, menghirup udara dan menutup mata. Ah, indahnya, tenangnya saat yang aku nikmati ini. Alhamdulillah.
Hari ini, aku melihat ramai kanak-kanak yang gembira mencubit roti-roti untuk diberikan kepada ikan-ikan di tasik.
"Dik, kalau adik tertekan, kalau adik rasa hidup yang adik sedang hadapi sekarang ni terasa sesak, cubalah untuk memberi dengan seikhlasnya. Pasti, ketika apa yang diberi itu dengan ikhlas bisa membuatkan adik tersenyum dengan tiba-tiba, bahagia" kata-kataku pada seorang adik yang kini telah dipanggil menghadapNYA. Suatu masa dahulu.
Hari ini, aku berbual-bual tentang kehidupan dengan seorang sahabat. Hari ini, aku mengamati kehidupan bersama seorang sahabat. Dan hari ini, aku bercerita mengenai sebuah kehidupan.
"Hari ini, aku bagitahu kat adik aku, hidup ini rilek-rilek sahaja. Tak perlu terkesan sangat dengan apa yang manusia buat kat kita. Hidup ini tenang-tenang sahaja, tak perlu nak hiraukan sangat perangai manusia pada kita. Hidup ini tujuannya satu, iaitu mencari keredhaan Allah, dan jangan jadikan tujuan itu tertukar dengan benda lain. Matlamat kene jelas, rezeki, jodoh, ujian, pertemuan semuanya itu adalah sampingan di sepanjang perjalanan menuju keredhaan Allah"
Hari ini, aku memberi pesanan kepada seorang adik, di dalam private message di dalam Facebook. " Ingatlah pesan akak ni, kita ikut apa yang Allah dan Nabi suruh bukan sebab kita berharap Allah akan bagi apa yang kita nak, tapi kita ikut sebab kita tak nak sakit pada masa hadapan nanti. Sama ada Allah nak bagi atau tidak, itu hak Allah."
Hari ini, seorang adik menangis, menangis dan menangis. Lalu aku hanya berkata, "Jangan menangis kerana perkara yang berlaku tidak mengikut kehendak kita tetapi menangislah kerana kita mengaku bahawa kita adalah hambaNYA yang Maha Lemah. Mengakulah betapa lemahnya kita jika tanpa bantuan yang Maha Berkuasa, Allah swt"
Hari ini, seorang adik bertanya tentang muzik yang melekakan, dan aku hanya tersenyum. Berapa ramai manusia kini mengambil apa-apa sahaja di dalam dunianya sebagai satu medium untuk menjadikan dia kembali kepada Allah, termasuklah tentang muzik. Berapa ramai, manusia yang tahu bahawa dirinya tidak mampu untuk menepis dari menjadi hambaNYA yang lalai. Berapa ramai?
Hari ini, telinga disuakan dengan lagu OPICK, hati mula syahdu, hiba dan terasa betapa susahnya hidup ini jika kita tidak mengisinya dengan kewujudan DIA. Sesungguhnya DIA sentiasa ada di hati hamba-hambaNYA, cuma sahaja kita selalu buat-buat tak perasan kerana kita lebih sukakan ajakan nafsu. Ingatlah wahai diri, syurga itu dikelilingi dengan perkara yang perit, tetapi neraka dipagari dengan perkara yang kita sukai.
Hari ini, aku melihat diri aku yang sekarang. Terlalu jauh dan leka. Terlalu lalai dan hati mula diwarnakan dengan tompok-tompok hitam itu. Diri kini sedang semakin menjauh dari ilmu, terdampar kepada perkara yang hanya menyeronokkan nafsu, jauh dari peringatan manusia sekeliling untuk kembali kepadaNYA semula.
Hari ini, aku mengambil sedikit masa dari hidupku, untuk duduk di sebuah bangku, melihat alam, melihat kehidupan, dan melihat diri yang sudah semakin hilang punca. Dan hari ini, aku merenung dan memuhasabah diri, menghisab diri kerana kata-kata saidina Umar, hisablah dirimu sebelum kamu dihisab. Maka, hisablah jiwamu, agar kita tahu, di langkah mana kita tersilap.
Hari ini adalah hari-hari yang ku renung, muhasabah ke belakang, dan ku susun kembali langkah ke hadapan agar aku berusaha supaya tidak menjadi hambaNYA yang kerugian masa yang diberikan.
"Ujian yang kita hadapi, bukan untuk kita berkata pada seluruh dunia, bahawa kita telah menghadapi saat-saat yang pahit di dalam dunia ini, tetapi ujian itu adalah pelajaran dalam hidup kita untuk kita berkata dengan hati yang ikhlas, bahawa saat itulah, saat yang paling bahagia di dalam hidupku, ya Allah. Maka, berbahagialah wahai manusia yang telah diuji dengan sangat hebat kerana ujian itu tujuannya adalah untuk kita kembali semula kepadaNYA"
Maka, berbahagialah pada saat-saat yang diberikan, kerana masa itulah yang diperuntukkan olehNYA untuk kita menyusun kembali perjalanan kita, agar sentiasa tertacap, bahawa kita mencari keredhaan Allah. Bersyukurlah.
Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~
No comments:
Post a Comment