Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Monday, 7 May 2012

Sayang Kerana Allah..


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Di dalam kotak gerai itu, kelihatan dua wanita sedang berbual. Kelihatan asyik perbincangannya. Lama berbual.


"Jadi, maksud sayang sahabat kita kerana Allah ini bukan sebab kita ikhlas sahaja, lebih luas lagi"


Adik di hadapan terkebil-kebil. "Macam mana tuh, kak?"


Tersenyum.


Segala puji dan puja, hanyalah kepadaNYA kerana DIA lah yang memiliki segala-galanya dan dipinjamkan kepada kita, hambaNYA untuk kita membina saham akhirat. Maha Suci Allah, betapa Maha Pengasih lagi Maha Penyayangnya DIA kerana sudi meminjamkan kepada kita tanpa kita minta, semata-mata agak kita semua selamat di sana. Maka raihlah seberapa banyak saham akhirat dengan menggunakan segala pinjaman dariNYA.


Selawat dan salam buat penghulu Nabi, Muhammad Rasulullah s.a.w, kerana atas telah berusaha sedaya upaya untuk membawa kita semua ke jalan yang diredhaiNYA. Sallallahu alayhi wa sallam


Ditanyakan kepada saya, apa makna sayang kerana Allah, lalu saya terdiam, dan lama berfikir, analogi yang sesuai untuk memberikan kefahaman yang jelas.


"Kita sayangkan sahabat kita kerana Allah ini apabila kita sudah mengenali Allah. Bukankah Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, tetapi di samping itu, azabNYA juga pedih, lebih pedih apabila kita berada di dunia ini"


Mengenali Allah ini bukanlah dengan hanya membaca al-Quran, dan membanyakkan zikir serta bersolat sunat dan berpuasa sunat, tetapi memahami mengapa kita perlukan Allah di dalam hidup kita.


Melihat seorang lelaki menangis kerana putus cinta, tiba-tiba seorang sahabatnya berkata, "Mana al-Quran yang kau baca tuh, mana zikir yang kau ratib hari-hari tu, mana semua tu sampai kau lupa semua tu bila semua ni terjadi" [Ketepek, betul-betul tepat kene kat hati. Tersenyum melihatnya]


Inilah salah satu dari contoh manusia yang beramal kerana ingin mengaut keuntungan tanpa mengenali siapa pemberi keuntungan itu. Kita beramal bukan untuk bercita-cita semata-mata mengaut pahala, tetapi kita beramal untuk kita mengenali Allah. Itulah kerana Allah.


"Habis tu, kak. Maksud sayang kerana Allah tu, macam mana?"


Tersenyum.


Maksud sayang kerana Allah itu seperti kita menerima sesuatu hadiah yang sangat kita idam-idamkan, dan diberi oleh ayah kita. Maka, sudah tentulah kita sayangkan hadiah itu, ditambah lagi ayah yang sedia kita sayang yang berikan kepada kita.


Jadi, apabila kita sudah kenal Allah, dan Allah memberikan sesuatu yang benar kita perlukan, bukankah kita sayangkan hadiah itu kerana Allah yang beri? Dan bukankah sepatutnya kita akan lebih beramal untuk lebih kuat mencari keredhaanNYA? Sama juga dengan analogi hadiah dan ayah di atas, selepas menerima hadiah itu, pastilah kita akan cuba untuk mencari jalan menyenangkan hati ayah kita, kan?


"Jadi, jangan sama sekali menggunakan perkataan "Kerana Allah" untuk main-main jika kita sendiri belum kenal Allah"


Terkedu.


"Sama juga dengan sahabat. Maksud sayang sahabat kerana Allah itu adalah kita sayangkan sahabat kerana Allah yang sedia kita sayang, berikan seorang sahabat pada saat kita memerlukannya."


"Tapi, kak, masa kita perlu je, kita hargai dia, bila kita dah tak perlukan, takkan kita nak biarkan. Bukan ke itu namanya mempergunakan, dan bukan ke kita kene ikhlas bersahabat tanpa mengharapkan apa-apa?"


Tersenyum.


"Cuba bagitahu akak, berapa lama je kita boleh bertahan tanpa meminta pertolongan dari dia. Meminta nasihat dari dia, itu pun kita minta tolong juga tau. Jadi, mana yang dikatakan kita tak mengharapkan apa-apa dari dia?"


Terkedu


"Dik, dalam hidup ini, hakikatnya kita sendiri-sendiri. Dalam surah al-an'am, ayat 94, Allah sudah berfirman yang kita hidup sendiri, awalnya sendiri, menghadap DIA pun sendiri. Sahabat, keluarga, suami, ilmu semuanya Allah pinjam untuk kita mencari saham akhirat menggunakannya. Kita adalah punca saham akhirat mereka, dan mereka juga adalah punca saham akhirat kita. Bila sahabat susah, kita tolong. Bila keluarga kita ada masalah, kita tolong, semuanya ini bukan bermaksud kita nakkan nama kita disebut-sebut tetapi kita nak cari perhatian Allah. Pandangan Allah itulah yang patut kita lihat. Bukan pandangan manusia. Kita pergunakan mereka ini untuk dapatkan saham akhirat. Sama ada mereka nak tikam kita ke, nak buat jahat ke, biarkan selagi mana kita sedar yang Allah itu ada. Berbahagialah dengan Allah, bukan berbahagia kerana dapat habiskan masa dengan kawan ke, dengan keluarga ke, dengan suami ke. Berbahagialah ada DIA di dalam hidup kita"

Firman Allah, surah al-An'am ayat 94

Dan sesungguhnya kamu datang kepada Kami sendiri-sendiri sebagaimana kamu Kami ciptakan pada mulanya, dan kamu tinggalkan di belakangmu (di dunia) apa yang telah Kami karuniakan kepadamu; dan Kami tiada melihat besertamu pemberi syafa'at yang kamu anggap bahwa mereka itu sekutu-sekutu Tuhan di antara kamu. Sungguh telah terputuslah (pertalian) antara kamu dan telah lenyap daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap (sebagai sekutu Allah).



"Sahabat ke, keluarga ke, anak-anak ke, suami ke, atau apa je, kita tak selamanya memilikinya, tapi setiap kenangan yang kita hadapi bersamanya, hargai. Jangan sampai lupa apa tujuan kita hidup di dunia ini. Bukan untuk mencari sahabat, bukan untuk mencari suami, bukan nak membentuk keluarga bahagia, tapi untuk mencari Allah, meraih keredhaanNYA, dan bahagia menjadi hambaNYA. Allah bagi sahabat yang baik itu memang adalah untuk kita saling mempergunakannya, tapi tujuannya apa? Tujuannya satu sahaja, untuk kita kenal Allah. Kerana itu Nabi kata, sahabat yang baik adalah sahabat yang soleh dan solehah. Cari sahabat yang macam ni, bukan sahabat yang nak menyebabkan kita mensia-siakan masa kita di dunia. Kalau sahabat yang merugikan kita di akhirat, tinggalkan. Rugi kat dunia takpe lagi, tapi kalau rugi kat akhirat, kita dah tak boleh berpatah balik"


Tersenyum. Melihat ke luar, memerhatikan manusia yang lalu-lalang di sekeliling kami.


"Berkawanlah dengan sesiapa, jangan kita menspesifikasikan siapa yang paling istimewa, tapi pada setiap sahabat, kita buatlah yang terbaik, berikan yang terbaik bukan untuk dia menganggap kita sahabatnya yang terbaik, tetapi kerana kita ingin membuat amal kebaikan melalui makhlukNYA untuk mencari saham akhirat. Dik, sampai bila sahaja kita akan bersama dengan sahabat tuh. Kalau tak kerana kita berpisah di sebabkan keadaan, kita tetap akan berpisah bila Allah mengambil sama ada kita atau dia untuk menghadapNYA. Jadi, wahai adikku, mana sebenarnya yang dikatakan sahabat ini paling istimewa, sahabat itu paling istimewa? Cara ini akan menyukarkan kita untuk memperbaiki diri, sedangkan luasnya alam ini samalah dengan luasnya peluang untuk kita mencari bekalan, bukan hanya dari seorang sahaja."


Terdiam.


"Adik nak tahu tak, sahabat nabi, pernah berkata, apabila dia bersama-sama dengan Nabi, setiap darinya selalu merasakan bahawa dia lah yang paling istimewa di sisi Rasulullah s.a.w. Tengok adab bersahabat yang Nabi tunjukkan. Apabila bersama dengan setiapnya, Nabi selalu memberi nasihat sesuai untuk setiapnya dengan penuh kasih sayang. Kita? Yang kawan ni kita tunjuk sayang lebih, yang kawan ni pulak, kita biasa-biasa je. Sebenarnya tiada pengkhususan sahabat baik atau kawan biasa, semuanya adalah hambaNYA yang Allah hadir untuk mengajarkan kita sesuatu, tak kiralah benda tu menyakitkan hati ke, menyenangkan hati ke, semua itu ujian, yang mana setiapnya ada ganjaran yang akan Allah berikan jika kita laluinya dengan cara yang DIA kehendaki. Bukankah ujian itu tujuannya untuk kita kembali kepadaNYA semula?"


Maha suci Allah, segala-gala yang diberikan kepada kita itu adalah untuk kita kenal Allah dengan sebaiknya. Maha Suci Allah, dunia yang luas ini adalah untuk kita memikirkan semula asma'ul husna, sifat-sifatNYA yang tidak dimiliki oleh sesiapa, tetapi dipinjamkan sebentar kepada hamba-hambaNYA untuk kita merasainya.


"Kalau seorang ibu itu pengasih kepada anaknya, maka Allah itu berkali ganda pengasihnya. Kalau kita rasa tenang dan damainya dalam pelukan seorang ibu yang pengasih, maka berkali ganda juga lah ketenangan yang kita perolehi apabila kita mengenali Maha Pengasihnya Allah"


Pergunakanlah apa-apa sahaja di dalam dunia ini untuk kita mengenali Allah, mencari keredhaanNYA, dan seterusnya menjadi hambaNYA yang baik. Maha Suci Allah. Kerana DIA lah juga, segala yang saya taipkan ini dibaca oleh anda, dan maha suci Allah, dan kefahamannya itu juga dariNYA. Maka, marilah kita bersama-sama bersyukur kepada Allah.


Alhamdulillah.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Saturday, 5 May 2012

Hari ini...


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Hari ini, berada sekali lagi di sebuah tempat, yang penuh dengan kehijauan, dan dihiasi di sekitar tasik buatan manusia. Hari ini, aku melihat tenang ke arah awan, menghirup udara dan menutup mata. Ah, indahnya, tenangnya saat yang aku nikmati ini. Alhamdulillah.


Hari ini, aku melihat ramai kanak-kanak yang gembira mencubit roti-roti untuk diberikan kepada ikan-ikan di tasik.


"Dik, kalau adik tertekan, kalau adik rasa hidup yang adik sedang hadapi sekarang ni terasa sesak, cubalah untuk memberi dengan seikhlasnya. Pasti, ketika apa yang diberi itu dengan ikhlas bisa membuatkan adik tersenyum dengan tiba-tiba, bahagia" kata-kataku pada seorang adik yang kini telah dipanggil menghadapNYA. Suatu masa dahulu.


Hari ini, aku berbual-bual tentang kehidupan dengan seorang sahabat. Hari ini, aku mengamati kehidupan bersama seorang sahabat. Dan hari ini, aku bercerita mengenai sebuah kehidupan.


"Hari ini, aku bagitahu kat adik aku, hidup ini rilek-rilek sahaja. Tak perlu terkesan sangat dengan apa yang manusia buat kat kita. Hidup ini tenang-tenang sahaja, tak perlu nak hiraukan sangat perangai manusia pada kita. Hidup ini tujuannya satu, iaitu mencari keredhaan Allah, dan jangan jadikan tujuan itu tertukar dengan benda lain. Matlamat kene jelas, rezeki, jodoh, ujian, pertemuan semuanya itu adalah sampingan di sepanjang perjalanan menuju keredhaan Allah"


Hari ini, aku memberi pesanan kepada seorang adik, di dalam private message di dalam Facebook. " Ingatlah pesan akak ni, kita ikut apa yang Allah dan Nabi suruh bukan sebab kita berharap Allah akan bagi apa yang kita nak, tapi kita ikut sebab kita tak nak sakit pada masa hadapan nanti. Sama ada Allah nak bagi atau tidak, itu hak Allah."


Hari ini, seorang adik menangis, menangis dan menangis. Lalu aku hanya berkata, "Jangan menangis kerana perkara yang berlaku tidak mengikut kehendak kita tetapi menangislah kerana kita mengaku bahawa kita adalah hambaNYA yang Maha Lemah. Mengakulah betapa lemahnya kita jika tanpa bantuan yang Maha Berkuasa, Allah swt"


Hari ini, seorang adik bertanya tentang muzik yang melekakan, dan aku hanya tersenyum. Berapa ramai manusia kini mengambil apa-apa sahaja di dalam dunianya sebagai satu medium untuk menjadikan dia kembali kepada Allah, termasuklah tentang muzik. Berapa ramai, manusia yang tahu bahawa dirinya tidak mampu untuk menepis dari menjadi hambaNYA yang lalai. Berapa ramai?


Hari ini, telinga disuakan dengan lagu OPICK, hati mula syahdu, hiba dan terasa betapa susahnya hidup ini jika kita tidak mengisinya dengan kewujudan DIA. Sesungguhnya DIA sentiasa ada di hati hamba-hambaNYA, cuma sahaja kita selalu buat-buat tak perasan kerana kita lebih sukakan ajakan nafsu. Ingatlah wahai diri, syurga itu dikelilingi dengan perkara yang perit, tetapi neraka dipagari dengan perkara yang kita sukai.


Hari ini, aku melihat diri aku yang sekarang. Terlalu jauh dan leka. Terlalu lalai dan hati mula diwarnakan dengan tompok-tompok hitam itu. Diri kini sedang semakin menjauh dari ilmu, terdampar kepada perkara yang hanya menyeronokkan nafsu, jauh dari peringatan manusia sekeliling untuk kembali kepadaNYA semula.


Hari ini, aku mengambil sedikit masa dari hidupku, untuk duduk di sebuah bangku, melihat alam, melihat kehidupan, dan melihat diri yang sudah semakin hilang punca. Dan hari ini, aku merenung dan memuhasabah diri, menghisab diri kerana kata-kata saidina Umar, hisablah dirimu sebelum kamu dihisab. Maka, hisablah jiwamu, agar kita tahu, di langkah mana kita tersilap.


Hari ini adalah hari-hari yang ku renung, muhasabah ke belakang, dan ku susun kembali langkah ke hadapan agar aku berusaha supaya tidak menjadi hambaNYA yang kerugian masa yang diberikan.


"Ujian yang kita hadapi, bukan untuk kita berkata pada seluruh dunia, bahawa kita telah menghadapi saat-saat yang pahit di dalam dunia ini, tetapi ujian itu adalah pelajaran dalam hidup kita untuk kita berkata dengan hati yang ikhlas, bahawa saat itulah, saat yang paling bahagia di dalam hidupku, ya Allah. Maka, berbahagialah wahai manusia yang telah diuji dengan sangat hebat kerana ujian itu tujuannya adalah untuk kita kembali semula kepadaNYA"


Maka, berbahagialah pada saat-saat yang diberikan, kerana masa itulah yang diperuntukkan olehNYA untuk kita menyusun kembali perjalanan kita, agar sentiasa tertacap, bahawa kita mencari keredhaan Allah. Bersyukurlah.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Thursday, 3 May 2012

Terusik akan kenangan itu [Cerpen]


Dengan nama ALlah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Sarat. Inbox penuh dengan SMS. Perlahan-lahan, folder inbox dibuka, dan satu persatu pesanan ringkas yang ingin dipadam diteliti terlebih dahulu. Terhenti. Lama merenung telefon bimbit itu. Mata terpaku memerhatikan isinya.

"Ada masa kta perlu ada seseorg teman agar kita tak kesunyian..
Ada masa, kesunyian mmbuatkan kita tidak pernah lupa betapa bernilainya seorg teman"

Hi3, ingat tak msg ni? Msg yang awak anta dulu.

Berkaca, mata itu terasa panas, berair dan menanti untuk tumpah. Tangan sudah menyeka empangan, tidak mahu ianya bercucuran lagi. Ah, masih lagi tersimpan kenangan itu. Menutup folder inbox telefon bimbit dan mula bersiap-siap untuk memenuhi pertemuan dengan adik usrah di masjid.


Sambil fikiran itu terputar dengan sendirinya, mata itu berkaca dan memikirkan rentetan setiap pengalaman hidupnya. Melihat lukisan yang telah tercoret, dan mengamati setiap perjalanan. Hatinya sayu, berfikir dan cuba untuk menguruskan perasaannya. Bukan dia tidak betah untuk menghadapi situasi itu, cuma sahaja, kenangan terkadang menjadikan langkah yang laju, menjadi perlahan dan barangkali terhenti untuk menenangkan jiwa. Hiba, mata yang telah difokuskan di jalanraya, tangannya pula cuba untuk mengawal stereng kereta dengan sebaiknya.


Masjid Putra. Kereta memasuki parking. Lemah. Longlai terasa untuk keluar. Di masjid itulah tempatnya dia menenangkan fikirannya apabila segala tanggungjawab terhimpit bertalu-talu di dalam jadual hariannya. Kakinya berjalan menuju ke suatu sudut, dan mencari tempat, duduk dan merenung serta memandang lepas ke arah tasik. Tenang. Damai. Angin lembut menghembus. Tudung labuhnya terbuai-buai mengikut alunan bayu. Sesekali, purdahnya itu terselak oleh tiupan itu. Damai.


Menanti kehadiran Suhana, Atirah hanya bertasbih memuji alam ciptaan Allah. Hanya sahaja cuba untuk mententeramkan jiwanya sebelum bertentang mata dengan adik usrahnya itu di situ. Kelihatan dia tenang menghayati alam, dan asyik dengan tasbih di tangan.


"Assalamualaikum, kak" Suhana memberi salam, mengejutkan lamunan Atirah. Di balik purdah itu, dia tersenyum dan menjawab salam. Suhana mengambil tempat di sisinya.


"Panjang akak termenung, takut saya nak kacau akak" Tergelak kecil.


Atirah hanya tersenyum, dan kembali merenung ke arah tasik itu. "Alam, dik. Bila hati dan jiwa tengah bercelaru, alam itu sangat membantu dalam menenteramkan fikiran yang sedang berkecamuk"


Diam. "Akak ada masalah ke?" Suhana cuba mencungkil.


Atirah cuma mendiamkan diri, dan fikirannya berfikir menyusun kata-kata. Tunduk. Perlahan bersuara, "Akak rindukan kembar akak"


"Haaa? Akak ada kembar? Saya tak tahu pun? Dia kat mana sekarang? Kenapa akak tak pernah cerita pun kat saya?" Bertalu soalan keluar. Atirah hanya tergelak.


"Dulu, ada seorang ikhwah ni, dia bersahabat dengan akak. Lama kami bertukar-tukar ilmu, kemudian baru tahu, tarikh lahir dia sama dengan tarikh lahir akak. Sejak tu akak panggil dia kembar akak" Tersenyum.


"Macam-macam yang kami kongsi, dik. Pengalaman, ilmu, kisah hidup. Dengan dia, akak anggap dia seperti kembar akak. Perasaan memiliki seorang kembar, mempunyai banyak persamaan pulak tuh. Akak suka kata dia tiru akak, sebab apa yang akak nak buat, mesti dia pun nak buat. Akak suka cari jalan nak buat dia marah. Tapi selalu tak berjaya. Perwatakan dia berbeza dengan akak. Akak ni kekadang garang, dia tenang je. Dia selalu cakap, kenapa nak marah, kan marah tuh sifat syaitan. Kadang-kadang tuh, dia suka mengusik akak. Akak teringat masa dia balik dari Mesir beberapa tahun sudah. Dia menyamar, kata nak cakap dengan Encik Karim." Tiba-tiba Atirah tergelak, terkenangkan saat itu.

"Assalamualaikum, Encik Karim ada?"

"Wa'alaikumussalam. Encik Karim? Maaf, kat sini takda Encik Karim. Encik dah salah nombor"

"Oh, saya salah nombor ye. Kalau camtu, siapa nama cik ni ye?"

"Kenapa nak tahu?" suara agak keras dari sebelumnya.

"Saja, lagi pun tak salahkan kita bersahabat"

Kening dah mencerun. "Maaflah, saya tak kawan dengan orang yang saya tak kenal. Encik Karim takda kat sini. Ok ye, Assalamualaikum"

Telefon bimbit yang baru dimatikan panggilan, tiba-tiba menerima pesanan ringkas.

"Sorry la cik adik. Silap call. Harap tak kisah la dengan hal tadi tu"

"Takpe"

"Kalau camtu, bolehlah kenal lebih lanjut lagi"

"Maaf, saya tak kawan dengan orang yang saya tak kenal"

"Lepas tu, kak? Akak layan tak?" Suhana tiba-tiba bersuara, ingin tahu kesudahan cerita.


Tersenyum. "Adik kenalkan akak macam mana?"


Tergelak. Suhana memang kenal dengan kakak naqibahnya yang sangat tegas ini. Teringat kata-katanya, "Kalau kita tak tegas, nanti kita akan dianggap mudah untuk diperkotak-katikkan. Takpe, kita tegas untuk menjaga demi masa depan kita juga, kan?"


Atirah masih merenung jauh, melihat jambatan di tengah-tengah tasik, yang menghubungkan di antara satu tebing dengan tebing yang satu lagi, mengamati pemandangan, sambil hati itu cuba untuk ditenangkan.


"Dia banyak bagi nasihat kat akak. Paling banyak, dia selalu ingatkan akak tentang kekuasaan Allah. Berbeza dengan lelaki lain, bila seorang wanita bersedih, selalunya akan menaburkan janji-janji kosong yang hanya berbentuk ketenteraman hati dan fikiran apabila berada dengan seorang lelaki. Dia tak pernah bagi janji kosong. Dia hanya akan ingatkan akak dengan janji-janji Allah kerana janji-janji Allah lah yang pasti. Dia kata, jodoh ini rahsia Allah. Kadang-kadang, cinta bagai nak rak pun, kalau bukan jodoh, tetap bukan jodoh. Kalau masing-masing tak pernah bercinta, kalau dah nama jodoh, tetap akan sampai." Menutup mata, dan menelan air liur. Terasa berpasir.


"Bagusnya dia. Sangat berbeza dengan lelaki-lelaki yang saya tengok. Ada tu, bila wanita yang dia sayang bersedih, dia akan janjikan apa-apa sahaja yang membuatkan wanita itu percaya pada dia. Habis tu, akak dan dia sekarang macam mana?"


Terdiam. Dan Atirah mengalihkan matanya. Lama dia mendiamkan diri sehingga Suhana terasa serba salah.


"Kak, maaf kak, kalau akak tak jawab pun takpe"


Tersenyum. "Lama tuh, baru kami tahu, yang lelaki dan perempuan tak boleh berkawan. Walaupun kami boleh menjaga, tapi ini tentang hukum. Dia ustaz, akak pula banyak buat gerak kerja islam. Apakah disebabkan kami berstatus begini, orang awam tak boleh, kami boleh? Hukum itu tidak melihat siapa kita, dik. Hukum itu nak tengok sama ada kita taat pada Allah atau tidak. Bukan bermaksud kami boleh menjaga, orang awam tak leh. Ini tentang ketaqwaan"


Setitis air matanya mengalir, jatuh.


"Tapi, akak dan dia, kan boleh kahwin?"


Bibir Atirah terukir senyuman pahit. "Masa tu, kami berbincang tentang hukum Allah itu. Perbincangan yang tenang. Rupa-rupanya, dia memang dah bercadang untuk berkahwin dengan akak. Tambah lagi, dia tak nak kami leka dan lalai dengan hukum Allah. Tapi...."


Menelan air liur. Terasa air liur yang ditelan itu berpasir, terasa pahit. "Allah belum izinkan lagi, dik. Dan kami mengambil keputusan untuk tidak berhubung lagi hanya kerana kami tak nak dikatakan tidak taat kepada hukum Allah"


Lama Suhana melihat Atirah. Seolah-olah membiarkan kakak di hadapannya itu larut dengan perasaannya. Atirah tertunduk, dan terdengar esak tangisnya. Suhana terdiam.


"Kak, Su yakin, Allah tahu, kalian sedang membina ketaqwaan, kerana itu DIA belum izinkan lagi sehingga akak dan dia dah betul-betul menjadi insan yang bertaqwa. Sabarlah, kak" Suhana cuba menenteramkan perasaan Atirah.


Tangannya menyeka empangan yang pecah itu. "Takpa, akak terima. Cuma sesekali, bila kita teringat kenangan, menjadikan kita menyedari bahawa kita sebenarnya adalah hambaNYA yang maha lemah, kita tak mampu untuk berkata yang kita mengetahui kesudahan sesuatu perkara melainkan hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahuinya. DIA lah yang Maha Berkuasa. Segala yang akak hadapi, membuatkan akak sedar, akak adalah hambaNYA yang lemah. "


Suhana terdiam. "Terkadang, kan dik, kita dah taat segala perintah Allah. Dah jaga itu, jaga ini, ikut apa yang Allah suruh, tapi masih juga kita tak dapat apa yang kita nak. Taat bukan bermakna kita bakal dapat apa yang diidamkan, tapi taat untuk membuktikan kita bertaqwa. Taat untuk memberitahu bahawa kita ini adalah hambaNYA yang lemah dan sangat memerlukan DIA"


Akhirnya mereka memandang lepas ke arah tasik, menghayati pemandangan..


Kenangan itu menjadikan sesekali luka yang telah sembuh, tetap terpamer parut yang mengambil masa bertahun-tahun untuk sembuh. Kenangan itu tidak pernah hilang, tetapi ianya mencorak masa hadapan. Kenangan itulah yang menjadikan kita bermuhasabah diri tentang siapa diri kita di hadapanNYA. Masa. Dan sesungguhnya Atirah hanya perlukan masa.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”