Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Monday, 27 February 2012

Ganjaran sedih..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Mata terarah ke hadapan, pemandangan hijau yang mendamaikan. Tenang. Bahagia.

Nun di hujung sana, ada jambatan yang menjadikan mata ini tidak berkedip melihat cahaya lampu yang terpancar, lalu mulut bertasbih, memuji keagunganNYA. Subhanallah.

Tersenyum.

Maha Suci Allah, dan segala puji-pujian itu hanyalah milikNYA, yang telah menggerakkan hambaNYA, memberi ilham untuk mencipta sebatas pemandangan yang menyejukkan hati, tenang dan damai. Alhamdulillah. Dan selawat serta salam kepada junjungan nabi kita, Rasulullah Muhammad s.a.w yang telah mengajarkan kepada kita untuk sentiasa bertasbih memuji keagunganNYA, Allah swt, yang tanpa kita sedari, itulah pengubat bagi kesedihan di dunia, merindui yang Maha Perkasa, Allah swt.

Hati ini bukanlah wadah yang keras apabila diuji, tidak terduduk dan mengalir air mata. Jiwa ini bukanlah tempat yang ditakdirkan untuk menerima kegembiraan sahaja. Maka sesungguhnya, segala rasa dan kepelbagaian emosi ini adalah untuk kita tahu, DIA aturkan terlalu banyak rencah di dalam hidup kita. Maka, marilah kita bersyukur kepadaNYA yang telah memberikan kita pelbagai perasaan ini.

Tetikus di'scrol' ke bawah, melihat gambar kehidupan. Melihat segala jerih payah manusia menghadapi kehidupan ini. Terpana. Bukan kerana mengasihani, tetapi mengagumi betapa mereka berjuang untuk sebuah kehidupan. Terkedu. Bukan kerana ingin mengatakan "Kasihannya", tetapi mengasihani diriku sendiri kerana tidak semampu itu untuk menghadapi dunia ini.

Salah satu dari buku karangan Dr Aidh Abdullah al-Qarni berada di tangan, menyelaknya, satu persatu, dan sekali lagi, terdiam melihat semangat juang para pejuang di zaman Rasulullah s.a.w.

Dalam sebuah pertempuran yang sangat hebat pada Perang Uhud, ketika Abdullah ibn Jahsy menyaksikan pedang-pedang memutuskan leheri-leher, dan panah-panah berterbangan di ata kepala-kepala, berteriaklah ia :"Ya Allah!Sungguh aku berharap kepadaMU agar Engkau mempertemukanku dengan seorang musuh-MU yang paling garang, paling tidak suka kepada hamba-MU, dan paling derhaka kepada-Mu, lalu ia berhasil membunuhku, merobek-robek perutku, memotong hidungku, menyongkel mataku, dan menerbangkan telingaku, agar aku dapat bertemu dengan-MU dalam keadaan rosak dan bersimbah darah seperti itu. Sehingga bilamana Engkau tanyakan kepadaku mengapakah aku mati dalam keadaan seperti ini, nescaya akan ku jawab: 'Ini adalah lantaran memperjuangkan agama-Mu, wahai Tuhanku"

Allah, jauhnya aku, jauhnya kita dari perumpamaan untuk menjadi seperti mereka. Melihatkan manusia berjuang untuk kehidupannya, bukan kata-kata kagum, malah, kata-kata yang selalu diungkapkan adalah, "Kesiannya". Bukan itu perkataan yang sesuai, wahai hamba Allah, tetapi lihat pada diri kita yang takut jika ditakdirkan kita menjadi seperti mereka. Perkataan kasihan itu bukan kepada mereka yang akan dijanjikan syurga jika mereka menghadapinya dengan sabar dan tabah, tetapi kasihan itu adalah pada kita, kerana kita tidak diberi peluang untuk meraih ganjaran yang besar begitu. Sedangkan beramalnya kita pun, belum tentu diterima olehNYA, berjuang dengan nafsu dan syaitan apatah lagi kalah dalam keadaan kononnya menang. Inilah kita, kita yang dimaksudkan umat akhir zaman. Maka, bagaimanakah nasib kita apabila berada di sana nanti?

Apatah lagi diuji dengan perasaan, hanya yang difikirkan oleh kita adalah keselesaan perasaan kita sendiri.

"Mereka tak boleh buat macam ni kat aku"

"Kenapalah diaorang kejam sangat sampai buat macam ni kat aku"

Dan bermacam lagi madah yang mengungkap rasa kecewa. Ketahuilah, itulah tanda kasih sayangNYA yang tak nak kita bersedih di sana, kerana kesedihan di sana itu abadi.

"Kak, saya terasa sedih"

"Janganlah bersedih wahai adikku. Lihatlah alam, merenung, bertasbih bersama-sama dengan mereka, hati akan menjadi tenang. Jangan bersedih wahai adikku, kita di dunia ini sementara, maka, lenyapkanlah perasaan sedihmu dan kembalilah berjuang untuk kehidupan ini. Jangan bersedih wahai adikku, sesungguhnya, Allah bersama-sama denganmu"

Dan dua wanita itu tersenyum, kembali melihat alam dan mulut serta hatinya, bertasbih, memuji Allah, sambil berazam untuk sentiasa tabah kerana mengharapkan pertemuan abadi, pertemuan denganNYA dan berkata, "Inilah bukti aku redha dengan ujianMU kerana aku tahu, Engkau tidak pernah meninggalkan aku"

Firman Allah, surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. 

Maka, marilah beriring, bahu membahu menujuNYA, menuju syurgaNYA.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Saturday, 25 February 2012

Ada yang bertanya tentang.....URuSaN jOdOH..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.




Khusyuk menulis sesuatu, asyik juga dengan lagu dari Sami Yusuf-Healing. Tenang, damai. Aku tersenyum.

"Kak, apa pendapat akak, kalau akak dah merancang nak berkahwin dengan seorang lelaki ni, tiba-tiba kat tengah-tengah jalan ada perempuan cerita kat akak macam-macam tentang laki tuh sampai akak mula hilang kepercayaan kat laki tuh. Apa pendapat akak?"

Membaca sekilas ceritanya dan aku hanya tersenyum, dan aku mencari-cari kata yang sesuai, untuk menterjemahkan jawapan di dalam fikiran.

"Dik, jika adik tanya itu adik kata di pihak akak, ketahuilah wahai adikku, walau 100 orang perempuan yang buat cerita pun, akak tetap akan teruskan"

Tersenyum.

"Akak tak takut?"



Masih lagi tersenyum, dan merenung semula kata-kata yang sesuai. Dan fikiranku tertacap pada salah satu tajuk di dalam manuskripku, "Siapalah Yang Sanggup?".

Ku tuliskan satu senario yang jarang-jarang perkara ini diterima tapi itulah sebenarnya hakikat yang kita susah hendak terima. Hakikat yang terkadang kita faham, tapi sengaja buat-buat tak faham. Hakikat yang sebenarnya itulah jawapan pada persoalan "kenapa" tapi, jarang-jarang pula manusia hendak terima.

Telinga masih disuakan untuk mendengar satu laporan dari radio IKIM.fm.

"Kajian mengatakan bahawa di zaman ini, ramai yang mengalami tekanan perasaan. Dari analisis ini juga, di dapati 30% adalah para remaja......"

Tersenyum. Ya, benar, dunia sekarang terlalu ramai manusia yang mengalami tekanan perasaan.

"Akak tak nak jadi orang yang mengalami tekanan perasaan, dan kerana itulah akak kaji betul-betul tentang suruhan di dalam Islam, dan larangan di dalam Islam. Subhanallah, terlalu banyak hikmah yang akak terima, dan akak terjemahkan ke dalam manuskrip itu. Manuskrip itu bukan semata-mata akak nak cari keuntungan, tapi akak betul-betul nak sesiapa yang membeli, melihat hikmah di dalamnya. Akak cuma nak manusia yang tercari-cari jalan, kembali melihat peta dengan panduan yang betul, dan menyedari bahawa peta yang sedang dia rujuk itu berada dalam keadaan terbalik. Lalu membetulkannya semula."

Tersenyum.

Masih di hadapan paparan soalan yang sama.



"Takut? Ketahuilah wahai adikku, perkahwinan ini adalah jalan pintas untuk mencari keredhaan Allah, satu jalan yang telah dimudahkan oleh Allah untuk sampai kepadaNYA. Seperti kita dalam perjalanan, kita berjalan kaki. Tiba-tiba di hadapan kita, ada seseorang memberi kita basikal ke, kereta ke, apa-apa jelah yang boleh membantu dalam perjalanan kita. Jadi, perkahwinan itu hanya memudahkan kita untuk sampai kepadaNYA. Kalau berjalan kaki mengambil masa berhari-hari, naik kereta, cuma beberapa jam sahaja. Itulah perkahwinan."

Tangan masih lagi menari di papan kekunci komputer riba, menaip kata-kata yang seterusnya.

"Akak hanya ingin mempergunakan lelaki itu untuk akak mendapatkan keredhaan Allah. Jika akak usaha, dan usaha, tetapi masih tetap ada perkara yang akhirnya ikatan perkahwinan yang dirancang itu tidak menjadi, maka itulah tandanya bukan jodoh. Tapi, sekiranya terjadi ijab dan qabul itu, dan perkara yang dibawa oleh wanita-wanita tadi itu benar, maka, itulah ujian di dalam rumahtangga yang mana tujuannya Allah hadirkan adalah untuk mengangkat darjat kita, jika kita bersabar dan menghadapinya dengan tenang, serta sentiaa berpaut pada Allah. Ingatlah wahai adikku, perkahwinan ini hanya memudahkan kita untuk mendapatkan keredhaan Allah, bukan sebagai titik noktah bahawa kita akan mendapatkan kebahagian. Bila kita masih lagi berada di alam yang fana ini, ingatlah baik-baik kata akak ini, MUSTAHIL untuk satu-satu kebahagiaan itu berpanjangan. Kita akan dapat, tapi hanya sebentar. Yang abadi adalah di sana, di syurga abadi, bukan di dunia. Perkahwinan bukan untuk kebahagiaan, tapi satu perjuangan baru untuk dapatkan keredhaan Allah"

Panjang lebarku menulis, dan ku kongsikan di sini kerana bukanlah hanya seorang adik yang menghadapi perkara ini, malah terlalu ramai yang silih berganti bertanya padaku, dan ku harapkan ada pencerahan bagi yang maih kabur dengan tujuan perkahwinan.

"Kalau adik nak tahu lagi, bolehlah adik tengok dalam manuskrip akak yang adik beli hari tu, dalam tajuk "Siapalah Yang Sanggup". Insya Allah, moga ada pencerahan" Tersenyum.



Tiba-tiba telefon bimbit bergegar, menandakan satu pesanan ringkas sampai ke telefon bimbit.

"Salam, kak. Nak tanya pendapat akak. Ada dua orang lelaki ni menyukai seorang wanita yang sama, jadi wanita ni buat istikharah. Dalam istikharahnya tu, dia dapat petunjuk pada salah seorang lelaki itu. Tapi, tempoh perkahwinan yang dijanjikan adalah tiga tahun lagi. Patutkah wanita tu bagitahu keputusan istikharahnya supaya lelaki yang satu lagi tu tidak berharap pada dia, dan dia boleh fokus pada seorang sahaja. Selepas bagitahu, dia nak serahkan hanya kepada Allah sahaja dan minta lelaki yang dia dapat petunjuk tu supaya tak selalu berhubung dengan dia, dan setia dengan dia. Dan dia juga akan setia pada lelaki itu"

Menerima soalan ini, membuatkan aku terkedu. "Dah terpengaruh dengan novel mana lah budak ni" Tersenyum sambil menggeleng kepala. Masih juga segar di dalam ingatanku pada satu entry yang pernahku tulis mengenai Fitnah Istikharah yang ku beri tajuknya Kesinambungan Istikharah

"Dik, akak takut petunjuk yang dia dapat tuh bukan dari Allah, tapi..Emh, inilah yang dimaksudkan dengan Fitnah Istikharah. Sebab, dia meletakkan tempoh tiga tahun. Dan dalam tempoh tuh, akan berlaku bermacam-macam perkara sebab ianya bukan dari Allah. Itulah fitnah istikharah. Kalau kedua-duanya dah pun berniat untuk kahwin, tak perlu tunggu sampai tiga tahun, teruskan sahaja dengan langkah munakahat yang seterusnya"


"Tapi, kak, dia dua orang ni masih belajar"


Tersenyum.


"Kalau masih belajar, kenapa dah berura-ura nak cop orang kalau tahu belum mampu? Ada jaminankah dia sepanjang tiga tahun tu, dia mampu menjaga? Dan dia jamin ke kalau tidak berlaku apa-apa sepanjang tempoh tu? Dik, dalam manuskrip akak hari tuh, akak ada tulis satu tajuk "Berbicara Mengenai Hubungan Antara Lelaki dan Perempuan" Dalam tu akak ada bincangkan mengenai masalah ini. Dik, halal itu jelas, haram itu jelas, tapi apa yang selalu kita terkandas adalah dalam perkara syubhah, kerana Nabi pernah berkata, perkara syubhah ini menghampiri haram."


"Jadinya kak, apa yang perlu dia buat"


"Diamkan sehingga masa yang sesuai iaitu apabila dah benar-benar yakin mereka dah bersedia untuk menuju ke alam perkahwinan. Dan wanita itu fokus dengan pelajarannya, tak perlu nak jadi seperti mana-mana watak di dalam novel cinta islami, kerana yang menuli novel ini bisa sahaja menulis apa sahaja meletakkan apa yang patut dan apa yang tidak sedangkan setiap manusia ini iman dan ketakwaan berbeza-beza. Pegang pada ayat quran, surah adz-Zhariyyat, ayat 56, Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. Cukup jelas ayat Quran itu, jadi, fahamkan betul-betul, hidup kita di dunia bukan semata-mata nak kahwin je. Pada lelaki yang seorang lagi, katakan cari wanita lain kerana dia hanya nak tumpukan pada pelajaran buat masa ini. Jodoh itu terserah pada Allah."

Hiba dan tersayat hati terkadang kerana mereka yang muda ini selalu tersasar pada niat asal diciptakan mereka di dunia ini. Ya, aku juga salah seorang darinya, tapi aku telah memilih saudara seislam yang ada di sisiku untuk sentiasa mengetukku agar kembali semula kepadaNYA. Alhamdulillah.

Jangan kita lupa, syaitan itu masih hidup, dan mereka akan tetap berusaha untuk memecah-belahkan umat Muhammad s.a.w. Janganlah kerana perasaan, kita memikirkan kepuasan hati, lalu kita sanggup pula berpecah-belah hanya semata-mata perasaan.

Ketahuilah, setiap ujian dan masalah yang hadir itu terlalu simple dan akan menjadi rumit serta komplek bila disertakan dengan perasaan. Sesungguhnya, ujian itu tujuannya adalah untuk kita kembali semula kepadaNYA, Allah swt.

Semoga hati-hati yang ditimpa dengan masalah perasaan ini akan memahami bahawa setiap ujian itu adalah untuk kita kembali semula kepadaNYA, memeriksa hubungan kita dengan Allah.

Wallahu'alam.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Wednesday, 15 February 2012

Sebarkanlah salam..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Sekonyong-konyongku melihat, merenung dan kemudian memejamkan mata. "Subhanallah"

Indahnya pemandangan yang Kau sajikan ini, mendamaikan, menyejukkan hatiku yang sedang gundah. Maha Besar-Mu ya Allah, Maha Berkuasanya Mu ya Allah kerana telah menciptakan seindah ini alamMU.

Mata masih lagi merenung, berada di tepi masjid, menghadap ke arah tasik. Tiba-tiba salah seorang kanak-kanak arab yang berlalu di hadapanku merenung, mengamati aku. Aku tersenyum, dan melambai-lambai tangan ke arahnya. Dan dibalas senyuman, dan lambaian bertukar. Bahagia.

Seorang wanita Arab, berjilbab, berlalu di hadapanku, dan kemudian menyapaku, "Assalamualaikum" Terpana sebentar. Ah, indah, indah sungguh suaranya, ya Allah, dan ku balas, "Wa'alaikumussalam warahmatullah"

Benarlah ya Allah, benarlah akan kata-kata kekasihMU, Rasulullah Muhammad s.a.w atas satu hadithnya.


"Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak beriman, hingga kamu saling sayang menyayangi. Mahukah kamu aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu melakukannya, kamu akan saling sayang menyayangi? Sebarkanlah salam sesama kamu." (Muslim)

Maka, sungguhlah benar kata-kata kekasihMU ya Allah.

Manusia dijadikan bersaudara dan dicampakkan perasaan kasih dan sayang ke dalam setiap hati hamba-hambaNYA, dan sesungguhnya kita bertuah kerana diberi peluang untuk merasainya.

Segar di ingatanku akan salah satu cerpen yang ku karang di dalam manuskripku, mengenai seorang wanita yang layu kelelahan, dan tidak mampu untuk memahami hakikat yang di alaminya. Dan didatangkan seorang sahabat, yang permulaannya dimulakan dengan "Assalamualaikum, kak"

Indah, tersangatlah indah, kerana di dalam setiap perjalananku, aku seringkali bertemu dengan manusia-manusia yang memulakan ukhwah denganku melalui ucapan, "Assalamualaikum", menegurku yang sedang khusyuk mengamati ragam manusia, khusyuk dengan mushaf, dan khusyuk juga dengan paparan skrin telefon bimbitku.

Berkasih sayanglah wahai hati-hati yang dikurniakan dengan rahmatNYA, maka berkasih sayanglah untuk bersama-sama mencari keredhaanNYA.

Bukanlah kita dijadikan sebagai hambaNYA yang ingin berdebat, berkata-kata seumpama di dunia ini hanya punya satu jalan sahaja. Bukanlah dijadikan satu lorong sahaja untuk kita sampai ke destinasi kita. Bukan.

"Ya, Islam sudah dijanjikan menang, pasti akan menang kerana itu adalah janji Allah. Tapi, Allah bukan nak tengok kita menang, tapi Allah nak tengok bagaimana usaha kita untuk mendapatkan kemenangan yang dijanjikan. Janganlah kita menyempitkan fikiran kita dengan menyatakan hanya pendapat kita sahaja yang benar. Raikan setiap usaha, dan sentiasalah berpaut pada al-Quran dan Sunnah"

Maka, berpegang-peganglah tangan anda bersama-sama, beriringan, dan pada sesiapa yang kita temui, maka hulurkanlah salam, hulurkan persahabatan, dan hulurkanlah tangan, agar kita beriringan, menuju ke destinasi abadi, iaitu syurga Allah.

Marilah, kita sebarkan salam, kerana di dalamnya ada rahmat dariNYA. Satu bentuk kasih sayang yang DIA turunkan buat hamba-hambaNYA yang beriman. Sebarkanlah salam, dan seringlah kita bersama-sama mengingatiNYA, mencari keredhaanNYA.

Marilah..

Ukhwah adalah syarat menuju kemenangan, sementara pertikaian hanya membawa kelemahan dan kekalahan. Bagi mereka yang benar-benar setia pada Allah dan Rasulullah saw tidak bertikaian sesama sendiri yang tiada penghujung jalannya.

Begitu Rasulullah menegaskan " Janganlah kalian saling dengki, janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling menjauh. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara"

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”