Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Tuesday, 7 February 2012

Hiduplah dengan sekehendaknya...

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Manusia itu terlalu senang dengan perkataan, "Saya takut dia terasa"

Manusia itu terlalu senang memikirkan perihal perasaan manusia dari terus memperkatakan kebenaran.

Manusia ini bisa sahaja lemah apabila hidupnya dipengaruhi oleh perasaan.

Inilah manusia, yang tidak pernah lepas dari perasaan.

Bila kita benar-benar fahami hakikat setiap ketetapanNYA, ianya hanyalah akan membawa kita menuju kepadaNYA.

Jika benar kita sudah faham akan kehendakNYA, kita tidak akan pernah terpalit hatta terkesan dengan setiap ketentuanNYA yang barangkali akan merenggut hati, meremukkan perasaan, dan menghancurkan segala perancangan kita.

Jikalah kita ini faham hakikat kita ini adalah hambaNYA yang benar-benar beruntung dipilih untuk menggalas beban tanggungjawab sebagai khalifah, kita takkan terasa dengan setiap yang berlaku di sekeliling kita.

Benar, benarlah wahai manusia, kita ini adalah hambaNYA, yang tidak pernah tidak melakukan kesilapan. Tidak sama sekali..Kita adalah manusia yang memang diciptakan untuk melakukan dosa dan kesilapan kerana kita bukanlah ma'sum, satu keistimewaan yang telah diberikan kepada insan yang terpilih, iaitu Rasulullah s.a.w.

Ada manusia berkata, kita kene berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan dakhwah, memaksa manusia untuk terima setiap kata-kata kita, cuba dan berusaha menyedarkan manusia tentang kesilapannya...

Ada manusia pula berkata, kita jangan tinggalkan manusia-manusia yang alpa dengan segala kebenaran dariNYA, jangan sama sekali putuskan persahabatan dengan manusia yang telah berkali-kali menyakiti hati kita, menikam kita bertubi-tubi sehingga kita yang terduduk dan lelah dengan usaha kita.

Ada orang kata...

Ada orang kata pula..

Semuanya adalah kata-kata manusia yang mereka juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Tapi, kita benar-benar terkesan dengan segala kata-katanya.

Inilah manusia.

Maka, untuk apakah kita ditakdirkan menjadi saudara seislamnya jika dia sendiri tidak mahu menerima segala nasihat kita, malah memandang lesu atas setiap kata-kata kita. Untuk apakah?

Berikanlah kata-kata yang mampu kepada manusia sekeliling, dah jika kita tak mampu, maka, berdiam dirilah dan bertasbihlah memuji Allah kerana disediakan untuk kita atas kata-kata itu untuk menjaga kita dari berkata-kata yang tidak benar. Dan hiduplah dengan sebaiknya. Serta berbahagialah dengan segala yang telah direncanakan untuk kita.

Hidup ini telah ditentukan dan ditetapkan olehNYA. Maka, hampirilah DIA dengan semampunya. Bersabarlah dan sentiasalah awasi setiap langkah kita, kerana dalam langkah itu, akan ada tafsiran-tafsiran yang tidak benar, maka berpautlah dengan taubat, kerana disediakan taubat untuk kita membetulkan segala salah dan silap kita.

Hiduplah dengan sebaiknya, hanya untukNYA demi mencari keredhaan Allah..

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Monday, 30 January 2012

Cinta Dunia..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Thauban radhi allahu anhu, bahawa Rasullullah salla allahu alayhi wassallam bersabda, dengan mafhumnya:
“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”
Sabda Baginda s.a.w.:
“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”

Jawab Rasulullah s.a.w.:
“Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?”

Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Cintakan dunia dan takut akan kematian.”
 Di dalam sebuah kereta, mendengar segala permasalahan seorang adik dan aku hanya mendengar.

"Jika kita tak boleh menjadi seorang yang memberi pendapat, cukuplah menjadi pendengar yang baik"

Dan akhirnya kata-kata akhirnya, "Kalau adik dah cinta dunia, adik fikir duit, adik pilih kawan yang kaya-kaya je. Tapi adik tak macam tu"

Tiba-tiba aku ingin bersuara, "Bukan itu sahaja yang dimaksudkan dengan cinta dunia. Cinta dunia ini kita terlalu terkesan dengan dunia. Orang buat khianat kat kita, kita terasa, orang puji kita, kita rasa bangga, bila orang musuhi kita, kita yang tak keruan, dan banyak lagi sebenarnya cinta dunia. Cinta dunia ini adalah cinta yang hanya mengharapkan supaya dunia ini indah supaya kita dapat hidup di dunia dengan sangat lama sehingga melupakan kampung halaman kita, iaitu di akhirat. Memang sengaja Allah takdirkan manusia-manusia itu buat begitu pada adik. Memang Allah sengaja sebab Allah nak adik kembali kepadaNYA, mengadu kepadaNYA, dan supaya hati lunak kepadaNYA"

Terkedu.

Ya, ramai yang telah tersalah anggap mengenai cinta dunia. Ramai yang menyangka cinta dunia itu adalah cinta harta kekayaan dan cinta kemanusiaan sehingga menjadikan ingin menjadikan dunia ini sebagai kampung halaman kekal di dunia.

"Hidup saya dan sempurna dengan kehadiran suami saya. Saya dah tak perlukan sesiapa lagi dalam hidup saya"

"Akak, kenapa diaorang buat saya macam ni. Saya dah cuba dah buat sebaiknya untuk mereka, tapi mereka tetap juga berkelakuan macam tu pada saya" Tersedu-sedu.

Berhentilah dari bercerita tentang perbuatan orang terhadap kita. Berhentilah dari bercerita ketidakpuas hatian kita pada manusia di sekeliling. Berhentilah dari berlari-lari ke sana sini untuk menagih simpati manusia yang sememangnya bukan ditakdirkan untuk membantu kita.

Kembalilah kepadaNYA, bercerita kepadaNYA dan yakinlah dengan janjiNYA bahawa setiap doa itu akan diperkenankan olehNYA. Apabila sampai bantuan dariNYA, tanpa kita bercerita, tanpa kita menangis tersedu-sedu, tanpa kita mengerutkan muka, akan dihadirkan perantara dariNYA, tanpa kita duga. Percayalah. Percayalah kerana aku sudah alami dan aku juga pernah menjadi perantaraNYA menyampaikan bantuanNYA walau tanpa aku bertanya, "Apa masalah kau yang ingin aku bantu".

DIA yang menggerakkan aku, DIA yang menyuruh aku tanpa aku perlu berkira-kira.

Wahai anak, 
tidurlah di bawah aliran takdir, berbantalkan kesabaran. 
Setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan.

Cinta dunia sekali lagi adalah cinta yang menghitung-hitung harta untuk persediaan di masa akan datang sedangkan kita tiada jaminan untuk mengatakan bahawa kita akan hidup selama yang kita jangkakan.

"Habis tu kak, buat apa kita cari harta, cari kerja kalau kita tak fikirkan semua perkara tu"

Terseyum.

"Sudah lupa dengan kisah Ummul Mukminin, Zainab? Zainab ini adalah satu-satunya isteri Rasulullah s.a.w yang dinikahkan oleh Allah. Iaitu ada satu ayat Quran yang memeteraikan ijab dan qabul antara Rasulullah s.a.w dan Zainab. Sifat Zainab ni suka bersedekah. Sehingga baginda wafat, pekerjaan Zainab adalah memintal benang. Dia akan menjual benang tu, dan hasil keuntungannya akan disedekahkan. Yang dia ambil adalah duit modal untuk membeli kapas lagi. Perkara itu berulang-ulang dia buat. Cuba kita tengok di zaman kita pula. Gaji hari ni, habis dengan bayar bil tu, bil ni, hutang tuh, hutang ni. Kemudian, bila bosan, mulalah bersungguh-sungguh cari pendapatan lain, hanya semata-mata tak puas hati, kerja bersusah payah, baki duit gaji ciput je. Nak beli barang untuk diri sendiri pun tak cukup, kan? Dan kemudian, mulalah rakus cari tu, cari ni. Betul tak cakap akak ni?"

Terkedu, dan akhirnya mengiyakan ayatku.

Hari ini, aku mendengar kisah seorang makcik. Mendengar kisah dia dan anaknya. Dia menasihatkan aku untuk menjaga kesihatan. Ya, nasihatnya sangat bertepatan dengan diriku, kerana aku bukanlah seperti wanita yang seusia denganku. DIA dah ambil sebahagian besar yang satu ketika dahulu pernah diberikan kepadaku.

"Makcik marah anak makcik. Umur muda lagi tapi dah sakit tu, sakit ni. Duit dia, dia perabis beli baju tu, baju ni. Makcik cakap kat dia, buat apalah beli baju cantik kalau badan tak sihat. Kita nak badan sihat, nak senang beribadah, kan?"

Khusyuk mendengar dan aku mengiyakan kata-katanya. Benar, tepatlah kata-katanya.

"Manusia ni bukan tahu kita sakit ke tak. Yang dia tahu benda tu siap je. Kalau tak dari muda lagi jaga kesihatan, nanti bila dah tua, lagi teruk"

Menelan air liur, terasa pasir di tekakku. Kesihatan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Setiap hambaNYA diberi lima kesempatan sebelum lima kesempatan. Inilah persediaan yang dipertaruhkan oleh kita untuk mengaut seberapa banyak pahala di sana, bukan harta di dunia.

"Kalau semasa kemalangan lepas, ada organ akak yang musnah yang memerlukan pembedahan pemindahan organ, ni wasiat akak, akak tak redha dilakukan pembedahan tu. Apa yang akak minta, lepaskan akak dengan redha. Redhalah pemergian akak dan doakan akak"

Terkedu.

Fikiran dan ingatanku teringat peristiwa lepas. Terlalu banyak hati-hati yang tidak ingin melepaskan aku, terutama sekali seorang adik yang ku kasihi.

"Andai kata kalau masa kemalangan lepas tu, akak dah tak boleh diselamatkan, kau boleh terima?"

Terdiam, terkebil-kebil.

"Insya Allah, adik redha"

"He3, ye ke ni. Betul ke nih?" Saja bergurau.

Lama terdiam, terkebil-kebil. Mulut semacam berat untuk ungkapkan. "Jangan nak mengada-ngada ye cakap yang bukan-bukan"

Gelak ku pecah. Kelakar.

"Ini realiti, ini hakikat. Semua orang akan mati. Jangan kau lupa hakikat perkara ini dan kau kene bersiap sedia untuk itu"

Mengalihkan pandangan, memandang ke luar. Melihat tasik yang dihiasi dengan air pajut. Tenang. Damai.

Apalah yang ada dunia ini sehingga manusia terlalu berpusu-pusu untuk meraihnya. Menampukkan harta hanya semata-mata untuk kepuasan diri. Menghabiskan segala pinjamanNYA hanya semata-mata kita tertipu dengan dunia. Dunia ini adalah persinggahan kita. Maka, jadikanlah diri kita sebagai manusia yang berdagang, sedang berdagang, berdagang harta dariNYA untuk meraihkan gaji dariNYA.

Enjoy your life, satu perkataan yang seringkali aku gunakan, dan aku ungkapkan bagi yang merasa sedih dengan perbuatan manusia. Enjoy Your Life, kerana hidup kita tak lama. Jangan disesakkan dengan manusia yang memang telah ditugaskan untuk mengacau kita. Biarkan dan yakinlah dengan janji Allah. Segala perancangan itu tidak akan terlaksana jika tanpa keizinanNYA. Segala susah dan selicik mana pun rancangan manusia untuk menjatuhkan kita, ianya tetap takkan berlaku jika DIA tidak izinkan.

Dan jika DIA izinkan, maka ujian itu adalah untuk meningkatkan darjat kita, untuk menyucikan dosa kita. Dan jika DIA izinkan, maka, sudah sampailah masa kita untuk dipanggil olehNYA, untuk kita lunak kembali bercerita kepadaNYA.

Kembalilah kepadaNYA.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Sunday, 29 January 2012

Jadilah Diri Sendiri...

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Mata tertacap di hadapan televisyen, mendengar dan mengamati setiap kata-kata pengacara mengenai pencapaian seorang penyanyi Malaysia, Yuna.

"Selepas sahaja persembahan ini, difahamkan, yang Yuna akan berangkat ke Amerika Syarikat. Bagi dia, semua ini sudah biasa"

Dan kami pula berbincang tentang pencapaiannya, "Dia ni student undang-undang, subjek susah, kot. Sebab roomate akak yang study subjek ni pun, sampai tak tidur malam sebab nak hafal akta. Cuma Yuna ni tak jadi peguam sebab lepas konvo hari tu dia tak chambering. Dia terus terbang ke Amerika Syarikat"

"Yelah, sebab dia minat muzik"

Tersenyum.

Dan aku pula terimbas kisahku dahulu di suatu pagi.

"Kalau Master ini Master Biokimia, sorry to say, memang aku tak minat nak teruskan. Cukup-cukuplah berjuta dak master Biokimia kat luar tuh, apa pulak kerja aku nak tambahkan bilangan tu lagi"

"Habis tu, kau sanggup tunggu sampai geran untuk kajian ni keluar semata-mata kau nak teruskan kajian kau tuh"

"Sanggup. Memang aku sanggup."

Terkedu.

"Kau ni, benda yang kau buat ni, bila kau habis, takda kerja kat luar. Benda ni benda baru. Kalau kau buat master biokimia, sekurang-kurangnya kau boleh masuk mana-mana kolej untuk mengajar"

"Kau ingat aku belajar ni sebab nak cari kerja? Itu bukan tujuan aku belajar. Kalau sebab kerja, baik aku cari kerja sekarang, kumpul duit banyak-banyak, dah. Selesai. Tak payah fikir banyak"

"Habis tu?"

Dan ku biarkan soalan itu berlalu, hilang bersama-sama dengan angin lalu. Diam.

"Saya yakin, kalau awak berjaya selesaikan pengajian awak ni, awak adalah pencetus ilmu baru dalam dunia Islam"

Seorang rakan sepenyelia, berbincang dengannya dan akhirnya aku terkedu.

Ramai manusia berkata ingin buat tuh, buat ini. Ramai yang kata nak belajar tu, nak belajar ini. Ramai juga yang ikut tu, ikut ni, tapi, mereka sendiri tak memahami apa sebenarnya yang mereka inginkan.

Manusia itu seringkali melakukan sesuatu yang ikut-ikutan tanpa perlu dia memikirkan apa manfaat yang dia lakukan untuk masyarakat, dan Islam, agama yang telah memuliakan dirinya, yang telah mengangkat darjatnya sendiri. Inilah manusia, tidak memahami diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w

“Janganlah seorang pun daripada kamu menjadi orang yang tidak berpendirian, beliau mengatakan: “Aku bersama orang ramai, jika mereka berbuat baik aku akan berbuat baik, sekiranya mereka berbuat jahat, aku akan berbuat jahat (pula),” tetapi kamu mestilah menetapkan diri kamu, apabila orang berbuat baik, kamu mestilah berbuat baik, sekiranya mereka berbuat jahat, kamu mestilah menjauhkan diri daripada kejahatan mereka”

(Hadis riwayat Tirmizi)

Ramai manusia hanya tahu mengikut tanpa dia sendiri tahu apa sebenarnya tugasan yang telah diberikan olehNYA kepada diri dia. Apa yang dia tahu adalah kepuasan memiliki sekelepuk harta dunia. Dan aku, aku adalah seorang manusia yang jelas apa matlamat yang ingin aku lakukan seterusnya.

"Kau nak jadi apa sebenarnya?"

"Akak nak jadi penulis"

"Habis tu, master kau tuh?"

"Akak belajar bukan untuk cari kerja"

"Kalau macam tu, jangan buang masa. Orang yang buat master ni sebab nak jadi pensyarah, nak cari kerja yang gaji tinggi"

Dan begitulah manusia sekarang, penilaian masing-masing terhadap ilmu menjadikan ilmu itu bukan untuk dia menjaga dirinya tetapi dia mempergunakan ilmu untuk dirinya diangkat di dunia.Inilah manusia, mereka terlupakan satu kisah yang berlaku di zaman Nabi di mana ada seorang lelaki yang begitu dermawan sehinggakan para sahabat menganggap tiada yang lebih dermawan dari dirinya. Tapi, Rasulullah s.a.w berkata bahawa dia akan masuk ke neraka, kerana, atas segala yang dia laburkan itu, dia mengharapkan pujian dari manusia.

Sudah lupakah kita?

Sendirian, mengamati ragam manusia, terhibur. Sendirian, dan aku mengamati kisahku pula. Bersendirian, duduk di bangku, dan di tangan memegang tin minuman, Coffe Latte. Bermain-main dengan tin, memusing-musingkannya. Dan diteguk, satu..dua..Puas.

"Kalau awak habis buat master ni, awak nak buat apa sebab bidang ni masih baru lagi. Tak banyak institut yang ada bidang ni" Satu hari, ditanya oleh penyeliaku.

"Saya nak memperjuangkan supaya setiap universiti mempunyai satu subjek ini kerana subjek ni bukan sepatutnya harus tetapi wajib ada bagi setiap universiti yang menjalankan aktiviti penyelidikan"

Tergamam. "Bagus. Saya ingatkan awak takda rancangan sebab tu saya tanya awak hari ini"

Tersenyum.

Sehingga ke titis akhir, aku berjuang hanya semata-mata subjek ini di pandanganku bukanlah ditahap HARUS, tetapi WAJIB diketahui oleh semua masyarakat, sekurang-kurangnya asas itu perlu ada.

"Tiqah, kau kene teruskan, kau ni, bukan syaitan pangkat prebet yang kacau kau, tapi pangkat Jeneral."

Tergelak. "Pangkat Jeneral ea. Insya Allah, doakanlah aku"

Sehingga ke akhirnya, sehingga ke akhirnya aku masih akan cuba, dan terus mencuba.

"Ana rasa kecewa sikit sebab ukhti berhenti"

"Aku terkilan sikitlah kau berhenti sebab ilmu kau tu diperlukan oleh Islam"

Terdiam. Dan ingatan aku kembali ke satu kenyataan, dan ku ceritakan di dalam manuskripku, Manuskrip Memoir Secangkir Kopi.

"Kalau pun bukan sekarang, aku tetap akan usahakan untuk masa akan datang. Kau doakan aku"

Bersendirian, dan berjalan ke arah cafe itu. Secangkir kopi dipesan. Dihirup dan tangan membelek senaskah buku. Bersendirian mengamati dan melihat kembali kisahku sendiri.

"Satu hari nanti, akak tulislah kisah akak. Bukan semua orang menghargai apa yang telah diberikan olehNYA. Saya teringin nak tahu kisah akak, macam mana akak boleh berubah"

Tersenyum. Satu hari nanti.

"Kau ni memang pelik" Aku hanya terdiam dan di dalam hati, aku tersenyum.

"Kalau aku takda kerja, aku rasa nak bersendirian, aku akan ke KL Central"

"Kenapa KL Central?"

"Sebab kat situ ada ramai manusia. Seperti putaran masa yang laju meninggalkan aku, duduk sendirian dan dikeliling manusia yang berpusu-pusu, berkejar-kejar memenuhi tuntutan mereka..." Memandang sambil tersenyum.."Dan ditemani dengan secangkir kopi"

"Tak semua kau rancang akan berlaku
Mungkin nasib tak menyebelahi aku"

Sedikit dari keseluruhan lirik lagu Yuna. Penakut. Dan aku mengiyakan. Bukan semua tetapi kita cuba untuk terima ketetapan ini. Bukan semua yang ada di tapak jalan rancangan kita berada di dalam perancanganNYA tetapi, kita akan cuba untuk redha. Bukan semua dan kita akan bersama-sama membuang semua rasa ketidakpuas hatian itu jauh..jauh dari hati dan fikiran kita.

Berjalanlah, dan jadilah diri sendiri. Jangan mengikut apa yang manusia kata baik di mata mereka, tapi, ikutlah apa yang baik di pandanganNYA. Kita perlu isikan kehidupan kita dengan ilmu dan fahamkannya serta telitilah ilmu itu di dalam kehidupan kita.

Ada orang kata, pakai purdah itu baik, ada orang kata, pakai tudung begini-begini bagus. Ada orang pula kata, belajar dengan ustaz ni seronok. Ada orang pula kata, pembelajaran bersama ustaz itu best. Dan seribu satu macam lagi kata orang yang membuatkan kita termangu-mangu untuk teruskan atau tidak.

Berdirilah di kaki sendiri, dan fikirkan apakah yang mampu untuk dilakukan. Bukan semua yang kita rancang itu berada di dalam perancanganNYA. Maka, sentiasalah berpaut padaNYA kerana DIA lah yang menentukan sama ada rancangan kita itu berjaya atau tidak.

Janganlah menjadi seorang yang hanya suka mengikut apa yang manusia lakukan tanpa kita sendiri tidak memahaminya. Dan di akhir hasilnya, kita terduduk dan kemudian menangis tersedu-sedu. Kita ini adalah seorang hambaNYA yang lemah, maka, berjalanlah mengikut aliran takdir, dan kembalilah kita kepadaNYA.

Dan hati itu akan tenang kerana kita tahu, DIA HENDAKKAN YANG TERBAIK UNTUK KITA.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”