Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
"Akak cakap senang, lah, sebab akak tak alami"
Mata dah tercegil, buntang. Kening mencerun mendengar ayat kenyataan tersebut. "Siapa kata akak tak pernah alaminya. Siapa kata?!!" suara yang perlahan semakin meninggi. Dan dia menahan dari meneruskan perkataan. Diam.
Bukan semua manusia yang rilek dan tenang menuturkan sesuatu nasihat itu tidak memahami apa yang sedang dialami oleh manusia sekelilingnya.
"Kalau kita nak rasa tension, nak rasa menyerah, nak rasa malas dengan semua pengujian Allah, tengok macam mana Nabi, macam mana Nabi walau lelah macam mana pun, tetap teruskan tugas dakhwah" dia menyambung semula.
"Itu Nabi, kak. Memang patutlah dia kene buat tugas dakhwah tu"
Tangannya dan mula menggenggam, ingin diangkat untuk menampar mulut adik yang begitu lancang di hadapannya. Menganggap tugas dakhwah hanya pada Nabi, bukan pada umatnya, memperlekehkan dan meremeh-remehkan tugas dakhwah. Hati mula menyirap dan ditahan tangannya, istighfar.
"Jangan mempermain-mainkan tugas Nabi, dik. Kalau tanpa Nabi, kita takkan kenal Islam. Kita takkan diizinkan ke syurga. Jangan memperlekehkan tugas Nabi" hati menyirap dengan kata-kata yang baru didengari.
"Pergi ambil wudhuk. Syaitan banyak dok hasut ni" hati mula beristighfar. Menyedari hakikat suatu perkara yang tidak disedari, syaitan sedang bersorak gembira. Dan dia beredar.
Terkadang, jiwa dan fikiran menjadi sangat kurang rasional dek kerana masalah yang menimpa, dek kerana ditujih dengan pelbagai tusukan tajam, mencucuk ke dalam hati. Pedih.
Fikiran mengimbas kembali kejadian di Thaif. Badan Rasulullah s.a.w berdarah, dibaling dengan batu, dicemuh, dimaki dan baginda menyorok di balik-balik bukit di sekitar itu, untuk meredakan keadaan. Dan Jibrail datang.
"Ya Muhammad, adakah engkau ingin aku utuskan gunung-gunung agar membaham puak yang begitu sombong itu, adakah engkau ingin aku membalikkan gunung agar ditimbus penduduk-penduduk negeri itu?"
Sambil mengelap darah yang mengalir. "Jangan, sesungguhnya mereka tidak tahu. Sesungguhnya mereka tidak tahu. Doakanlah agar kaumku itu akan menerima hidayah Allah satu hari nanti"
Hati terasa sebak memikirkan pengorbanan Rasulullah s.a.w. Hati mula terusik dengan manusia yang semakin sibuk memuliakan diri tanpa menghiraukan manusia lain.
"Dik, jangan sedih-sedih. Tugas dakhwah memang memerlukan pengorbanan. Nak buat baik, ada ujian-ujiannya, dik" dipujuk oleh seorang kakak.
"Kak, saya tak kisah kalau benda lain, kak, tapi jangan Allah dan Rasul. Itu saya tak boleh terima, kak" mata mula merah. Suasana menjadi suram. Matanya dialih ke arah tasik.
"Terkadang, saya pun merasa lelah, kak. Dalam sakit, saya tetap teruskan. Dalam keseorangan tanpa dipapah, saya tetap berjalan, kak. Sebab saya tahu, ini tugas semua yang telah mengucap dua kalimah syahadah. Nabi pernah berpesan, apa-apa yang diucapkan itu bakal menentukan kita di mana apabila di sana. Maha Pengasihnya Allah, atas segala yang berada di dalam hati, yang jahat-jahat, DIA buat tak nampak je, kak selagi mana tidak dizahirkan. Malah, kalau kita terfikir nak buat baik pula, belum buat lagi, DIA dah suruh malaikat catatkan di buku pahala. Kak, betapa ramai di luar sana yang kafir dalam keadaan dia tak sedar. Melalui penulisannya, melalui tutur bicaranya. Betapa ramai, kak" suara mula perlahan, tunduk. Terasa lelah.
Lengan terasa dipaut, digosok. "Ati, tugas dakhwah memang macam ni, Ati. Janganlah terasa lelah yang merunsingkan. Ati masih ada saudara-saudara lain, untuk sentiasa membantu. Tugas dakhwah memang akan selalu diganggu oleh syaitan. Sebab mereka terlalu berdendam dengan Nabi Adam kerana kita berpeluang untuk berada di syurga, tapi mereka ditutup habis peluang tu. Bukan adik-adik tu yang menjadi kerunsingan Ati sebenarnya, tapi musuh sebenar adalah syaitan yang kita tak nampak. Teruskanlah berjalan sehingga ke akhirnya dan tugas ini akan tetap diteruskan oleh yang lain. Jangan pernah mengalah dan menyerah."
Tangan ditekup, dan Atirah memeluk kakak di sebelahnya itu. Mengalir air mata, bibir bersuara, "Terima kasih, kak atas tausiyah nya. Saya amat memerlukannya. Terima kasih, kak"
"Takpe, Ati. Tenanglah." dan tangan mengusap lembut Atirah, membiarkannya tenang.
Terlalu ramai manusia di dunia ini yang semakin menyepi dari tugas dakhwah. Melepaskan diri sendiri tetapi terlupa saudara seislamnya yang lain yang masih lagi diregut ganas oleh hasutan syaitan dan keinginan nafsu. Terlalu ramai merasakan dirinya mulia dan memilih untuk tugas-tugas yang menyebelahinya sahaja. Sudah terlalu ramai yang bersifat nafsi-nafsi, memikirkan maslahatnya sedangkan di dalam islam memikirkan maslahat umum.
Tetaplah tenang dan redha serta teruskanlah langkah untuk tetap menarik saudara seislam yang ketandusan peringatan. Tetaplah agar setiap dari kita terus dan berusaha mengajar kepada Allah kerana tugas dakhwah ini tidak akan pernah berakhir.
Kata-kata Imam Hassan al-Banna, perjuangan ini telah lama dimulakan, dan kita semua haruslah tetap meneruskan jika kita benar-benar mengatakan bahawa kita telah mengucap dua kalimah syahadah, mengimani Allah dan Rasul.
Terlalu ramai manusia yang begitu terkesan dengan setiap perbuatan manusia di sekelilingnya, yang tanpa dia sedari itu adalah pekerjaan Allah..
"Memang Allah sengaja buat semua tuh. Memang sengaja untuk DIA melihat keimanan seorang hambaNYA. Kalau berputus asa, kecewa, letih, semuanya itu adalah dari syaitan yang nakkan kita rebah. Jangan mengalah. Jangan mengalah"
Terlalu ramai manusia yang semakin letih dengan ujian Allah, dengan pekerjaan Allah. Sudah semakin ramai.....
Sudah semakin ramai..
Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~
No comments:
Post a Comment