Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Kaki melangkah ke dalam lif. Saya melihat ada seorang wanita turut sama membuntuti masuk ke dalam lif. Di tangannya ada sebuah bakul yang diisi dengan seekor kucing. Tiba-tiba kucing tersebut seolah-olah takut berada di dalam lif.
"Selfie! Kejap, kejap je lagi kita dah nak sampai"
Saya dan adik dah pun tersenyum-senyum melihat keletah kucing itu.
Fikiran saya seperti sedang mengingati sesuatu. "Selfie? Macam pernah dengar je perkataan tu" Fikiran masih lagi mencari punca. 'Di mana agaknya aku pernah dengar perkataan tu.'
Sampai sahaja di rumah adik, ditayangkan
record cerita "Hantu Selfie". Oh, baru saya perasan, Selfie itu adalah bergambar.
Saya menjadi tersenyum, dan fikiran juga mula terimbas pada status seseorang yang dengan kasarnya berkongsi satu gambar kata-kata tentang wanita yang suka bergambar. Wanita berpurdah yang suka bergambar untuk lebih spesifik lagi. Saya masih lagi tersenyum.
"Akak, apa pendapat akak tentang status ni?" menerima satu pesanan
whatsapp dari seorang adik. Saya masih lagi tersenyum kerana pendapat yang diinginkan dari saya adalah mengenai status seorang lelaki yang membuat perbandingan di antara dua wanita, berpurdah tetapi suka berselfie dan upload di instagram dan wanita yang cukup menutup auratnya tetapi dijaga gambarnya dari tersebar dari tontonan ramai. Lebih baik lagi pilihan yang kedua.
Saya tersenyum.
Hari ini, juga dikejutkan dengan satu perkongsian
note di FB tentang pendapat peribadi seseorang tentang isu yang sama.
Tiba-tiba hati saya terdetik, "Wah, isu yang agak panas juga rupanya"
Entahlah kenapa, saya kurang berminat untuk komen tentang dua pendapat ini. Entahlah kenapa, saya seperti melihat-lihat pertelingkahan pendapat manusia pada perkara cabang yang sebenarnya tidak perlu diperselisihkan. Entahlah kenapa, kerana wanita-wanita yang saya yakin ilmu dan imannya, turut sama berlumba-lumba untuk memberi pendapat, seperti meraih statistik yang tinggi untuk mendapat sokongan atas manifestonya yang tak bertauliah di dewan Facebook.
Saya masih lagi tersenyum. Tersenyum kerana memikirkan jika diberi pendapat, samalah saya seperti mereka, dan jika tidak diberi pendapat, maka terlepaslah peluang saya untuk memberi pencerahan kepada manusia yang sedang dilaga-lagakan oleh syaitan laknatullah yang tidak kelihatan.
Entahlah.
Saya pernah menegur, oh,tidak, barangkali bukan menegur tetapi hanya memberi pendapat kepada beberapa sahabat yang secara tidak langsung mengenai pemikiran saya yang tidak suka bergambar dan kurang pula untuk
upload gambar. Entahlah, jika diceritakan tentang pemikiran dan pendapat saya sendiri, barangkali panjang lebar tulisan entry ini sebanyak 1 meter pun masih belum mencukupi untuk saya menjelaskannya.
Saya tersenyum.
Manusia itu jika ingin berhujjah, sehingga lupa dirinya juga pernah melakukan perkara yang sama dahulu. Manusia itu jika menulis status selalu terlupa pada masa akan datang belum ada jaminan yang dirinya terhindar dari melakukan apa yang ditulis.
Seperti kata-kata yang selalu diungkapkan, "Manusia itu mudah lupa". Dan sekali lagi, saya hanya tersenyum.
Bukan saya tidak terlepas dari meletakkan gambar, tapi saya cepat-cepat disedarkan oleh ramai sahabat
fillah yang menjaga aib sahabatnya ini.
"Ukhti, kalau ana tegur sikit, jangan terasa ye. Ana lebih suka gambar ukhti yang sebelum ini, tidak kelihatan matanya, ditangkap dari sisi untuk menyembunyikan pandangan mata ukhti. Walaupun ukhti berpurdah, tapi rasanya tak elok untuk meletakkan gambar yang sekarang ni sebagai tontonan ramai"
" Oh, tak mengapa. Nasihat yang sangat berguna untuk ana. Terima kasih atas keprihatinannya"
Saya tersenyum sambil mengucapkan syukur atas kehadiran sahabat yang menjaga aib sahabatnya
Tapi, bila saya pula menegur beberapa sahabat yang terlalu gembira meletakkan gambar aktiviti mereka di paparan umum, walau saya yakin dengan iman dan kefahamannya pada agama, lain pula yang saya terima. Pelbagai hujjah untuk membenarkan kesukaannya.
"Takpelah, niat ana cuma nak bagi kesedaran pada orang lain. Ini pun satu dakhwah juga"
"Alar, untuk tatapan mereka yang tak dapat datang hadir ke majlis saya, apa salahnya, kak"
"Kita tak boleh lah nak cakap macam tu sebab niat kita nak bergambar ni pun, Allah sahaja yang tahu"
Dan banyak lagi.
Tapi, bila masa yang dahulu berjalan, dan kini berlari meninggalkan masa muda, mereka ini tersedar sendiri. Maha Suci Allah yang menggerakkan hati-hati mereka, dan dengan rahmatNYA membuka pintu hidayahNYA.
Tetapi, lama-lama, lain pula jadinya mereka kini, begitu galak memberi hujjah dan pendapat sehingga lagak gayanya seperti mereka tidak pernah melakukan perkara yang sama dahulu.
Entahlah. Dunia sekarang dah semakin pelik. Dan semua kepelikan ini telah diceritakan oleh para ulama' terdahulu dan para sahabat Nabi, hasil dari tarbiyah baginda dan kefahaman mereka pada nasihat baginda Rasulullah s.a.w.
Sama ada seseorang manusia itu suka berselfie atau tidak, tidaklah menentukan baik atau jahatnya mereka, tetapi kefahaman agama mereka yang semakin cetek atau masih di peringkat permulaan. Sama ada mereka menulis status berlatar belakangkan gambar mereka dengan niat berdakhwah atau mempamerkan riak kebaikan mereka, bukanlah menentukan siapa mereka di pandangan manusia lain, tapi cara mereka meletakkan diri sendiri di dalam permainan dunia. Seperti berada di hujung tanduk, untung-untung diri, sempat diselamatkan, tapi kalau tak, maka jatuh berderai bersepai di tanah.
Tidak perlu kita menilai mereka sama ada yang suka berselfie itu begini begitu, atau yang tidak suka bergambar itu pula begini dan begitu, kerana itu bukanlah tugas kita. Penilaian dan habuan semua adalah milik Allah. Dan sesungguhnya kerja Allah itu terlalu berat untuk seorang hamba yang kerdil ini menanggungnya. Silap tertanggung, bahu menjadi senget, silap terambil tugas, kita pula yang kepenatan atas kerja yang tidak ditugaskan untuk kita.
Dan perlulah kita sedar untuk diri sendiri bahawa setiap manusia itu pasti melakukan kesilapan. Selagi mata belum terpejam, maka kesilapan itu akan sentiasa mengekori kita tanpa kita minta. Ambillah setiap kata-kata yang hadir bukan sebagai pemula kepada sebuah pergaduhan dan pertelingkahan tetapi, jadikanlah ia sebagai satu bahasa Allah, menegur dan untuk kita memperbaiki diri kita menjadi yang lebih baik.
Ambillah setiap kata-kata yang hadir, walau kita tidak menyukainya dengan pandangan pembuka ilmu. Carilah seorang yang kita yakin agamanya, dan bertanyakan pendapatnya. Dan jangan hanya mengambil satu pendapat sahaja, ambillah dan carilah seberapa banyak pendapat dan ingatlah bahawa dalam setiap pendapat mereka, jangan kita ambil jika ianya berlandaskan atas alasan emosi. Tanyakan dalil-dalilnya dan timbang taralah setiapnya untuk kita menyusun kembali langkah kita seterusnya. Jika pandangan iman kita mengatakan lebih banyak mudarat, maka tinggalkanlah.
Jika susah, mulakanlah dengan perlahan-lahan.
Tujuan kita dihidupkan di dunia ini bukanlah untuk kita menjadi rujukan tetapi adalah untuk kita sentiasa berhati-hati dengan setiap langkah kita. Sebab perjalanan kita masih lagi jauh, tujuan kita hanya satu sahaja, keredhaan Allah swt.
Jika dalam langkah kita itu, kata-kata berselfie itu boleh menggugah keimanan kita dan perjalanan kita walau sekuat mana pun kita menjaganya, maka, lebih baik tinggalkan. Tapi, jika dengan bergambar itu boleh memberikan sesuatu makna di dalam erti kehidupan kita, maka, berpada-padalah kerana setiap yang kita kerjakan dan yang kita lakukan akan dipersoalkan di sana, dihisab dengan sangat teliti sehingga kita tidak mampu terlepas dari persoalan yang menggetarkan lutut kita.
Seperti satu kisah ini, diceritakan Siti Aisyah dihadiahkan dengan satu baju yang cantik, sehingga dia mencintai baju itu. Lalu Abu Bakar melihatnya dan dia berkata, "Wahai Aisyah, aku terbau kan bau riak di wajahmu. Jika engkau mengetahui dari mana datangnya, maka tinggalkanlah kerana Allah tidak memandang wajah manusia yang memiliki hati yang riak" Lalu menangislah Siti Aisyah teresak-esak dan dia menanggalkan baju itu dan diberikan kepada fakir miskin.
Wahai hati yang begitu yakin dengan kata-kata dari bibir sendiri mengatakan bahawa tidak akan hadir sekelumit riak di benak anda, tanyakan pada dirimu, apakah jaminan yang anda boleh berikan yang anda tidak akan tersimpang dari niat anda sedangkan hati kita semua dipegang oleh Allah. Jika tanpa rahmatNYA, pastilah islam itu seperti tetamu yang keluar masuk dan bukan sebagai penghuni di hati kita. Sesungguhnya kita memerlukan rahmatNYA untuk kita berjalan terus di muka bumi ini.
Maha Suci Allah.
Maka, jika kalian yakin kalian adalah yang terpelihara, maka buatlah sesuka hati kalian, bergambar atau apa sahaja kerna sesungguhnya hanya di sana sahaja kalian akan terlepas dari suara-suara tegahan dan kata-kata keras dari manusia. Dan sesungguhnya di sana tiadalah lagi masa untuk bergambar tetapi masa untuk berjawab di hadapan Allah..
Maha Suci Allah.
Tanya iman, tanya diri, mana yang baik untuk jawapan di hadapan Allah, maka teruskanlah jika yakin Allah menerima jawapan anda.
Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~