Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh ‘ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu ‘anhu berkata:

Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli ‘ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli ‘ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Monday 30 January 2012

Cinta Dunia..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Thauban radhi allahu anhu, bahawa Rasullullah salla allahu alayhi wassallam bersabda, dengan mafhumnya:
“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”
Sabda Baginda s.a.w.:
“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”

Jawab Rasulullah s.a.w.:
“Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?”

Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Cintakan dunia dan takut akan kematian.”
 Di dalam sebuah kereta, mendengar segala permasalahan seorang adik dan aku hanya mendengar.

"Jika kita tak boleh menjadi seorang yang memberi pendapat, cukuplah menjadi pendengar yang baik"

Dan akhirnya kata-kata akhirnya, "Kalau adik dah cinta dunia, adik fikir duit, adik pilih kawan yang kaya-kaya je. Tapi adik tak macam tu"

Tiba-tiba aku ingin bersuara, "Bukan itu sahaja yang dimaksudkan dengan cinta dunia. Cinta dunia ini kita terlalu terkesan dengan dunia. Orang buat khianat kat kita, kita terasa, orang puji kita, kita rasa bangga, bila orang musuhi kita, kita yang tak keruan, dan banyak lagi sebenarnya cinta dunia. Cinta dunia ini adalah cinta yang hanya mengharapkan supaya dunia ini indah supaya kita dapat hidup di dunia dengan sangat lama sehingga melupakan kampung halaman kita, iaitu di akhirat. Memang sengaja Allah takdirkan manusia-manusia itu buat begitu pada adik. Memang Allah sengaja sebab Allah nak adik kembali kepadaNYA, mengadu kepadaNYA, dan supaya hati lunak kepadaNYA"

Terkedu.

Ya, ramai yang telah tersalah anggap mengenai cinta dunia. Ramai yang menyangka cinta dunia itu adalah cinta harta kekayaan dan cinta kemanusiaan sehingga menjadikan ingin menjadikan dunia ini sebagai kampung halaman kekal di dunia.

"Hidup saya dan sempurna dengan kehadiran suami saya. Saya dah tak perlukan sesiapa lagi dalam hidup saya"

"Akak, kenapa diaorang buat saya macam ni. Saya dah cuba dah buat sebaiknya untuk mereka, tapi mereka tetap juga berkelakuan macam tu pada saya" Tersedu-sedu.

Berhentilah dari bercerita tentang perbuatan orang terhadap kita. Berhentilah dari bercerita ketidakpuas hatian kita pada manusia di sekeliling. Berhentilah dari berlari-lari ke sana sini untuk menagih simpati manusia yang sememangnya bukan ditakdirkan untuk membantu kita.

Kembalilah kepadaNYA, bercerita kepadaNYA dan yakinlah dengan janjiNYA bahawa setiap doa itu akan diperkenankan olehNYA. Apabila sampai bantuan dariNYA, tanpa kita bercerita, tanpa kita menangis tersedu-sedu, tanpa kita mengerutkan muka, akan dihadirkan perantara dariNYA, tanpa kita duga. Percayalah. Percayalah kerana aku sudah alami dan aku juga pernah menjadi perantaraNYA menyampaikan bantuanNYA walau tanpa aku bertanya, "Apa masalah kau yang ingin aku bantu".

DIA yang menggerakkan aku, DIA yang menyuruh aku tanpa aku perlu berkira-kira.

Wahai anak, 
tidurlah di bawah aliran takdir, berbantalkan kesabaran. 
Setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan.

Cinta dunia sekali lagi adalah cinta yang menghitung-hitung harta untuk persediaan di masa akan datang sedangkan kita tiada jaminan untuk mengatakan bahawa kita akan hidup selama yang kita jangkakan.

"Habis tu kak, buat apa kita cari harta, cari kerja kalau kita tak fikirkan semua perkara tu"

Terseyum.

"Sudah lupa dengan kisah Ummul Mukminin, Zainab? Zainab ini adalah satu-satunya isteri Rasulullah s.a.w yang dinikahkan oleh Allah. Iaitu ada satu ayat Quran yang memeteraikan ijab dan qabul antara Rasulullah s.a.w dan Zainab. Sifat Zainab ni suka bersedekah. Sehingga baginda wafat, pekerjaan Zainab adalah memintal benang. Dia akan menjual benang tu, dan hasil keuntungannya akan disedekahkan. Yang dia ambil adalah duit modal untuk membeli kapas lagi. Perkara itu berulang-ulang dia buat. Cuba kita tengok di zaman kita pula. Gaji hari ni, habis dengan bayar bil tu, bil ni, hutang tuh, hutang ni. Kemudian, bila bosan, mulalah bersungguh-sungguh cari pendapatan lain, hanya semata-mata tak puas hati, kerja bersusah payah, baki duit gaji ciput je. Nak beli barang untuk diri sendiri pun tak cukup, kan? Dan kemudian, mulalah rakus cari tu, cari ni. Betul tak cakap akak ni?"

Terkedu, dan akhirnya mengiyakan ayatku.

Hari ini, aku mendengar kisah seorang makcik. Mendengar kisah dia dan anaknya. Dia menasihatkan aku untuk menjaga kesihatan. Ya, nasihatnya sangat bertepatan dengan diriku, kerana aku bukanlah seperti wanita yang seusia denganku. DIA dah ambil sebahagian besar yang satu ketika dahulu pernah diberikan kepadaku.

"Makcik marah anak makcik. Umur muda lagi tapi dah sakit tu, sakit ni. Duit dia, dia perabis beli baju tu, baju ni. Makcik cakap kat dia, buat apalah beli baju cantik kalau badan tak sihat. Kita nak badan sihat, nak senang beribadah, kan?"

Khusyuk mendengar dan aku mengiyakan kata-katanya. Benar, tepatlah kata-katanya.

"Manusia ni bukan tahu kita sakit ke tak. Yang dia tahu benda tu siap je. Kalau tak dari muda lagi jaga kesihatan, nanti bila dah tua, lagi teruk"

Menelan air liur, terasa pasir di tekakku. Kesihatan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Setiap hambaNYA diberi lima kesempatan sebelum lima kesempatan. Inilah persediaan yang dipertaruhkan oleh kita untuk mengaut seberapa banyak pahala di sana, bukan harta di dunia.

"Kalau semasa kemalangan lepas, ada organ akak yang musnah yang memerlukan pembedahan pemindahan organ, ni wasiat akak, akak tak redha dilakukan pembedahan tu. Apa yang akak minta, lepaskan akak dengan redha. Redhalah pemergian akak dan doakan akak"

Terkedu.

Fikiran dan ingatanku teringat peristiwa lepas. Terlalu banyak hati-hati yang tidak ingin melepaskan aku, terutama sekali seorang adik yang ku kasihi.

"Andai kata kalau masa kemalangan lepas tu, akak dah tak boleh diselamatkan, kau boleh terima?"

Terdiam, terkebil-kebil.

"Insya Allah, adik redha"

"He3, ye ke ni. Betul ke nih?" Saja bergurau.

Lama terdiam, terkebil-kebil. Mulut semacam berat untuk ungkapkan. "Jangan nak mengada-ngada ye cakap yang bukan-bukan"

Gelak ku pecah. Kelakar.

"Ini realiti, ini hakikat. Semua orang akan mati. Jangan kau lupa hakikat perkara ini dan kau kene bersiap sedia untuk itu"

Mengalihkan pandangan, memandang ke luar. Melihat tasik yang dihiasi dengan air pajut. Tenang. Damai.

Apalah yang ada dunia ini sehingga manusia terlalu berpusu-pusu untuk meraihnya. Menampukkan harta hanya semata-mata untuk kepuasan diri. Menghabiskan segala pinjamanNYA hanya semata-mata kita tertipu dengan dunia. Dunia ini adalah persinggahan kita. Maka, jadikanlah diri kita sebagai manusia yang berdagang, sedang berdagang, berdagang harta dariNYA untuk meraihkan gaji dariNYA.

Enjoy your life, satu perkataan yang seringkali aku gunakan, dan aku ungkapkan bagi yang merasa sedih dengan perbuatan manusia. Enjoy Your Life, kerana hidup kita tak lama. Jangan disesakkan dengan manusia yang memang telah ditugaskan untuk mengacau kita. Biarkan dan yakinlah dengan janji Allah. Segala perancangan itu tidak akan terlaksana jika tanpa keizinanNYA. Segala susah dan selicik mana pun rancangan manusia untuk menjatuhkan kita, ianya tetap takkan berlaku jika DIA tidak izinkan.

Dan jika DIA izinkan, maka ujian itu adalah untuk meningkatkan darjat kita, untuk menyucikan dosa kita. Dan jika DIA izinkan, maka, sudah sampailah masa kita untuk dipanggil olehNYA, untuk kita lunak kembali bercerita kepadaNYA.

Kembalilah kepadaNYA.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Sunday 29 January 2012

Jadilah Diri Sendiri...

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Mata tertacap di hadapan televisyen, mendengar dan mengamati setiap kata-kata pengacara mengenai pencapaian seorang penyanyi Malaysia, Yuna.

"Selepas sahaja persembahan ini, difahamkan, yang Yuna akan berangkat ke Amerika Syarikat. Bagi dia, semua ini sudah biasa"

Dan kami pula berbincang tentang pencapaiannya, "Dia ni student undang-undang, subjek susah, kot. Sebab roomate akak yang study subjek ni pun, sampai tak tidur malam sebab nak hafal akta. Cuma Yuna ni tak jadi peguam sebab lepas konvo hari tu dia tak chambering. Dia terus terbang ke Amerika Syarikat"

"Yelah, sebab dia minat muzik"

Tersenyum.

Dan aku pula terimbas kisahku dahulu di suatu pagi.

"Kalau Master ini Master Biokimia, sorry to say, memang aku tak minat nak teruskan. Cukup-cukuplah berjuta dak master Biokimia kat luar tuh, apa pulak kerja aku nak tambahkan bilangan tu lagi"

"Habis tu, kau sanggup tunggu sampai geran untuk kajian ni keluar semata-mata kau nak teruskan kajian kau tuh"

"Sanggup. Memang aku sanggup."

Terkedu.

"Kau ni, benda yang kau buat ni, bila kau habis, takda kerja kat luar. Benda ni benda baru. Kalau kau buat master biokimia, sekurang-kurangnya kau boleh masuk mana-mana kolej untuk mengajar"

"Kau ingat aku belajar ni sebab nak cari kerja? Itu bukan tujuan aku belajar. Kalau sebab kerja, baik aku cari kerja sekarang, kumpul duit banyak-banyak, dah. Selesai. Tak payah fikir banyak"

"Habis tu?"

Dan ku biarkan soalan itu berlalu, hilang bersama-sama dengan angin lalu. Diam.

"Saya yakin, kalau awak berjaya selesaikan pengajian awak ni, awak adalah pencetus ilmu baru dalam dunia Islam"

Seorang rakan sepenyelia, berbincang dengannya dan akhirnya aku terkedu.

Ramai manusia berkata ingin buat tuh, buat ini. Ramai yang kata nak belajar tu, nak belajar ini. Ramai juga yang ikut tu, ikut ni, tapi, mereka sendiri tak memahami apa sebenarnya yang mereka inginkan.

Manusia itu seringkali melakukan sesuatu yang ikut-ikutan tanpa perlu dia memikirkan apa manfaat yang dia lakukan untuk masyarakat, dan Islam, agama yang telah memuliakan dirinya, yang telah mengangkat darjatnya sendiri. Inilah manusia, tidak memahami diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w

“Janganlah seorang pun daripada kamu menjadi orang yang tidak berpendirian, beliau mengatakan: “Aku bersama orang ramai, jika mereka berbuat baik aku akan berbuat baik, sekiranya mereka berbuat jahat, aku akan berbuat jahat (pula),” tetapi kamu mestilah menetapkan diri kamu, apabila orang berbuat baik, kamu mestilah berbuat baik, sekiranya mereka berbuat jahat, kamu mestilah menjauhkan diri daripada kejahatan mereka”

(Hadis riwayat Tirmizi)

Ramai manusia hanya tahu mengikut tanpa dia sendiri tahu apa sebenarnya tugasan yang telah diberikan olehNYA kepada diri dia. Apa yang dia tahu adalah kepuasan memiliki sekelepuk harta dunia. Dan aku, aku adalah seorang manusia yang jelas apa matlamat yang ingin aku lakukan seterusnya.

"Kau nak jadi apa sebenarnya?"

"Akak nak jadi penulis"

"Habis tu, master kau tuh?"

"Akak belajar bukan untuk cari kerja"

"Kalau macam tu, jangan buang masa. Orang yang buat master ni sebab nak jadi pensyarah, nak cari kerja yang gaji tinggi"

Dan begitulah manusia sekarang, penilaian masing-masing terhadap ilmu menjadikan ilmu itu bukan untuk dia menjaga dirinya tetapi dia mempergunakan ilmu untuk dirinya diangkat di dunia.Inilah manusia, mereka terlupakan satu kisah yang berlaku di zaman Nabi di mana ada seorang lelaki yang begitu dermawan sehinggakan para sahabat menganggap tiada yang lebih dermawan dari dirinya. Tapi, Rasulullah s.a.w berkata bahawa dia akan masuk ke neraka, kerana, atas segala yang dia laburkan itu, dia mengharapkan pujian dari manusia.

Sudah lupakah kita?

Sendirian, mengamati ragam manusia, terhibur. Sendirian, dan aku mengamati kisahku pula. Bersendirian, duduk di bangku, dan di tangan memegang tin minuman, Coffe Latte. Bermain-main dengan tin, memusing-musingkannya. Dan diteguk, satu..dua..Puas.

"Kalau awak habis buat master ni, awak nak buat apa sebab bidang ni masih baru lagi. Tak banyak institut yang ada bidang ni" Satu hari, ditanya oleh penyeliaku.

"Saya nak memperjuangkan supaya setiap universiti mempunyai satu subjek ini kerana subjek ni bukan sepatutnya harus tetapi wajib ada bagi setiap universiti yang menjalankan aktiviti penyelidikan"

Tergamam. "Bagus. Saya ingatkan awak takda rancangan sebab tu saya tanya awak hari ini"

Tersenyum.

Sehingga ke titis akhir, aku berjuang hanya semata-mata subjek ini di pandanganku bukanlah ditahap HARUS, tetapi WAJIB diketahui oleh semua masyarakat, sekurang-kurangnya asas itu perlu ada.

"Tiqah, kau kene teruskan, kau ni, bukan syaitan pangkat prebet yang kacau kau, tapi pangkat Jeneral."

Tergelak. "Pangkat Jeneral ea. Insya Allah, doakanlah aku"

Sehingga ke akhirnya, sehingga ke akhirnya aku masih akan cuba, dan terus mencuba.

"Ana rasa kecewa sikit sebab ukhti berhenti"

"Aku terkilan sikitlah kau berhenti sebab ilmu kau tu diperlukan oleh Islam"

Terdiam. Dan ingatan aku kembali ke satu kenyataan, dan ku ceritakan di dalam manuskripku, Manuskrip Memoir Secangkir Kopi.

"Kalau pun bukan sekarang, aku tetap akan usahakan untuk masa akan datang. Kau doakan aku"

Bersendirian, dan berjalan ke arah cafe itu. Secangkir kopi dipesan. Dihirup dan tangan membelek senaskah buku. Bersendirian mengamati dan melihat kembali kisahku sendiri.

"Satu hari nanti, akak tulislah kisah akak. Bukan semua orang menghargai apa yang telah diberikan olehNYA. Saya teringin nak tahu kisah akak, macam mana akak boleh berubah"

Tersenyum. Satu hari nanti.

"Kau ni memang pelik" Aku hanya terdiam dan di dalam hati, aku tersenyum.

"Kalau aku takda kerja, aku rasa nak bersendirian, aku akan ke KL Central"

"Kenapa KL Central?"

"Sebab kat situ ada ramai manusia. Seperti putaran masa yang laju meninggalkan aku, duduk sendirian dan dikeliling manusia yang berpusu-pusu, berkejar-kejar memenuhi tuntutan mereka..." Memandang sambil tersenyum.."Dan ditemani dengan secangkir kopi"

"Tak semua kau rancang akan berlaku
Mungkin nasib tak menyebelahi aku"

Sedikit dari keseluruhan lirik lagu Yuna. Penakut. Dan aku mengiyakan. Bukan semua tetapi kita cuba untuk terima ketetapan ini. Bukan semua yang ada di tapak jalan rancangan kita berada di dalam perancanganNYA tetapi, kita akan cuba untuk redha. Bukan semua dan kita akan bersama-sama membuang semua rasa ketidakpuas hatian itu jauh..jauh dari hati dan fikiran kita.

Berjalanlah, dan jadilah diri sendiri. Jangan mengikut apa yang manusia kata baik di mata mereka, tapi, ikutlah apa yang baik di pandanganNYA. Kita perlu isikan kehidupan kita dengan ilmu dan fahamkannya serta telitilah ilmu itu di dalam kehidupan kita.

Ada orang kata, pakai purdah itu baik, ada orang kata, pakai tudung begini-begini bagus. Ada orang pula kata, belajar dengan ustaz ni seronok. Ada orang pula kata, pembelajaran bersama ustaz itu best. Dan seribu satu macam lagi kata orang yang membuatkan kita termangu-mangu untuk teruskan atau tidak.

Berdirilah di kaki sendiri, dan fikirkan apakah yang mampu untuk dilakukan. Bukan semua yang kita rancang itu berada di dalam perancanganNYA. Maka, sentiasalah berpaut padaNYA kerana DIA lah yang menentukan sama ada rancangan kita itu berjaya atau tidak.

Janganlah menjadi seorang yang hanya suka mengikut apa yang manusia lakukan tanpa kita sendiri tidak memahaminya. Dan di akhir hasilnya, kita terduduk dan kemudian menangis tersedu-sedu. Kita ini adalah seorang hambaNYA yang lemah, maka, berjalanlah mengikut aliran takdir, dan kembalilah kita kepadaNYA.

Dan hati itu akan tenang kerana kita tahu, DIA HENDAKKAN YANG TERBAIK UNTUK KITA.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Tuesday 24 January 2012

Marilah berpegangan tangan, beriringan ke arahNYA..

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Termenung dan berfikir. Mengelamun dan hati tertanya-tanya. Letih. Mendengus.

Dunia itu terlalu memenatkan untuk kita semua menyantakkan fikiran padanya. Dunia ini terlalu parah untuk kita menyibukkan diri dengan menggeleng kepala dan akhirnya kecewa.

Terlalu merugikan.

"Memang Allah sengaja buat semua tu. Memang Allah sengaja buat semua tu supaya manusia yang berfikir dia mengetahui bahawa dia berada di akhir zaman. Cuba bagitahu akak, kalau Allah tak buat semua tu, kita sedar atau tak yang kiamat dah nak hampir? Sedar tak?"

Letih sebenarnya dengan manusia yang tidak sudah mengungkapkan orang tu kenapa buat gini, orang sana, kenapa buat gitu dan akhirnya berjuraian air mata. Usaha apakah yang dilakukan oleh orang yang menuturkannya?

"Kenapalah diaorang ni buat macam tu? Tak takut api neraka ke?"

"Aih, nasib baiklah aku tak macam tu, Diaorang ni dah takde kerja ke?"

"Nama je budak sekolah agama, tapi, hancur. Aku yang tak sekolah agama pun lagi baik, kot"

Janganlah kita berkata-kata tentang manusia sekeliling kita sehingga kenyataan itu menampakkan kitalah yang baik sempurna yang akan dijanjikan ke syurga. Jangan wahai manusia yang beriman. Ketahuilah, apabila kata-kata itu muncul dari bibir kalian, sebenarnya kalian itulah yang lebih jahat dari orang yang kalian kata. Naudzhubillah.



Kita ini terlalu lemah, dan terlalu lalai, maka kembalilah kepada Allah swt, dan mohonlah pertolonganNYA kerana kita tak mampu melakukan apa-apa hatta kerdipan mata kita sekalipun jika tanpa bantuanNYA.

"Komen manusia itu tidaklah semestinya kita perlu terasa, 
Kutukan itu pula tidaklah perlu kita ambil dari sudut negatif, 
Dan teguran tidak perlu kita ambil perasaan dalam menilai"

Mata masih terpaku di hadapan cermin, membetulkan tudung dan mempinkan purdah. Tiba-tiba disapa oleh seorang makcik. Berbual-bual sebentar, dan tiba-tiba pandangan mata dialihkan, mata berair dan menitis di kain yang menutupi sebahagian wajahnya. Terkedu.

"Tadi, akak ada jumpa seorang makcik ni kat masjid KLCC. Panjang berbual dengan dia. Banyak berkisar tentang akhirat. Tiba-tiba makcik tu kata tentang pertemuan di akhirat. Dia kata, kat dunia, kita boleh usaha untuk berjumpa, tapi, bila di sana, Allah akan pisahkan. Makcik tu kata, jadikan dia sahabat dunia dan akhirat akak. Akak terkedu dengar. Termenangis kat situ. Tapi, macam biasalahkan, akak ni kan macho" Tergelak.

Menyambung kata-kata, "Bila makcik tu kata tentang perpisahan di sana, di fikiran akak, terbayang satu, satu muka sahabat akak termasuklah Kak Cik. Takda jawapan." Dan dia mengesat air matanya. Tak terluah.

"Terkadang, ramainya sahabat itu tidak menjamin mereka akan mengingatkan kita kepada Allah, 
Tapi, musuh yang satu itulah yang selalu menjadikan kita selalu mengadu kepada Allah dan menjadikan kita akrab pula denganNYA"

Hidup ini bukanlah patut kita sibukkan dengan mencari kesalahan manusia, bukanlah patut juga kita sibukkan dengan berprasangka yang bukan-bukan tentang saudara kita sendiri. Ketahuilah, kita semua bersaudara yang sedang berpegang tangan, mara ke hadapan, mencari keredhaanNYA.

Jika ada sahabat yang terpisah tangannya dari kita, bukan kita kata kepada dia, "Apalah kau ni, aku dah pegang, apasal kau lepaskan" tapi, pamerkanlah senyuman kepadanya, dan datang ke arah dia, dan meraih kembali tangannya dan katakanlah, "Pegang kuat-kuat ye wahai sahabat"



Manusia yang terlepaskan tangannya itu bukanlah atas kehendaknya tetapi dia terpengaruh dengan hasutan syaitan. Terfikir-fikir, "Ish, semalam aku dengar orang kata yang dia ni ada penyakit kulit. Habislah, aku tengah pegang tangan dia ni"

Atau, "Huh, kasar betul tangan dia ni, tak macam tangan aku, lembut. Ni, ada hati lah tu nak pegang kuat-kuat tangan aku"

Atau..atau apa sahaja prasangka manusia yang menyebabkan tangan yang kedap berpegang itu terlerai akhirnya. Ketahulah wahai insan, prasangka itu dari syaitan yang dilaknat, dan janganlah kalian mengikutinya kerana sungguh kerugian bagi yang terpengaruh.


Wahai insan yang beriman, janganlah kalian membiarkan tangan itu terlepas, pedulikanlah segala prasangka manusia, bawalah seberapa ramai saudara seislam kita kembali kepadaNYA. Janganlah kalian melepaskannya, walau bagaimana pun. Inilah usaha yang akan dilihat oleh Allah. Inilah yang ingin DIA tengok.

"Akak, bila saya tengok orang-orang yang macam penampilan agama ni nampak macam baik je, tiba-tiba diaoranglah yang lebih teruk dari saya, terus terbantut niat saya nak bertaubat"

Tersenyum.

"Senang macam nilah, adik ke diaorang yang nak berjawab dengan Allah nanti? Takkan masa depan Allah nanti, bila Allah tanya tentang silap kita, kita nak jawab, diaorang pun buat, kenapa saya tak leh? Mereka buat silap, kita tak perlu ikut, dan kita juga tak perlu nak judge, just keep on with your detemind. Don't give up" Tersenyum.

Firman Allah, surah al-A'raf ayat 172-173

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi." (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)atau agar kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya orang-orang tua kami telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu, sedang kami ini adalah anak-anak keturunan yang (datang) sesudah mereka. Maka apakah Engkau akan membinasakan kami karena perbuatan orang-orang yang sesat dahulu",

Ketahuilah wahai saudara-saudariku, kita telah bersaksi di hadapannya dahulu, dan tiada peluang untuk kita meletakkan salah kita pada orang lain. Sesungguhnya semuanya telah tercatat di dalam al-Quran. Kembalilah kepada kalamNYA dan tadabburlah al-Quran kerana semuanya sudah terjawab di dalamnya, cuma terpulang pada kita, sama ada ingin ambil atau meninggalkannya.

Wallahu'alam

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan."
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Monday 23 January 2012

Kenangan sebuah persahabatan.

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Beriringan dan kemudian di kerumuni. "Ni siapa?"

Saling pandang memandang mereka berdua, dan terdiam, berfikir.

Tanpa kata-kata isyarat, dan dia dah pun menjawab, "Ini kakak saya"

Terkedu, dan kemudian, perlahan, aku tersenyum.


Tersenyum bila mengenang kembali. Tersenyum bila kata-kata diulang kembali di fikiran. Tersenyum dengan penghargaan. Dan tersenyum itu menjadikan hatiku segar dengan sebuah jalinan pada ketika dahulu, kini dan selamanya.

Mata melihat ke luar. Cuaca menanti untuk disimbah dengan rahmatNYA. Di sebuah cafe, terhidang secangkir kopi, dan di tangannya memegang kitab Al-Wafa. Telinganya dah pun disuakan dengan earphone. Lagu yang terdendang, di dengar. Kakinya bersilang dan mengikut rentak irama lagu.

Lauryn Hill- Can't Take My Eyes Off of You

Masih lagi tersenyum. Hatinya masih lagi berbunga dan tenang indah mengamati kenangan.

"Tiada ukhwah di dalam internet, itu semua hanya perbualan kosong" Tegas, full stop.

"Tidak kak, adik akan buktikan yang akak salah. Adik akan datang jumpa dengan akak"

Terdiam. Melihat dia datang menghampiri, "Adik dah buktikan, ukhwah kita bukan perbualan kosong"

Tersenyum.

Kepalanya dah bergerak mengikut rentak, diangguk-angguk, dan ingatannya terkenang kembali.

"Kak, bangunlah kak..."

Ukhti pandang muka ana, geram agaknya.

"Dik, lawak besar tu..."

"Kak, that not a big joke but a big hope!"
Harapannya untuk yang terbaring itu bangun kembali. Dan kini, harapan itu dah pun terlaksana.

Harapannya untuk melihat wajah itu kembali, berjalan dan riang gembira bergurau senda dengannya.

Harapannya untuk berbalah dan melihat kembali wajah ceria itu.

Tersenyum. Dan dia dah pun menyuakan bibirnya dengan cangkir kopi untuk dihirup, terasa kepahitannya dan akhirnya manis.

"Kak, adik nak jumpa akak! Adik kuatlah kak... Adik kuat!"


"Ye, adik kuat. Adik kuat, kuat nangis, kan?" Tergelak.

"Buweekkkk"

Dan dia tergelak besar, terhibur.

Kitab dah pun diletakkan di tepi. Pandangan matanya merona memandang ke luar sekali lagi. Damai, tenang dan bahagia.

"Akak, kenapa adik terasa sesuatu ea. Akak ok ke?" Pandangan mata melihat coretan di skrin telefon bimbitnya. Hiba. Dan setitis air matanya mengalir.

"Doakan akak"

Tanpa riak, tanpa mempamerkan sebarang perasaan, merasa damai dan tenang, aingin itu halus menyapa wajahnya. Matanya ditutup, dan dia larut di dalam kenangan.

"Itulah kali terakhir kita jumpa, kan? Selepas tu, setiap kali nak jumpa mesti ada halangan, kan?"

Tersenyum. Dua tahun, masa itu cepat berlalu. Dan dia dah pun bersuami.

"Suami selalu tanya, kenapa lebihkan akak dari orang lain? He know how special you are, but.." Tersenyum dan mendiamkan kata-katanya.

Irama itu masih menusuk, irama itu masih teralun. Dan irama itu masih lagi didendangkan.

"Dan barangkali, ini adalah pertemuan kita yang terakhir, kita tak tahu, dik"

Terdiam. "Yelah, betullah akak cakap, pertemuan sana abadi. tapi, kan rasa bertuah sebab dapat bertemu di dunia" Diam, dan menyambung semula, "Hahaha, nak juga balah dengan akak, nak jugak menang tuh"

Dan hanya tersenyum dengan kata-katanya. Hati itu berbisik, "Janganlah menipu diri kita, kita takda jaminan, apa yang kita patut lakukan adalah, hargailah setiap waktu, setiap masa yang diizinkanNYA"

Hanya senyuman itu dihadirkan disebalik kain yang menutupi.

"Bukan semua sahabat yang boleh mengingatkan kita mengenai Allah. Bila kita memilikinya, ikatlah dia kerana dialah satu masa nanti akan mengetuk kepala kita bila kita terkedu terlupa akan kekuasaanNYA. Bukan semua, dik"

Tersenyum, dan message yang telah ditaip itu, akhirnya icon butang send ditekan, dan message itu dihantar kepada dia.

TERIMA KASIH DIK ATAS SEGALA-GALANYA. KITA MUNGKIN TAK SEPERTI DAHULU, TAPI, APA YANG PENTING ADALAH DI DALAM HATI KITA.

Tersenyum.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Friday 13 January 2012

Kenangan dan sebuah buku

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Fikiran terawang, terbang menerjah kembali ke kenangan lepas. Masa cukup pantas berjalan, dan aku kini semakin menghampiri tanda, tanda yang aku semakin tua.

Ingatan itu menerjah kembali, di saat aku menekan icon SEJENAK BERSAMA KOPI PANAS di dalam catatan emeilku, notification comment. Tersenyum.

Membaca setiap komen lepas, menjadikan hati aku ingin sahaja kembali ke belakang.

"Akak dah melalui terlalu banyak planet, dan sebab tulah akak boleh faham keadaan seseorang"

"Planet?"

"Yelah, pengalaman akak tu, bukan semua orang boleh melalui apa yang akak dah lalui"

Tersenyum. Itu rupanya definisinya.

"Saya sangat meminati penulisan akak" Satu ketika dahulu, seorang adik yang ku ziarah, bersuara dan memberitahu perasaannya pada teratakku dahulu.

Terkedu, dan terpempan. Rupanya aku mempunyai peminat, dalam diam, dalam tidak ku sedari.

"Eeee, akak ni, saya rasa, kalau bercakap lagi best lah dari menulis" Sekali lagi, komentar itu dikeluarkan dari seorang adik yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa, bertemu di restoran Secret Recipe. Tersenyum sekali lagi.

"Dah habis hangus ke fikir nak delete blog tuh" comment nun jauh di sana, Timur Tengah.

Menyambung lagi katanya..

"Eh, nak tau tak. Tengah ana bukak blog kopi ni kan, pastu ada kawan2 datang tengok, kawan2 yang jarang online la. Pastu ada yang tanya.


"eh, blog kopi nak delete ker?" Ana kata haah..


Pastu dia pun balas, "Ish, sayangnyer, blog dia sedap. Bagus.."


Bukan puji ni tau, jangan nak perasan. Hehe.. Terkezut gak ana bila dengar tu. Cam tak caya jer kawan ana tu bleh kuar kata2 tu. Padahal jarang ana tengok dia online, nak baca blog2 orang ni ape la lg."

Tersenyum. Penghargaan yang sangat berharga, pernah tercatat satu masa, satu ketika dahulu. Alhamdulillah.

"Kalau ana rasa nak minum kopi, ana akan datang ke teratak ukhti. Pasti akan terasalah aroma kopi, menusuk ke kalbu ana" Komentar dari seorang ustaz di Timur Tengah juga. Cik Kopi itu selaran yang sudah sangat sinonim denganku di sana.

"p/s: salam ukhuwah kak athirah. saya silent reader yg selalu duduk tepi diam2." Terhibur dengan kata-katanya, rupanya aku mempunyai ramai silent reader, satu ketika dahulu.

Tetikus itu ku gerakkan ke folder SEJENAK BERSAMA KOPI PANAS, falsafah hidupku itu, ku simpan lama di kotak memori itu, dan ku angkat kepala kotak itu, dan membacanya, satu per satu.

Satu per satu. Dan akhirnya, aku terpempan, merenung setiap kata-kataku itu, menjadikan aku termangu-mangu, dan aku bersuara, "Betul ke aku pernah tulis semua ni?"

Bagai seorang yang kehilangan ingatan, dan aku asyik membaca, membaca dan terkedu, seolah-olah aku tidak mengenali tulisanku senidiri. Aku sudah semakin tua. rupanya.

"Ada sebahagian memory awak hilang semasa kemalangan lepas, jadi, sama ada awak boleh ingat balik atau tidak, bergantung pada masa dan keadaan awak" Wanita ber"kot" putih itu memberi komennya, satu ketika, bila aku datang untuk pemeriksaan seterusnya. Rehabilition.

"Kak, kau tak nak buat buku? Tulisan kau ni, bila Alang baca, boleh buat orang tertarik untuk baca. Kau tak nak cuba?"masih berkerusi roda, masih lagi tidak mampu untuk berdiri, hatta berjalan, disuakan satu cadangan membuatkan aku terdiam sebentar. Buku.

Aku bukanlah seorang penulis sastera, karyawan yang penuh falsafah, untuk aku mulakan langkah tari itu di papan kekunci komputer ribaku. Tapi, aku hanya ingin berkongsi dan bercerita, pada yang sudi membaca, pada yang masih sudi menerima diriku ini lagi, ingin ku sajikan sebuah buku.

Tidaklah ia terlalu berat dengan bahasa yang penuh menompang carik pada sebuah kata yang sukar untuk difahami. Pada sebuah kanvas hidupku dahulu, aku ingin berkongsi dan ingin bercerita, semoga masih ada yang sudi lagi membacanya.

Inilah coretanku satu masa dahulu, yang telah ku pulangkan padaNYA, kerana DIA menuntut pinjamanNYA semula. Aku hanya mencoret balik, sebahagian kenanganku, sebahagian kenanganku dahulu, dan ku kongsikan semula. Dan sesungguhnya semuanya adalah dariNYA.

Tiga tajuk, bersilih ganti, dan ku masih fikirkan lagi tajuk yang harus ku pilih untuk buku ku yang pertama. Aku mengharapkan doa dari manusia, agar ianya terhasil menjadi sebuah buku, yang boleh ku kira menghias sekecil cuma kehidupan kalian. Dan ku harapkan agar ianya bermanfaat.

Semoga anda, masih dapat menerima tulisanku lagi, dan semoga ianya bermanfaat.

Alhamdulillah.

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Mari Belajar Bercinta

 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Sekali lagi, satu coretanku, yang ku kongsikan, jika ada manfaatnya, ambillah, dan jika tidak, tinggalkanlah kerana sesungguhnya, catatan lamaku itu ku simpan untuk tatapan dan perkara yang menjadikan aku bermuhasabah semula..

Selamat membaca..

**********************************


Sudah berhari setiap tulisan yang ku tulis, ku simpan semula. Sudah berhari juga, setiap idea yang mencurah itu, ku pendamkan terlebih dahulu. Sudah berhari juga, apa yang ingin ku sampaikan, ku berkira-kira untuk publish.

Dan akhirnya, aku merayau, bersiar-siar melihat teratak-teratak yang lain. Menyinggah-nyinggah sambil membaca sekali imbas. Aku hanya terpaku sekejapan pada satu-satu teratak dan aku lihat profile-profile blogger tersebut. Ada yang 21, ada yang 17, ada yang 22, ada yang 23. Sekali imbas, dan satu sahaja konklusi yang boleh ku katakan, mereka terlalu mengejar cinta dan mencari cinta.

Pergi semula ke teratak-teratak lain, dan kebanyakkannya menceritakan tentang perihal cinta. Bercerita tentang cinta. Memberitahu cara bercinta. Terpana sebentar dengan kenyataan ini. Bercintalah pada cinta yang mengajar kita untuk lebih mencintaiNYA Pelik. Macam mana?

Singgah ke teratak-teratak manusia lain, membuatkan aku berfikir, Hidup ni semata-mata nak kejar kahwen je ke? Hairan, manusia sekarang lebih banyak memikirkan cara bercinta, cara untuk memperoleh kesempurnaan iman yang separuh ini. Hairan.

"I'm damn tired. Terasa rindu zaman bujang!!!" Aku tergelak melihat status sahabatku yang sedang dalam mabuk mengandung.

"Weh, dah nama pun kahwen, kahkahkah." Aku hanya tergelak. Dan dia menceritakan ujian dan dugaan yang terpaksa dia hadapi, semuanya perlu ada timbang-rasa. Aku hanya tersenyum. "Sabarlah, dan percayalah, jika kau banyak consider mengenai keadaan suami kau, sesungguhnya ada ganjaran dan Allah sentiasa memudahkan kerja kau berkat doa suami kau. Dah nama pun kahwen weh" aku tergelak. Dah nama pun kahwen, kan?

Manusia ni terlalu mengejar sesuatu yang belum pasti dan menjadi rahsiaNYA. Kejarlah yang pasti, dan tinggalkan yang menjadi rahsiaNYA. Kerana rahsiaNYA itu hanya boleh terlerai dengan meminta izinNYA, iaitu berdoa. Terdetik di hati. Aku hanya tersenyum dengan ungkapan kata hatiku, kerana hati ini terlalu banyak yang dia ajarkan ku, tentang makna sebuah kehidupan.

Belajar bercinta? Aku hairan manusia yang begitu asyik menulis cara-cara bercinta dengan manusia, harus bagaimana caranya. Menggaru kepala aku melihat manusia-manusia yang terlalu suka berhujah tentang hubungan antara seorang lelaki dan perempuan. Hairan. Kenapa memperlihatkan satu perkara fitrah. Adakah jika kita memberikan sebeban hadis, manusia akan ikut? Tak, hanya segelintir sahaja. Bawalah mereka berfikir sebenarnya kerana itulah permulaan dalam mana-mana petunjuk dan hidayah itu tembus ke hati yang leka.

"Walau macam mana sekali pun, aku lebih pentingkan persahabatan kita. Aku sanggup mengalah" Kata-kata dari seorang sahabat lelaki ketika di alam persekolahanku. sayup-sayup aku dengar kata-katanya. Kita semua adek-beradik. Aku tersenyum. Memang, kami di alam persekolahan, persahabatan itu lebih utama dan aktiviti sekolah untuk membuka mata cikgu-cikgu yang memandang enteng pada kami itu yang kami utamakan. Tidak sedetik pun nak mensia-siakan masa kami di sekolah.


Setiap kali balik sekolah, siapa yang ada ura-ura nak dating, kene tinggal. Tergelak. Kami balik berkumpulan. Sekalipun selepas kami melangkah keluar dari pagar sekolah, dan ada yang mengikut cabang yang berlainan, semua mesti berkumpul dahulu di tepi bangunan Kemahiran Hidup sebelum sama-sama balik. Saat itulah rakan-rakan dari kelas lain akan mengetahui perancangan kami kalau mereka tertinggal.

"Aisyah, petang ni main basketball. Kau jangan lupa lak, pukul 3.00"

"Siti, petang ni ada perjumpaan Pengakap. Amy nak jumpa kita semua sebelum camp. Nak cek barang kat bilik Pengakap"

"Weh, petang ni jalan-jalan. Pukul 5 kat umah aku"

Hairan remaja sekarang yang terlalu suka bercouple. Bagi mereka, tak bercouple tu tak best. Hairan. Kenapa singkat benar mereka berfikir. Berapa tahun kalian kene tunggu sedangkan orang dewasa pun payah nak berkahwin? Pasti ke itu jodoh kalian? Hairan melihat adik-adik yang lupa untuk memikirkan pandangan masyarakat, sehingga kata-kata itu boleh sampai ke telinga ibu bapa. Tak fikirkah apa perasaan seorang ibu, seorang ayah?



Hairan juga remaja ini sudah pandai bercanda mengenai cinta di perkarangan sekolah. Terimbas di zaman aku. Kami memang nakal dan setiap dari kami juga akan menjaga kepentingan sahabat kami. Seorang kene, semua mesti kene. Sorang lepas, semua mesti lepas. Sorang ada idea, yang lain mesti tolong. Bila ku kenang-kenang kembali, emh...rasanya macam takda masa pulak nak fikir pasal bercinta. Kenapa zaman sekarang terlalu banyak pula ruang sehingga terlupa ape yang menjadi kepentingan mereka terlebih dahulu. Hairan.

Merenung satu teratak yang dimiliki oleh seorang adek yang baru belasan tahun sudah pandai berbicara mengenai cinta. "Hidup ni bukan hanya tujuan nak kahwin je. Kalau ayah kata 26, kenapa tak gunakan masa tu untuk merealisasikan perancangan kita. " Setuju. Aku hanya tergelak. Dan perkara sama juga aku katakan pada manusia-manusia yang terlalu asyik berfikir kahwin itu menjadi tujuan hidup.

Jangan kita lupakan firman Allah dalam surah Adz-Zariyat ayat 56, Allah menjadikan kita semua untuk beribadat kepadaNYA dan DIA juga telah menunjukkan cara yang terlalu banyak cara beribadat kepadaNYA melalui kekasihNYA, Nabi Muhammad s.a.w. Terlalu banyak sebenarnya. Kenapa tidak kejarkan ibadat yang lain sedangkan ibadat berkahwin itu adalah satu anugerah dariNYA.
Entah kenapa perkara ini hanya sehembus nafas berfikir, sekali imbas muncul di fikiran dan kemudian lenyap bila bebanan kerja lain menghimpit. "Ayah hairan manusia sekarang. Jodoh itu urusan Allah. Kenapa nak kejar. Kalau ada, dia akan datang. Itu semua kerja Allah" Aku tergelak mengiyakan kenyataan ini. Benar. Itu kerja Allah. Bukan kerja kita.

Bila melihat manusia yang terlalu singkat berfikir ini, aku terimbas ke belakang. Perancangan. Ya, perancangan kitalah yang menjanjikan siapa kita di masa hadapan nanti. Kejarlah yang pasti, dan tinggalkan perkara yang menjadi tanda tanya. Kejarlah untuk belajar bersungguh-sungguh tetapi tinggalkan keputusan akhir dalam penentuanNYA. Kejarlah dengan sebaiknya urusan kita, dan tinggalkan urusan jodoh jika kita belum bersedia. Teleklah diri.

Perancangan kitalah yang menentukan letak duduk siapa kita di kemudian hari. Hidup ini bukan hanya sesingkat menarik nafas dan kemudian menghembuskannya. Sekadar melihat oksigen menerpa ke hidung kemudian karbon dioksida dihembus keluar dari badan. Tetapi hidup ini bermula selepas kita menerima glukosa dari mulut kita dan menggunakan oksigen di kala badan mensintesis (Membina) kan bahan makromolekul untuk kegunaan badan kita. Inilah yang aku belajar dari kitar glikolisis dan ku amatinya dalam kehidupan seharian.

Kita tak gunakan gunakan nafsu melepaskan bebenan, tetapi menggunakan akal yang telah menerima ilmu untuk mentarjih segala input dan kemudian hati memberi arahan dalam mencadangkan satu cadangan. Maka berhujahlah akal dan hati di dalam fikiran. Tetapi keputusan akhir itulah kita sandarkan sebagai satu ujian kita atas keputusan yang telah kita keluarkan.

Merancanglah untuk kehidupan dan keputusan akhir itu pada Allah. Kita perlu hidup dalam keadaan merancang. Manusia yang tanpa perancangan seumpama manusia yang ditolak ke kanan, dia pergi ke kanan, di tolak ke kiri, dia ke kiri. Seolah-olah tiada pendirian dan takda matlamat hidup. Perancanganlah yang menyelamatkan seseorang dari mengikut nafsunya semata-mata. Perancanganlah yang menjadikan dirinya seorang yang bermatlamat.

Untuk apa kita belajar?

Untuk apa kita bekerja?

Untuk apa kita berkahwin?

Untuk apa kita bersahabat?

Dan, untuk apa kita dihidupkan? Dan inilah soalan pada diri kita sendiri harus kita fikirkan.

Bila ditanya mengenai belajar bercinta, belajar untuk menjadi seorang manusia, belajar untuk apa-apa sahaja, hanya satu sahaja yang ku katakan. Belajarlah untuk mencintai Allah terlebih dahulu. Kita takkan dapat belajar untuk menyintai yang lain jika kita tak tahu bagaimana nak bercinta dengan Allah. Kita takkan dapat menjadi seorang manusia yang hebat kalau kita tak tahu cara bagaimana untuk kita menyintai Allah.

Takkan berubah seorang kafir itu menjadi seorang Islam jika mereka tidak belajar untuk mengenali Allah terlebih dahulu. Tidak akan dimulakan dakwah oleh Rasulullah s.a.w kalau pegangan tauhid umatnya ketika itu goyah dan tak ditekankan sejak dari awal. Takkan berubah pendirian seorang manusia itu jika tidak kenal kelemahannya di hadapan Allah. Dan tidak akan menjadi seorang hamba yang baik jika tidak dimulai dengan merasakan kehadiran Allah sentiasa di hati.


Manusia suka melakukan kejahatan hanya kerana mereka tak sedar mereka diperhatikan oleh Allah. Terimbas akan aku pada satu kisah. Seorang tuan guru yang begitu menyayangi seorang anak muridnya lalu anak muridnya yang lain berasa cemburu. Mereka beramai-ramai datang kepada tuan gurunya dan bertanyakan hal kelebihan anak muridnya yang seorang itu.

"Aku menyayangi kerana dia adalah seorang anak murid yang baik dan cerdik." Tuan gurunya menyebutkannya.

"Apakah kami semua tidak baik?"

"Semuanya baik, tetapi ada kelebihan pada dia yang menyebabkan aku menyanginya" Maka hampalah semua anak muridnya kerana tuan gurunya tidak menyatakan kebaikan anak muridnya yang satu itu. Walaupun mereka beredar tetapi dalam keadaan yang kecewa.

Tuan gurunya pun berfikir untuk menunjukkan kelebihan anak muridnya itu.

Satu hari, semua anak muridnya dipanggil. Tuan gurunya menyuruh mereka semua membeli 20 ekor burung. Setelah mereka membelinya, tuan gurunya menyuruh setiap seorang mengambilnya seekor dan dia memberi arahan. "Aku hendak semuanya menyembelih burung yang ada pada kamu di tempat yang tiada siapa pun lihat"

Maka, kesemuanya bertempiaran mencari-cari kawasan yang tidak diketahui oleh orang lain. Setelah selesai, semuanya berkumpul. Tetapi, dalam suasana itu, masih terdengar cicip seekor burung yang dipegang oleh seorang anak muridnya yang sedang menggaru kepala kerana tugasan itu tidak dapat disiapkan.

Semua anak murid tuan guru itu mengertawakan anak murid itu. Tetapi tuan gurunya itu memanggilnya. "Kenapa engkau tidak menyelesaikan tugas yang telah aku berikan"

"Bukankah tuan guru menyuruh supaya menyembelih burung ini di tempat yang tiada siapa pun dapat melihat saya"

"Ya"

"Macam mana saya nak cari tempat sebegitu sedangkan semua tempat pun, Allah dapat melihat saya"
Tuan gurunya tersenyum. Dan semua anak muridnya juga melihat sendiri kelebihan itu. Akhirnya mereka berpuas hati dan tuan gurunya juga berasa lega tanpa perlu dia berkata apa-apa.

Lihatlah, jika kita mencintai Allah, kenal Allah, maka manusia juga akan menyayangi kita. Dan tidak mustahil Allah akan memberikan yang terbaik pada kita sesuai atas apa yang telah kita lakukan. Tidak akan kita kagum pada Saidina Abu Bakar kalau kita tidak tahu betapa cintanya dia pada Allah dan Rasul-NYA. Tidak akan sedihnya kita berita perpisahan Saidina Umar al-Khatab di saat dia ditikam kalau kita tidak kenal peribadinya yang begitu tulus mengangungkan Allah dan Rasul-NYA.

Tidak akan disayangi oleh manusia lain jika kita melupakan diri untuk mencintai terlebih dahulu Allah. Tidak akan ke mana cinta manusia jika ia hanya berdasarkan rasa ketika itu sahaja tanpa kita menjawab soalan untuk apa dia dicintai. Jika kita melihat seorang berdasarkan nafsu, maka ia akan selalu dibuai oleh rasa yang kita sendiri tidak faham.

Terkadang, aku hairan manusia yang terlalu mengagungkan perasaan cintanya sehingga membelakangkan bermacam-macam perkara yang perlu difikirkan terlebih dahulu. Aku menggaru kepala memikirkan manusia yang lupa akan awlawiyat nya sendiri dalam urusan kehidupannya. Pelik.

Bezakan terlebih dahulu perasaan yang hadir ketika itu, adakah hanya sekadar cinta, suka, atau selesa. Dan jika cinta, bezakan juga, adakah ianya berdasarkan cinta kerana Allah atau cinta kerana nafsu. Jangan terlupa menilai dan membelek-belek perasaan itu, kerana terkadang kita juga tersalah tafsiran.

"Kalau betul-betul Zizi sayangkan dia, Zizi sedih kalau berpisah dengan dia. Ni mama tengok Zizi tak nangis pun. Cuma perasaan tak puas hati je kan?" Tertarik dengan kata-kata pelakon di layar kaca televisyen. Kita tak tahu, kita sayangkan dan cintakan siapa kerana itu kita kerap tersalah pilih orang. Kita tak perasan, perasaan yang ada ketika itu hanya perasaan berlandaskan hawa nafsu sahaja. Kita lupa semua itu kerana asyik dibuai perasaan sedangkan ianya hanya perasaan sebagai seorang yang selesa, atau perasaan yang hanya menyukai bukan cinta.

Aku selalu melihat manusia menjadikan kisah cinta manusia lain yang sezaman dengannya sebagai contoh. Jauhkanlah wahai sahabat mengenai perkara ini. Bukan mereka yang menjadi rujukan kita.

"Kalau kau cintakan dia, pedulikan semuanya. Kalau bapak kau tak suka, kau kahwen je kat sempadan"

"Cinta ni kan indah. Tak salah aku rasa kalau kau teruskan juga. Alar, kawan kau tu jeleous sebenarnya"


" Eh, mana adil macam tu? Kau kene pertahankan hak kau"

Dan banyak lagi. Aku hanya melepaskan keluhan berat mendengar manusia-manusia yang terlalu berfikir singkat ini. Tidak takutkah kita jika Allah menurunkan sesuatu saat kita merasakan bahawa kita terlalu megah mempertahankan cinta kita itu. Cintailah Allah terlebih dahulu sebelum kita mencintai yang lain. Kenal Allah terlebih dahulu sebelum kita kenal yang lain.

Melihat pada contoh-contoh terdahulu, membuatkan aku berfikir dan melihatnya sebagai satu perkara yang sedang terjadi pada kita balik. Sejarah tidak pernah tidak terjadi semula. Sejarah hanya memberi peringatan kepada kita dan ia tetap akan berulang. Sejarah bukan arkib tinggalan zaman dahulu yang hanya dirujuk semata-mata peperiksaan sahaja. Tetapi sejarah adalah kita sendiri. Sejarah tetap akan muncul semula kalau kita tidak cuba untuk belajar sesuatu darinya.

Renungkanlah bagaimana Siti Khadijah memilih Rasulullah s.a.w sebagai suaminya. Tidak akan diturunkan petunjuk itu jika Siti Khadijah bukan dari kalangan hambaNYA yang beribadat ikhlas kepadaNYA. Tidak akan digerakkan hati seorang manusia jika hatinya penuh dengan tipu daya dan cara hidup masyaraat jahiliyyah. Selidikilah salasilah Siti Khadijah dan peribadinya. Allah memilih dia sebagai teman Rasulullah yang paling banyak berjasa kepada baginda kerana hatinya yang memilih untuk mencari redhaNYA.

Lihatlah pulak kisah cinta Siti Zulaikha dan Nabi Yusuf. Sekalipun pada awalnya dia terlalu menginginkan Nabi Yusuf, akhirnya, dia bertaubat dan berusaha mencari redhaNYA. Ketaqwaannya juga telah menjadikan impiannya itu dimakbulkan Allah. Malah, Allah sendiri yang meminang Siti Zulaikha melalui malaikatNYA untuk Nabi Yusuf. Taqwanyalah yang menjadikan dia golongan hamba yang begitu berharap pada-NYA. Kerana dia percayakan Allah lah, akhirnya dia menjadi pasangan kepada kekasihNYA.
Jika kita merasakan pedihnya perpisahan itu, pedih lagi Nabi Adam yang berpisah dengan Hawa ketika mereka diturunkan ke dunia berseorangan jauh di suatu tempat. Jika kita rasakan peritnya menanggung rindu kepada kekasih yang berjauhan menunggu saat ketika disatukan sehingga sanggup melupakan batas-batas hubungan antara lelaki dan wanita, bandingkan pula peritnya Nabi Adam dan Hawa yang terkial-kial mencari arah, di manalah kekasih ku, meraba-raba mencari-cari. Bandingkan.

Jika kita merisaukan diri ditinggal suami kerana keperluan kita hanya bergantung kepadanya sehingga berebutkan nafkah di mahkamah, bandingkan Siti Hajar dan Nabi Ismail. Saat ketika Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di satu tempat, saat bercucuran air mata, Nabi Ibrahim kembali mengingatkan semula mereka bahawa Allah tidak akan mensia-siakan mereka. Allah akan bersama-sama mereka. Allah yang akan menjaga mereka. Allah lah juga yang akan mencukupkan keperluan mereka.

Sudah tidak cukupkah lagi contoh-contoh manusia hebat kekasih Allah untuk kita jadikan contoh sehingga kita menganggap cinta kita itu melebihi segala-galanya? Tidak cukupkah sehingga kita merasakan bahawa keperitan kita menanggung cinta itu lebih hebat dari mereka?Tidak samakah apa yang terpaksa kita hadapi sehingga kita membelakangkan segala-galanya demi kerana cinta yang tanpa landasan itu.

"Nanti-nantilah dik. Akak takda calon lagi. Banyak lagi akak nak kene fikir"

"Kak, bukan ke menolak perkahwinan itu tidak mengikut sunnah nabi"


Tergelak. "Kahkahkah..sapa yang tolak dik. Akak cuma tak nak mencari sebab ini rahsia Allah. Kalau ada jodoh, adalah. Kalau takda, cukup banyak Allah dah sediakan cara untuk kita beribadat. Bukan hanya sekadar berkahwin je" Aku hanya tersenyum.

Contoh? Di mana pulak letaknya kedudukan Rabiatul Adawiyah kini, wanita sufi yang hebat memperdagangkan diri untuk membetulkan pemahaman manusia kepada pengertian Allah di hati kita. Bukankah dia juga tidak berkahwin? Bukanlah ku katakan aku ini seperti beliau, tetapi, bukankah ada contoh-contoh perlakuan wanita mukminin yang boleh dijadikan contoh, pemujuk jiwa, menggembirakan hati. Bukankah mereka semua telah dijanjikan syurga, dan kenapa kita tidak mencontohi mereka.

Kenapa seorang wanita terlalu merisaukan urusan jodoh sehingga lupa wanita itu sendiri maruah keluarga. Kenapa tidak dihiraukan rasa hati manusia yang telah mendidik dan membesarkan kita. Wanita itu terlalu mahal untuk murah diperdagangkan. Kenapa tidak mengabdikan untukNYA. Carilah cinta kepadaNYA terlebih dahulu sebelum mudah menerima cinta seorang lelaki.

Bersangka baiklah pada sebarang tindakan sesuatu manusia. Setiap dari kita ada bahagian kita. Setiap dari jiwa kita menerima tarbiyahNYA. Setiap dari kita juga sedang menerima ujianNYA. Janganlah kita terlalu menilai-nilai tindakan seorang manusia itu dengan hanya pandangan yang dangkal. Bersangka baiklah. Dan ilmulah yang mengajar kita untuk berhati-hati dalam melangkah.

Bukan bermakna seorang yang meninggalkan perjuangan dalam erti kata mata kasar kita itu telah meninggalkan peribadi muslimah di dalam dirinya. Di dalam dirinya sendiri ada perjuangan. Di dalam kehidupannya juga ada perjuangan. Di dalam dia melangkah juga ada perjuangan. Apa yang penting, semuanya kerana Allah yang akan dipandang sebagai perjuangan ke dalam hati kita, yang akan dilihat sebagai ibadah kepadaNYA.

Seperti kisah di atas. Kisah anak murid dan burung itu. Takkan kita sedar perkara yang dianggap kecil ini adalah besar peranannya sebenarnya. Dan takkan kita lupa, yang besar itu sebenarnya kecil sahaja. Kita suka melihat yang besar dahulu sebelum menyedari hakikat yang besar itu juga asalnya adalah kecil. Jarang kita sedar, yang besar takkan menjadi besar yang bulat terbentuk kalau di awal lagi, belon yang kecil itu dah terbocor.

Bila dicarikan contoh, ditanyakan pula tentang rujukan, aku hairan manusia tidak melihat contoh-contoh yang terdahulu. Siapalah kita untuk menjadi contoh. Sedangkan apa yang kita lakukan ini juga belum tentu diterima, kenapa mesti kita melihat manusia lain. Lihatlah para srikandi islam yang telah dijanjikan syurga.

"Awak kene kahwen, jadi contoh kepada mereka"

"Ape kejad saya nak jadi contoh. Diaorang kene belajar sebenarnya. Contoh dah memang ada, contoh srikandi-srikandi Islam yang memang sah-sah dah dijanjikan syurga. Bukan saya pulak yang nak kene dijadikan contoh. Saya yang belum tentu lagi tahu macam mana timbangan saya di sana. Mereka kene lihat sejarah, bukan nak suh saya yang jodoh tak sampai-sampai lagi ni. Kui3"
Tergelak. Masalah. 


Apa pulak aku yang kene jadi contoh ni.

Aku hairan manusia selalu berkata perjuangan tetapi mengecilkan skop dakwah itu. Aku hairan juga melihat manusia yang telah selesa dengan keadaannya di medan perjuangan tetapi terlupa menelek diri dan hatinya. TimbanganNYA itu di luar jangkaan kita. TafsiranNYA juga bukan hak kita. Manusia sekarang pun mudah melakukan salah. Aku juga banyak melakukan salah. Perlu apa aku yang menjadi contoh. Jadikanlah Siti Khadijah, Siti Aisyah, Rabiatul Adawiyah dan para mujahidah di zaman dahulu sebagai contoh kerana mereka telah pun dijanjikan syurga. Bukan kita yang masih lagi tertanya-tanya.

Aku hanya berjalan dan merenung tingkah-laku manusia. Melihat dan merenungnya lalu akhirnya aku bersyukur. Hairan aku pada kehidupan dunia sekarang. Terlalu memikirkan perkara yang terlalu kecil sehingga lupakan yang lain. Terlalu menyesakkan fikiran dengan jodoh sehingga lupa untuk memperkukuhkan iman di hati. Manusia mudah lupa. Tersenyum "Biarlah. Insya Allah mereka akan belajar nanti"..



Insya Allah..

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Monday 9 January 2012

Atiqah Ayuni, sebuah kisah persahabatan.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


"Haaa, malam tadi ada cerita anti berdua" Kami saling berpandangan. "Cerita kami?"

"Atiqah Ayuni"

Menggaru kepala. Tak faham.

"Cerita tu tentang sorang je, tapi nama dia Atiqah Ayuni. Tiba-tiba teringat anti berdua, macam belangkas. Tak pernah berenggang"

Dan kami tergelak. Baru faham.

Sesungguhnya catatan ini ku tujukan khas buat seorang kawan, teman dan sahabat perjuangan, yang bersama-sama telah melaungkan takbir, menggegarkan bagunan itu, yang bersama-sama juga saling berkorban, untuk sebuah persahabatan demi perjuangan ini.

"Aku berhenti kerja, Yuni" kata-kata yang terpacul di mulutku suatu hari, hanya kerana memikirkan satu perkara.

"Aku berhenti sebab aku lebih memikirkan persahabatan kita. Aku tak nak perkara ini akan menjejaskan persahabatan kita dan seterusnya perjuangan kita. Perjuangan kita masih panjang lagi, Ayuni. Aku lebih rela berkorban dari aku teruskan kerja di sini, dan mangsanya engkau" Satu peristiwa, yang membuatkan aku tekad, hanya kerana memikirkan persahabatan kami, perjuangan kami.

Benar, bagiku, seorang sahabat itu akan diuji dengan pengorbanan, dan adakah kita mampu untuk berkorban. Dengan tarikh kemasukan sarjana falsafahku semakin dekat, dengan hasil tabungan semakin menyusut, aku membulat tekad, aku perlu berkorban dan aku tak nak sahabatku menjadi mangsa salah faham.

Dan sehingga hari ini, kami masih tetap, bersahabat, belangkas ke mana sahaja. Sehinggalah hari perkahwinanya.

Seorang sahabat juga, menjaga segala yang disuruh rahsiakan.

"Pasal kau suruh aku rahsiakan lah ni aku tak cakap-cakap tau. Kau jangan Yuni, tak pasal-pasal aku pulak terlibat." Satu rahsia yang disuruh rahsiakan, dan aku di persimpangan.

"Hahaha, nanti aku bagitahulah"

"Kau jangan Yuni, nanti dorang kenekan aku nanti"

"Hahaha, aku percaya kau tak kan cakap punya"

Mendengaus. "Kurang hasam punya kawan" Faham sangat dengan perangai kawan aku yang seorang ni.

Hatta prasangka manusia juga, tidak sesekali dibiarkan menjadi punca kesedihan seorang sahabat.

"Eh, Tiqah..bla..bla..bla.." Tiba-tiba ditanya pada aku tentang Ayuni, kesahihannya tentang satu cerita.

Keningku dan mencerun. "Eh, aku paling pantang orang cari aib kawan aku. Korang ni dah takda keje lain eah?"

Terdiam. Janganlah kita sibuk mencari salah, aib dan cerita tentang sahabat kita. Kenapa tak kita warnakan persahabatan kita itu dengan warna-warna keceriaan, yang diisi untuk dijadikan kenangan segar di dalam ingatan kita.

"Ah, tak kira, aku nak juga jadi pengapit kau. Tak kira"

"Boleh, tapi dengan syarat"

Buntang mataku, dan terkejut dengan syaratnya. "Wei, syarat ape ni. Ah, lantaklah, aku tetap nak juga jadi pengapit kau. Tak kiralah syaratnya apa"

Dan apabila syaratnya diutarakan, sekali lagi mata terbuntang. "Ah, confirm aku boleh punya"

Indah, indah apabila mengingati semula kenangan lama.

Dahulu, tangannya pernah memandikan aku, sekujur tubuh yang lumpuh di pembaringan, menemani dan menggantikan sebentar tugas ibuku di sisi yang kepenatan. Kehadirannya mengisi masaku yang ketika itu tidak mampu untuk bangun, hatta membangunkan badanku sendiri.

"Kau, Yuni, baik-baik nak mandikan aku ni. Kang, ada pulak tulang aku tersalah letak kang" saja berseloroh dengan dia. Terhibur.

"Yuni, aku nak air ribena. Beli banyak sikit tau. Dah seminggu tak makan ni, rasa nak muntah pulak. Haa, jangan lupa bla..bla..bla.." Memesan pesanan ringkas sebelum dia datang menziarahi aku yang terlantar.

"Wei, ko ni tak padan dengan sakit, lah"

"Hahaha, tak kira, aku tengah sakit ni..aku nak juga" Terhibur.

Hari kedua di wad pembedahan, kepala yang masih lagi berpusing-pusing.  Tiba-tiba di kelilingi sahabat-sahabat. Kepala masih lagi berpusing, sebentar mata dibuka, sebentar mata bertutup, lena sebentar. Bangun semula, dan kemudian bersuara.

"Ayuni mana?"

Semua memberi ruang dan muncul sesusuk tubuh yang ku lihat lemah, berjalan lemah ke arahku, dan memegang tanganku. Perlahan aku bersuara, "Sorry, aku tak sempat ambik kau kat masjid"

Terkedu. Dan suasana terdiam. Semua mata memerhati dan lama Ayuni membalas. "Takpa, kami pun tak jadi pergi "

Sekilas aku tersenyum, dan kemudian pengsan, tak sedar apa-apa.

"Atiqah beruntung, tiap-tiap hari Ayuni menangis sebab risaukan Tiqah. Susah nak jumpa kawan yang baik macam tu. Hari-hari kita dok baca message dia pasal risau tentang Tiqah. Kekadang tu sampai tak lena tidur dia"

Terkedu. Oh, sahabat.

"Weh, apesal aku tengok korang tak nangis pun, rilek je aku tengok" Saja berseloroh dengan salah seorang sahabatku.

"Weh, kiteorang nangis kau tau, paling teruk Ayuni lah. Masa nak masuk wad tu, masing-masing dah janji tak boleh nangis depan kau. Kalau kiteorang nangis depan kau, nanti semangat kau down, sebab tu aku buat lawak masa datang hari tu"

Oh, sahabat.

Masih teringat hari tu, di dalam hutan, di kawasan yang dipenuhi dengan pokok-pokok dan challet yang ditempah untuk program kami.

Kaku, sekali lagi, aku terdampar. Muka pucat, biru. Tak bersuara. Namun, aku masih lagi dapat menangkap wajah yang menangis itu.

"Takpe, aku penat je ni. Bagi aku rehat kejap je." Tapi, suara hanya lepas di kerongkong, tak lepas di mulut.

Berkelip-kelip aku memandangnya, supaya jangan menangis. "Bagi aku rehat je"

Keadaan kelam-kabut. "Tadi, ada ular patuk dia tapi dia tak pasti"

"Ya Allah, periksalah kaki dia tuh" Dan ramai yang mencari kesan patukan tuh.

"Kak Natrah, camne nih, kaki Kak Tiqah dah sejuk macam air batu"

"Macam mana ni, ada sesiapa boleh hantar ke hospital tak"

"Kak Tiqah, tahan Kak, tahan kak"

Kelam-kabut, aku menutup mata, letih. "Jangan bagi dia pengsan. Ayuni, borak dengan dia" Teriakan dari luar. Suasana benar-benar kelam-kabut.

Tapi, yang menghiburkan hati aku..

"Yuni, tanya kat ustaz, dia tahu ke jalan nak ke hospital?" Dalam sedar tak sedar, dalam suara ada tak ada, aku cuba juga kerana aku tahu, di situ, di dalam program itu, di tempat itu, hanya aku seorang sahaja yang tahu jalan.

"Ustaz, Atiqah tanya, ustaz tau jalan ke?"

"Haaa, ni yang ana nak bagitahu ni, ana tak tahu. Siapa yang tahu"

Allah, pesakit juga yang menunjukkan jalan.

Inilah sebahagian kecil kisah kami.

"Kau nak tahu tak kenapa aku beriya-iya nak jadi pengapit kau?"

Diam.

"Sebab, aku nak lihat kegembiraan sahabatku, setiap detiknya di depan mata aku sendiri, sebab tu aku beriya-iya nak jadi pengapit kau"

Tersenyum.

Persahabatan, bukanlah yang kerap pertemuannya, yang asyik perbualannya, tapi, setiap masa, bila keadaan diperlukan, dan kita akan ada di sisinya.

Persahabatan, bukanlah yang panjang boraknya, yang gah mendabik dada berkata, "Kaulah sahabatku" tapi, ianya tahu, saat dan ketika mana, kita perlu berkorban demi sebuah persahabatan.

Dewasa ini, kerap kali apabila berlaku suatu peristiwa besar, suatu peristiwa yang menghiris hati, pasti kesan calarnya berbekas sehingga selama-lamanya.

"Lupakanlah perkara lepas tu. Aku tak nak kisah lama mencalarkan semula hubungan yang dah sedia baik ini" Dan kami berjanji, kisah lama itu, ditutup, serapat-rapatnya dari fikiran kami.

Dan dialah, sahabatku, yang pertama sekali merisaukan aku, menyakitkan hati aku, yang menggembirakan aku, yang menghuru-harakan hidup aku, yang acap kali merapu mengacau ketenteraman aku, dan segala-galanya ada di dalam persahabatan kami.

Jika dikatakan kami tak pernah bercakaran, bohonglah kata-kata itu kerana kami juga pernah salah faham, tetapi persahabatan itu lebih bermakna di dalam hati kami dan menjadikan semua itu hanyalah angin lalu yang bisa sahaja mengganggu perjalanan kami. Hilangnya angin itu, dan perjalanan kami tetap seperti biasa, masih bergurau senda, berkongsi rasa dan kemudian bertelagah semula. Ah, indahnya persahabatan kami.

Persahabatan yang dikatakan indah hanya dengan bercerita kisah masing-masing, berkongsi dan tidak pula berlaku apa-apa rintangan, persahabatan itu apabila halangan datang, masing-masing tidak dapat menerimanya dengan rasional.

Berbahagialah walau apa jua yang disajikan di dalam persahabatan itu kerana dari situlah, barulah kita sedar, di mana sahabat kita di hati kita.

Persahabatn bukanlah hanya ada satu warna sahaja, tetapi pelbagai. Ada tangis, ada suka, ada duka, ada kecewa, ada marah dan ada segala-galanya. Itulah sahabat.

Dan terima kasih wahai sahabat, walau nun jauh di sana, semoga memori itu tetap segar di ingatan, dan akhirnya, walau tiada khabar, apabila berlalunya seorang sahabat dari sisiku, seolah-olah kita baru sahaja berbual panjang tanpa bersuara.

~Memori yang indah apabila memiliki seorang sahabat yang sudi menangis untuk aku.~

Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." 
~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

Sunday 8 January 2012

Siapakah Wanita Solehah yang Dimaksudkan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Kotak fikiran terlalu sarat dengan segala pengisian yang membungkam mata, layu. Kotak ingatan masih menerjah ke memori yang lepas, berkisar perkongsian dan pengisian mengenai seorang wanita.


"Susah sebenarnya, Sha nak jadi seorang wanita ini. Seperti mana dikatakan seorang ayah terlalu susah untuk menjaga seorang anak perempuan, begitu juga bagi seorang wanita untuk menjaga diri, memperkenalkan diri sebagai seorang wanita solehah. Wanita solehah bukanlah wanita yang hanya memakai jubah, bertudung labuh dan berpurdah, tetapi lebih dari itu lagi."


Diam, merenung dan berfikir.


"Ada ramai yang kata, pakai tudung pun, belum tentu baik, malah ada yang tak pakai tudung pun lagi baik dari yang pakai tudung. Sha, sebenarnya, pakaian kita ini bukan sebagai tanda nilai, tapi sebagai penjaga kita, pengingat kita, wanita yang bertudung tak boleh buat itu, tak boleh buat ini. Tapi, terpulang pada diri kita juga untuk menilai kata-kata ingatan itu, sama ada nak menurut atau tidak. Kalau kita turut, maka kita jadi wanita yang baik, jika tak ikut, maka, cemuhan yang akan datang. Begitu juga dengan orang yang tak pakai tudung, barangkali, lahiriah dia sendiri dah tahu itu boleh, ini boleh, jadi dia takkan buat apa yang tak boleh, dan hanya akan buat apa yang boleh"


Tersenyum.


"Akak, lamanya akak tak update blog" Pesanan ringkas itu muncul di layar skrin telefon bimbitku. Ingatan menerjah kepada kata-kata beberapa adik yang benar-benar mengikuti pengisian di sini. Pengisian dan perkongsian dari seorang hambaNYA yang masih lagi dalam mencari ilmu. Tersenyum.


"Akak sibuk sikitlah dik. Ada banyak benda nak kene buat" Dan aku cuba juga untuk mengisi sesuatu di dalam teratakku ini. Perkongsian dengan seorang adik yang baru ku kenali, bercerita dan berkongsi tentang "Siapakah Wanita Solehah yang Dimaksudkan"


Membelek-belek buku 10 Tokoh Muslimah Sejati, menjadi aku terpempan dengan tajuk awalnya. Wanita dan perkara yang meragu-ragukan.


"Sha nak tahu, wanita ini sinonimnya selalu melakukan perkara yang meragu-ragukan. Nampak macam boleh, tapi sebenarnya tak boleh, nampak macam tak boleh, tapi sebenarnya boleh, dan akhirnya kebanyakkan wanita selalu memilih perkara untuk melakukan yang disangka tak boleh dan meninggalkan perkara yang boleh, sedangkan di dalam hadith 40, ada satu hadith ini membicarakan tentang perkara syubhat. Apabila kita melakukan perkara syubhat, maka, kita sebenarnya sudah menghampiri perkara HARAM. Itulah wanita" Tersenyum ke arahnya, dan kemudian menyambung kembali untuk membelek buku yang agak menarik perhatianku itu.


Sambil diselangi dengan pelbagai pertanyaan, pendapat dan penghuraian, membuatkan mataku melilau ke luar, "Jom, kita ke bangku di luar tu, lagi senang, kan untuk berbual" Tersenyum.


Berhadapan dengan seorang adik yang baru ingin mengenali bagaimana sebenarnya wanita itu menjadikan aku banyak terimbau kisah jalanku sendiri.


"Wanita ini memang perlu pembimbingnya, dik. Jangan kita menipu diri kita yang mengatakan kita ini mampu untuk berdikari. Fitrah kita sendiri sebenarnya dah menunjukkan kita perlukan pembimbing, iaitu suka melakukan perkara yang meragu-ragukan"


"Contoh, kak?"


"Contohnya, Facebook. Kalau wanita itu tahulah segala apa yang telah dinasihati oleh nabi pada seorang wanita, sudah pasti jarang-jarang dia untuk berada di dalam laman sosial itu dan berpeleseran menunjukkan siapa dirinya, bagaimana pemikirannya, bagaimana akhlaknya, bagaimana ilmunya di khalayak ramai. Kita qiaskan dengan kehidupan seharian kita sendiri. berbual-bual di wall sendiri, serupalah menampakkan perbualannya di khalayak ramai. Wanita ini dijadikan sebagai gudang rahsia. Kalau dia tidak dilatih dari sekarang, bagaimana semasa selepas berkahwin, sedangkan sebahagian besar hidupnya adalah di sisi suami. Segala cacat cela, segala tingkah laku suami, haram untuk diceritakan, walaupun hanya sekadar berseloroh."


Fikiranku terimbas sesuatu di wall seorang adik. Tersenyum.


"Aiwah, adik sekarang dah semakin memahami apa yang akak tunjukkan"


"Yang mana kak?"


"Tu, ayat 'Jom, belakang tabir.' Hehehe"


"You're my inspiration"


Tersenyum. "Akak hanya tunjukkan cara bagaimana nak bermuamalat di dalam Facebook. Serupa macam kita di khalayak ramai, kita qiaskan keadaan kita bagaimana. Kalau di depan mata-mata yang melihat kita boleh mengajak sahabat kita ke belakang tabir untuk bercerita, menyorok-nyorok apabila nak berbual, dan bersembunyi berbisik apabila ada perkara peribadi, kenapa tidak kita lakukan perkara yang sama apabila berada di paparan wall sendiri. Sama sahaja dik"


Begitulah wanita. Wanita ini cantik di pandangan apabila pandai bersembunyi, dan indah di mata apabila akhlak yang terpamir itu menyejukkan hati.


"Bila akak kat kedai buku, akak lebih banyak cari buku-buku tentang wanita. Adab seorang wanita. Dan bagaimana yang dikatakan sebagai seorang wanita solehah. Kita tak mampu untuk menjadi wanita yang baik kalau takda ilmu, jadi, carilah ilmu untuk menjadi seorang wanita"


Terlalu panjang huraian dan pengenalan untuk menjadi seorang wanita solehah. Terkadang, tanpa kita sedari, kita yang berpakaian muslimah juga tersasar, lalu merosakkan imej. Ketahuilah, kita telah diangkat oleh baginda Rasulullah s.a.w dari menjadi wanita yang diperlekehkan, kenapa kita pula yang membenarkan diri kita menjadi wanita iklan di layar profile kita sendiri.


Terlalu panjang untuk ku huraikan, tetapi, dengarkanlah kata hatimu, jagalah dirimu, diri kita kalau kita inginkan perlindungan dari Allah. Bagaimana kita hendak mendapat perlindungan dari Allah kalau sahaja diri kita sendiri kita tidak pandai tahu bagaimana melindunginya. Serupalah seperti kita cuba menyembunyikan kucing yang kita bawa di jalanan dari pengetahuan ibu dan ayah kita, tapi kita lupa, kucing itu pandai mengiau lalu, terbongkar juga perkara yang ingin disorokkan.


Begitu juga pemeliharaan Allah, kalau Allah dah pun melindungi kita, tapi kita sendiri yang begitu mudah menampakkan diri kita, kelemahan kita, bagaimanakah agaknya Allah nak lindungi kita lagi? Kalau kita mahu Allah melindungi kita, dan kitalah yang harus memulakan dahulu.


Semoga pengisian yang tidak seberapa ini dapat menjadi renungan buat diri saya dan diri kalian yang membaca..


Dan sesungguhnya semuanya adalah dariNYA, untuk meningkatkan keimanan kita.


Wallahu'alam.


Wahai anak, tidurlah di bawah aliran takdir, berbantal dengan kesabaran, setujuilah takdir, dan beribadah dengan menunggu kelapangan." ~Sheikh Abdul Qadir Jailani~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:”Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?”Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:”Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segla dosa-dosanya yang telah ia lakukan.”