Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Atirah dan Ayuni sedang berkira-kira menu yang hendak dipilih di hadapan gerai itu. Bincang dan memilih.
"Kau rasalah Roti John ni, sedap. Aku dah rasa dah hari tu" Ayuni mencadangkan.
"Betul ke sedap?" Atirah pula sedang berfikir sambil meneliti papan tanda di hadapan gerai. Tiba-tiba dia terpandang ke arah satu papan promosi yang tergantung di hadapan gerai Roti John tu.
"Ni nak beli bape?"
"Kalau sedap, kita beli 3 lah. Murah. Satu harga dia RM3.70. Haaa, kalau 3, dapat murah, RM10 je" Atirah mencadangkan.
"Tak payah. Jangan membazir. Satu je cukup" Ayuni bersuara dengan tegas.
"Tapi, ni murah ni weh. Kata sedap. Yang lain lagi, mesti nak rasa jugak.."
"Kalau tak habis, macam mana?"
"Kalau sedap, aku nak makan banyak, camne?"
"Belilah lagi. Dah, dah..Jangan nak mengada-ngada. Satu je. Bang, satu Roti John" Akhirnya Ayuni membuat order. Lama lelaki penjual Roti John tu memerhatikan mereka yang tarik tali dalam membuat pesanan.
"Alarrrr..."
Dan akhirnya, apa yang Ayuni katakan, betul. Pesan satu, tapi tak habis.
"Kan aku dah kata. Ni, yang baki ni sapa nak habiskan?"
"Errrr..." Menggaru kepala.
"Kau tu dah lah makan sikit, nak mengada-ngada pulak nak pesan banyak. Haaa, yang ni sapa nak makan ni?" Ayuni dah menunjukkan talent seorang emak. Atirah hanya senyum lebar, buat-buat tak dengar.
Mendengus..
*****************************************
Saya panjatkan kesyukuran kepada yang Maha Esa, Allah azza wa jalla, dan semoga teratak yang tidak seberapa ini, saya dapat penuhi dengan untaian-untaian ilmu yang berkisar dari kehidupan semasa kita. Selawat dan salam, kepada penghulu nabi, Rasulullah s.a.w kerana telah dengan penuh jerihnya menyampaikan segala ajaran yang memandu kita semua, dunia dan akhirat.
Wahai saudara-saudariku, dalam kita menelek, memerhati, dan membelek-belek, kita jarang berfikir dengan sedalam-dalamnya, apa sebenarnya yang kita perlukan.
Ramai manusia, acap kalinya apabila melihat manusia punya itu, dia juga berlumba-lumba untuk menandingi manusia itu. Ketahuilah, itulah perbuatan yang sia-sia. Perbuatan yang membuatkan kita leka dan lalai tentang persoalan untuk apa kita berada di dunia?
Sabda Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa, setiap umat akan ada ujiannya dan ujian untuk umatku adalah harta.
Wahai yang bergelar umat Muhammad s.a.w, kita kini acap kali diuji dan diduga dengan keindahan dunia. Dipamerkan, diiklankan, wahh, indahnya. Tapi sesungguhnya itulah yang membuatkan kita leka dan lalai dengan kehidupan di akhirat.
Persiapkanlah perbekalanmu kerana masa kita di dunia ini hanya sebatas waktu sahaja. Janganlah kalian diperbudak-budakkan oleh dunia ini kerana sesungguhnya dunia ini memang dijadikan indah mempesonakan untuk menggoda manusia yang mudah terpesona.
Abu Musa Al-Asy'ari pernah bertanya kepada Anas bin Malik, "Kenapa manusia lalai dari akhirat?"
"Kerana menuruti hawa nafsu dan mengikuti tipu daya setan" jawab Anas
Mendengar jawaban demikian, Abu Musa berkata, "Sungguh, bukan begitu, tetapi kerana dunia ini merupakan kesenangan bagi mereka. Sementara di akhirat mereka tinggal menuai siksanya. Seandainya mereka tahu, mereka tidak mungkin lalai dan takkan pernah bosan untuk menyiapkan bekal akhirat"
Lakukanlah pelaburan dengan Allah. Ambillah yang menjadi keperluanmu pada hari ini, dan selebihnya, bahagi-bahagikanlah untuk harta itu benar-benar tersimpan di sisiNYA. Perhatikan keperluan kita. Tidak usahlah berlebih-lebihan kerana ianya hanya akan dibazirkan, dan seterusnya akan disia-siakan.
Lakukanlah pelaburan dengan Allah, kerana pelaburan dengan Allah itulah yang menjamin kita untuk perbekalan di akhirat.
Lakukanlah pelaburan dengan Allah, semoga kita semua dapat menuai hasilnya apabila tiba saatnya di sana.
Insya Allah..
Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~
No comments:
Post a Comment