Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).
Showing posts with label wanita. Show all posts
Showing posts with label wanita. Show all posts

Saturday, 21 April 2012

Senjata Wanita, Kelemahan Wanita..


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.





Sedang menguruskan anak kucing bersama dengan adik perempuanku, telinga terdengar satu lagu. Avril Lavinge - Wish You Were Here. Tersenyum. Mengamati liriknya, dan perlahan di dalam hati, mengiyakannya.

I can be tough
I can be strong
But with you
It's not like that at all

Benar, walau segarang mana pun seorang wanita di hadapan ajnabi, sikapnya akan luluh di hadapan lelaki yang disayangi. Benar, walau setegas mana seorang wanita di hadapan bukan mahramnya, akan segera menjadi lunak apabila berada di hadapan lelaki yang dikasihi.


Meneliti satu paparan, satu entry di salah satu blog kegemaran, perlahan juga, bibir tersenyum, dan mengiyakan kata-kata tersebut.


1- Air Mata dan tangisan wanita.
2- Senyuman wanita.
3- Tutur kata wanita.
4- Perhiasan pada tubuh wanita.
5- Kecerdikan wanita.

Ramai wanita tidak mengetahui kelebihannya itu juga adalah kelemahannya. Ramai wanita tidak menyedari bahawa keistimewaannya itu juga jika digunakan di tempat yang salah, boleh menjadi musibah pada dirinya. Jika semua ini tidak benar, masakan Nabi pernah bersabda bahawa wanita yang baik itu sifatnya tersembunyi dan menyembunyi, yang mana egala kelemahan dan keistimewaannya hanya diketahui oleh suaminya yang sah. Maka, simpanlah kelebihan dan keistimewaan itu wahai wanita buat suamimu yang sah.
  

Ayah selalu berpesan pada anak-anak lelaki, "Perempuan ni depan lelaki semua nampak baik, tapi lepas kahwin, the true colour akan keluar" Tersenyum mendengar nasihat itu. Dan aku juga mengiyakannya.


"Kak, kawan-kawan dalam program cakap akak ni garang" Seorang adik lelaki, dalam suatu program yang sama, tiba-tiba memberi komentar.


"Ha3..bagus..bagus.."


Kening mata adik di hadapanku dah tersenget. "Eleh, garanglah sangat"


"Aip, saya kakak yang garang. Sila takut ea" sambil tergelak.


"Ha, yelah garang..ye..akak memang garang..sangatlah garang.."..sambil buat muka. Dan aku hanya tergelak. Tahu sudah adikku ini sangat mengenali aku.


Sungguh, istimewanya itu dirahsiakan, tertimbus-timbus dengan ketegasan, maka yang benar-benar mencari mutiara itu, walau sedalam mana dasar laut, tetap tiram yang dicari ditemui. Bukankah indah jika yang benar dimiliki, yang palsu dijauhi dek kerana niat di hati sebagai peta, mencari yang benar, dan menjauhi yang palsu.


Sudahlah fitrah wanita itu hanya mempamerkan yang baik di luar, tetapi di dalam rumah, segala yang tersimpan itu terkeluar. Mempamerkan untuk menarik perhatian. Walau tertutup tetapi sikap dan gelagatnya masih tidak ditutup. Itulah wanita.


"Kak, abang saya cakap lelaki yang nak kan saya hari tuh, dia macam tak berkenan je. Rasa macam tak sesuai dengan saya. Rasa down pulak dapat komen abang macam tuh" ada riak-riak hampa dari kata-katanya.


Tersenyum. "Kalau akak, akak gembira dengan komen abang yang macam tu"


Hairan, kening dah senget sebelah "Kenapa?"


"Dik, antara banyak-banyak lelaki dalam dunia ini, yang mana paling lama kenal kita, paling lama berkongsi suka duka, dan yang paling mengenali kita?"


Terkedu. Terdiam.


Dan aku tersenyum. "Jadi, berbahagialah dengan komen abang adik tu. Abang adik nak kan yang terbaik untuk adik yang sebenarnya. Terkadang, wanita sekarang, lebih percayakan lelaki yang baru setahun dua dia kenal dari keluarga yang sudah berpuluh tahun hidup bersama dengannya. Terkadang, wanita yang terlalu mengejar suatu perkahwinan, jarang-jarang nak memikirkan langkah yang betul sehingga sanggup membelakangkan suatu perkara yang lebih penting. Inilah wanita."


Wahai wanita, kita tak tahu segala keistimewaan itu patutnya dihadiahkan untuk siapa, maka simpanlah ianya sebaik-baiknya. Simpanlah kerana itulah diri kita. Dan simpanlah kerana kita adalah wanita yang seringkali digunakan oleh syaitan sebagai umpan kepada lelaki ajnabi. Maka berhati-hatilah.


"Sebenarnya, segala hukum yang Allah suruh ni, bukan nak kita beri jaminan yang kita akan berhati-hati, tapi Allah nak tengok sama ada kita taat pada DIA atau tidak" di dalam kereta, bersuara akhirnya pada seorang adik. Benar, hukum bukan sebagai langkah untuk kita kata bahawa selagi mana kita boleh jaga, tidak menjadi apa-apa masalah, tapi hukum itu menentukan bahawa sama ada kita taat padaNYA atau tidak. Maka, taatilah suruhan Allah kerana itulan nilaian diri kita di hadapanNYA. Taatilah suruhanNYA dan hindari segala laranganNYA, kerana dihadirkan untuk kita lunak kepadaNYA, menjadi hambaNYA yang baik.


Wahai saudariku, peliharalah dirimu, dan telitilah segala suruhan agama. Moga hidupmu bahagia, tidak di dunia, di sanalah yang abadi.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Wednesday, 18 April 2012

Malu yang tak terlihat, riak yang tertunjuk [Isu Purdah]


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


"Kak, kenapa saya tak pernah pun nampak akak letak gambar akak kat dalam FB?"


Terdiam, dan kemudian akal fikiran menyusun kata. Termangu-mangu untuk mengungkapkannya. "Sebab akak malu, dik"


"Erk, malu? Akak, kan pakai purdah, nak malu apanya, kak. Bukan orang tau pun muka akak"


Diam sebentar. "Dik, akak pakai purdah bukan sebab akak nak bagitahu kat semua orang yang akak pakai purdah. Tambahan pula niat akak berFB bukan untuk mencari kenalan hatta berkenal-kenalan dengan orang baru. Niat akak hanya satu je, untuk meniaga dan share ape-apa yang bermanfaat. Biar manusia melihat segala bekalan untuk mereka di dunia ini di wall akak, bukan mereka memerhatikan siapa akak"


"Tapi, kak, saya tengok ramai budak yang pakai purdah suka letak gambar-gambar mereka kat FB? Ada tu, satu gambar ni, saya tengok, dia tulis kat gambar tuh, 'sahaja aku berniqob kerana Allah'. Apa pendapat akak?"


Aku terdiam. Memerhatikan sekeliling, cuba untuk mencari ayat yang sesuai. Bukan aku tak boleh terus lancar mengeluarkan pendapat, cuma sahaja berurusan dengan perkara yang boleh mendatangkan fitnah ini, akal fikiran serta ilmu itu perlu seiring. Bukan membuta-tuli berkata, kemudian manusia terpinga-pinga tak tahu di mana letak duduk yang benar.


"Dik, ape pendapat adik tentang riak?"


Termangu-mangu sebentar, menggaru kepala. Lama kemudian, barulah bersuara, mengeluarkan kata "Riak ea, kak? Emh, riak ni penyakit hati. Riak ini adalah penyakit rohani yang boleh mengancam aqidah umat Islam, kak. Riak boleh membinasakan segala kebaikan dan pahala amal soleh seseorang itu. Imam al-Ghazali berkata, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal kebajikan. Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat, riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat."


Tersenyum. "Benar, wahai adikku. Ulasan yang cukup mantap. Dan riaklah satu-satunya penyakit hati yang dirisaukan oleh Rasulullah s.a.w yang telah dilaporkan di dalam salah satu hadith baginda yang bermaksud :

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil).
Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu?
Baginda menjawab: Riak."

(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi)

Malah, Allah juga telah mengecam hamba-hambaNYA yang solat tetapi lalai dan riak di dalam firmanNYA di dalam surah al-Ma'un ayat 4-6

"Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak"


Sambil memandang lepas ke arah tasik, aku menghela nafas panjang. "Dik, di antara dosa zahir dengan dosa batin, dosa batin lah yang paling berat kerana kesalahan di dalam hati tidak dilihat oleh manusia lain dan jarang-jarang teguran dapat menyedarkannya. Dosa zahir, terang-terang kita nampak salah dan terus kita tegur. Tapi, kat dalam, siapa yang tahu, dik melainkan kita dan Allah sahaja.


Analoginya senang sahaja, di tengah-tengah keramaian, tiba-tiba ada seorang solat, dan dilihat khusyuk. Orang ini ada dalam dua urusan. Sama ada dia benar-benar mendirikan solat kerana Allah, atau dia solat agar manusia semua melihatnya dan menganggap dia wara'. Dan kita yang melihat, tidak boleh sama sekali berburuk sangka, kena berbaik sangka. Jadi, wahai adikku, jika dia solat kerana nak mendapat pujian manusia, siapa yang boleh tahu, dik dan siapa yang boleh tegur melainkan hanya Allah sahaja? Kalau Allah nak tegur, alhamdulilah, tapi kalau Allah tak tegur, Allah biarkan dia dalam keadaan terawang-awangan dengan pujian manusia, macam mana? Itulah yang paling akak takut, dik. Sebab tu, biarlah tiada siapa pun tahu akak pakai purdah, sebab purdah itu adalah tujuannya untuk menutup, tetapi kalau kita sendiri yang tak nak tutup dari sudut batin, apa guna tutup pada zahir, tapi batin tak tertutup"


Panjang lebar aku menerangkannya. Adik di hadapanku terkedu dan terdiam.


"Selalu akak tanyakan pada sesiapa yang nak pakai purdah, atas sebab apa? Kalau semata-mata nak mempermainkan niat "kerana Allah" itu, akak akan tanyakan semula, apa yang dimaksudkan dengan 'kerana Allah'. Jangan mempermain-mainkan nama Allah takut nanti ditegur olehNYA, sakit dan kene ingat, teguran dari Allah sangat berat, sebab tu sebelum Allah tegur, Allah akan biarkan dahulu kita ditegur oleh manusia. Terpulang pada kita untuk terima atau tak"


Menghirup secangkir kopi yang dipesan, dan kemudian menyambung semula. " Akak masih teringat satu kisah, yang mana seorang wanita ini yang berpurdah datang kepada Rasulullah s.a.w untuk bertanya tentang keadaan ahli keluarganya yang berjihad. Kemudian, sahabat-sahabat yang nampak melihat dan bertanya, kenapa engkau menutup muka sedangkan engkau ingin bertanya. Wanita itu menjawab, kematian ahli keluargaku tidak sama sekali mengurangkan malu ku. Jadi, wahai adikku, bila kita rasa malu, kita tutup. Dan bila kita tutup pada zahir, cubalah pula untuk menutup batin kita. Memang, di akhir zaman ini, terlalu ramai yang memakai purdah, tetapi, di antara keramaian itu, nak jumpa mutiara yang benar-benar menutup kerana mencari keredhaan Allah itu sangat susah. Terlalu susah, seolah-olah ingin mencari mutiara di antara manik-manik yang rupanya persis mutiara. Terlihat seolah-olah tiada istimewanya lagi purdah itu. Tetapi, wanita yang memakai purdah untuk mencari keredhaan Allah, tertimbus di dalam keramaian itu, yang hanya menjadi harapan perhatiannya bukan manusia, tetapi Allah"


Menghela nafas panjang. "Dik, akak sendiri masih lagi tak tahu di mana diri akak ni, antara mutiara atau manik. Jika manik, tidak malukah akak mempamerkan diri bagai mutiara sedangkan akak sebenarnya manik? Dan apabila sewenangnya mempamerkan diri di khalayak ramai, tidak malukah akak apabila mata-mata lelaki itu jatuh mengamati setiap inci penampilan diri akak. Tidak malukah lagi akak, jika digembar-gemburkan manusia tentang kewarakkan akak sedangkan akak sendiri tak mengaku yang akak seperti itu. Dan tidak malukah akak lagi apabila di hadapanNYA nanti, ditanya kenapa akak berpurdah, dijawab oleh akak keranaNYA, tetapi ditolak mentah-mentah oleh Allah. Tidak cukup malukah akak, dik?"


Mata itu terasa panas, berair apabila memikirkan nasib diri yang masih tidak tahu. Di sangkakan manusia penduduk syurga, tetapi apabila tabir disingkap, maka segala aib itu terlihat. Saban hari, saban waktu, dunia semakin mendekati hari penghabisan. Dunia semakin tua, dan semakin dicarik-carik menjadi ketulan, menandakan hari akhirat itu sedang menanti, memanggil-manggil dan tiada siapa yang bersiap-sedia. Manusia itu terlalu sibuk dengan anggapan kajian saintifiknya, sehinggakan mereka berkata hari akhirat itu boleh dijangka. Sehinggakan hari akhirat itu adalah dari ramalan itu, ramalan ini, kajian itu, kajian ini. Tiada siapa yang tahu harinya bila, tetapi ianya semakin hampir.


"Dik, hari penghisaban itu sudah semakin dekat. Marilah, dik kita memperbaiki diri, bersiap sedia untuk berangkat. Semoga kita semua tidak berangkat dalam keadaan terkejut" Dan mata kami sekali lagi memandang lepas ke arah tasik, ditemani secangkir kopi buat membasahi tekak, di suatu petang, berbicara mengenai sekeping hati.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Sunday, 8 January 2012

Siapakah Wanita Solehah yang Dimaksudkan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Kotak fikiran terlalu sarat dengan segala pengisian yang membungkam mata, layu. Kotak ingatan masih menerjah ke memori yang lepas, berkisar perkongsian dan pengisian mengenai seorang wanita.


"Susah sebenarnya, Sha nak jadi seorang wanita ini. Seperti mana dikatakan seorang ayah terlalu susah untuk menjaga seorang anak perempuan, begitu juga bagi seorang wanita untuk menjaga diri, memperkenalkan diri sebagai seorang wanita solehah. Wanita solehah bukanlah wanita yang hanya memakai jubah, bertudung labuh dan berpurdah, tetapi lebih dari itu lagi."


Diam, merenung dan berfikir.


"Ada ramai yang kata, pakai tudung pun, belum tentu baik, malah ada yang tak pakai tudung pun lagi baik dari yang pakai tudung. Sha, sebenarnya, pakaian kita ini bukan sebagai tanda nilai, tapi sebagai penjaga kita, pengingat kita, wanita yang bertudung tak boleh buat itu, tak boleh buat ini. Tapi, terpulang pada diri kita juga untuk menilai kata-kata ingatan itu, sama ada nak menurut atau tidak. Kalau kita turut, maka kita jadi wanita yang baik, jika tak ikut, maka, cemuhan yang akan datang. Begitu juga dengan orang yang tak pakai tudung, barangkali, lahiriah dia sendiri dah tahu itu boleh, ini boleh, jadi dia takkan buat apa yang tak boleh, dan hanya akan buat apa yang boleh"


Tersenyum.


"Akak, lamanya akak tak update blog" Pesanan ringkas itu muncul di layar skrin telefon bimbitku. Ingatan menerjah kepada kata-kata beberapa adik yang benar-benar mengikuti pengisian di sini. Pengisian dan perkongsian dari seorang hambaNYA yang masih lagi dalam mencari ilmu. Tersenyum.


"Akak sibuk sikitlah dik. Ada banyak benda nak kene buat" Dan aku cuba juga untuk mengisi sesuatu di dalam teratakku ini. Perkongsian dengan seorang adik yang baru ku kenali, bercerita dan berkongsi tentang "Siapakah Wanita Solehah yang Dimaksudkan"


Membelek-belek buku 10 Tokoh Muslimah Sejati, menjadi aku terpempan dengan tajuk awalnya. Wanita dan perkara yang meragu-ragukan.


"Sha nak tahu, wanita ini sinonimnya selalu melakukan perkara yang meragu-ragukan. Nampak macam boleh, tapi sebenarnya tak boleh, nampak macam tak boleh, tapi sebenarnya boleh, dan akhirnya kebanyakkan wanita selalu memilih perkara untuk melakukan yang disangka tak boleh dan meninggalkan perkara yang boleh, sedangkan di dalam hadith 40, ada satu hadith ini membicarakan tentang perkara syubhat. Apabila kita melakukan perkara syubhat, maka, kita sebenarnya sudah menghampiri perkara HARAM. Itulah wanita" Tersenyum ke arahnya, dan kemudian menyambung kembali untuk membelek buku yang agak menarik perhatianku itu.


Sambil diselangi dengan pelbagai pertanyaan, pendapat dan penghuraian, membuatkan mataku melilau ke luar, "Jom, kita ke bangku di luar tu, lagi senang, kan untuk berbual" Tersenyum.


Berhadapan dengan seorang adik yang baru ingin mengenali bagaimana sebenarnya wanita itu menjadikan aku banyak terimbau kisah jalanku sendiri.


"Wanita ini memang perlu pembimbingnya, dik. Jangan kita menipu diri kita yang mengatakan kita ini mampu untuk berdikari. Fitrah kita sendiri sebenarnya dah menunjukkan kita perlukan pembimbing, iaitu suka melakukan perkara yang meragu-ragukan"


"Contoh, kak?"


"Contohnya, Facebook. Kalau wanita itu tahulah segala apa yang telah dinasihati oleh nabi pada seorang wanita, sudah pasti jarang-jarang dia untuk berada di dalam laman sosial itu dan berpeleseran menunjukkan siapa dirinya, bagaimana pemikirannya, bagaimana akhlaknya, bagaimana ilmunya di khalayak ramai. Kita qiaskan dengan kehidupan seharian kita sendiri. berbual-bual di wall sendiri, serupalah menampakkan perbualannya di khalayak ramai. Wanita ini dijadikan sebagai gudang rahsia. Kalau dia tidak dilatih dari sekarang, bagaimana semasa selepas berkahwin, sedangkan sebahagian besar hidupnya adalah di sisi suami. Segala cacat cela, segala tingkah laku suami, haram untuk diceritakan, walaupun hanya sekadar berseloroh."


Fikiranku terimbas sesuatu di wall seorang adik. Tersenyum.


"Aiwah, adik sekarang dah semakin memahami apa yang akak tunjukkan"


"Yang mana kak?"


"Tu, ayat 'Jom, belakang tabir.' Hehehe"


"You're my inspiration"


Tersenyum. "Akak hanya tunjukkan cara bagaimana nak bermuamalat di dalam Facebook. Serupa macam kita di khalayak ramai, kita qiaskan keadaan kita bagaimana. Kalau di depan mata-mata yang melihat kita boleh mengajak sahabat kita ke belakang tabir untuk bercerita, menyorok-nyorok apabila nak berbual, dan bersembunyi berbisik apabila ada perkara peribadi, kenapa tidak kita lakukan perkara yang sama apabila berada di paparan wall sendiri. Sama sahaja dik"


Begitulah wanita. Wanita ini cantik di pandangan apabila pandai bersembunyi, dan indah di mata apabila akhlak yang terpamir itu menyejukkan hati.


"Bila akak kat kedai buku, akak lebih banyak cari buku-buku tentang wanita. Adab seorang wanita. Dan bagaimana yang dikatakan sebagai seorang wanita solehah. Kita tak mampu untuk menjadi wanita yang baik kalau takda ilmu, jadi, carilah ilmu untuk menjadi seorang wanita"


Terlalu panjang huraian dan pengenalan untuk menjadi seorang wanita solehah. Terkadang, tanpa kita sedari, kita yang berpakaian muslimah juga tersasar, lalu merosakkan imej. Ketahuilah, kita telah diangkat oleh baginda Rasulullah s.a.w dari menjadi wanita yang diperlekehkan, kenapa kita pula yang membenarkan diri kita menjadi wanita iklan di layar profile kita sendiri.


Terlalu panjang untuk ku huraikan, tetapi, dengarkanlah kata hatimu, jagalah dirimu, diri kita kalau kita inginkan perlindungan dari Allah. Bagaimana kita hendak mendapat perlindungan dari Allah kalau sahaja diri kita sendiri kita tidak pandai tahu bagaimana melindunginya. Serupalah seperti kita cuba menyembunyikan kucing yang kita bawa di jalanan dari pengetahuan ibu dan ayah kita, tapi kita lupa, kucing itu pandai mengiau lalu, terbongkar juga perkara yang ingin disorokkan.


Begitu juga pemeliharaan Allah, kalau Allah dah pun melindungi kita, tapi kita sendiri yang begitu mudah menampakkan diri kita, kelemahan kita, bagaimanakah agaknya Allah nak lindungi kita lagi? Kalau kita mahu Allah melindungi kita, dan kitalah yang harus memulakan dahulu.


Semoga pengisian yang tidak seberapa ini dapat menjadi renungan buat diri saya dan diri kalian yang membaca..


Dan sesungguhnya semuanya adalah dariNYA, untuk meningkatkan keimanan kita.


Wallahu'alam.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." ~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Monday, 19 December 2011

Pesanan untuk wanita,perempuan dan ilmu kepada gadis.

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang



1. Pertama urusan yang ditanyakan pada hari akhirat nanti ialah mengenai solat dan mengenai urusan suaminya (apakah ia menjalankan kewajibannya atau tidak).

2. Apabila lari wanita dari rumah suaminya tidak diterima solatnya sehingga kembali ia dan menghulurkan tangannya kepada suaminya (meminta ampun).

3. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.

4. Sebaik-baik wanita ialah tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan yang mustahak. Wanita yang keluar rumah akan dipesonakan oleh iblis. Sabna Nabi s.a.w. : Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar mendongak syaitan memandang akan dia.

5. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanitayang halal nikah kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual beli).

6. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isterinya (Ummu Salamah r.ha. dan Maimunah r.ha.), datang seorang sahabat yang buta matanya (Ibnu Maktum) Rasulullah s.a.w. menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam. Bertanya Ummu Salamah, "Bukankah orang itutidak dapat melihat kami, Ya Rasulullah ?" Rasulullah s.a.w. menjawab,"Bukankah kamu dapat melihatnya."

7. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap-gelita pada hari Qiamat tiada Nur baginya.

8. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan tersinggung suaminya, maka wanita itu dimurkai Allah sehingga ia bermanis muka dan tersenyum mesra pada suaminya.

9. Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada dirumah serta tidak seizinnya dan tidak boleh memasukkan seseorang lelaki ke rumahnya dengan tidak seizin suaminya.

10. Hendaklah isteri berpuas hati (redha) dengan suaminya yang telah dijodohkan oleh Allah, samada miskin atau kaya.

11. Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya melainkan jika terpaksa (kerana sesuatu urusan yang mustahak) dan ia juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan ditepi-tepinya.

12. Apabila memanggil lelaki akan isterinya ke tempat tidur tetapi ditolaknya hingga marahlah suaminya, akan tidurlah wanita itu dalam laknat oleh malaikat ke pagi.

13. Wanita-wanita yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat juga laknat manusia sekalian.

14. Tidak harus seseorang manusia sujud kepada manusia dan jika diharuskan, maka akan aku perintahkan semua kaum wanita sujud pada suaminya kerana membesarkan dan memuliakan hak-hak suami mereka.

15. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat kebelakang tengkoknya.

16. "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakkan ahli neraka ialah wanita." Rasulullah s. a. w. ditanyai, "Mengapa demikian Ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah s. a. w. "Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup."

17. "Kebanyakkan ahli neraka adalah terdiri dari kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?" Jawab Nabi s. a. w. "Tidak, mereka ini ialah mereka yang tidak bersyukur akan nikmat suaminya, sesungguhnya tiap-tiap seorang kamu adalah dalam nikmat suaminya."

18. Keadaan wanita 10 kali ganda seorang lelaki di dalam neraka dan 2 kali ganda seorang lelaki di dalam syurga.

19. "Kebanyakkan wanita itu adalah isi neraka dan kayu api." Hazrat Aishah bertanya, "Mengapa wahai Rasulullah s.a.w.?" Jawab Rasulullah s.a.w:
i) Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayani suami serta melakukan kerja-kerja rumah.

ii) Tiada memuji (bersyukur) di atas kemurahan Allah yang didatangkan melalui suaminya. (Jarang terdapat orang perempuan yang mahu mengucapkan terima kasih di atas pemberian suaminya.)

iii) Sering mengkufurkan (engkar) terhadap nikmat Allah. (Contohnya :Apabila berlaku sesuatu pertengkaran ada isteri yang berkata sudah 10 tahun kahwin dengan awak tidak ada apa-apapun.)

iv) Gemar bercakap perkara yang sia-sia yang berdosa. (Contohnya :bercakap mengenai perabot-perabot rumah yang tidak perlu dan mengumpat.)

v) Kurang akal dan kurang ilmu pengetahuannya dalam agama iaitu mereka sering tertipu atau terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki, rakan- rakan, alam sekeliling dan suasana serta kemewahan lahiriah.

20. Dari Ali bin Abi Talib r. a. : Aku dengar Rasulullah s. a. w. bersabda, " Tiga golongan dari umatku akan mengisi nereka jahanam selama 7 kali umur dunia. Mereka itu adalah :-
a. Orang yang gemuk tapi kurus
b. Orang yang berpakaian tetapi telanjang
c. Orang yang alim tapi jahil

* Adapun yang gemuk tapi kurus itu ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat.

* Orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama.

* Orang yang alim tapi jahil ialah ulamak yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan peribadi.

21. Asma' binti Kharizah Fazari r.ha. diriwayatkan telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya itu, "Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu. Jadilah engkau tanah bagi suami mu (taat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebani dia dengan berbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik. Peliharalah benar-benar suami mu itu akan hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja pada dirimu.

22. Pesanan Luqman kepada anaknya, "Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu :-
a. Apabila engkau sedang solat kepada Allah s. w. t. maka jagalah baik- baik fikiranmu.
b. Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagailah pandanganmu.
c. Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidah mu.
d. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai mu.
e. Ingat kepada Allah s. w. t.
f. Lupakan budi baik mu pada orang lain.
g. Lupakan semua kesalahan orang lain terhadapmu.
h. Ingat kepada mati

23. Perkara-perkara yang menjadikan wanita itu derhaka kepada suaminya seperti tersebut di dalam kitab Muhimmah :-
a. Menghalang suami dari bersuka-suka dengan dirinya samada untuk jimak atau menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya.
b. Keluar rumah tanpa izin suami samada ketika suami ada di rumah atau pun tidak.
c. Keluar rumah kerana belajar ilmu yang bukan ilmu Fardhu Ain. Dibolehkan keluar untuk belajar ilmu Fardhu Ain jika suaminya tidak mampu mengajar.
d. Enggan berpindah (berhijrah) bersama suaminya.
e. Mengunci pintu, tidak membenarkan suami masuk ke rumah ketika suami ingin masuk.
f. Bermasam muka ketika berhadapan dengan suami.
g. Minta talak.
h. Berpaling atau membelakangi suami ketika bercakap.
i. Menyakiti hati suami samada dengan perkataan atau perbuatan.
j. Meninggalkan tempat tidur tanpa izin.
k. Membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah sedangkan ia tidak disukai oleh suaminya.

24. Wajib bagi wanita :-
a. Mengekalkan malu pada suaminya.
b. Merendahkan (menundukkan) mata ketika berpandangan.
c. Mengikut kata-kata dan suruhannya.
d. Dengar dan diam ketika suami berkata-kata.
e. Berdiri menyambut kedatangannya.
f. Berdiri menghantar pemergiannya.
g. Hadir bersamanya ketika masuk tidur.
h. Memakai bau-bauan yang harum untuk suaminya.
i. Membersihkan dan menghilangkan bau mulut untuk suaminya.
j. Berhias ketika hadirnya dan tinggalkan hiasan ketika tiadanya.
k. Tiada khianat ketika tiada suaminya.
l. Memuliakan keluarga suaminya.
m. Memandang pemberian suaminya yang kecil sebagai besar dan berharga.
n. Ketahuilah, syurga dan neraka bagi seorang wanita itu bergantung pada redha atau tidaknya suami padanya.

Ada 6 pesanan untuk kaum wanita dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian untuk hidupkan suasana Iman dan Amal di dalam rumahtangga. Apabila ada suasana agama dalam kehidupan maka hidayat dan nusrah (pertolongan) dari Allah akan datang. Rumahtangga dirahmati Allah, keberkatan dalam kehidupan kita dan ketenangan dalam jiwa kita. 6 pesanan itu adalah amalan nurani. Amalan itu ialah :-

1. Solat di awal waktu dan galakkan kaum lelaki yang mahram bersolat ditempat di mana azan dilaungkan iaitu di masjid atau di surau.

2. Istiqamah membaca Al-Quran dan berzikir. - Hak Al-Quran hendaklahkhatam2X setahun. Jadi lapangkan tiap-tiap hari untuk membacanya. Disamping ituhendaklah kita mengingati Allah dalam apa keadaan kita sekalipun dan dimana kita berada. Dengan melihat setiap ciptaan Allah kita dapatmengingati Allah s. w. t. Maka dianjurkan supaya dapat kita melapangkan waktu pagi (lepas subuh) dan petang hari (lepas Asar) untuk mewiridkan kalimah-kalimah tasbih, tahmid, tahlil dan takbir ie "Subhanallah Walhamdulillah Wala ilaha illallah Wallahu Akbar" jika mampu boleh di sambung "Wa la hawlawalaquwataillabillahi'aliyil'azim"

100X. Selawat ke atas Nabi 100X dan beristighfar 100X. Selain daripada itu amalkanlah doa-doa masnun - doa yang diucapkan ketika melakukan sesuatu perbuatan ie masa hendak makan, tidur, masuk dan keluar tandas dsb.

3. Istiqamah menghidupkan Takleem dan Taklum (belajar dan mengajar ilmu agama). - Lapangkanlah masa yang sesuai walau seketika supaya semua ahli keluarga dapat menghidupkan majlis ilmu ini. Duduklah seperti duduknya kita di dalam solat ie menutup aurat, berkeadaan suci dan berbau wangi. Majlis mempelajari agama ini terbahagi kepada dua iaitu : Pertama - Majlis berkenaan hadis-hadis mengenai kelebihan beramal. Ini adalah untuk menimbulkan keghairahan dalam ahli keluarga untuk beramal. Kedua - Majlis berkenaan masalah-masalah agama (hukum- ahkam dalam ibadat). Wajib suami untuk mengajar anak dan isteri mengenainya. Jika tidak tahu wajib atasnyauntuk belajar.

4. Mendidik anak secara agama dan sunnah.

5. Hidup sederhana.

6. Menggalakkan suami / mahram yang lelaki untuk usaha atas agama dakwah illallah (mengembangkan agama). - Secara Baironi : di luar kampung halaman kita dan Maqami : Di dalam qariah kampung halaman kita.

Akhir sekali semoga kita sama-sama dapat mengamalkan 6 pesanan ini dalam rumahtangga kita secara istiqamah dan ikhlas setiap hari. Juga untuk jadi isteri yang beriman dan solehah hendaklah kita taat pada suami. Jika suami redha ke atas kita maka Allah s.w.t. akan redha ke atas kita. Berzikir ,berdoa, beristighfar, membaca Al-Quran dan berselawat adalah amalan-amalan utama yang harus dikekalkan oleh setiap umat islam untuk kesempurnaan Iman dan Islamnya. Semuanya itu menjadi penawar bagi hati dan jiwa yang rusuhdan resah gelisah.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Tuesday, 22 November 2011

Siapa kita ??[Khas buat Muslimah]

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Berdiri di muka pintu. Nyaman. Udara embun di pagi hari menghembus ke dalam isi rumah. Tenang. Kelihatan dua chinese aunty berjalan di pagi hari. Tersenyum.

Fikiran melayang pada kenangan lepas. Kenangan yang mana Allah mengizinkan sebentar, dan kini baru dihargai. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya diberi peluang.

"Akak, macam mana nak menjaga? Apa yang dikatakan menjaga?"

Dan aku tersenyum menerima pesanan ringkas itu. Otak ligat berfikir. Dan akhirnya tangan mula menaip.

"Kalau akak nak terangkan ciri-ciri dan apa yang perlu dibuat, akak rasa tak cukup ruang di telefon bimbit ni. Cuma satu je pokok untuk kita menjaga, SIAPA ADIK?"

"Siapa adik?? Tak faham."

Tersenyum.



Segala puji dan puja hanya saya ucapkan kepada yang Maha Esa, yang Maha Perkasa, yang Maha Berkuasa, Allah swt. Dan selawat serta salam ke atas junjungan kita, Rasulullah Muhammad s.a.w.

Siapa kita, wahai saudariku.

Firman Allah di dalam surah al-Ahzab, ayat 34

Tetaplah kamu dalam rumahmu dan janganlah kamu berhias-hias seperti berhiasnya perempuan jahiliyah yang dahulu..

Masya Allah, siapa kita, wahai wanita muslimah? Siapakah kita?

Kita adalah wanita muslimah yang telah diangkat darjatnya oleh Allah swt. Kita adalah wanita yang memegang nama Islam, yang seterusnya berbeda dari wanita-wanita jahiliyyah yang berhias dengan mengikut nafsunya. Kita berbeda dari mereka, wahai wanita solehah.

Teratak kita, penuh dengan warna-warna keindahan, yang bersulam kepada mengarah dan mengajak yang lain untuk mendekatkan diri kepada Allah. Tetapi, teratak mereka, penuh dengan cerita-cerita peribadi yang hanya mengajak manusia untuk mencintai dunia.


Penampilan kita, terlalu menyejukkan bagi hati-hati yang cenderung untuk mencintai Allah. Tetapi, penampilan mereka hanyalah mengajak manusia agar menggemari fesyen itu, fesyen ini.


Profile laman sosial kita, penuh dengan kata-kata yang mengajak manusia agar mengingati Allah, lebih dari keperitan kita sendiri menghadapi ujian dariNYA. Tetapi, profile mereka, penuh dengan luahan ketidakpuasan hati, kemarahan, dan kesedihan terluka yang menggamit hati manusia untuk menilai, menilai dia.

Masya Allah, berbedanya kita dengan mereka.

Subhanallah, tingginya martabat kita, sehingga segala yang dipendam di dalam hati, hanya terbuku di dalam dan dipersembahkan kepadaNYA tika malam yang sunyi, munajat kepadaNYA.

Subhanallah, wanita solehah itu penuh dengan rahsia yang tidak diketahui oleh sesiapa melainkan hanyalah suaminya yang sah.

Tenang, berjalan dengan penuh keyakinan, tersembunyi, dan apabila ditanya, soalan pastilah disambut dengansenyuman serta kata-kata lembut, mengajak manusia untuk terus dan terus mencintai Allah. Dan itulah wanita yang menyimpan seribu satu rasa, di dalam jiwa, dan akhirnya mengalah kepada takdir, duduk bersimpuh di pintuNYA, "Bantulah aku ya Allah"



"Dik, apa yang akak nasihat ini adalah kerana akak menjaga hak adik sebagai seorang wanita muslimah. Semoga tiada yang terguris, ya?"

Sebaris kata-kata, hanyalah sebagai nasihat, lembut, agar ianya meresap ke dalam hati yang terleka sesaat.

"Memang, dik. Kita manusia ini selalu buat silap. Memang dah fitrah kita melakukan kesilapan. Tetapi, kesilapan itu akan menjadi semakin buruk apabila kita menasihatnya, dia tak nak dengar. Dan itulah sebesar-besar kesilapan manusia"

Ramai yang tidak sedar, kenapa dijadikan manusia sekeliling. Agar mereka menilai dan mengingatkan kita, bahawa apa yang dilakukannya itu adalah kesilapan yang boleh mengundang mudarat.

"Akak tak kisah adik nak buat apa. Tapi, satu jelah yang akak boleh kata, bila adik buat kesilapan, bukan hanya adik sahaja yang kene, tapi nama Islam juga akan terkena"

Fitnah pada Islam, melalui kita itulah yang harus kita selalu pertimbangkan dalam setiap langkah kita. Janganlah kita lupa siapa diri kita. Kita adalah wanita muslimah yang telah diangkat dan dipelihara oleh Allah melalui kata-kataNYA dan pesanan dari Nabi kita, nabi Muhammad s.a.w



Wahai wanita muslimah yang berhijab, perhatikan apa yang dilakukan oleh mereka, apa yang membezakan kita dari mereka. Tiada. Dan hanya satu-satunya perbezaan yang kita ada, adalah kita bertudung litup, memakai baju yang longgar, berkata-kata tentang Islam. Tetapi, di sebaliknya itu, apakah perbezaan yang jelas yang sepatutnya kita lihat dari kata-kata di Kitabullah, al-Quran.

Dan sekali lagi, ingin saya kongsikan kepada sekalian wanita muslimah akan satu kata-kata peringatan dan semoga ianya juga menjadi peringatan kepada saya.

Telah menjadi kebiasaan bagi wanita-wanita zaman ini samada yang sudah bersuami atau pun masih belum berkahwin –kecuali mereka yang dipelihara oleh Allah- untuk mempunyai sahabat dari kalangan lelaki. Ini bertentangan dengan sifat wanita yang beriman dari kalangan hamba yang disifatkan oleh Allah dalam surah al-Nisa' yang bermaksud : «…dan berikanlah kepadanya mas kahwinnya dengan kadar yang patut, sedang hamba itu perempuan yang baik, bukan perempuan lacur dan bukan pula mengambil lelaki lain sebagai teman secara rahsia…» [al-Nisa' : 25]. Inilah budaya barat yang cuba diserap masuk di kalangan wanita-wanita Muslimah kerana musuh-musuh Allah ini tahu bahawa rosaknya wanita Muslimah bererti rosaklah generasi Islam yang akan datang! Tetapi malangnya, fenomena ini dianggap biasa di zaman ini bahkan wanita yang tiada sahabat lelaki itu pula yang dikatakan ketinggalan zaman serta tidak pandai bersosial dan sebagainya. Allah jualah tempat meminta pertolongan.

Allah, betapa kita tidak sedar, wahai wanita-wanita muslimah.

"Akak, susahnya. Saya buat ni, orang cakap. Saya buat tu, ada pulak yang kata itu tak boleh. Diaorang cakap, sebab saya pakai tudung labuh, sebab saya wanita muslimah..Habis tu apa je yang boleh" bentak seorang adik kecil.

Tersenyum.

"Kalau susah, adik jangan jadi wanita Islam, boleh? Dik, Allah dah mengangkat darjat wanita Islam dan DIA lebih Maha Mengetahui apa yang telah diperintahkan olehNYA. DIA nak pelihara kita, kenapa kita pula senang-senang membuka peluang. Bukankah yang tertutup itu indah?"

Senyum.



Wahai wanita muslimah, kita tak tahu apa yang ada di sebalik hati-hati yang melihat dan penilaian mereka atas tingkah laku kita. Dari setiap kata-kata, dan dari setiap lenggok bahasa kita, ianya boleh menjadikan hati-hati yang berpenyakit, berimaginasi dan seterusnya memancing syaitan untuk memperdayakan nafsu. Sekuat manalah hati seorang manusia itu jika tanpa pertolongan Allah..

Dan sesungguhnya saya bermohon dan memohon perlindungan pada Allah, dari kata-kata yang tidak bermanfaat serta mengusik hati-hati yang terlalu sensitif jika kesalahannya disebutkan. Sesungguhnya tulisan ini hanyalah sebagai peringatan buat saya, dan jika bermanfaat buat kalian, maka itulah saham akhirat saya.

Masih segar di ingatan saya, perbualan di antara saya dan seorang kakak, yang terlalu sangat menjaga.

"Akak, kenapa akak macam terlalu sangat menjaga ea?"

"Atirah, biarlah manusia nak kata akak syadid ke, apa ke, tapi akak yakin, jika akak sangat menjaga, Allah akan bagi akak yang terbaik untuk perkahwinan akak nanti"

Subhanallah. Sungguh suci wanita ini, ya Allah. Dan dialah menjadi idola dan seorang kakak yang sangat saya suka bertanya, berbincang, dan bertukar-tukar idea. Ketegasannya dan ketaatannya dalam menunaikan hak Allah, saya hanya mampu doakan semoga dia menerima yang terbaik, lantaran dari apa yang dia jaga.

Marilah, wahai wanita muslimah, kita menjaga diri kita, kerana itulah sifat seorang wanita beriman. Tundukkanlah pandangan, walau dalam apa jua keadaan, walau apa jua situasi.

"Alar, kak, gambar je pun. Nak cuci mata, tak salah, kan?"

"Dik, cuci mata bukan dengan tengok gambar-gambar yang ada di kalangannya muslimin yang bukan mahram kita. Nak cuci mata, baca al-quran dengan tartil dan mentadabbur sehingga menusuk ke dalam hati, lalu mengalirkan air mata. Nah, itu cuci mata yang diajar oleh Islam"

Terdiam.

“ Katakanlah kepada orang-orang mukmin (lelaki) agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka. Demikian adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita mukminah agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka”( Surah An-Nur : ayat 30,31) 

Mari, marilah wahai wanita, saya mengajak pada diri saya, dan pada diri sahabat sekalian, kita menjaga kerahsiaan kita dari pengetahuan umum, dan apa yang kita patut persembahkan kepada umum, adalah suara mengajak, "Marilah kita mencintai dan mentaati Allah dan Rasul"

Mari, mari, wahai wanita muslimah. Sesungguhnya saya bukanlah seorang yang tidak membuat kesilapan, tetapi, atas kata-kata di teratak ini, ianya juga menjadi sebahagian dari kata-kata peringatan buat saya dan kepada sesiapa yang ingin mengambilnya.

Mohon kemaafan jika ada yang terusik, tetapi, sesungguhnya, ianya hanyalah sebagai satu tanda kasih dan sayang saya kepada kalian agar tetap berada di landasan dan jangan, jangan sesekali meninggalkan saya di belakang kerana saya juga ingin menjadi seperti kalian.

Syukran kerana meluangkan masa untuk membaca.




Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Tuesday, 15 November 2011

Tabarruj pada wanita muslimah mendatangkan fitnah...

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



"Haaaa, dok termenung gapo tuh??" Saja mengejutkan lamunan seorang adik.

"Ish, akk ni. Terkejutlah saya." sambil mengurut dadanya.

Tergelak.

"Dok fikir apa tu dik?"

"Takda, kak. Teringat kuliah tadi tentang tabarruj."

Atirah mencerunkan keningnya. "Emh, macam menarik je tajuk tuh. Kongsilah dengan akak"

"Menarik, kan? Tapi, tulah kak, saya macam agak terkedu dengan kata-kata ustaz tadi. Dia kata, wanita yang pakai purdah inilah tabarruj"

"Eh, kenapa pulak. Pelik tuh"

"Sebab, erti tabarruj ni, dia menarik perhatian, maknanya, kalau wanita purdah ni lalu, dia menarik perhatian lelakilah, kak"

Terkedu.



Maha suci Allah, segala puji dan puja hanya kepadaNYA. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Syukur kepada Allah yang memberi keizinan sekali lagi paparan entry ini muncul di layar skrin komputer sahabat-sahabat, dan para pembaca. Selawat dan salam keatas junjungan Nabi s.a.w.

Isu tabbaruj di kalangan wanita itu seringkali diperbincangkan. Ada yang katakan "Ini tabarruj" ada pulak yang katakan, "Bukan, ini bukan tabarruj"

Ditanya lagi tentang tabarruj, "Alar, yang lip lap lip lap tuh"

Lagi, "Yang pakai make up yang tebal seinci tuh"

Dan bermacam lagi andaian. Tanpa menunding jari ke arah kita. Satu yang ditunding, jangan lupa empat lagi yang balik ke arah kita.

Saya hanya ingin berkongsi secebis perkongsian, dan berharap agar ianya bermanfaat buat semua.

Apabila ditanya tentang makna tabarruj, kebanyakkannya selalu mengatakan bahawa berhias yang tidak mengikut syara', bermake up sehingga tebal berinci-inci dan sebagainya. Tapi jarang kita ingat bahawa tabarruj ini juga adalah menarik perhatian.



"Akak, akak kan pakai purdah, jagalah gambar-gambar akak tuh." Tiba-tiba seorang wanita purdah ditegur oleh adik lelakinya.

"Erk, kenapa pulak dik?"

"Yelah, ramai kawan-kawan adik kata gambar-gambar akak tu cantik, solehah lah, ape tah lagi. Macam-macamlah. Ada tu pulak, saja je nak tengok-tengok gambar adik, pastu tanya, mana kakak kau yang pakai purdah tuh? Adik cam rasa menarik perhatian lelaki je gambar-gambar akak tuh. Akak kan wanita muslimah, kan nabi dah pesan, wanita muslimah, wanita solehah, sifatnya tersembunyi dan yang hanya tahu adalah suaminya sahaja"

Terkedu.

Benar, wahai wanita yang mengejar keredhaan Allah dan Rasul. Teleklah diri kita dan muhasabahlah diri kita. Janganlah menjadi fitnah kepada Islam, kerana menjadi fitnah kepada Islam itulah sebesar-besar dosa yang susah untuk kita padam dan luputkan walau kita sudah pun bertaubat. Menjadi fitnah itulah adalah sebesar-besar dosa yang harus kita takuti.

Mari, mari, wahai sahabat kita perhatikan kisah Ummul Mukminin Siti Aisyah yang difitnah oleh golongan munafik. Dikatakan Siti Aisyah pulang bersama dengan salah seorang sahabat nabi. Manusia yang melihat, terutama sekali golongan munafik tidak terus bertanya kepada Siti Aisyah tetapi terus sahaja membuat andaian, andaian, andaian dan seterusnya fitnah. Masya Allah, isteri Nabi yang suci itu difitnah sehingga bercucuran air matanya, menahan kesedihan. Segala keperitannya hanya sahaja diadukan kepada Allah swt.

Dan sehingga akhirnya kebenaran muncul dengan firman Allah swt. 

Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata”. Juga firman Allah yang artinya, “(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar. Dan mengapa kamu tidak berkata, diwaktu mendengar berita bohong itu: “Sekali-kali tidaklah pantas bagi kita memperkatakan ini. Maha Suci Engkau (Ya Tuhan kami), ini adalah dusta yang besar”. [QS. An-Nuur : 15-16]

Wahai saudariku, kita tidak sekuat Ummul Mukminin, Siti Aisyah. Kita tidak setabah puteri kepada Orang yang Jujur, Saidina Abu Bakar. Kita semua tidak mempunyai Rasulullah s.a.w di sisi sebagai suami yang sangat bersabar. Tidakkah kita mengambil pelajaran dari perkara ini dengan bersikap berhati-hati dari andaian manusia seterusnya menjadi fitnah. Benar, barangkali kita di pihak yang benar, tapi, fikirkan beban perasaan, kepedihan dan kesedihan yang tidak mampu kita tanggung sehingga boleh sahaja mencalarkan nama baik kita sendiri. Malah, barangkali boleh sampai kepada keluarga kita.

"Eh, pandai-pandai je budak tu nak kata aku mendatangkan fitnah, yang dia tu, aku tengok dok tenung gambar-gambar pempuan yang tak pakai tudung, takda pulak dia nak cakap ape" Mendengus seorang adik.

"Kenapa bising-bising ni dik"

"Ni hah, kak. Diaorang ni cakap saya pakai purdah mendatangkan fitnah je, orang yang tak pakai tudung kat list friends dia, takda pulak dia nak mengomel-ngomel, nak tulis suruh pakai tudung." sambil menunjukkan skrin komputer ribanya, terpapar ruang wall akaun Facebooknya.

"Haaa, kan. Kak, tengok kak, tengok. Abang Long saya dah komen dah ni. Habislah. Nanti kalau mak ayah saya tahu, camne?"munjung sedepa, tidak berpuas hati.

Tersenyum melihat keletah adik ini.

"Dik, bersangka baiklah, barangkali mungkin dia nak menegur orang yang tidak memakai tudung tuh, tapi dia mungkin tak tahu caranya. Tapi, bila dia dah tegur adik, berlapang dadalah menerimanya dan anggap itulah bentuk kasih sayang seorang saudara kita. Menerima dan meminta nasihat itukan sifat orang yang berakal. Cumanya, cara dia nasihat tulah yang patut adik tidak berpuas hati. Menegur orang, bukan di khalayak ramai sebegini, ianya menjatuhkan air muka orang. Tegurlah secara private di dalam inbox messsage. Inilah cara yang Imam Syafie ajar"

Tersenyum.

Berhati-hatilah, wahai saudariku..



Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”