Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Thursday, 5 April 2012

Erti kesyukuran untuk hidup di sana


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


"Assalamualaikum, kak"


Tersentak dan tersedar. Memandang ke arah yang memberi salam, lalu tersenyum. "Wa'laikumussalam wbt, dik. Dari mana ni?"


"Dari Fakulti, kak. Akak buat apa ni, sorang-sorang kat sini"


Tersenyum. "Mengenang sambil melihat kejadian Allah. Adik apa khabar?"


"Alhamdulillah, kak. Akak?"


Tersengih. "Payah nak jawab soalan tuh, dik. Tapi, setakat ni, alhamdulillah, segala nikmat yang diperlukan untuk menjalani kehidupan ini, Allah masih izinkan untuk meminjamkannya kepada akak" Tersenyum.


"Akak tak sihat lagi ke?"


Tersenyum. "Bukan tak sihat, cuma akak tak boleh nak jawab seperti orang lain. Cuma boleh jawab, setakat ini, alhamdulillah."


"Apa maksud akak?"


"Dik, manusia ini kan, selalunya hanya menjawab berdasarkan teori. Bila dapat nikmat ni, kene sebut hamdalah tanda bersyukur. Tapi, perlakuannya, penghayatannya itu tak sampai. Tidak mempamerkan yang dia sedang bersyukur. Bila berjaya, ucap hamdalah. Bila dapat apa yang diingini, ucap juga hamdalah. Dapat rezeki, ucap hamdalah. Itu tanda perlakuan kita bersyukur. Tapi, nun jauh di dalam hati, cuba adik fikir, ucapan syukur hamdalah itu sampaikah ke dalam hati?"


Masih khusyuk mendengar, dan kemudian pandangannya beralih. Adik yang di sebelahnya, terbayang pelbagai perkara. Kemudian tunduk dan diam.


"Adik nak tahu tak, baru-baru ini, ada seorang sahabat akak, bentuk fizikalnya diejek oleh manusia. Akak tengok dia geram, tapi dia tak dapat nak buat apa-apa. Akhirnya, dia sebut hamdalah. Nak tahu tak kenapa?"


Terkedu. "Eh, kenapa kak? Hamdalah ni kan tanda bersyukur. Kalau orang dah buat kita, kenapa pulak nak sebuat hamdalah?"


Tersenyum. "Itu jugalah yang bermain di fikiran akak. Jadi akak tanya pada abang akak. Abang akak cakap, baik atau buruknya apa yang kita dapat, itu semua adalah dari Allah. Pemberian Allah. Jadi kitalah yang kene latih diri kita untuk terima, bukan paksa orang untuk tidak mengejek kita. Tahu tak, apabila kita redha dengan keadaan kita, ganjaran pahala menanti kita. Apa perlu kita kesahkan mulut manusia yang terang-terang sedang memberi pahala kepada kita."


Mengalihkan pandangan, dan dia menyambung kata-katanya, "Imam Hassan al-Bashri pernah menyebutkan, antara tanda tawadhuk seeorang hamba pada Allah ialah dia mensyukuri setiap pemberian Allah sama ada pemberian baik atau tidak"


Tersenyum. "Adik ada manuskrip akak, kan? Cuba adik baca balik tajuk Redha dan Tujuan, kisah Bahlul dalam tu. Subhanallah, nak sampai kepada penggila cinta seperti itu sungguh susah, tapi kita berlatih. Bersyukur itu juga tanda redha. Bersyukur itu juga tanda kita gembira dengan pemberianNYA walaupun baik atau tidak. Bersyukur juga adalah tanda kita semakin dekat mengenaliNYA. Bersyukur ini tanda hati itu penuh dengan kebahagiaan bercinta denganNYA"


Perlahan-lahan, bibirnya terukir senyuman. Dan adik di sebelahnya turut tersenyum.


Segala puji dan puja itu adalah milikNYA, Sang Pencipta, Allah swt. Segala puji dan puja itu, adalah selayaknya buat Tuhan semester alam, maka basahilah bibir dengan bertasbih, memujiNYA, Allah swt. Selawat dan salam, buat junjungan Nabi kita, Muhammad Rasulullah s.a.w kerana menunjukkan satu cara dan jalan untuk kita semakin mendekatiNYA. Maha Suci Allah, Maha Pengasihnya Allah, kerana tidak membiarkan kita sendirian, tetapi menghadirkan penunjuk jalan, Nabi Muhammad s.a.w.


Dewasa ini, seringkali saya melihat manusia terlalu merasa tertekan dan lelah dengan segala yang dialaminya. Dewasa ini juga, manusia terlalu menunjukkan yang dirinya telah menghadapi satu ujian yang terhebat yang tidak mampu manusia lain menanggapinya.

 
Terkadang, apabila pada hari ini kita merasakan kita memiliki, belum benar pasti sebentar lagi ianya menjadi milik kita.


Terkadang, apabila kita melihat manusia memiliki yang terbaik dalam hidupnya, belum benar pasti esoknya masih lagi terbaik


Terkadang, apabila melihat manusia menangis meratapi musibah, belum tentu lagi sekejapan lagi, tiada berita gembira.


Terkadang semua manusia ingin bercerita tentang kehebatan masing-masing tanpa mereka sedar, Allah hanya meminjamkannya...sebentar sahaja.


Kita tiada jaminan untuk kita berkata kita tabah, kita hebat dan kita memiliki segala yang dikecapi bagi seorang mukmin jika kita belum benar-benar kenal DIA. Hatta, segala nikmat yang kita miliki sekarang juga jika tidak digunakan dengan betul, ianya boleh bertukar istidraj.


Bertaqwalah kepada Allah. Takutilah segala sesuatu yang kita sangkakan bentuk kesayangan Allah tetapi sebenarnya istidraj. Istidraj itulah satu bentuk yang terkadang kita tak tahu ianya ujian atau nikmat. Hatta, iman yang berada di dalam hati kita itu sendiri adalah satu ujian kepada diri kita sendiri.


"Eh, kak, camne tuh kak?"


Tersenyum.


"Begini, dik. Kita ditimpa ujian, bermacam-macam. Kita sangkakan yang iman kita semakin mantap. Kita sangkakan bahawa hati kita dah cukup mapan dengan memahami serta mengenaliNYA melalui ujian itu. Tapi sebenarnya, itu bukan satu petanda, tapi itulah ujian. Dik, Abu Bakar yang imannya hebat, masya Allah, pun masih menangis di tengah malam kerana ketakutan yang dahsyat kepada azabNYA sehingga boleh berkata alangkah bagusnya menjadi daun pokok, tumbuh dan mati tidak dihisab. Dan kerana itulah, hidup ini nikmat yang kita sangkakan nikmat itu adalah yang digunakan untuk mendapatkan ganjaran di akhirat. Itulah yang sebenar-benarnya nikmat. Jika kita sangkakan nikmat tapi kita gunakan untuk dunia, maka itulah istidraj. Susah dik. Sangat susah untuk mengenali istidraj. Tapi, berpautlah sentiasa kepada Allah, agar DIA membuka hati kita untuk mengenali yang mana istidraj dan yang mana nikmat"


Maha Suci Allah. Segala yang kita perolehi adalah satu perantara untuk di sana. Segala yang kita hadapi adalah bentuk latihan. Dan segala yang kita jalani adalah tanda untuk kita lebih mendalam memahami adakah kita bersyukur dengan nikmat dan bersabar dengan musibah. Maha Suci Allah.


Sesungguhnya, jadilah kita manusia yang bersyukur, bersyukur bukanlah bermaksud dengan hanya mengucap hamdalah sahaja, tetapi melalui percakapan, perbuatan dan segala tindak tanduk kita sendiri.


Bersyukur bukan bermaksud dengan hanya menjalani ketaatan pada hukum sahaja, tetapi dalam menjalani kehidupan itu, terpatri lekap dan lekat, Allah di hatimu. Memuji dan bertasbih, mengangungkanNYA, dan tersenyum gembira, kerana mampu meneruskan hidup dengan berbekalkan ketaatan bukan sahaja pada tingkah laku tetapi di dalam hati.


Hatilah tempat letaknya segala-galanya, dan kerana hatilah, jangan dikisahkan pandangan manusia, kerana hati itu hanya mampu difahami oleh Penciptanya sahaja, Allah swt




Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Tuesday, 3 April 2012

Penantian dalam rahsia [Cerpen]

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Dua wanita berbaring di atas hamparan tanah, memandang ke arah bintang sambil tangan mengira-ngira dan memerhatikan bintang yang mana paling bergemerlapan. Terkadang di selangi dengan tawa ketawa mereka, hidup mereka bahagia.


"Kak, kalau akak kahwin, akak nak orang yang macam mana?"


Tiba-tiba, tangan yang asyik mengira, terhenti, dan diturunkan. Berfikir. Kakak bingkas bangun dan membetulkan duduknya. Terkedu dengan soalan itu. Memandang ke Adek.


"Kenapa tanya macam tuh?"


Kali ini Adek pula bangun, dan membetulkan duduk, menghadap Kakak. Tersenyum.


"Takdalah. Saja tanya sebab Adek tengok Kakak ni macam takda perasaan je. Pandang lelaki pun macam pandang batu, keras. Takut lelaki nak dekat dengan Kakak, tau" akhirnya Adek menyuarakan rasa di hatinya. Pandangannya beralih, dan melihat lepas ke arah sekeliling, padang di stadium itu yang terang dan di track, ramai yang masih lagi berjogging di malam hari.


"Kak, lagi sebulan Adek dah nak kahwin. Takkan Kakak nak macam ni?"


Terkedu. Terdiam. Dan kemudian satu keluhan lepas. Tunduk, dan tiada jawapan yang keluar. Melihatkan Kakaknya begitu, akhirnya Adek bersuara. "Jom kak, kira bintang lagi" sambil mengenyit mata. Akhirnya perlahan-lahan di bibir Kakak terukir senyuman.


"Kau tak memahami, wahai adikku" hatinya berbisik. Dan mereka kembali ceria mengira bintang sambil bercerita tentang pelbagai kisah. Bahagia.


"Dik, nak tahu tak, Kak Min dah nak kahwin. Lepas ni dah takda kawan Kakak nak sama-sama bercerita."


"Kakak, bila lagi? Takkan takda calon?"


Diam. "Adek doakanlah Kakak"


"Adek sentiasa doakan Kakak dapat yang terbaik"


Tersenyum.


"Kakak takut Kakak akan terbiasa berseorangan. Kakak takut nanti Kakak dah buat tak pot dengan bab kahwin"


Adek terdiam, dan suasana ketika itu sunyi.


"Kakak, orang tua katakan, kalau baby sedu, dia nak membesar tau. Tapi, kalau orang tua sedu, Adek tak tahulah pulak maksudnya apa"


Terdengar ledakan ketawa Kakak. "Kurang hasam punya adikku. Takda maknanya lah Kakak nak sedu. Kakak relek jelah lagi"


Adek tersenyum. "Nangis dalam hati?"


Terkedu. Ketawa seperti tak ikhlas. "Dik, jom kita nyanyi. Lalalala..Hujan yang turun bagaikan mutiara"


Dan kali ini Adek pula yang ketawa. "Kakak, jom balik. Nanti ada yang hujan lebat pulak kat sini" Sambil bangun dan berdiri, menyapu rumput yang melekat di baju dan tudung.


Dalam hati Kakak, "Kurang hasam, asyik aku je yang kene" Dan akhirnya, dia tersenyum. Terhibur untuk sementara waktu. Ya, sementara waktu sebelum dia keseorangan mengira bintang bersendirian.


Di lapangan terbang itu, sekumpulan manusia, berkumpul untuk menghantara sepasang pengantin yang baru sahaja diijabqabulkan sebulan yang sudah. Dan akhirnya, tangan Kakak dan Adek bertaut, bersalam. "Kakak jaga diri tau. Adek akan sentiasa doakan jodoh Kakak yang terbaik"


Terdiam, dan akhirnya Kakak memeluk Adek, dan tidak mengucapkan sepatah kata. Hanya sahaja air matanya berlinangan tanpa diketahui sesiapa. Menangis di sebalik kain kecil yang menutup wajahnya. Dan Adek hanya mendengar suara esak tangis itu.


Dan fikirannya terimbas, satu berita yang meregut segalanya.


"Kejadian pengeboman di Syria." Terkejut dan matanya terus laju menuruni patah kata di paparan surat khabar itu. Dan akhirnya hatinya berdebar-debar.


"Dua warga Malaysia disyaki yang terperangkap di dalam bangunan, kini selamat dikeluarkan. Salah satunya meninggal di tempat kejadian, bernama Mohd Fakharuddin...bla..bla.." Dan matanya gelap, pitam dan hilang keseimbangan. Jatuh, pengsan.


Matanya pejam, masih di dalam pelukan Adek. "Kak, kuat ye kak. Adek akan doakan Kakak mendapat jodoh yang terbaik dariNYA"


Dan semua ahli keluarga yang berkumpul di situ, turut menangisi, entah kerana apa, menangis bakal berpisah dengan salah seorang ahli keluarga mereka, atau kerana nasib salah seorang ahli keluarga mereka, yang kehilangan tunang tahun yang sudah. Dan mereka semua hanya mampu berdoa, untuk keejahteraaan kedua adik beradik itu.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
 ~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Sunday, 1 April 2012

Dua perkara yang menyelamatkan kita


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.




Mata masih terpaku memerhatikan jalan. Kaki sudah letih asyik menekan pedal minyak. Telinga mendengar kata-kata masalah dari adik di sebelahku. Ekor mataku memerhatikan gerak gerinya. Menangis.


Ah, kami sudah tersesat.


Fikiran masih lagi berfikir kata yang sesuai, menyususn bait percakapan yang bisa difahami.


"Seorang mukmin, dalam setiap percakapannya, dia hanya tahu bercerita untuk bagaimana menjadikan percakapannya sebagai zikir mengingati Allah. Seorang mukmin, apabila menghadapi masalah, dia menganggap masalah itu sebagai ujian dan kemudian dia melepaskan kepada Allah, bukan dipendam diperap di dalam hati, tidak tahu bagaimana untuk mengawalnya. Akak rasa adik ni bukan dapat menerima keadaan ujian adik tuh, cuma adik pendam dalam hati. Seorang yang redha, bukan begini percakapannya" Dan akhirnya aku bersuara.


"Memang, memang saya tak dapat terima"


Terkedu. Kepalaku semakin berdenyut. Dari semalam lagi. Mendengus dan melepaskan suara keluhan yang tidak didengari, dan aku bersuara. "Dik, jadilah seorang mukmin. Yes, orang yang mengucap dua kalimah syahadah itu adalah orang Islam. Tapi, belum tentu semuanya itu adalah orang mukmin. Orang mukmin dalam percakapannya hanya berkisar cerita kehebatan perjuangan para sahabat. Orang mukmin dalam setiap gerak langkahnya adalah untuk perjuangan Islam. Orang mukmin dalam setiap fikirannya adalah mengolah setiap ujian sebagai pelajaran dari Allah dan dia akan sentiasa bahagia. Dik, semua orang ada masalah. Akak pun ada masalah, tapi akak buat rileks jelah, sebab bercerita tentang masalah sendiri ini takda point, silap hari bulan, ada terselit dosa di dalamnya"


Terdengar esak tangisnya. Dan ku biar. Ku seluk poket beg sandangku dan ku hulurkan tisu. Ku biarkannya larut dan kembali tenang. Dan aku kembali dalam pencarian rumah yang ingin dituju.





Segala puji dan puja hanyalah untuk Allah, yang Maha Perkasa, yang Maha Besar. Selayaknya dari segala percakapan dan ilmu yang menggerakkan hati seorang hamba untuk kembali kepadaNYA adalah ilham dariNYA maka marilah kita mengucapkan kesyukuran, tanda memuji Sang Pencipta dan Pemilik Segala Ilmu, Allah swt.


Selawat dan salam juga kepada baginda s.a.w, Rasulullah Muhammad s.a.w yang telah mengajarkan kita atas segala peta jalan untuk kembali ke destinasi yang benar iaitu menuju kepada yang Maha Esa, Allah s,awt. Baginda jugalah contoh terbaik bagi sekalian hamba yang diuji, dan sesungguhnya, bagindalah insan yang diuji dengan sebenar-benar berat pengujian. Marilah untuk kita lazimkan bibirkan berselawat kepada baginda s.a.w.


"Kak, susahkan untuk kita nak bersabar?" Ku lihat 3 kali seorang adik menghantar pesanan ringkas. Lama berfikir, dan kepala masih berdenyut, menahan sakit sejak dari siang tadi. Menyusun kata-kata dalam keadaan begini membuatkan impuls lambat untuk menghantar maklumat. Dan akhirnya aku menulis pesanan ringkas.


"Susahkan nak Allah bersama dengan kita? Maka hanya golongan yang ingin diri mereka dipilih sahaja yang mendapat kelebihan itu, dan cubalah untuk menjadi golongan yang terpilih"


Firman Allah Taala bermaksud,"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar". (Al Baqarah:153)

Maka sabar itu adalah kunci kegembiraan, insya Allah.


Lama berbual dengannya melalui pesanan ringkas, dan akhirnya dia menulis isi yang sebenarnya. "Akak, betul ke kalau kita ada masalah, elok kita simpan sendiri dan biarkan sebab adik rasa biarlah Allah sahaja yang tahu apa yang kita alami"


Terdiam sebentar membaca soalannya. Kini terbaring sambil kepala memicit kepala. Terasa kuat berdenyut. "Betul tuh memang betul dik, tapi, adik perlu mencari manusia yang lebih arif, lebih alim dengan ilmu agama supaya apa yang terbuku di dalam hati adik itu dapat dilegakan. Terkadang, ada manusia, pendam, kemudian dia tekanan perasaan. Cuba adik lihat hikmah di sebalik pada sebarang perkara yang baginda Rasulullah s.a.w menemui jalan buntu, Allah menyuruh Jibrail untuk bertanya keperluan baginda. Dan sudah tentulah Allah maha mengetahui, tapi Allah menyuruh Jibrail bertanya juga pada Nabi. Hikmahnya supaya apabila Jibrail mendengar kesususahan Nabi, Jibrail boleh mencadangkan permintaan apa untuk diminta pada Allah. Dan sudah tentulah Allah yang Maha Mengetahui juga tahu jawapan Nabi, cuma sahaja perkara ini diceritakan untuk Allah memberitahu pada manusia mencari manusia yang arif dan lebih alim untuk menunjukkan jalan.


Dik, kita bukan Nabi dik, yang punya Jibrail untuk bagi cadangan pada masalah kita. Tapi kita ada manusia sekeliling yang boleh menunjukkan cara dan jalan tetapi terpulanglah pada kita untuk menilai. Dan kerana itulah kita diberi akal dan fikiran, tidak seperti haiwan yang mengikut segala perlakuan manusia sekeliling tanpa menimbang tara semua perkara"


Jari telah menekan butang send dan akhirnya aku hampir terlelap.


Bunyi pesanan ringkas dan sedaya upaya ku cuba membukanya, membaca masalah yang akhirnya dia ingin bercerita dan ingin mengetahui jalan. Jari masih ku picit-picit lagi kepala yang semakin berdenyut. "Adik ingat hadith ni tak..."


"Allah kak, tak ingatlah kak"


"Hadith tentang ni pulak...."


"Akak, maaf kak, Allah, banyaknya hadith yang saya tak tahu. Allah. Terima kasih, kak"


"Dik, satu masalah kepada manusia di akhir zaman ini, mereka semakin banyak melupakan dua perkara, iaitu al-Quran dan Hadith Nabi yang sahih. Sedangkan baginda pernah berpesan sebelum baginda wafat, jika ingin selamat, maka berpegang teguhlah pada dua perkara, iaitu al-quran dan sunnahku. Dik, Nabi diuji lebih hebat, dan dalam setiap pengujian ke atas Nabi, ada ditunjukkan jalan, maka kenapa mesti kita terlalu tegar berpegang pada kata-kata falsafah barat yang kadang-kadang menjadikan kita buntu akhirnya jalan yang ingin dicari. Rajin-rajin hafal hadith dan tadabbur al-Quran. Jika adik berterusan sebegini, adik hanya pendam dan membusuk di dalam hati, sedangkan jika hambaNYA yang mukmin, menerima ujian, dia pendam dan kemudian melepaskannya dengan hati yang bahagia"





Teringat akan satu kata-kata pada seorang adik, juga bercerita panjang tentang masalahnya. "Dik, akak rasa adik ni mesti kurang membaca kisah-kisah sahabat, sirah Nabi untuk dijadikan sebagai contoh, sebab tuh adik jadi macamni, kata 'biar' pada masalah dan ujian, tapi sebenarnya adik tak dapat terima"


"Ha'ah, kak. Saya sedang usaha, kak"


Mendengus, dan akhirnya aku menyambung. "Dik, Imam Hassan al-Banna pernah berwasitat, tanggungjawab melebihi masa, jadi, kita memang akan sentiasa sibuk, tapi, cubalah, cubalah untuk mencari waktu walau sekejap untuk membaca sirah dan menelitinya. Manusia menjadi terlalu merasakan berat dengan apa yang ditanggung kerana mereka tak pernah membaca kisah manusia yang lebih hebat menghadapi ujian. Firman Allah, surah al-Ankabut, ayat 2-3,

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta

Allah sedang menguji adik, sama ada adik di pihak yang benar-benar mengatakan yang adik beriman dan berhak untuk diuji atau tidak. Dan sesungguhnya DIA lebih mengetahui mana yang benar dan mana yang berdusta. Bukanlah maksud kita telah beriman itu melalui penampilan yang gah dengan jubah, bertudung labuh, tetapi DIA melihat bagaimana kita menghadapi ujianNYA. Dan sesungguhnya, manusia terdahulu telah diuji, maka lihatlah sentiasa kisah-kisah mereka. Sentiasalah berpaut kepada Allah"


Manusia sering kali terlupa akan dua perkara yang menjamin kita akan selamat di dunia dan akhirat. Manusia seringkali terlupa bahawa segala yang kita hadapi itu belum cukup berat untuk dikatakan sebagai terlalu payah dan lelah.


"Kat dunia, tiada istilah bahagia. Kalau nak bahagia, di sana, abadi di sana. Jadi, kita kene bertahan di dunia ini"


Kita terlupa untuk mengoreksi diri yang terlupa akan peta yang telah DIA berikan kepada kita. Maka, berbahagialah manusia yang sentiasa kembali mentadabbur atas segala pelajaran dariNYA melalui buku rujukan dariNYA iaitu al-Quran dan Sunnah.


Maha Suci Allah, DIA lah yang memberi dan DIA juga yang mengetahui jalan penyelesaiannya. Kembalilah untuk kita sentiasa berpaut padaNYA dan mengisi ruang di dada dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Jangan diisi untuk hanya menghabiskan masa, takut satu masa nanti, kita akan menangis atas masa yang berlalu. Hargailah masa yang telah diberi dan sentiasalah belajar dari segala yang DIA berikan.


Wallahu'alam


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”