Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Saturday, 5 November 2011

Mukmin yang kuat

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada mukmin yang lemah, tetapi di tiap-tiap (seorang dari mukmin itu) ada kebaikan. Beringin sangatlah kepada apa-apa yang memberi manfaat dan mintalah pertolongan Allah dan janganlah engkau lemah. Dan jika sesuatu (kesusahan) menimpamu, janganlah engkau berkata, Jika demikian pasti demikian, seandainya begini pasti begini, tetapi katakanlah, Qadarallah (Allah telah menakdirkan) dan apa yang Ia suka Ia berbuat karena sesungguhnya (kalimat) jika/andai itu membuka pintu setan" (H.R. Muslim dari Abu Hurairah)

Segala puji bagiNYA yang telah mengatur dan menetapkan setiap ketentuan itu adalah yang terbaik. Terkadang, apabila termangu-mangu melihat sesuatu yang bukan dalam perancangan kita, menjadikan kita tersentap lalu terdiam, merintih dan bertanya, KENAPA?

Maha Suci Allah, yang sebenarnya mengaturkan yang paling dan terbaik buat hamba-hambaNYA. Siapa lagi yang lagi Maha Mengetahui jika bukan DIA. Siapa lagi yang Maha Melihat, jika bukan DIA. Maha Suci Allah, Segala puji dan puja, hanya padaNYA, Allah swt.

Manusia ini dijadikan terlalu lemah, maha lemah. Setiap apa yang diingini, tidak terlepas dari penelitianNYA. Walau kita berusaha sekuat yang mungkin, sekuat tenaga, takkan terjadi perkara itu jika tidak DIA izinkan. Marilah wahai roh yang selalu bersangka-sangka, kembalikanlah hatimu kepadaNYA. Serahkan segala urusan itu kepadaNYA.

Perjalanan yang teramat payah ini, sedang kita lalui dengan hati yang berbolak-balik. Melihat kehidupan sekeliling, kita sangkakan bahawa semuanya di dalam perancangan kita. Memerhatikan kelibat bayang-bayang gurauan manusia, kita sangkakan bahawa kita dihargai. Terpacul pula riak-riak kemarahan, kita sangkakan kita dibenci.

Wahai jiwa yang seringkali terkandas dari kehidupan yang sebenar, janganlah kita terus-terusan tersasar dan menjadi seorang yang keras membentak tentang kehidupan ini. Jangan jadikan kita seorang manusia yang keras di luar, tetapi berkeping-keping di dalamnya. Janganlah kita cepat mempercayai dengan sekeliling kerana keadaan sering menipu kita.

Percayalah kepadaNYA. Bulatkan tekad untuk menjadi hambaNYA yang sebenarnya. Letakkan kelemahan kita di hadapanNYA, dan cubalah, serta cubalah untuk teguhkan hati, tenang, berjalan di perjalanan ini.

Sesungguhnya perjalanan ini terlalu payah, dan kita memerlukan kekuatan yang luar biasa untuk bergantung harap kepadaNYA.

Insya Allah.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Thursday, 3 November 2011

Kisah Sebuah Persahabatan..

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Muhammad ibnu Jaafar berkata, Ali ibnu Daud ar-Riqqi mensenandungkan bait-bait syair di hadapan kami.
Setiap orang yang berkawan denganmu bukan kerana Allah, 
Maka jangan kau teruskan jalinan persahabatanmu dengannya, 
Sebaik-baik kawan, ialah yang berteman denganmu kerana Allah, 
Ia akan tulus mewajahkan persahabtan dan jernih menyikapimu.

Al-Auzaiy berkata, Bilal ibnu Saad berkata,

Kawan sejati bagimu ialah orang yang setiap kali bersua denganmu, selalu menasihati dirimu kerana Allah s.w.t, serta mengingatkan nasib dirimu di hadapan Allah s..a.wt. Kawan seperti itu, jauh lebih baik bagimu daripada kawan yang setiap kali bertemu denganmu, dia meletakkan dinar di telapak tanganmu.

[Bilal ibnu Saad ad Damasqiy, adalah salah seorang bijak bestari yang sangat sejuk nasihat-nasihatnya. Ceramahnya meneduhkan hati siapa saja yang mendengarnya. DIa sangat mahir menyuguhkan kisah-kisah hikmah. DIa meninggal pada era Khalifah Hisyam. Kisahnya banyak ditulis para alim, antara lain Imam Nasai dalam at-Taqrib (1/110)]

"Tiada ukhwah di dalam internet. Semua itu hanyalah perbualan kosong sahaja!"

"Tidak, adik akan buktikan yang kata-kata itu tidak benar" Dan dia berusaha untuk datang bertemu, dan sesungguhnya, itulah yang saya inginkan dia faham maksud ukhwah yang saya katakan, iaitu pertemuan dan perpisahan kerana Allah.

"Akak, adik dah pun tunaikan janji adik"

Pertemuan dan perpisahan kerana Allah dijanjikan olehNYA dengan ganjaran syurga. Maha Suci Allah. Ketika zaman sedang diulit dengan kelekaan dunia internet, masih ada lagi yang berusaha, berusaha dan mengusahakan sebuah pertemuan. Maha Suci Allah, DIA yang Maha Melihat, sentiasa memberikan ganjaran kepada hamba-hambaNYA yang berusaha untuk sebuah pertemuan.

Maimun ibnu Siyah berkata, Anas ibnu Malik berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,
Tiada seorang muslim yang mendatangi saudaranya, semata-mata berkunjung kerana Allah s.w.t, melainkan ada suara yang berseru dari langit: "Kau telah berbuat kebaikan. Dan kau akan memperoleh syurga terbaik." Allah s.aw.t berkata kepada orang tersebut: "Kau telah berbuat baik. Semua jejak langkahmu menzahirkan kebaikan. Aku siapkan tempat untukmu di syurga"
[Hadis ini dikeluarkan Abu Naim dalam Khilah alAuliya' (3/107). Lihat dalam al Jarah wa Ta'dil (8/239)]

Saya nukilkan sedikit dari sebahagian besar kisah sekalian sahabat saya yang berusaha dan terus berusaha untuk sebuah pertemuan. Dan semoga pertemuan ini juga adalah semata-mata kerana Allah.

"Walau apa pun yang terjadi, tak boleh putuskan persahabatan dengan akak"

Kata-kata Saidina Ali mengenai persahabatan
"Manusia yang paling lemah adalah yang tidak mampu mencari teman. Dan, yang lebih lemah lagi adalah yang menyias-nyiakan temannya"
Saidina Ali berpesan
"Jangan sampai teman anda lebih senang memutuskan hubungan dengan anda daripada menyambungnya. Jangan pula kejahatan lebih mendominasi daripada kebaikan anda"
Maha Suci Allah, siapakah sahabat yang terbaik? Siapakah yang mampu memiliki sahabat yang baik. Subhanallah.

Perhatikanlah diri kita, yang acap kali mengandaikan ukhwah itu hanyalah sebatas menaip di papan kekunci komputer riba atau telefon mudah alih. Renungkan usaha apakah yang telah kita lakukan untuk sebuah ukhwah yang diredhai oleh Allah, persaudaraan yang mendapat naungan Allah.

Janganlah kita berukhwah atas maksud yang lain melainkan hanya kerana Allah. Bila kita maksudkan kerana Allah, maka, jagalah sahabat-sahabat kita dari mereka terjatuh menjadi bahan api neraka, satu persatu. Nauzubillah min dzhalik.



"Apa maksud ukhwah kerana Allah, kak?"

Ukhwah kerana Allah, adalah seperti analogi perasaan kita yang mempunyai adik beradik, dan kita selalu mendengar rungutan ayah dan ibu mengenai kesilapan abang yang itu, kakak yang sana, adik yang ini. Hati kita runtun mendengarnya kerana segala sungutan itu tidak disampaikan secara langsung kepada adik beradik semua. Lalu, kita hampiri abang yang itu, kakak yang sana, dan adik yang ini, dan berkata dengan lembut, "Janganlah kalian memperlakukan sedemikian, kerana ianya mengguris hati ibu dan ayah kita"

Begitulah wahai saudara-saudariku sekalian, berukhwah kerana Allah, ianya adalah analogi yang mudah kita lihat di sekeliling kita untuk kita benar-benar fahami. Al-Quran dan sunnah, adalah dianalogikan seperti sungutan ayah dan ibu kita. Sekalian saudara kita, adalah seperti adik beradik kita. Dan bencana yang menimpa diturunkan olehNYA adalah seperti rasa tergurisnya hati ayah dan ibu kita.

Berukhwahlah, dan bersaudaralah keranaNYA. Kerana DIA telah menciptakan saudara-saudara kita sekalian untuk menunjukkan jalan lurus menuju kepada cahaya Ilahi. Maha Suci Allah, Segala Puji dan Puja hanya untukNYA, maka, peliharalah persaudaraan kerana Islam.

Janganlah kita berkasih sayang, berukhwah atas maksud tertentu. Bersaudaralah kerana persaudaraan islam dan keranaNYA kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa persaudaraan yang diredhai Allah adalah persaudaraan islam.

"Iman nak tahu, masa sebelum ni, kita hanya berbual-bual biasa di dalam internet, akak belum dapat rasa lagi kasihnya terhadap saudara seislam keranaNYA pada Iman, tapi, apabila kita dah bertemu, Masya Allah, akak jatuh kasih dan sayang Iman kerana Allah. Sesungguhnya akak menyayangi Iman kerana Allah"

"Wah, kak, samalah dengan iman. Iman pun sayang dengan akak"

Tersenyum. "Bukan begitu jawabnya, dik. Jawablah dengan doa yang Nabi telah ajarkan, semoga Allah menyayangi anda seperti mana anda menyayangi saya"

Suatu hari, diceritakan, seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w, dan berkata, "Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menyayangi lelaki itu" seraya ketika itu ditunjukkan ke arah seorang lelaki yang berjalan.

Rasulullah tersenyum, dan berkata, "Ucapkanlah kepadanya dan engkau akan mendapati jawapan darinya"

Lalu lelaki itu berkata kepada lelaki yang ditunjukkan, "Sesungguhnya aku menyayangimu kerana Allah"

Tersenyum lelaki itu lalu diucapkan, "Semoga Allah menyayangi anda seperti mana anda menyayangi saya"

Masya Allah, wahai saudara-saudari sekalian, apakah nikmat yang paling kita harapkan, yang lebih besar lagi dari rahmat dan kasih sayang Allah. Masya Allah, inilah satu doa yang diajarkan agar membuah rasa kasih dan sayang kita kepada saudara sekalian keranaNYA. Janganlah kita menyia-nyiakan apa yang telah Allah sediakan untuk kita kerana belum tentu lagi di sana, kita dapat berada di dalam naungan Allah jika tidak adanya pertemuan dan perpisahan keranaNYA.

Daripada Abu Hurairah Radiaallahu’anhu, dari Nabi Sollallahu’alaihiwasallam;

“Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya”

(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Birr, Bab pada menyatakan kelebihan cinta kerana Allah)

Semoga sedikit nukilan, dan sekecil-kecil perkongsian ini dapat mengatur kembali langkah kita dalam mencari sahabat demi menujuNYA, bersama-sama untuk berjuang mencari jalan kebenaran dan mencari keredhaanNYA.

Wallau'alam

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Monday, 10 October 2011

Saya Tak Sakit, Tapi...

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Dewasa ini, terlalu ramai yang laju mengungkapkan perkataan ukhwah tanpa mereka sedari makna di sebaliknya. Di akhir zaman ini, masing-masing dah terlalu biasa dengan ukhwah internet sehinggakan dirasakan menjaga ukhwah itu cukup dengan hanya pesanan ringkas berbunyi ungkapan ukhwahfillah.

Wahai sahabat, wahai saudara-saudariku, hayati dan renungilah makna di sebalik ukhwah yang disebutkan. Bukan atas dasar kita menghabiskan masa bersama-sama, keluar bersiar-siar dan sentiasa memenuhi permintaan pertolongan dia tanpa di dalam hati terasa ingin melihat kebahagiaannya dunia dan akhirat tetapi lebih besar lagi sebenarnya makna ukhwah di sebaliknya.

Jika benar kita hayati, dan jika benar kita fahami, kita akan rasakan seolah kebahagiaannya adalah kebahagiaan kita, dan kesedihannya juga adalah kesedihan kita. Berusaha menuturkan kata-kata indah yang bisa menyejukkan hati seorang sahabat. Tanpa kenal erti letih dan lelah, sentiasa inginkan yang terbaik buatnya. Alangkah indahnya makna ukhwah jika kita benar-benar hayatinya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, bahawa kita akan bersama-sama dengan orang yang kita cintai, maka, cintai dan kasihilah saudara seislam kita keranaNYA.

Pernah dikhabarkan dalam satu kisah, ketika satu hari para sahabat sedang berkumpul bersama Rasulullah s.a.w, tiba-tiba hadir seorang lelaki. Lalu, di antara mereka yang berada di sekeliling Rasulullah s.a.w, menuturkan kepada baginda, "Aku sayangkan dia, wahai Rasulullah"

Rasulullah s.a.w tersenyum dan bersabda, "Katakanlah kepadanya dan engkau akan mengetahui jawapan darinya"

Lalu, lelaki itu pun mengungkapkan, "Saya sayangkan anda kerana Allah"

Lelaki yang mendengarnya, tersenyum dan mengungkapkan, "Semoga Allah juga menyayangi anda seperti mana anda menyayangi saya"

Jika kita kasihkan dan sayangkan seseorang, kata Nabi, "Ucapkanlah" kerana di dalamnya terdapat suatu ketenangan dari kata-kata itu bagi seseorang yang mendengarnya.

Maha Suci Allah yang telah memberi secebis rasa kasih dan sayang terbit di dalam hati-hati hambaNYA. Maha Suci Allah, sesungguhnya, betapa DIA lebih tinggi lagi rasa kasih dan sayangNYA kepada kita. Segala puji dan puja bagi Allah, pemilik sekalian alam.

Saya berlindung dari memberi kata-kata yang tidak bermanfaat yang seterusnya menjerumuskan diri kepada api neraka. Sesungguhnya, hanya Allah lah yang Maha Mengetahui, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, sentiasa memberikan perasaan ketenangan agar kita berkasih sayang.

Maha Suci Allah..

Renungilah perasaan kasih dan sayang seorang sahabat kepada sahabatnya, iaitu Tsauban kepada sahabatnya, Rasulullah s.a.w.

 
Pernahkah kita merasakan perasaan ini kepada saudara kita, sahabat kita? Semoga kita dikumpulkan bersama-sama di kalangan hamba-hambaNYA yang soleh-solehah lagi bertaqwa.

Amin ya Rabb

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”